Surat terbuka Hadi ‘backfire’ diri lepas salahkan pengundi Islam tak keluar mengundi

MAISARAH AISYA

Rakyat Malaysia meluahkan rasa amarah dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan orang Islam kerana tidak keluar mengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan alasan menunaikan ibadah haji dan umrah.

Beliau dalam satu ciapan di Twitter berkata, jika tugas mengundi tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah.

Ketika ini menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan sudah mula menggerakkan usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Pantai Timur, namun ada yang merasakan Hadi masih lagi dengan naratif menyalahkan pengundi ketika PRU15.

Susulan itu warganet membalas sinis ciapan Hadi supaya melupakan benda yang lepas dan hentikan politik karut untuk sementara waktu.

“Harap lupakan benda yang sudah lepas dan hentikan politik karut ini untuk sementara waktu. Pantai Timur sedang alami salah satu banjir yang paling teruk dalam beberapa tahun dan ia berlaku di negeri anda sendiri. 

“Saya tahu anda sudah turun dan melawat kawasan tersebut, tapi ciapan ini tidak perlu dimuat naik dan perlu kekal hanya dalam draf,” jelas ciapan tersebut.

Seorang lagi pengguna Twitter menyatakan yang pada kali ini, Hadi bukan sahaja menyalahkan orang bukan Islam malah orang Islam yang buat haji dan umrah juga menjadi mangsa.

“Dia pukul keliling, orang bukan Islam dia bantai, orang Islam yang pegi buat haji dan umrah pun dia bantai,” komen dibalas pada hantaran tersebut.

Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengeluarkan kenyataan yang meminta semua pihak menghentikan perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, perbuatan itu wajib dihentikan segera dan undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga tidak berdosa dilindungi.

“Sultan Perak dah bagi amaran semalam, jangan bagi batu api bermaharajalela, ambil tindakan segera,” komen pengguna Twitter.

Ada juga yang mempersoal adakah pemimpin DAP bukan rakyat Malaysia sehingga tidak layak untuk memerintah negara ini.

“Tak habis-habis dengan DAP, ciapan ini seolah-olah orang bukan Islam di negara ini bukan rakyat Malaysia dan mereka tidak mempunyai hak sama sekali untuk berada dalam kedudukan memerintah.

Hadi dalam ciapannya menyalahkan orang Islam yang tidak keluar mengundi atas alasan menunaikan Haji dan Umrah, malah mendakwa ada yang menunggu upah duit baru keluar mengundi.

“Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.

“Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW,” tulis Hadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan