AKMAL MANAF
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan bahawa pentingnya titah Sultan Perak berkaitan aktiviti meracuni emosi rakyat dengan kebencian kaum dan agama diambil perhatian.
Menurutnya, seluruh rakyat di negara ini harus mendukung titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memastikan Malaysia selamat daripada golongan yang memfitnah, mengapi-apikan, merosakkan serta meracuni pemikiran tentang hubungan antara kaum.
“Melalui TikTok khususnya, telah pun meresap masuk dalam minda anak-anak muda.
“Kita harus menanganinya dengan bijaksana dan mengambil titah Tuanku sebagai semangat untuk kita menjadikan negara ini lebih aman. Harapnya tidak ada apa-apa lagi kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum.
“Saya sangat menjunjung kasih tidak terhingga kepada Tuanku kerana sangat prihatin menyebut perkara-perkara tersebut dalam ucapan penting titah pembukaan pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Semalam, dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan tegas dan segera wajib diambil bagi menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama serta kaum melalui pandangan ekstrem.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga merupakan bekas Menteri Agama menyifatkan, titah Tuanku dalam istiadat pembukaan semalam sememangnya tepat pada waktunya.
“Memang sangat tepat pada masanya kerana kita lihat dalam kempen pilihan raya yang lepas, isu-isu yang menimbulkan kebencian kaum dan juga fitnah tentang hubungan antara kaum ini, menjadi bahan kempen yang tersebar luas khususnya melalui TikTok dan lain-lain saluran,” ujarnya lagi.
Dalam istiadat pembukaan semalam, Sultan Nazrin turut bertitah, pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.
Baginda bertitah, segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetus pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik, hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan