MAISARAH AISYA
Banjir teruk yang melanda Kuala Terengganu menyebabkan bas ekspres terpaksa menukar haluan untuk menghantar penumpang di Kuantan, Pahang, namun ketika melalui Jalan Gua Musang bas tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung.
Insiden tersebut menyebabkan 12 penumpang yang menaiki bas tersebut berdepan detik cemas dalam kejadian di Kilometer 24, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, 11 penumpang selamat manakala seorang penumpang perempuan berusia 21 tahun cedera pada muka.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, bas terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan membawa penumpang dari Kota Bharu menuju ke Kuantan, Pahang melalui jalan Gua Musang.
Laluan biasa digunakan terjejas akibat banjir dan menyebabkan pemandu tersebut menukar laluan.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, bas ekspres tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang dan terbalik ke dalam cerun.
“Bas itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian sebelah kiri, manakala kesemua 12 orang penumpang dan 2 orang pemandu terselamat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Choon Foo juga memaklumkan laluan tersebut berselekoh dan cuaca hujan renyai-renyai ketika kemalangan itu berlaku.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Daerah Besut dilaporkan lumpuh apabila semua laluan termasuk daripada Kuala Terengganu dan Kelantan ditutup kepada semua lalu lintas.
Sebanyak 25 jalan ke daerah itu termasuk laluan pantai ditutup kepada semua lalu lintas selepas dinaiki air antara 0.3 meter (m) dan 1.8 m.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan