Peja dakwa Saarani tak bercakap benar

Peja: Tak betul Saarani kata PN tak buat tawaran pada BN

Malaysiakini

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Ahmad Faizal Azumu berkata tidak benar gabungannya tidak bertemu dan tidak menawarkan sebarang peranan kepada BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata dia telah bertemu dengan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pada 20 Nov 2022 di Kuala Lumpur, bersama setiausaha PN negeri Zainol Fadzi Paharudin untuk membincangkan kemungkinan membentuk pakatan antara kedua-dua gabungan itu di Perak.

"Dalam perjumpaan sama, beliau (Saarani) juga turut menyuarakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai menteri besar Perak dan perkara itu adalah sesuatu yang penting," katanya pada satu kenyataan hari ini.

"Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri," kata Ahmad Faizal lagi.

Untuk rekod, Zainol Fadzi yang menang DUN Sungai Manik merupakan bekas ketua Pemuda Umno Perak sebelum menyertai Bersatu.

Faizal berkata dia memberitahu Saarani mengenai kebimbangannya bahawa kerajaan Perak masih belum membentangkan sebarang belanjawan negeri untuk 2023 dan oleh itu, kemelut politik perlu diselesaikan secepat mungkin demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal mendakwa sekarang Saarani demi "menyelamatkan" jawatan menteri besarnya telah berbohong kepada perhimpunan agung Umno sebelum ini mengenai pendirian tidak bekerjasama dengan DAP.

Awal hari ini, PH dan BN bergabung untuk membentuk kerajaan negeri di Perak, dengan Saarani mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar. Dia telah mengangkat sumpah awal petang tadi.

Saarani kemudiannya menafikan bahawa pakatan antara PH dan BN disebabkan dirinya mahu kekal sebagai menteri besar.

Sebaliknya, katanya, BN Perak bersedia memainkan peranannya sebagai pembangkang, tetapi PH yang menawarkan jawatan menteri besar kepada BN.

Sebaliknya, Saarani mendakwa PN tidak bertemu dengannya untuk berunding atau menawarkan sebarang peranan kepada BN dalam pembentukan kerajaan negeri.

“Sebab itu saya pilih Pakatan Harapan,” katanya.

Saarani mengakui pernah bertemu dengan Zainol pada 20 Nov lalu, tetapi dia berkata ketua Pemuda Umno Perak itu sekadar diberi mandat untuk mengatur pertemuan antara dia dan Faizal sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan