Masa semakin suntuk untuk Anwar dalam perjuangan jadi PM

AFP

KUALA LUMPUR: Sepanjang kariernya, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sentiasa hampir memegang kuasa, tetapi usia semakin mengejarnya dan pilihan raya umum kali ini (PRU15) mungkin peluang terakhirnya untuk dilantik memegang jawatan tertinggi negara itu.

Lelaki berusia 75 tahun itu, yang karier politiknya menjangkau empat dekad termasuk dua kali dimasukkan ke penjara, optimistik bahawa Pakatan Harapan (PH) akhirnya boleh memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, menggantikan parti pemerintah yang tercela dengan rasuah.

“Situasi kelihatan baik dan kami yakin, namun waspada,” katanya kepada pemberita selepas mengundi hari ini.

Masa sudah suntuk bagi tokoh yang sentiasa menjadi orang nombor dua dalam politik negara itu untuk mencapai cita-citanya menerajui pucuk pimpinan negara.

“Ini pilihan raya terakhir Anwar. Jika beliau gagal dapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri, beliau dijangkakan berundur,” kata Bridget Welsh daripada University of Nottingham Malaysia.

“Jika beliau memilih untuk kekal (dalam arena politik), ia hanya akan tambah melemah dan memecahbelahkan pembangkang. Terdapat pemimpin lain yang bersedia untuk meneraju.”

Anwar bermula sebagai pemimpin belia yang digeruni apabila beliau menyertai Umno pada 1982. Parti itu ialah tonggak Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama lebih 60 tahun.

Ahli politik muda itu kemudian menjadi menteri kewangan, dan timbalan perdana menteri pada awal 1990-an, bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Gandingan itu, yang dianggap sebagai salah satu gandingan paling dinamik dalam politik Asia Tenggara pada masa itu, terungkai tidak lama selepas itu.

Ketegangan memuncak semasa krisis kewangan Asia 1997-1998, apabila mereka bertelagah tentang cara menangani bencana itu.

Beberapa pemerhati berkata, Anwar terlalu tidak sabar untuk menjadi perdana menteri.

Mahathir memecat Anwar, yang turut dipecat daripada Umno, didakwa atas tuduhan rasuah dan liwat dan dipenjarakan.

Apabila Anwar mendakwa menjadi mangsa penganiayaan politik, protes jalanan meletus dan berkembang menjadi gerakan “Reformasi”, yang mendapat perhatian dunia.

Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan kes liwat Anwar pada 2004, setahun selepas Mahathir berundur sebagai perdana menteri, dan memerintahkan agar beliau dibebaskan.

Selepas berehat seketika daripada politik, Anwar kembali menerajui Pakatan Rakyat pada PRU 2013, yang memenangi 50.87% undi popular tetapi gagal mengumpulkan jumlah yang diperlukan untuk mendapat majoriti Parlimen.

Pada 2015, beliau sekali lagi dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan liwat, kali ini selama lima tahun, pada usia 70 tahun, namun menerima pengampunan diraja selepas tiga tahun dipenjarakan.

Anwar kembali ke Parlimen beberapa bulan kemudian setelah memenangi pilihan raya kecil Port Dickson.

Pada PRU 2018, Anwar bekerjasama semula dengan Mahathir, untuk mencabar Najib Razak, yang dibelenggu dakwaan berkait skandal 1MDB.

Pakatan mereka mencatat kemenangan bersejarah, menumpaskan BN pimpinan Umno dan Najib. Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua, kali ini dengan persetujuan untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar kemudian.

Bagaimanapun, Mahathir tidak menunaikan janjinya, dan pakatan mereka tumbang selepas 22 bulan memerintah, menyebabkan Anwar berputih mata dan membuka jalan kepada Umno untuk kembali berkuasa.

Anwar telah menolak kemungkinan untuk berpakat dengan Mahathir lagi, yang sekali lagi bertanding untuk kerusi Parlimen pada usia 97 tahun.

“Walau dari segi apa pun, hubungan antara Mahathir dengan Anwar tidak baik,” kata bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Kempen PRU15 Anwar menarik khalayak yang besar, ramai masih ghairah melaungkan slogan “Reformasi!” yang dipopularkan 30 tahun lepas.

“Jangan biarkan masa depan negara ditentukan oleh pemimpin yang korup,” katanya kepada ribuan penyokong pada penutup kempennya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan