Malaysiakini
Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohammad Agus Yusoff menolak sebarang jawatan dan tawaran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyumbang kepada kerajaan hari ini.
Kata Agus, dia menyokong kepimpinan Anwar kerana mahukan perdana menteri ke-10 itu membawa perubahan kepada negara ini dan tidak lebih daripada itu.
"Kawan-kawan yang merasakan saya mengampu untuk mendapatkan jawatan, janganlah berpandangan serong begitu.
"Saya menyokong DSAI kerana mahu beliau memimpin bagi membawa perubahan kepada negara kita. Saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika pemimpin lain yang memerintah," katanya dalam satu komen pada hantaran di Facebook.
Pada hantaran yang sama Agus menyiarkan klip video dia berjabat tangan dan berpelukan dengan Anwar dalam satu majlis makan malam kumpulan 70 profesor Melayu yang dikenali sebagai G70.
Agus sebelum ini mempertahankan penglibatannya dengan kumpulan profesor Melayu berkenaan yang secara terbuka menyokong Anwar dilantik sebagai perdana menteri melalui dokumen "Deklarasi Profesor Melayu G70".
Deklarasi itu menyatakan mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri kerana dia mempunyai pengalaman, kredibiliti dan integriti untuk memimpin masyarakat majmuk berdasarkan keperluan Islam sebagai agama persekutuan.
Mereka juga menyifatkan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Anwar adalah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjaga kepentingan umat Islam, Melayu dan bumiputera.
Dalam pada itu, Agus, yang pakar dalam Sains Politik dan Sejarah berkata dia sudah cukup selesa dengan kehidupan dan kerjayanya sekarang sebagai Profesor Politik di Universitas Negeri Gorontalo di Sulawesi Indonesia.
"Jika soal kerja saya sudah cukup untuk hidup selesa. PM tawarkan saya supaya menyumbang kepada kerajaan hari ini, saya bagitahu 27 Disember ini saya kembali ke Gorontalo.
"Saya damai bergabung dengan alam di sana. Gorontalo sudah tertulis sebagai daerah persaraan saya.
"In Shaa Allah, beberapa bulan lagi villa saya siap dan saya akan bermain dengan indah laut di sana. Begitulah," kata Agus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan