(Kebangkitan PH) Faktor Rafizi: Politik sebagai persembahan

Aqil Fithri

Kuasa, sekilas pandang, bukanlah perkara berat untuk difahami. 

Lazimnya, kuasa dihubungkan dengan kekuatan dana, organisasi dan pengaruh. Dalam kata lain, mereka yang mempunyai seluruh kekuatan ini dianggap menguasai segala-galanya. Namun, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menunjukkan sebaliknya.

Sewaktu kempen PRU15, Perikatan Nasional (PN) didakwa memiliki kuasa dana, organisasi dan pengaruh yang cukup ampuh. 

Selain berkelebihan sebagai anggota parti kerajaan, PN turut dianggap sebagai parti yang wujudnya berasaskan dalil politik demografi. Mereka menggunakan asas Melayu-Islam sebagai propaganda kempennya. 

Namun, ternyata, mereka tetap gagal melepasi angka keramat 112 kerusi meskipun berkali-kali mengumpan khalayak pengundi dengan bahasa kaum dan agama.

Kegagalan ini sepatutnya menarik minat kita. Sebab itu, sosiologi kebudayaan lewat perspektif pragmatik kebudayaan menawarkan sudut pandangnya yang tersendiri.

Kuasa, hakikatnya, tidak boleh dihubungkan semata-mata dengan kuasa menegak (vertical power) yang berpaksikan politik demografi.

Memang, politik demografi menekankan aspek pendekatan “atas ke bawah”. Dalam sejarah falsafah, kita boleh meninjau dimensi ini lewat pemikiran Thomas Hobbes, Niccolo Machiavelli dan Karl Marx. Namun, apa yang dianggap sebagai kuasa menegak ini turut mempunyai keterbatasannya. 

Ini jelas tercatat dalam sejarah tatkala kerajaan kuku besi dan parti paling dominan sekalipun, akhirnya pernah tersungkur dan terkubur. Justeru, berselindung di sebalik kuasa menegak ini bukanlah jaminan bahawasanya kuasa sentiasa di dalam genggaman para penyandang.

Lantaran itu, kuasa wajar diperhatikan juga dari perspektif yang berseberangan dengan politik demografi. 

Lantas, kuasa juga bersifat mengufuk. Dalam konteks ini, kuasa mengufuk (horizontal power) mengandungi unsur kebudayaannya. Semua unsur ini mengarah kepada politik kebersamaan (political solidarity) yang menyerlahkan keyakinan, kecekapan dan ketepatan.

Dalam politik kebersamaan ini, ada tema-tema tertentu yang memancing khalayak pengundi dengan permainan perasaan, emosi, mood dan atmosfera. 

Tentu sekali, akan ada yang berhujah balas bahawasanya bukankah PN turut memainkan tema-tema ini sehingga memicu wacana kaum dan agama? 

Dalam hal ini, PN membuai-buai pengundi dengan nostalgia, kenangan dan kadang-kala dengan ugutan, agar kesilapan lampau (yakni mengundi PH dalam pilihan raya sebelumnya) tidak berulang. 

Politik ingatan

Politik ingatan ini begitu ketara sehingga mereka memberi amaran awal betapa masa depan negara akan musnah sekiranya PH menjadi kerajaan. 

Amaran berkali-kali—termasuk dakyah pengkristianan dan pengyahudian yang kononnya sedang berlaku di Malaysia—diteriakkan PN sepanjang kempen pilihan raya. Malangnya, mereka tetap gagal, sekurang-kurangnya gagal mengatasi PH dari sudut jumlah kerusi yang dimenangi. 

Mengapa? Sebab persembahan politik mereka tempang dan nampak dibuat-buat. Politik, semasa kempen pilihan raya, adalah sebuah pasaran (marketplace) untuk khalayak pengundi. Justeru, khalayak pengundi tidak melihat persembahan politik PN menyakinkan.

Sebaliknya, PH, terutamanya menerusi pemain politik seperti Rafizi Ramli, berjaya mengolah politik kebersamaan dengan cemerlang. Rafizi dengan elegan memujuk khalayak pengundi sambil membibitkan harapan yang lebih baik.

Sebab itu, sekiranya dipaksa untuk tentukan satu faktor sahaja yang mendorong kepada kejayaan PH memperoleh jumlah kerusi terbanyak, tentu sahaja itu adalah faktor Rafizi.

Dalam hal ini, Rafizi berjaya mengolah kod, naratif dan persembahan politik yang memukau khalayak pengundi untuk kembali menyokong PH. Dalam bahasa lain, Rafizi berjaya “mengawal” fikiran khalayak pengundi dengan skripnya yang tersendiri.

Sebagai pemain politik yang berpengalaman, Rafizi bingkas memisahkan dirinya daripada wajah ahli politik lazim. Dalam bahasa lain, Rafizi dianggap sebagai bukan ahli politik karier (carrier politician). 

Sebab itu, sepanjang siri kempennya, kita dapat saksikan keupayaan Rafizi memecah tembok kepartian ini. 

Keutamaan Rafizi, sebagai timbalan presiden PKR sejak awal lagi ialah para pengundi atas pagar. Usaha ini, malah tidak digiatkan secara hadapan oleh PKR. Sebaliknya, menerusi gerakan Ayuh Malaysia yang membawa citra yang lebih neutral dan non-partisan.

Apa kod yang secara diam-diam dikumandangkan Rafizi? 

Walaupun masih menggunakan kod moral—baik (civil) dan buruk (anticivil)—Rafizi langsung tidak kekok sekiranya ada yang mengundi calon bukan PH. Ini dapat dilihat dalam persoalan calon R Ramanan (Sungai Buloh) dan Mohamad Hassan (Rembau).

Bagi Rafizi lagi, calon yang berintegriti dan beretika adalah lebih penting berbanding parti. Malah, Rafizi tidak segan mengkritik partinya sendiri. Dalam hal ini, Rafizi berkali-kali memberi amaran kepada kemalasan, ketidakcekapan dan ketamakan para pemimpin partinya sekiranya diberikan kuasa nanti. Ini dapat disemak lewat ucapan grand finale-nya di Pandan.

Selain kepada PKR, kritikannya terhadap PH juga tajam. Dalam hari-hari terakhir kempen, Rafizi memperingatkan pemimpin PH mengenai bahaya isu perkauman dan agama sambil memberi teguran kepada para pemimpin bukan-muslim PH agar dapat menahan diri dari mengupas persoalan mengenai Islam dan Melayu. 

Manipulasi dan eksploitasi musuh 

Baginya, sebarang kesilapan kecil boleh dimanipulasi dan dieksploitasi oleh musuh politik PH. Apatah lagi, sentimen kaum dan agama semakin menebal menjelang hari pengundian. 

Tentu sahaja, pendekatan Rafizi—yang longgar sifat kepartian—ini tidak disenangi oleh beberapa pemimpin parti selain aktivis masyarakat warga (civil society); kononnya, ini adalah hiprokrasi dan lakonan. 

Tetapi, dari sudut lain, pendekatan politik seperti ini menggambarkan sifat keterangkumannya; sesuatu yang tidak ada daripada musuh politik PH. 

Justeru, dengan pendekatan ini, kod politiknya semakin melebar apabila tidak melihat parti sebagai teras. Langkah ini berupaya menarik minat para pengundi atas pagar. Dengan kod yang tidak berasaskan kepartian ini, maka Rafizi mudah membina naratif politik yang juga bersifat terangkum. 

Ini dapat diperhatikan dalam beberapa strateginya seperti mewajibkan pengisytiharan harta kepada calon PKR, menyediakan laman sesawang profil setiap calon tersebut, melibatkan para profesional sebagai calon, membangunkan Cista dan semangat kesukarelawanan warga dan mengisytiharkan calon lebih awal berbanding parti-parti lain. 

Malah, Rafizi juga secara tersusun mengadakan sidang media sepanjang tempoh kempen pilihan raya. Dalam setiap sidang media tersebut, kita dapat lihat kemasan penghujahannya, kejelasan huraiannya dan ketajaman kritikannya. 

Rafizi, kalau ditempatkan dalam sebuah drama, adalah watak seorang hero yang berani berdepan dengan apa sahaja. Kita dapat lihat betapa Tuan Ibrahim Tuan Man, yang merupakan menteri alam sekitar dan air (KASA) ketika itu menjadi mangsa persembahan licik Rafizi ini.

Dengan kecerdasannya menyusun masa, ruang dan rentak, Rafizi adalah pakar dalam pembongkaran. Malah, setiap tanggapan balas oleh musuhnya dapat ditangkisnya kembali. 

Ketenangannya memukau khalayak pengundi, khususnya pengundi bandar dan separa-bandar yang mempunyai akses internet. Rafizi adalah potret seorang ahli politik yang memiliki naratif yang mengalir, teratur dan tuntas dalam setiap hujahnya. 

Sebab itu, adalah tepat sekiranya dikatakan bahawasanya PH telahpun menguasai naratif semasa kempen kempen pilihan raya. Pihak lawan, sama ada BN mahupun PN, kerap kali terkebil-kebil untuk menyaingi langkah ini. 

Kedua-dua parti ini terpaksa menghabiskan masa untuk menjawab kenapa mereka tidak mengisytiharkan harta; kenapa projek tebatan banjir diberikan secara rundingan langsung; kenapa menganugerahkan kontrak kepada kroni dan setelah parlimen dibubarkan, dan lain-lain lagi.

Persembahan politik Rafizi ini bukan terhenti dalam soal tata kelola semata-mata. Sekiranya minggu pertama kempen pilihan raya tumpuannya terjurus kepada tata kelola yang baik, maka pada minggu terakhir Rafizi mula menangani persoalan perkauman dan agama.

Dalam hal ini, Rafizi menegaskan peri pentingnya kita melampaui tembok perkauman dan agama dengan kembali melihat keutamaan kepada persoalan sara hidup, gaji dan ekonomi. 

Tema nyata 

Tema nyata (real) yang dipilihnya ini sekali lagi, menarik pengundi atas pagar. Kebanyakan khalayak pengundi, secara umumnya, lebih termakan dengan persoalan perut (ekonomi) berbanding persoalan sentimen (kaum dan agama).

Kebijaksanaan Rafizi mengolah kod dan naratif yang bersifat terangkum ini tentu sekali tidak akan berjaya tanpa diiringi susunan pementasan politiknya (mise-en-scène) yang rapi. Rafizi, jelas sekali, cemerlang membentuk wajah awamnya (public image) dengan perwatakan berterus-terang, tenang dan tersusun.

Dengan kemampuannya mengolah setiap tema yang dibangkitkan, Rafizi dengan selamba (effortless) membina keyakinan khalayak pengundi. Begitu juga, dengan memperkenalkan gerak kerja yang bersifat saintifik (data), Rafizi menunjukkan betapa PH memang bersedia menjadi kerajaan yang berasaskan pengetahuan (knowledge). 

Pendek kata, Rafizi sebagai pengarah pilihan raya PKR, meskipun dalam tempoh singkat sejak kemunculannya kembali dalam politik, telahpun berjaya menyusun kempen pilihan raya PKR yang paling bersedia dalam sejarahnya.

Kita dapat melihat bagaimana Rafizi membina cerita awal (dengan skrip sepertinya sudah dirangka dahulu) sewaktu memaparkan suasana kemenangan PH. Sepanjang kempen pilihan raya, Rafizi secara bertahap menyebut unjuran tahap kemenangan PH daripada angka 80 kerusi pada awal kempen, 90 kerusi pada pertengahan kempen dan 100 kerusi pada hari-hari terakhir kempen. 

Walaupun angka terakhir hanyalah 82 kerusi selepas keputusan PRU15 diumumkan, Rafizi setidak-tidaknya—menerusi siri unjurannya ini—berjaya membina gelombang kepercayaan khalayak pengundi bahawa PH sentiasa mendahului musuh-musuhnya. Tidakkah ini suatu pementasan politik yang bukan sahaja rapi, malah penuh berseni? 

Dengan kod, naratif dan persembahan politiknya yang menawan, Rafizi berjaya mengubah fikiran kolektif khalayak pengundi daripada ketidakyakinan kepada keyakinan. Inilah yang dilakukan oleh semua pelakon pelakon handalan dalam mana-mana drama pun. 

Pelakon yang berkesan ialah pelakon yang menjayakan wataknya sampai kelihatan asli (autentik), alami (natural) dan indah (aesthetics). 

Para pengundi hakikatnya melanggan pesan-pesan (atau janji-janji) Rafizi secara tidak sedar. Akhirnya, bukanlah pesan-pesan tersebut yang penting, tetapi identifikasi simbolik yang muncul di sebalik pesan-pesan tersebut. 

Paparan simbolnya—yang secara halus diselitkan menerusi persembahan politik Rafizi—ialah PH merupakan parti yang lebih baik daripada lawan-lawannya; PH lebih bersedia berbanding yang lain; PH telah pun menang lebih awal, sebelum hari pengundian lagi. 

Simbol ini menjadi makna semasa kepada khalayak pengundi—sama ada secara sedar dan tidak sedar—bahawasanya PH mewakili “kebaikan”, manakala lawan politiknya mewakili “kejahatan.”

Politik sama dengan teater

Justeru, kejayaan PH mendominasi PRU15 dengan jumlah kerusi tertinggi, setelah mengalami tempoh keterpurukan semasa pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor, adalah dibantu oleh faktor Rafizi yang berjaya mempersembahkan pencak politik yang kemas.

Kejayaan Rafizi ini membuktikan betapa politik adalah sama dengan teater; hanya berbeza lapangan sahaja. Mempersembahkan drama politik yang paling indah sentiasa menarik khalayak pengundi terbanyak. 

Biarpun dalam masyarakat moden yang semakin hingar, rumit dan terpencar (fragmented), Rafizi dapat meringkaskan semua keserabutan ini dengan pementasan politik yang menyakinkan. 

Ternyata, politik tidak semestinya dikaitkan dengan politik demografi semata. Tetapi, mesti juga dikaitkan dengan politik kebersamaan. Dalam hal ini, aktor Rafizi dalam kempen pilihan raya menepati apa yang dimaksudkan Jeffery C Alexander dalam The Performance of Politics, bahawasanya:

“Politicians do things with words. Candidates are less describing the world than wanting to bring that world into being in the imagination of their listeners. They want to convince us of how things are. If their performances are successful, we are persuaded.”

Mungkin ada tuduhan bahawasanya Rafizi sebenarnya mengelabui khalayak pengundi dengan kecemerlangan lakonannya. Padahal, menurut tuduhan seperti ini, Rafizi hakikatnya mempunyai niat yang tersembunyi. Dalam kata lain, kalangan ini melihat Rafizi sebagai seorang “penipu” yang tersorok di sebalik lakonannya.

Tetapi, hakikatnya, khalayak pengundi hanya melihat apa yang terpapar. Keikhlasan mahupun kecurangan, adalah hal yang terlindung.

Memang, Rafizi boleh sahaja “menipu” khalayak pengundi, jika tuduhan tersebut benar. Namun, itu tetap tidak menafikan bahawasanya Rafizi telah pun berjaya “menipu” dengan bergaya. Untuk membuat persembahan politik yang bermutu tinggi, itu pastinya memerlukan kewaspadaan yang tinggi. Akan tetapi, adalah amat sukar untuk mengekalkan rentak yang sama dalam tempoh yang lama.

Justeru, barangkali mustahil Rafizi mampu bersandiwara sepanjang masa; kerana ini pasti akan memenatkannya.

Maka, jawapan lain ialah: Rafizi tidak perlu berlakon sepanjang masa, sebaliknya hanya perlu menjadi dirinya sendiri. Apa yang terpapar, itulah dirinya yang sebenar. Maka, wajarlah persembahan politiknya tampak asli, alami dan indah.

AQIL FITHRI merupakan anggota Diskopi, sebuah perkumpulan perbincangan yang berpangkalan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan