Selepas 70 profesor tampil, giliran 102 NGO Melayu juga sokong Anwar jadi PM

FAZLI RADZI

Selepas 70 profesor Melayu tampil menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10, sebanyak 102 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jaringan NGO Melayu Islam juga menyatakan pendirian sama.

Jurucakap mereka, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Anwar adalah tokoh yang paling layak untuk dipilih bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis ekonomi, kebejatan tadbir urus, membanteras rasuah, mengatasi sentimen perkauman serta membanteras penyelewengan kuasa.

Menurutnya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), perjuangan Anwar sentiasa menyuarakan soal akauntabiliti terhadap kepincangan pengurusan khazanah negara oleh golongan elit dengan amalan kronisme dan nepotisme yang berleluasa.

“Anwar juga secara konsisten menyuarakan isu kemiskinan rakyat merentas kaum dan nasib golongan bawahan dalam kalangan petani, nelayan, pekebun, pesawah, buruh kasar dan peniaga kecil.

“Golongan bawahan ini terus-menerus terhimpit dengan pendapatan yang rendah dan kualiti hidup yang tertekan,” katanya pada sidang media di Bangi, hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan kewangan negara.

Mohd Azmi berkata, hal tersebut terbukti ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula 1991 sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

Tegasnya, sebagai Menteri Kewangan, Anwar berjaya mengatasi isu hutang negara serta menangani isu belanjawan negara dengan menghasilkan bajet lebihan selama lapan tahun berturut-turut.

“Kecemerlangan perkhidmatan beliau juga sangat diperakui sebagai ahli Parlimen dan pelbagai jawatan dalam kerajaan seperti Menteri Belia dan Sukan, Pertanian, Pendidikan, Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut menghargai penegasan Anwar untuk mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedudukan Islam, hak istimewa Bumiputera, kedudukan bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Untuk rekod, Anwar menunggu hampir 25 tahun untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

PH yang diterajuinya dengan diwakili PKR, AMANAH, DAP, Upko dan pakatan pilihan raya dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding 206 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN dalam PRU15.

Sabtu ini, lebih 21 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada PRU15.

Sebanyak 58 peratus daripada jumlah itu dalam kelompok usia 18 hingga 40 tahun.

Pertambahan pengundi belia susulan penurunan usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik.

Seramai 945 calon akan merebut 222 kerusi sekaligus jumlah calon bertanding paling ramai dalam sejarah PRU di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan