BN 'simpan' Tumpat, Kuala Nerus untuk Che Lah dan Khairuddin

N Faizal Ghazali

PRU15 | Masih terdapat tanda tanya yang menarik hasil daripada pengumuman nama calon-calon BN bagi kerusi parlimen dan DUN yang dibuat Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Daripada keseluruhan nama dan kawasan yang diisytiharkan pengerusi BN itu, ada beberapa kerusi 'panas' yang tidak dibacakannya, masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu.

Ia membabitkan kerusi parlimen Tumpat dan Kuala Nerus. Ahmad Zahid belum mendedahkan siapakah taruhan terbaik BN dalam usaha mereka meraih mandat rakyat sekali gus kembali menguasai Putrajaya.

Sumber memaklumkan dua kerusi terbabit sebenarnya disimpan buat penyandang, dan ia menjadi lebih menarik apabila tokoh tersebut sebenarnya dari parti luar BN.

Di Tumpat penyandang kerusi itu ialah bekas setiausaha perhubungan PAS Kelantan, Che Abdullah Md Nawi, manakala bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Khairuddin Aman Razali di Kuala Nerus.

"Tumpat nak diberikan kepada Che Lah (Che Abdullah), tapi BN nak tengok dulu siapa calon daripada PN akan diletakkan bertanding di situ," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, malam tadi.

Semalam ada media melaporkan Che Abdullah bakal dipilih menjadi calon BN bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Sementara itu sumber dalaman Umno yang enggan namanya didedahkan itu turut mengesahkan kerusi Kuala Nerus 'disimpan' untuk Khairuddin.

"Ya betul simpan untuk Khairuddin," katanya ringkas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan