Lokman dakwa MB Terengganu bercuti di New Zealand

Malaysiakini

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, didakwa sedang bercuti bersama keluarga di Auckland, New Zealand ketika banjir besar melanda negeri di bawah pentadbirannya.

Dakwaan itu dibuat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dalam siaran langsung di media sosial malam tadi.

Menurut Lokman, Samsuri dan isterinya berlepas ke Auckland pada 11 Dis dan hanya dijangka pulang esok (22 Dis).

“Amat menyedihkan. Kami semak tadi (malam tadi) sama ada, ada pertukaran jadual penerbangan... 22 Dis nanti baru dia balik.

"Jadual penerbangan (untuk Samsuri) tidak ada perubahan.

"Maknanya, bulan madu dengan isteri dia itu lebih penting daripada (penderitaan rakyat) ... kamu faham-faham sajalah. Ini amat menyedihkan,” kata Lokman.

Dia juga mendakwa mempunyai maklumat terperinci berhubung percutian Samsuri di Aucland iaitu resit kereta sewanya.

Lokman turut membidas naib presiden PAS itu kerana memulakan kutipan derma bagi mangsa banjir melalui pejabatnya sebagai ADUN Rhu Rendang meskipun tidak hadir secara fizikal.

Semakan di halaman Facebook rasmi Samsuri juga menunjukkan bahawa hantaran tersebut dipenuhi dengan kemas kini berkaitan banjir di negeri terbabit, tetapi tiada satu pun daripadanya menunjukkan dia melawat mana-mana kawasan yang dilanda bencana.

Spekulasi mengenai keberadaan Ahmad Samsuri semakin kencang bertiup berikutan dia tidak kelihatan semasa Presiden PAS Abdul Hadi Awang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Terengganu semalam.

Bekas pensyarah universiti itu juga tidak kelihatan ketika Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir di negeri itu pada hari yang sama.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Ahmad Samsuri untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara terbabit namun masih belum mendapat sebarang respon.

Setakat pagi ini, lebih 40,000 mangsa banjir ditempatkan di 297 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan