Malaysiakini
PRU15 | Penyandang kerusi parlimen Tanjung Karang, Noh Omar meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat mempertahankan kerusi yang telah dimenangi selama enam penggal walaupun dia sendiri menyusun calon pilihan raya di Selangor.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata demikian dalam majlis Ceramah Perdana bersama calon Parlimen Gombak, Megat Zulkarnain Omardin di Gombak.
“Bila kita pilih calon bertanding, saya lihat Khairy Jamaluddin, Megat Zulkarnain dan ramai lagi mampu merampas semula Selangor.
“Tetapi bila saya susun kerusi calon, rupa-rupanya kerusi saya sendiri ‘dicuri’,” katanya.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Noh bagaimanapun akur dengan keputusan untuk mengetepikannya sebagai calon di Tanjung Karang.
“Tak apa, saya reda. Cuma saya sedih, diterajang begitu. Tetapi benda sudah berlaku, saya tidak lari daripada perjuangan. Tetap bersama BN,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Noh antara nama yang digugurkan daripada senarai calon bersama beberapa lagi menteri kabinet termasuk Annuar Musa dan Shahidan Kassim.
Tindakan mengejutkan itu dikaitkan dengan keretakan dalam Umno, antara presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Sementara, Ismail Sabri Yaakob.
Noh digantikan dengan Ketua Wanita Umno Tanjung Karang, Habibah Mohd Yusof.
Bagaimanapun, sumber dari dalam Umno berkata Habibah berdepan tugas berat kerana tidak mendapat sokongan padu cawangan Umno yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengetepikan Noh.
Noh dikesan berkempen untuk beberapa orang calon BN di Selangor tetapi dia dilihat jarang membantu kempen Habibah di Tanjung Karang.
Pada 8 November lalu, Noh menjelaskan bahawa Tanjung Karang adalah 'kawasan putih', dengan membayangkan kemungkinan besar BN akan menang di kawasan itu.
Bagaimanapun, Noh hari ini berkata, pengundi terutamanya golongan muda lebih melihat prestasi calon berbanding parti.
“Pengundi sekarang tengok calon, bukan lagi parti. Mereka menilai, mengkaji khidmat yang ditawarkan. Kalau kita boleh menang di Gombak, percayalah Selangor kitamampu tawan semula,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan