Shahbudin Husin
Hari Isnin semalam, sempena cuti umum berikutan Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri, saya mengambil peluang untuk pulang ke kampung di Perak.
Tujuannya sekadar menziarahi rumah pusaka sambil menjenguk kakak kandung yang masih ada bersama keluarganya.
Apabila saya sampai ke rumah kakak selepas waktu tengahari, saya diberitahu beliau dan seorang anak perempuan yang tinggal bersamanya sedang berpuasa.
Tujuan asal saya ke rumahnya untuk makan tengahari bersama lantas tidak kesampaian.
Oleh kerana semalam hari Isnin, saya menyangka mereka hanya meneruskan amalan berpuasa sunat Isnin dan Khamis saja.
Setelah berbual-bual kemudiannya, kakak saya memberitahu, dia dan anaknya yang baru tamat pengajian dan menunggu pekerjaan itu berpuasa kerana nazar yang disekalikan dengan puasa sunat hari Isnin.
Nazar apa, tanya saya.
Nazar sebab Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, kata kakak saya dengan tersenyum.
Rupa-rupanya bukan saja kakak saya, anaknya yang merupakan anak saudara saya juga berpuasa nazar kerana Anwar menjadi Perdana Menteri.
Sungguh saya agak terkejut dengan nazar yang mereka lakukan kerana selama ini tidak pernah saya mendengar mereka merupakan penyokong Anwar, PKR mahu pun PH.
Sebagai bekas guru, kakak saya tidak begitu mencampuri soal politik dan hanya sesekali berbual mengenai isu politik semasa.
Tetapi, dengan nazar yang mereka lakukan itu, tahulah juga saya bahawa tentulah mereka mengundi PH dalam PRU15 yang lalu.
Berbual-bual lagi kemudiannya, kakak saya memberitahu, selain ada beberapa jirannya yang turut bernazar puasa jika Anwar menjadi Perdana Menteri, ramai lagi kawan-kawannya yang turut berbuat demikian.
Diberitahu kepada saya, mereka bernazar puasa itu tidak lain tujuannya melainkan kerana yakin dalam situasi sekarang, hanya Anwar yang mampu menjelmakan perubahan demi kebaikan rakyat serta negara.
Masya Allah…sungguh tak diduga sampai begitu sekali ada rakyat yang amat berharap Anwar menjadi Perdana Menteri dan memohon kepada Tujan agar pengharapan mereka dimakbulkan.
Dalam hal ini, saya yakin dan percaya, ramai lagi rakyat biasa di tempat-tempat lain di seluruh negara yang turut bernazar puasa demi mengharapkan Anwar menjadi Perdana Menteri, walaupun mereka tidak pernah bersua muka, kenal atau bersalaman dengannya.
Yang saya tahu dan sedar sejak Anwar mengangkat sumpah pada Khamis, 24 November lalu ialah ramai kawan dan kenalan yang membotakkan kepala sebagai nazar berikutan apa yang mereka harapkan sudah menjadi kenyataan.
Di media sosial, sejumlah mereka telah pun memuat-naik gambar-gambar yang memperlihatkan rambut masing-masing telah dicukur licin.
Di waktu yang sama, tidak kurang ada yang bersedekah pulut kuning untuk diberikan kepada jiran dan kawan-kawan sebagai tanda kegembiraan berkaitan hal yang sama.
Rasanya inilah julung kali rakyat melakukan pelbagai nazar sebagai ikhtiar kepada Tuhan dalam soal perlantikan Perdana Menteri.
Mudah-mudahan tertakdirnya Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 ini, antara sebabnya ialah kerana adanya doa-doa ikhlas daripada rakyat yang tidak mengharapkan apa-apa, melainkan hanya kebaikan untuk masa depan negara yang tercinta.
Anwar pula, jika beliau menyedari begitu tinggi pengharapan rakyat terhadapnya – bekerjalah dengan bersungguh-sungguh dan jangan sesekali menghampakan harapan tersebut. – ShahbudinHusin 29/11/2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan