Maut depan rumah: Diklasifikasikan sebagai kes bunuh

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kes penganggur dalam status orang pengawasan polis yang ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di sini, malam semalam, diklasifikasikan sebagai bunuh

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata hasil bedah siasat mayat mangsa yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian lelaki berusia 37 tahun itu adalah disebabkan kecederaan pelbagai akibat objek tumpul.

Menurutnya, kes itu kini diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Susulan tindakan pantas polis, seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun di Chemor berjaya ditahan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, maka kes ini berjaya diselesaikan dalam masa 17 jam selepas laporan polis diterima.

"Pihak siasatan akan melengkapkan siasatan kes ini dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Menurutnya lagi, polis kini masih giat mengesan rakan-rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan