Shamsul Iskandar Md Akin dan Chan Ming Kai dua bekas MP PKR dilantik sebagai setiausaha politik PM

Malaysiakini

Dua bekas ahli parlimen PKR - Shamsul Iskandar Md Akin dan Chan Ming Kai - dilantik sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shamsul diberi gelaran ketua setiausaha politik.

Bercakap kepada The Vibes, Shamsul berkata dia mempunyai tugas berat menanti kerana dia dijangka membantu perdana menteri melaksanakan dasar.

“Rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini dan oleh itu kita perlu bekerja keras sebagai satu pasukan dan menyokong kepimpinan PM,” katanya.

Shamsul, 47, juga adalah seorang peguam dan pernah menjadi ahli parlimen selama dua penggal. Kerjaya politiknya menyaksikan parti meletakkannya sebagai calon di tiga negeri berbeza.

Pelantikannya tidak mengejutkan kerana dia dikenali sebagai penyokong setia Anwar selama dua dekad.

Semasa pilihan raya 19 Nov, dia diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Bagan Datuk dan hampir menyingkirkan penyandangnya Ahmad Zahid Hamidi.

Pelantikan Shamsul dan Chan berkuat kuasa pada 1 Dis.

Chan menulis tentang pelantikannya di laman Facebooknya malam tadi dan menyifatkan tugasnya sebagai cabaran baru.

Bercakap kepada Malaysiakini, Chan berkata tugasnya adalah untuk membantu perdana menteri dalam apa jua cara yang perlu.

"Saya akan melaporkan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan," kata Chan dalam jawapan ringkas kepada Malaysiakini.

Sejak 2008, Chan juga telah menjadi ahli parlimen PKR di tiga negeri berbeza. Bagaimanapun, dia tidak diturunkan untuk pilihan raya baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan