PH hilang 1 kerusi di Kemayan, calon bawa IC lama

FMT Reporters


Manolan Mohamad, yang juga bekas senator pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan sebanyak dua kali pada 2013 dan 2018. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hilang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang susulan kertas pencalonan calonnya bagi kawasan Kemayan ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Berita Harian melaporkan penolakan borang pencalonan Manolan Mohamad yang juga bekas senator diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Zaman Azam Mohamat Sarif ketika mengumumkan senarai akhir calon bertanding bagi kerusi DUN berkenaan.

Susulan daripada penolakan itu, DUN Kemayan dalam Parlimen Bera menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Khaizulnizam Mohamad Zuldin dengan Shapuan Hussin (PN), sekali gus menimbulkan kejanggalan berbanding banyak kawasan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.

Pemimpin PH Pahang yang enggan didedahkan identitinya, memberitahu FMT bahawa Manolan membawa kad pengenalan (IC) lama ke pusat penamaan calon.

“Alamat sebenarnya (menurut IC baharu) adalah di Kemayan, namun IC yang dibawa menunjukkan alamat di luar Pahang.”

Manolan, yang juga Orang Asli, bertanding di DUN Kemayan sebanyak dua kali masing-masing pada 2013 dan 2018.

Beliau tewas kepada calon Umno Fadil Osman dengan majoriti 4,618 undi, pada pilihan raya umum 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan