Hidir Reduan Abdul Rashid
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan bahawa dia menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Peguam utama Anwar, Sankara Nair mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa writ saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Sebelum ini, pada 7 Dis, Anwar mengeluarkan surat tuntutan yang memberi Muhyiddin tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwaan di media sosial dan menarik balik video TikTok berkenaan dakwaan itu, serta membuat aku janji bertulis untuk tidak lagi mengulanginya.
Surat tuntutan Ahli Parlimen Tambun itu adalah berkenaan kenyataan ahli parlimen Pagoh tersebut yang dikatakan dibuat ketika ceramah Grand Finale PN menjelang pilihan raya di Padang Serai pada 5 Disember lalu.
Pada 7 Disember, Pejabat Menteri Besar Selangor menyangkal dakwaan Muhyiddin dan sebaliknya mendedahkan bahawa Anwar hanya dibayar simbolik RM1 setahun sebagai penasihat.
Menurut salinan pernyataan tuntutan tindakan sivil, Anwar selaku plaintif mendakwa bahawa sehari selepas surat saman dikeluarkan, keseluruhan ucapan Muhyiddin dalam ceramah itu diterbitkan selanjutnya di bawah akaun Facebook defendan.
Menurut Anwar, dakwaan itu sebagai fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya, serta dibuat dengan niat jahat.
Plaintif mendakwa bahawa dakwaan itu antara lain, menggambarkan dirinya sebagai tidak boleh dipercayai, tidak jujur, tidak beretika, korup, dan bukan seorang Muslim yang bail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan