Padah bergurau bawa bom dalam beg, wanita warga asing ditahan di LTAPP

Bernama

GEORGE TOWN: Tindakan seorang wanita warga asing yang bergurau kononnya membawa bom dalam begnya membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di Bayan Lepas, dekat sini semalam.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata wanita berusia 33 tahun itu ditahan pada 4.30 petang selepas dia bergurau dengan menyebut ada bom ketika pemeriksaan barang dalam begnya di kaunter daftar masuk LTAPP.

“Wanita yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak menyebut dengan lantang “ada bom” sehingga didengari kakitangan di kaunter itu dan orang lain yang sedang menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan di lapangan terbang tersebut.

“Semasa kejadian wanita itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia pada 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya wanita itu kini direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan