Apa perkembangan siasatan RM92.5 bilion terhadap Mahiaddin?

MOHD ALI HASHIM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap tidak melengahkan proses siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin atas dakwaan menyeleweng dana kerajaan ketika pandemik Covid-19 dua tahun ini.

Ketika beliau menerajui PN semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15 baru-baru ini, parti itu dilihat terlalu mewah dengan perbelanjaan mereka sehingga menimbulkan pelbagai persoalan. 

Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, sekiranya jutaan wang tersebut tidak dapat dikesan transaksi perbankannya, tidak mustahil kemungkinan besar wujudnya pengubahan wang haram dan ianya perlu segera disiasat. 

“Sebagai PM tatkala itu, Mahiaddin telah menyatakan bahawa sebanyak RM530 bilion diuntukkan bagi Pakej Rangsangan Covid-19 yang membawa erti bahawa ianya adalah bagi membantu rakyat. 

“Walau bagaimanapun selepas itu jelas terbukti sejumlah RM530 bilion tersebut bukannya wang kerajaan, sebaliknya hanyalah RM92.5 bilion secara langsungnya dari kerajaan. Manakala RM437.5 bilion bukannya wang kerajaan. 

“Lebih ketara RM92.5 bilion tersebut adalah dua kali ganda wang skandal 1MDB dan sekiranya berlaku ketirisan sebanyak 10 persen sekalipun ia sudah mencecah sebanyak RM9.25 bilion. SPRM sewajarnya memberi fokus dan menyiasat apakah wujud ketirisan,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline. 

Tambahnya, penggantungan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Datuk Seri Asri Hamidon memperlihatkan kemungkinan wujudnya salah urus tadbir wang terbabit. 

Kata Dr Zaidi, lebih mengejutkan serta menguatkan spekulasi apabila tanpa semena-mena berlakunya kebakaran pula di pejabat Kementerian Kewangan Putrajaya. 

Tambahnya sukar kini untuk mempercayai Mahiaddin setelah beliau acapkali tidak bercakap benar seperti mana yang didakwa pada 20 November 2022 jam 3.30 pagi dimana beliau mengumumkan telah menerima watikah dari Istana bagi membentuk kerajaan Pusat, tetapi ianya tidak benar. 

Tegas beliau, ‘Langkah Sheraton’ juga tidak mampu mencapai angka 112 dan kemungkinan besar tidak memberi laluan untuk undi percaya kepada PM di Parlimen. 

Masih segar dalam ingatan, kata Dr Zaidi, selama 12 bulan menjadi PM tiba-tiba Parlimen digantung dan darurat pula diisytiharkan dan kesemua insiden serta tragedi ini membuktikan ianya sukar untuk mempercayai Muhyiddin lagi. 

Dr Zaidi yang juga merupakan Pengarah Penerangan dan Komunikasi Pakatan Harapan Pulau Pinang juga berkata, pengakuan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa Mahiaddin membantu Umno Sabah dengan puluhan juta ringgit terutamanya pada pilihan raya negeri Sabah bukanlah suatu omongan kosong lagi. 

Oleh kerana itu saran beliau, SPRM harus jangan lengah menyiasat sama ada benar atau tidak wujudnya ketirisan melalui Pakej Ransangan Covid-19 semasa kerajaan di pimpin oleh Ahli Parlimen Pagoh itu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan