FMT Reporters
Calon PN Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin berkata, gabungan itu akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin memberi keterangan kepada polis semalam berhubung kenyataan kontroversi “kerajaan zina”.
Exco Kedah itu bagaimanapun menafikan kenyataan itu merujuk kerajaan persekutuan yang dibentuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) sebagai penghinaan kepada institusi diraja.
“Saya rujuk ketidakrelaan penyokong-penyokong Umno di bawah (akar umbi), itu yang saya rujuk.
“Saya agak kasar sedikitlah malam itu sebab kerajaan baru tertubuh. Jadi kita tengok pemimpin-pemimpin Umno sanggup menjual perjuangan Umno dengan murahnya. Itulah saya rujuk sebagai yang saya sebut (kerajaan zina),” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Azman turut menafikan tindakannya itu sebagai penghinaan kepada institusi diraja negara.
“Kami dalam PN pun akur dengan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi saya rujuk kepada resolusi yang Umno sendiri buat dan melanggarnya resolusi mereka sendiri, maka ahli-ahli Umno di bawah ini kecewa dan marah,” katanya merujuk keputusan BN untuk menyertai kerajaan dibentuk Anwar.
Azman menerusi ucapannya sebelum ini dilapor menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai “kerajaan zina”.
Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat pemimpin parti politik yang menganggap ucapan ADUN Lunas itu menghina keputusan Agong melantik Anwar mentadbir negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan