Sharir Samad: Kerjasama Anwar, Zahid boleh sebabkan Tun M tidak senang duduk

Fahmy A Rosli

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang veteran Umno menyifatkan apa yang berlaku dalam landskap politik baharu negara, antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN), adalah realiti politik bersandarkan keperluan semasa.

Tan Sri Shahrir Samad melihat kesanggupan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim 'merujuk' kembali kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk parti lamanya iaitu Umno, mendorong 'peristiwa' itu berlaku.

Katanya, ia demi merealisasikan apa yang dihajati presiden PKR itu selama ini iaitu untuk bergelar perdana menteri.

"Akhirnya, DS (Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga perlu berpaling balik kepada rakan lamanya, Zahid dan parti lamanya, Umno dan BN, kalau Anwar hendak mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri negara ini.

"Retorik semasa pilihan raya terhenti serta-merta dan realiti politik...kedudukan dan kuasa menjadi dorong. Anwar terpaksa ambil juga (Ahmad) Zahid walaupun jiran Johan Ropi menolaknya. Entahlah apa rasa jirannya sekarang?

"Bagi Umno dan BN, kepimpinan di lima negeri dan kementerian-kementerian yang berkait rapat dengan kelompok pengundi yang merupakan teras sokongannya. Cerita politik yang belum habis dan akan bersambung," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Kerjasama antara Anwar yang kini menjawat jawatan Perdana Menteri dengan Ahmad Zahid yang diumumkan sebagai timbalannya dianggap Shahrir boleh membuatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak senang duduk.

Ini kerana, beliau menceritakan, Anwar dan Ahmad Zahid adalah seteru kepada Dr Mahathir sebelum muncul gerakan reformasi lagi.

"Orang yang paling bimbang ialah Tun Dr Mahathir kerana Anwar dan (Ahmad) Zahid seteru Tun Mahathir sebelum adanya reformasi lagi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan