Sekitar 400 hingga 500 buruh asing maut sepanjang persiapan projek Piala Dunia Qatar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sekitar 400 hingga 500 pekerja asing dilaporkan maut sepanjang kerja-kerja pembinaan menjelang perlawanan Piala Dunia Qatar 2022, kata seorang pegawai kanan acara itu.

Dalam temu bual bersama stesen televisyen Britian kelmarin, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2022 Qatar Hassan al-Thawadi berkata, angka yang disebutkan itu merujuk kepada statistik kebangsaan meliputi semua sektor dan kewarganegaraan dari tempoh 2014 hingga 2020.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah buruh yang mati melibatkan kerja-kerja berkaitan Piala Dunia.

Bagaimanapun Hassan berkata, angka sebenar masih sedang dibincangkan oleh jawatankuasa penganjur.

“Anggaran adalah antara 400 hingga 500 kematian. Saya tidak mempunyai angka yang tepat, ia masih dibincangkan.

“Satu kematian adalah terlalu banyak, ia semudah itu,” katanya memetik laporan AFP.

Hassan berkata, setiap tahun piawaian kesihatan dan keselamatan ditambah baik di tapak-tapak pembinaan di negara itu.

“Sekurang-kurangnya bagi pihak kami, di tapak-tapak pembinaan berkaitan Piala Dunia. Ia dilaksanakan dengan baik sehinggakan ada kesatuan sekerja (memuji) kerja-kerja yang dilakukan di tapak Piala Dunia serta penambahbaikan tersebut,” ujarnya.

Meskipun Qatar berulang kali menepis dakwaan kumpulan hak asasi manusia bahawa beribu-ribu pekerja asing meninggal dunia sejak negara itu menang hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, namun ia tidak pernah memberikan angka tepat jumlah kematian.

Lapor AFP, Jawatankuasa Tertinggi sebelum ini menegaskan bahawa hanya 37 orang pekerja yang terlibat dalam projek Piala Dunia maut, dengan hanya tiga adalah kemalangan berkaitan tempat kerja sejak pembinaan bermula pada 2014, lapor laman berita Wion News.

Namun, akhbar The Guardian melaporkan tahun lalu bahawa 6,500 buruh asing dari India, Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka telah mati melibatkan kerja-kerja infrastruktur Piala Dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan