Harapan, #KitaBoleh muncul popular di Twitter

FAZLI RADZI

“Harapan” dan tanda pagar “Kita Boleh” muncul popular di Twitter menjelang 11 hari lagi rakyat Malaysia akan keluar membuang undi.

Setakat jam 1 petang tadi, lebih 18,000 ciapan berkaitan “Harapan” manakala hampir 8,000 ciapan #KitaBoleh berlegar di laman sosial Twitter.

Ada yang berkongsikan rakaman video menunjukkan beberapa bendera Pakatan Harapan (PH) bersepah di tanah dipercayai perbuatan sabotaj.

“Ini hanya jadi peringatan lanjut mengapa Pakatan Harapan akan menang PRU15. Amin,” ciap pengguna Twitter, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz.

Fathin yang diusik sebagai calon menantu atau isteri oleh pengundi juga dilihat popular di Twitter.

Dalam masa sama, terdapat warganet turut berkongsikan poster dan biodata calon PRU15, termasuklah calon PH bagi Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie, 28.

“Sudah pasti orang yang kita perlukan dalam reformasi sosio-ekonomi kita! Undi #harapan,” kata @icxrz.

Sebelum ini, nama Anwar trending di Twitter sehari sebelum penamaan calon PRU15 dengan rata-rata sembang bual berkisar tentang kewajaran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH yang diterajuinya untuk menang pada 19 November ini.

Pengguna Twitter yang kebanyakannya adalah pengundi muda dilihat menyambut baik PH pada PRU kali ini.

PRU15 mencipta sejarah tersendiri dalam proses demokrasi di negara ini apabila buat julung kalinya pemilih bawah usia 21 tahun boleh keluar membuang undi.

Segmen umur pengundi terbesar ialah berusia 30 hingga 39 tahun dengan seramai 4,681,348 pemilih iaitu 22.11 peratus diikuti 21 hingga 29 tahun (4,614,429 iaitu 21.79 peratus).

Mereka didaftar secara automatik sebagai pengundi dan kira-kira 1.14 juta belia bakal menggunakan mandat buat pertama kali, menyertai kelompok 21.1 juta keseluruhan pemilih dengan 1.4 juta adalah pengundi baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan