Tanah runtuh, lebih 60 mangsa dikhuatiri terperangkap di Genting Highlands

FMT Reporters

Pasukan penyelamat membantu mencari mangsa selepas tanah runtuh di tapak perkhemahan sebuah ladang organik di Genting Highlands, awal pagi ini. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Seramai 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis, berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian.

Katanya, operasi turut dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang, Andalas.

Beliau berkata, tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu telah menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.

“Maklumat awal pihak polis terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.

“Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM,” katanya ketika menurut Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan