NS Ramli
Presiden PAS Abdul Hadi Awang meneruskan serangannya terhadap PH dengan mengaitkan gabungan itu dengan fahaman komunis serta golongan LGBT.
Abdul Hadi mendakwa PH dan BN sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai masalah, termasuk rasuah yang tidak terkawal, dan maka hanya Perikatan Nasional (PN) yang boleh mentadbir Malaysia dengan baik.
“Parti dalam PH ini macam-macam jenis ada, yang komunis ada, yang antituhan pun ada, yang liberal pun ada, LGBT pun ada, yang bagi rasuah pun ada, yang terima rasuah pun ada.
“Semua ada dalam parti mereka, ini menjadi satu masalah.
"PH ini ‘gelap’, BN ‘keruh dan kelabu’. Jadi kita ambillah yang jernih, yang baik iaitu PN,” katanya ketika berucap dalam satu majlis di Temerloh, Pahang pada petang semalam.
Untuk rekod, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang sebelum ini pernah menafikan dakwaan serupa yang dibuat Hadi yang mengaitkan DAP - salah satu parti komponen PH - dengan fahaman komunis.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi turut menceritakan semula pertemuannya bersama Pengerusi Pejuang, Mahathir Mohamad yang mencadangkan PAS bersama-sama dengan PH untuk menewaskan Umno sebelum PRU lalu.
“Mahathir (ketika masih bersama Bersatu) ajak PAS bersama-sama dengan PH, biar kita hapuskan BN. Saya kata PAS baru saja ‘berselisih’ dengan Pakatan Rakyat, takkan kita nak masuk balik
"(Mahathir jawab) 'tak apa (dia) akan tangani, tak bagi orang tertentu (jawatan) kalau menang'. Tapi kami tetap tak boleh terima," katanya lagi.
Pakatan Rakyat adalah gabungan antara DAP, PAS dan PKR yang ditubuhkan sebaik selepas PRU 2008, selepas pembangkang ketika itu buat pertama kali berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dengan strategi "satu lawan satu".
Gabungan itu terbubar pada Jun 2015 selepas berlaku pergeseran antara PAS dan DAP antaranya berkaitan isu hudud.
Dalam majlis semalam, bekas penyelaras Pejuang Temerloh Rofaei Hamdan bersama 20 ahli jawatankuasa Pejuang Temerloh menyerahkan borang menyertai Bersatu kepada Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah.
Rofaie sebelum ini antara nama disebut sebagai calon Gerakan Tanah Air di Temerloh, sebelum gerakan itu menamakan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahya sebagai calon mereka.
Rofaei bagaimanapun menafikan keputusan menyertai Bersatu disebabkan kecewa sebab tidak terpilih sebagai calon dalam PRU kali ini.
'Belum ada kenyataan rasmi Tuan Ibrahim jadi MB'
Sementara itu, di majlis pelancaran Manifesto PN Pahang di Jerantut malam tadi, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abd Jabar berkata pimpinan parti itu belum membuat sebarang kenyataan berkaitan cadangan agar timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi menteri jika PN menang di negeri itu.
“Buat masa ini belum ada kenyataan rasmi, yang ada hanya di media-media saja, dari segi pengesahan belum dibuat.
“Cuma saya sambut baiklah kalau itu pendirian dan keputusan PAS pusat dan kita tunggulah selepas (perkara itu) diumumkan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditanya jika keputusan meletakkan Tuan Ibrahim sebagai calon DUN Cheka adalah strategi PN untuk melantiknya sebagai menteri besar Pahang.
Manifesto PN Pahang yang dilancarkan Abdul Hadi menyediakan 12 tawaran kepada penduduk negeri itu.
Bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’, ia antara lain memberi fokus kepada usaha menyuburkan ekonomi selain mendukung sistem tadbir urus bersih, berintegriti dan cekap serta mendaulatkan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan