Dakwaan ‘tiada akhlak’ - Anwar heret MB Kedah ke mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapannya semasa kempen pilihan raya di Tambun.

Peguam pengerusi Pakatan Harapan (PH) daripada firma guaman SN Nair & Partners memfailkan writ saman terhadap pesuruhjaya PAS Kedah itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar petang tadi.

Ketika dihubungi media, peguamnya, Sankara Nair mengesahkan bahawa tindakan sivil itu difailkan sekitar 4.30 petang tadi. Anwar menyaman atas kapasiti peribadinya.

Sebelum ini, peguam ahli Parlimen Tambun itu mengeluarkan surat tuntutan meminta ganti rugi daripada Sanusi atas dakwaan memfitnahnya pada 13 November lalu ketika berkempen untuk n calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Faizal Azumu.

Anwar memenangi kerusi Parlimen itu pada ilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu, kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook bernama “Faizal Azumu”.

Anwar mendakwa kenyataan itu, antara lain mengandungi dakwaan bahawa dirinya "tidak berakhlak".

Plaintif berhujah bahawa kenyataan itu adalah fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya.

Anwar mendakwa kenyataan itu antara lain membayangkan dirinya bukan seorang Muslim yang baik dan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2018, plaintif telah diberikan pengampunan diraja berhubung kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mendakwa bahawa selepas surat tuntutan dikeluarkan pada 16 Nov, peguam Sanusi telah menulis balik dan membuat pengakuan tidak berbelah bahagi akan fakta bahawa defendan mengucapkan/mengungkapkan kata-kata memfitnah tersebut dan kandungan di dalamnya.

Melalui saman sivil, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan.

Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Sanusi daripada terus mengeluarkan atau menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.

Plaintif juga menuntut faedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh tindakan undang-undang terakru sehingga penyelesaian penuh, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan