Apa masalahnya kalau Anwar sebagai PM masih berjiwa Ketua Pembangkang?

SHAHBUDIN HUSIN

Anwar Ibrahim adalah pemimpin pertama di negara kita yang berjaya melompat terus daripada kerusi Ketua Pembangkang kepada Perdana Menteri.

Dengan itu, beberapa pihak, terutama Perikatan Nasional (PN) yang Anwar berjaya turunkan tarafnya daripada kerajaan kepada pembangkang, terlihat kurang senang dengan beberapa tindakannya yang didakwa masih seperti Ketua Pembangkang, walau sudah bergelar Perdana Menteri.

Terbaru, Hamzah Zainuddin yang baru dilantik sebagai Ketua Pembangkang tidak terkecuali turut mengingatkan Anwar bahawa beliau kini adalah Perdana Menteri.

Sebagai Perdana Menteri, Anwar mesti bertindak sebagai Perdana Menteri, bukan lagi seperti Ketua Pembangkang, kata Hamzah.

Ketidaksenangan PN terhadap tindakan Anwar yang didakwa masih seperti Ketua Pembangkang itu adalah berikutan beberapa pendedahannya sejak menguasai Putrajaya mengenai wujudnya kepincangan dan mungkin wujud salah laku dalam kerajaan terdahulu.

Antaranya ialah perbelanjaan tanpa kawalan yang dilakukan Mahiaddin Md Yasin ketika PKP, termasuk pembelian vaksin, perbelanjaan ketika kempen PRU15 dan menyemak semula projek-projek yang sebelum ini diberikan secara rundingan terus.

Kata mereka, bukan watak sebegitu yang harus dimainkan oleh seorang Perdana Menteri yang kini ada kuasa di tangannya.

Kata mereka lagi, Anwar seharusnya mengambil tindakan terus kepada mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan itu, bukan sibuk mendedahkan kesalahan mereka.

Mendedahkan kesalahan pihak lawan adalah kerja politik Ketua Pembangkang, ujar mereka seterusnya.

Sebenarnya, jika kita teliti beberapa kenyataan Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri ini, beliau begitu komited untuk membersihkan negara ini daripada segala bentuk rasuah dan penyelewengan.

Tetapi, sudah tentu untuk mengumpul bukti atas semua kesalahan itu akan mengambil sedikit masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Sementara bukti-bukti dikumpul untuk diketengahkan dan seterusnya didakwa di mahkamah, maka ia perlu didedahkan sebagai gambaran awal bahawa wujud kesalahan dan kerajaan terdahulu tidaklah sebersih mana sebagaimana yang mereka canangkan ke seluruh negara.

Beberapa projek yang didedahkan dan disemak semula jelas didapati memang menelan belanja yang tinggi dan seterusnya komitmen Anwar ialah untuk melakukan secara tender terhad dengan matlamat utama agar wang rakyat berjaya diselamatkan, selain projek yang dirancang tetap dilaksanakan.

Jadi, kalau tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan atau mengambil komisyen misalnya, apa masalahnya dengan pendedahan dan gaya Anwar yang masih seperti Ketua Pembangkang itu?

Sebagai Perdana Menteri yang baru mengambil alih kerajaan, salah laku dan kecurangan kerajaan terdahulu tidak boleh dipendamkan begitu saja, terutama untuk memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak terus terpedaya.

Lagi pun, mendedahkan itu hanyalah tindakan awal sementara bukti-bukti dikumpulkan untuk mereka yang terbabit di dakwa di mahkamah.

Tambahan lagi, meski banyak mendedahkan salahlaku dan kelemahan kerajaan terdahulu, fokus Anwar terhadap rakyat dan membina semula negara tidak sama sekali diabaikan.

Pendedahan itu juga bukan retorik kerana selama dalam pembangkang sebelum ini banyak pendedahan yang dilakukan Anwar dan pasukannya, akhirnya terbukti kebenarannya.

Kalau tak pernah buat salah, nak panas pasal apa dan bukankah sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan negara bila dapat Perdana Menteri yang masih boleh bertindak seperti Ketua Pembangkang, walau sudah bergelar Perdana Menteri?

Tidaklah macam ada bekas Perdana Menteri itu, jangankan nak buat apa-apa pendedahan secara terbuka, bercakap dengan media pun langsung tiada keberanian.

Asyik-asyik dengan perutusan khas dan kenyataan media berbentuk PDF saja sebagai ulangan aksinya.

Hakikatnya, tiada apa-apa yang tidak baik bila Perdana Menteri masih berjiwa Ketua Pembangkang, sebaliknya yang rosak hanyalah jika Ketua Pembangkang cuba berlagak seperti Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan