'Biar aku dipancung' - Hassan tak rela demokrasi berkubur di parlimen

Alena Nadia

Sejak kebelakangan ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim kerap mencurahkan perasaannya berupa teguran atau sindiran melalui ungkapan puisi.

Melalui karya terbarunya yang disiarkan di media sosial hari ini dengan judul "Satu deklarasi," Hasan membantah memorandum persefahaman (MOU) Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan beberapa parti lain.

Meskipun begitu, Hassan menjelaskan kepada Malaysiakini dia akan tetap mengundi menyokong usul percaya perdana menteri di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

"Saya sahkan akan undi sokong Anwar sebagai perdana menteri bukan kerana ultimatum MOU tetapi atas conscience (hati nurani) saya," katanya menerusi mesej Whatsapp.

MOU itu mewajibkan ahli parlimen berkenaan menyokong perdana menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan pimpinan Anwar.

Hasan dalam sajaknya menyebut "parlimen itu kemuncak suara demokrasi" dan "parlimen bukan tempat makhluk zombi" yang bergerak mengikut arahan ketua.

"Biarlah aku bicara

Sebagai seorang MP di sini

Aku bukan robot, bukan zombi

Aku masih ada maruah

bukan bangkai bernyawa."

MOU itu antara lainnya memperuntukkan jika ahli parlimen dalam kerajaan yang gagal mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul seperti undi percaya, rang undang-undang perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan, dikira meletak jawatan.

Pada sajak itu, Hasan menyatakan tindakan yang akan dilakukan ketika undi usul percaya perdana menteri di Dewan Rakyat pada Isnin 19 Disember:

"Aku isytiharkan di sini,

aku akan mengundi bebas ikut hatiku

akan aku berikan undi kepercayaan

kepada perdana menteri sahabatku."

Bagaimanapun, Hasan dalam sajaknya menyoal MOU itu "autokrasi atau demokrasi," sambil menyorot kisah Hang Tuah dan Hang Jebat.

"Maka

Kepada mu abang Tuah

Aku lafazkan satu deklarasi di sini:

Biarlah aku dipancung mati

Aku tidak rela

Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi."

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof hari ini berkata dakwaan perjanjian persefahaman bagi membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator adalah tidak benar.

Dia berkata MOU itu jelas menyatakan kesemua parti komponen dalam kerajaan masih boleh berunding sesama sendiri bagi mencapai kata sepakat.

Fadillah berkata pihak pembangkang yang tidak bersetuju dengan perjanjian itu boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk diputuskan oleh badan kehakiman.

Ini selepas beberapa pemimpin PN, termasuk Pengerusinya Muhyiddin Yassin dan Naib ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin membidas MOU itu.

Berikut sajak penuh Hasan Karim:

Satu deklarasi

Ini bukan puisi

Ini satu deklarasi

Izinkan aku bertanya

Parlimen itu apa?

Aku diberitahu

Oleh Magna Carta dan Bills of Rights

Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

Oh, begitu rupanya,

Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi

Yang bergerak satu hala saja

Mengikut arah si sang ketua

Biarlah aku bicara

Sebagai seorang MP di sini

Aku bukan robot, bukan zombi

Aku masih ada maruah

bukan bangkai bernyawa

Lusa 19 Disember

tarikh keramat di Palimen kami

aku isytiharkan di sini,

aku akan mengundi bebas ikut hatiku

akan aku berikan undi kepercayaan

kepada Perdana Menteri sahabatku

Namun begitu,

Sila dengar bicaraku

Adakah kita punya legitimasi,..........wahai sahabat

Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti

Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

Ke mana perginya kepercayaan kita

Kepada pertimbangan bijaksana?

Mengapa MOU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam

Undi MP itu mesti mandatori

Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia

Sehingga tergamak kita memberi kata dua:

Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

Kepada sahabatku

Benarkan aku bertanya

Ini autokrasi atau demokrasi?

Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat

Lalu rayuan terakhirku,

Kembalikan hak kami para MP

Bebas mengundi

Menurut akal dan budi

Maka

Kepada mu abang Tuah

Aku lafazkan satu deklarasi di sini:

Biarlah aku dipancung mati

Aku tidak rela

Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan