'Resolusi PAS, Bersatu adalah talkin buat Muafakat Nasional'

Shakira Buang

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, hari ini mengucapkan syukur selepas membaca resolusi yang dikeluarkan Bersatu serta PAS hasil muzakarah kedua-dua parti pada semalam dan hari ini.

Malah kata Nur Jazlan, berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam resolusi berkenaan, bolehlah dikatakan ia menjadi penamat kepada kewujdan Muafakat Nasional.

"Alhamdulillah, talkin buat MN," katanya kepada Malaysiakini petang tadi.

Terdahulu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin membacakan tujuh resolusi yang dicapai dalam pemukiman pemimpin tertinggi PAS dan Umno di Shah Alam.

Antara lain PAS serta Bersatu mengulang ingat akan persetujuan mereka memberi sokongan kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri adalah bersyarat.

Resolusi itu juga secara rasmi menyatakan PAS - yang sebelum ini menyertai Umno dalam Muafakat Nasional (MN) - akan sekali lagi bertanding bersama Bersatu menggunakan panji-panji PN.

Untuk rekod PAS serta Bersatu sebelum ini secara terbuka menyatakan rasa tidak setuju mereka dengan langkah Umno membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) di Johor.

Kata Nur Jazlan, MN dikuburkan sendiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, apabila ahli parlimen Marang itu memilih untuk bersama PN menghadapi pilihan raya, dan pada masa sama mengugut untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan.

Pun begitu, menurut bekas ahli parlimen Pulai itu lagi, Umno bersedia jika PN menarik balik sokongan mereka kepada Ismail Sabri kerana langkah itu hanya akan membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Dia juga mendakwa tindakan beberapa wakil rakyat Bersatu meninggalkan parti itu sejak akhir-akhir ini sebagai tanda kekecewaan mereka kepada Muhyiddin.

Di pihak PAS pula, kata Nur Jazlan, sedang berlaku pertentangan dalaman ke atas pemimpin parti itu yang didakwanya berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka terhadap Abdul Hadi dan penyokongnya.

"Umno dan BN terpaksa bergerak sendiri sekarang dan pada masa sama menunggu untuk Bersatu dan PAS menarik sokongan daripada kerajaan pusat.

"Dengan cara itu rakyat boleh memilih parti yang mampu memimpin negara dan mereka bukanlah Bersatu dan PAS yang suka dengan perangai 'mutaah politik' apabila gemar bernikah dan bercerai mengikut kepuasan pemimpin sambil meninggalkan kesan buruk kepada pasangan yang tertipu," katanya.

‘Tanpa Umno, Pas tak akan jadi sebahagian dari kerajaan’ – Tok Mat bidas Hadi

SURI LAILA

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengingatkan Pas bahawa tanpa Umno, Pas tidak mungkin akan berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

Beliau berkata, Umno juga bangkit semula bukan kerana ‘ubat mujarab’ Pas, tetapi kerana sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

“Pas tahu, tanpa Umno dia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika Pas merasakan BN itu tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya. Dan biarlah rakyat juga memutuskan sama ada Pas dan PN itu relevan lagikah atau tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah disembuhkan mereka.

Beliau turut menyifatkan tindakan Umno meninggalkan mereka ketika sudah ‘sembuh’ sebagai tidak bermoral dan menganggap BN tidak lagi relevan.

Sementara itu, Mohamad Hasan yang turut dikenali sebagai Tok Mat berkata, beliau tidak kisah jika ada mana-mana pihak yang menggelar Umno dengan pelbagai gelaran seperti itik, angsa, harimau dan sebagainya.

Ini kerana katanya, Umno masih lagi parti Melayu terbesar malah parti politik terbesar di Malaysia.

Akhirnya Haji Hadi mengakui PAS lah yang memberi tongkat kepada Umno

Malaysiakini

‘Itik kaki patah ini, bila sembuh nak berenang sendiri’

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang.

Dia berkata demikian kepada pemberita. Video itu dimuat naik ke media sosialnya sebentar tadi.

Hadi berkata demikian ketika menegaskan pendirian untuk meneruskan kedua-dua gabungan MN dan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu.

Hadi berkata MN sepatutnya dianggotai sama oleh Bersatu dan parti-parti bukan Melayu.

Katanya, perkara itu sudah pun dipersetujui sebelum ini bagi menggantikan BN yang menurutnya tidak lagi relevan.

“Kalau PAS dan Umno sahaja, perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soalnya.

Langkah PKR guna logo sendiri dalam PRN Johor berisiko

K. Parkaran

PETALING JAYA: Kekalahan PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini boleh menjadi faktor parti itu memutuskan untuk menggunakan logonya dan bukannya logo Pakatan Harapan dalam PRN Johor akan datang.

Namun, penganalisis berkata ia mungkin strategi yang silap.

Felo kanan penyelidikan strategik Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata agak pelik bagi parti utama dalam gabungan itu memilih untuk menggunakan logo sendiri manakala dua lagi menggunakan logo gabungan.

“Jika PKR kata ia boleh menarik lebih ramai orang terutamanya pengundi Melayu dengan berbuat demikian, saya rasa strategi itu tidak akan berjaya. Parti itu sebenarnya telah meletakkan dirinya dalam kedudukan yang tidak menguntungkan.

“Pemimpin (parti itu) mesti faham bahawa ia lebih daripada sekadar logo yang membawa kepada prestasi buruk parti PH dalam PRN Melaka dan Sarawak,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu berbuat demikian sebagai “eksperimen” untuk melihat sama ada parti mereka boleh melakukan yang lebih baik dengan menjauhkan diri secara halus daripada DAP, Azmi percaya ia tidak berlaku.

Beliau berkata parti itu sejak dahulu lagi bertegas mahu semua calon PH menggunakan logo PKR berdasarkan kejayaannya pada pilihan raya umum (PRU14) lalu pada Mei 2018.

“Saya tidak rasa mereka cuba menjauhkan diri daripada PH atau DAP atau bersiap sedia untuk berusaha ke arah penjajaran semula baharu selepas keputusan itu. Beberapa pemimpin telah membuat tuntutan ini sejak beberapa bulan lagi,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata PRU14 adalah mengenai “apa-apa sahaja kecuali Barisan Nasional” manakala dalam PRN Johor, dinamik itu telah berubah – BN kini dilihat berada di kedudukan teratas dalam PRN itu.

“Kita lihat pelbagai isu yang berbeza selepas PRU14. Strategi telah berubah dengan banyak parti politik berjuang untuk terus bertahan. PH nampaknya memberi isyarat bahawa mereka tidak bersatu dan persepsinya adalah tiada kata sepakat,” katanya kepada FMT.

Sivamurugan berkata penyokong DAP dan Amanah akan mempersoalkan tindakan PKR dan tertanya-tanya sama ada mereka boleh dipercayai.

“Bagaimana pembangkang akan mengemukakan calon Ketua Menteri dalam kempennya? Pada satu tahap ia akan mengelirukan rakyat dan ini perlu dijelaskan. Ada yang akan bertanya mengapa PH ditubuhkan pada awalnya,” katanya.

Beliau berkata matlamat tunggal Umno menggesa pilihan raya adalah untuk menghapuskan Bersatu, memandangkan mereka hampir berbuat demikian di Melaka. “Sekiranya ia tidak yakin untuk menang, parti itu tidak akan menggesa pilihan raya mengejut.”

Menurutnya lagi, ramai penyokong PH semasa PRU14 bertukar kepada PN dalam PRN Melaka dan itu memberi kelebihan besar kepada BN dengan undi untuk pesaingnya berpecah.

“Ini boleh berlaku lagi di Johor. PRN itu akan menjadi medan ujian atas pelbagai sebab.

“Kita akan tahu bagaimana pengundi Undi18 memilih dan sekiranya kemenangan di PRN Melaka hanyalah sekali saja untuk BN. Dan bagi PKR dan PH, mereka akan tahu sekiranya logo yang digunakan memberi impak kepada pengundi,” katanya.

PRU15 makin hampir?: Guru, kakitangan KEMAS dibenar berpolitik

ATRIZA UMAR

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Barangkali peribahasa ini sesuai dikaitkan dengan isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan guru baru-baru ini.

Pada 22 Januari lalu, guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan berpolitik berkuat kuasa serta-merta. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa perkara itu telah diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.

Benarkah alasan sedemikian menjadi puncanya atau apakah di sebalik membenarkan para guru terlibat politik?

Hakikatnya, sebelum ini pernah diedarkan notis pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai dalam kalangan mereka diberi amaran untuk diambil tindakan.

Selain itu, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 Tahun 2010 hanya membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam bidang politik, namun perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan kerana terdapat beberapa syarat yang ditetapkan sebagai penjawat awam.

Namun, membenarkan guru sekolah dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara untuk berpolitik adalah satu keputusan yang tergesa-gesa dan tidak sesuai memandangkan tugasan hakiki guru sudah sangat membebankan.

“Keputusan itu perlu dikaji semula atau dibahaskan di peringkat Parlimen kerana tugas guru untuk menggalas tugas pendidik dalam masa sama sebagai ahli politik boleh memberi kesan kepada masa depan anak bangsa,” kata Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Ia perlu dikaji berikutan implikasi daripada keputusan itu boleh memberi kesan kepada semua pihak termasuklah generasi masa depan.

“Tugas seorang guru di bilik darjah menuntut pelbagai cabaran ditambah lagi negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada semua lapisan masyarakat terutama sistem pendidikan negara.”

Tegas beliau lagi, apabila guru dibenarkan terbabit dalam bidang politik, ini boleh mewujudkan situasi tegang dan menjejaskan kualiti pendidikan sekiranya mereka gagal membahagikan antara tugasan hakiki dan politik.

Ada udang di sebalik mi?

Melihat kepada pengumuman yang drastik itu, pelbagai pihak khususnya guru tampil menyuarakan pandangan mereka.

Menurut pengguna Facebook Saharuddin Abdulla berkata: “Ada pro dan kontra apabila dibenarkan secara terbuka. Jangan sampai timbulnya perpecahan dan berpuak-puak dalam kalangan guru. Paling malang jika isu kepartian dibawa masuk ke dalam bilik darjah bersama dengan anak-anak didik.”

Kata pengguna lain, Aizat Aziz pula, “Clarify molek, untuk parti memerintah sahaja atau untuk kedua-dua belah pihak?

“Boleh je..asalkan tidak mengabaikan tugas,” kata Adzahar Salleh pula.

Pengguna akaun Mohd Nadzri berkata, tiada masalah, sambil mengingatkan bahawa politik hanya di luar sekolah, perlu bersikap neutral apabila masuk sekolah.

“Boleh berpolitik untuk mana-mana parti politik ikut cita rasa kita atau kena berpolitik untuk parti yang sudah ditentukan? Paksa rela. Kena bagi clear tu, jangan nanti ada meja kerusi pula terbang di sekolah,” ujar Masquerana Sergio dengan sarkastiknya.

Dalam pada itu, Zamzuri Ghazali memberi maklum balas secara sinis bahawa ia adalah tanda-tanda Pilihan Raya umum (PRU) sudah tidak lama dan guru bertukar ‘penganalisis politik’ Facebook.

“Politik dalam kelas pun dah jenuh, ini kan pula nak politik kat luar kelas dan sekolah,” bidas Shamsul Shuhaimi Shaari meluahkan rasanya.

Menerusi FB Ajai Komeng pula, dia memberikan satu respons yang tular, “Mereka dah lama lalai. Kita je baru nak rancang.”

Begitulah sebahagian suara-suara rakyat Malaysia yang melihat keputusan yang dibuat kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini.

Tinggalkan profesion perguruan?

Menurut Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim, guru yang berhasrat untuk aktif berpolitik sebaiknya meninggalkan profesion perguruan daripada membawa perkara yang tidak baik seterusnya memburukkan lagi sistem pendidikan negara yang dilihat rapuh ketika ini.

“Kita sering mendengar keluhan guru yang terbeban dengan tugasan hakiki, selain tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan rancangan pengajaran, menghadiri kelas, mengajar, menilai, menjalankan aktiviti, hadir di kursus dan mesyuarat serta menyelesaikan tugas pentadbiran mereka.”

Tegas beliau lagi, para pelajar hampir tidak mendapat pendidikan yang baik sejak dua tahun lalu.

Malah, terdapat jurang pembelajaran yang tidak memuaskan dan perkara itu perlu diperbaiki supaya pelajar mencapai standard dan tanda aras yang ditetapkan.

Sewajarnya, kerajaan tidak membenarkan politik masuk ke sekolah di saat sistem pendidikan negara dalam situasi genting.

“Sepatutnya perlu difikirkan langkah untuk memantapkan sistem pendidikan di saat negara berdepan pandemik Covid-19 sehingga Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dijalankan dan kini sesi persekolahan secara bersemuka baru bermula.”

Realitinya, ini adalah waktu terbaik untuk memulihkan kembali semangat pelajar dengan komitmen guru yang sentiasa memberikan khidmat terbaik bagi melahirkan generasi muda yang kompeten dan berkualiti, bukannya ketinggalan.

Dalam pada itu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berpendapat, jika kelulusan serta-merta untuk guru berpolitik boleh dibuat, golongan pendidik gred DG41 hingga DG48 berjawatan seperti penolong kanan, guru besar atau pengetua juga harus dibenarkan memegang jawatan khususnya dalam kesatuan guru.

“Akta Kesatuan Sekerja 1959 sewajarnya dipinda bagi membolehkan pendidik DG41 hingga DG48 yang berjawatan aktif berpersatuan atau dalam kesatuan memandangkan golongan itu sudah dibenarkan terbabit dalam politik,” kata Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik.

Menurutnya, akta yang hanya membenarkan guru DG41 hingga DG48 tidak berjawatan memegang jawatan atau terbabit dalam kesatuan guru adalah satu keperluan

Namun jika kelulusan serta-merta guru boleh berpolitik, guru gred DG41 hingga DG48 berjawatan seperti penolong kanan sekolah, guru besar atau pengetua juga harus dibenarkan memegang jawatan, khususnya dalam kesatuan guru.

Mampukan situasi guru yang mengabaikan tugasan hakikinya itu ditangani jika keputusan itu diteruskan?

Kebenaran itu tanpa garis panduan konsisten?

Kata Tan Sri Lee Lam Thye lagi, pembabitan aktif seorang guru dalam politik boleh mencetuskan konflik antara rakan seperjuangan, pentadbir dan sekiranya tiada kefahaman sama antara mereka dan tentunya implikasi ini memberi kesan jika ada guru yang gagal mengawal emosi akibat pengaruh politik yang kuat.

“Saya berharap perkara ini dapat ditimbang semula memandangkan kita bukanlah terhad masa atau keperluan golongan guru untuk berpolitik,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat berharap jika keputusan itu diteruskan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) meletakkan garis panduan konsisten dalam usaha memastikan tiada isu bertentangan membabitkan sekolah dan pelajar.

“Guru yang mahu aktif berpolitik perlu mengikut syarat dan kriteria yang digariskan oleh pihak berkenaan serta perlu dipatuhi. Garis panduan perlu jelas dan menjadi sempadan sejauh mana guru boleh berpolitik tanpa mengganggu tugasan hakiki mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.”

Tentunya semua itu perlu dijelaskan secara terperinci bagi mengelakkan sebarang isu dan permasalahan luar jangka membabitkan guru, pentadbir, ibu bapa dan pelajar terutama membabitkan pengaruh politik.

Sekadar retorik?

Bagi para guru yang meminati politik, mendengar keputusan ini seolah-olah seperti ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ kerana mempunyai kecenderungan tersebut.

Tetapi, bagi yang tidak demikian, merasakan pelbagai kebarangkalian yang bakal berlaku hingga akan menjejaskan tugas hakiki sebagai seorang guru.

Pelbagai persepsi yang tergambar di fikiran para guru. Bukan mereka sahaja, tetapi rakya Malaysia tentunya. Mengapa keputusan itu dikeluarkan pada waktu ini seakan-akan menjadi petanda Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) semakin menghampiri?

Pada sisi lain, dapat dilihat bahawa pihak kerajaan seakan kekurangan ‘tenaga atau pengikut’ untuk mengekalkan kedudukan kuasanya.

Apa yang menjadi tanda tanya yang wajib dijawab oleh Perdana Menteri dan pihak kerajaan, yang kononnya membenarkan para guru terlibat politik adalah kerana menghormati prinsip demokrasi ialah, bagaimana prinsip demokrasi bagi kakitangan awam yang lain?

Adakah prinsip demokrasi itu ‘terhijab’ untuk mereka yang bukan guru? Janganlah keputusan yang tergesa-gesa yang dibuat ini menjadikan arena perguruan terabai dan menjadi huru-hara serta menampakkan ketidakcerdikan pihak kerajaan untuk menjaga kepentingan kuasa mereka.

Terdahulu, penjawat awam termasuk guru dan ahli akademik telah diarah untuk melepaskan jawatan dalam mana-mana parti politik dengan serta-merta.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dalam surat bertarikh 8 Disember 2021 mengeluarkan arahan pembatalan kelulusan penglibatan penjawat awam dalam politik bagi warga KPM.

Menurut surat tersebut, semua pegawai awam di semua peringkat kumpulan atau gred tidak dibenarkan sama sekali bertanding atau memegang jawatan atau dilantik dalam apa-apa jawatan dalam sesebuah parti politik

Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi

Pas tidak akan jadi peminta sedekah - Abdul Hadi

Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my

Marang: Pas tidak terdesak untuk mendapatkan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga menjadi peminta sedekah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tidak akan meminta-minta kerusi untuk dipertandingkan pada PRN itu nanti.

Beliau berkata, setakat ini, tiada perbincangan dilakukan dan Pas sendiri belum memuktamadkan jumlah kerusi akan dipertandingkan.

"Itu belum ditentukan (jumlah kerusi) tetapi dia nak bagi kita berita angin…tak ada rundingan (tapi) Melaka nak bagi dua kerusi, Johor nak bagi empat..tak kan kita nak (mahu) minta sedekah kerusi ini.

"Pas tak minta sedekah dan kita akan bertanding dalam PRN Johor, tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas mempunyai kekuatan sendiri dengan keahlian seramai satu juta orang di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 800,000 ahli aktif dengan 197 kawasan daripada 222 Parlimen di seluruh negara.

"Jadi saya nak beritahu, Pas ada batas dan sempadan. Jangan buatlah pilihan raya negeri, kalau masih mahu buat kita ada strategi kita," katanya.

Pas sebelum ini menafikan dakwaan kononnya parti itu menolak tawaran kerusi oleh Umno kerana lebih tertarik dengan tawaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan menawarkan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor, Abdullah Husin berkata, setakat ini, belum ada rundingan atau perbincangan dibuat bersama Umno Johor berhubung pengagihan kerusi bagi PRN Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), apatah lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor.

Pengemis wanita yang berpendapatan lebih RM 2 ribu sehari kantoi tak reti mengucap

Ahmad Hasbi

am@hmetro.com.my

FOTO di Facebook menunjukkan jumlah kutipan harian wanita warga asing dipercayai menyamarsebagai orang Islam untuk meminta sedekah di Seremban.

FOTO di Facebook menunjukkan jumlah kutipan harian wanita warga asing dipercayai menyamarsebagai orang Islam untuk meminta sedekah di Seremban.

Seremban: Berperwatakan seperti wanita Islam lengkap bertudung. Namun sebaik diminta melafazkan kalimah dua syahadah, wanita ini hanya menggelengkan kepala selain gagal menjawab sama ada dia penganut agama Islam atau sebaliknya.

Tindakan wanita warga Kemboja terbabit sekali gus meragukan kerana dia disyaki cuba menyamar sebagai orang Islam untuk meraih simpati orang ramai dengan meminta sedekah di bandar raya ini.

Wanita warga asing itu sebelum ini tular di media sosial apabila seorang lelaki memuat naik hantaran di akaun Facebook mendakwa warga Kemboja bersama kanak-kanak berusia dua tahun itu mampu meraihkan pendapatan sehingga mencecah RM2,300 sehari.

Wanita itu dipercayai sanggup datang jauh dari Sungai Buloh, Selangor ke daerah ini dengan menaiki perkhidmatan e-hailing semata-mata untuk menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Malah berdasarkan hantaran itu, wanita terbabit turut mempunyai buku catatan dipercayai digunakan untuk merekodkan jumlah wang kutipan sedekah dikumpulkan secara harian.

Boleh dilihat dengan jelas pada buku terbabit menunjukkan tarikh dan jumlah kutipan pada hari tertentu sehingga mencecah RM2,300 sehari.

Difahamkan, selain berpakaian seperti wanita Islam, wanita terbabit turut membawa seorang kanak-kanak bagi menambahkan lagi rasa simpati orang awam.

Dalam hantaran itu juga, lelaki terbabit menyatakan warga Seremban dan rakyat Malaysia sememangnya pemurah berikutan pendapatan harian peminta sedekah mengalahkan gaji pegawai kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, pengemis wanita itu berjaya dikesan ketika tinjauan dilakukan Unit Penguatkuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban.

"Wanita itu ditemui di tapak Pasar Malam Ampangan di sini, jam 6 petang Selasa lalu. PKMD mendapati dua wanita warga asing berusia 35 dan 40 tahun sedang mengemis bersama anak masing-masing berusia dua tahun. Kami melakukan pemeriksaan dan mendapati mereka adalah warga Kemboja berdasarkan kad vaksinasi dibawa. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati wanita itu tinggal di Sungai Buloh, Selangor dan datang ke Seremban dengan menggunakan kenderaan e-hailing untuk meminta sedekah.

"Kami tidak dapat membuktikan sama ada wanita terbabit beragama Islam atau sebaliknya kerana tiada bukti atau dokumen. Malah, masalah komunikasi antara wanita itu dengan pegawai bertugas membataskan kami untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, kedua-dua pengemis itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana mereka adalah warga asing dan ia di luar bidang kuasa JKM.

"Tindakan advokasi dan penguatkuasaan sering dijalankan di kawasan yang menjadi tumpuan secara berkala. Jika kami menahan peminta sedekah warga tempatan, kami akan menempatkan mereka di rumah perlindungan.

"Jika peminta sedekah berkenaan adalah warga emas dan tiada tempat tinggal, kami akan menempatkan mereka di pusat jagaan atau rumah orang tua di bawah JKM," katanya.

Speaker: Bubar DUN Johor memang kehendak ‘war room’ Umno

AMNI JAGAT

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dikatakan berpunca daripada idea ‘war room’ Umno sebelum ini.

Perkara itu dijelaskan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang mendakwa bilik perang Umno sudah merancang untuk mengadakan Pilihanraya Negeri (PRN) di negeri itu.

Menurutnya juga, perancangan untuk menyasarkan keluar undi yang rendah di bawah 65 peratus adalah matlamat Umno.

“Apa yang berlaku hari ini di Johor adalah suatu perkara yang memang sudah dirancang oleh Umno sendiri melalui Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Hassan yang menyatakan bahawa Umno akan menang besar sekiranya peratusan keluar undi yang rendah.

“Ini yang Umno hajat dan Johor menjadi mangsa dari kehendak Umno yang memang mahukan strategi mereka itu dapat direalisasikan.

“Ini adalah suatu yang tidak bermoral dan memangsakan rakyat di negeri dengan pelbagai agenda yang tertangguh akibat dari pembubaran DUN ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline semalam.

Sebelum ini Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui kemenangan besar parti itu pada PRN Melaka baru-baru ini disumbang oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.

Jelasnya, Umno berjaya memanfaatkan situasi yang disifatkan sebagai ‘perfect storm’ itu menjadi kelebihan buat mereka.

Tambah Mohamad, Umno juga menumpukan kepada strategi untuk meyakinkan pengundi ‘in-site’ atau pengundi yang berada di Melaka supaya keluar mengundi dan tidak memanggil pengundi luar untuk pulang.

Pas ingat politik macam poligami?

SHAHBUDIN HUSIN

Selain hairan, kita juga kadang-kadang pening kepala melihat gelagat dan karenah Pas dalam langkah politiknya.

Dalam PRN Johor yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi misalnya, sementara Umno begitu ghairah untuk bertanding solo atas tiket BN sebagaimana di Melaka dahulu, Pas sebaliknya tetap berusaha untuk berunding bagi bekerjasama dengan parti itu.

Walhal, Pas adalah ahli rasmi gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Bersatu dan dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin.

Bersatu sebagaimana kita semua tahu adalah musuh utama Umno dan sedang cuba dimatikan pengaruhnya melalui PRN Johor ini.

Hubungan Pas dengan Umno hanyalah sekadar bermesra cium-cium pipi saja melalui Muafakat Nasional (MN) tetapi ia tidak pernah sama sekali dinikahkan secara sah.

PN pula adalah gabungan yang telah didaftarkan secara sah dan Pas ibarat ada ikatan rasmi dengan Bersatu melalui gabungan tersebut. Soalnya, kenapa Pas masih tergila-gila mahu bersama dengan Umno? Masih tak faham bahasakah bahawa Umno mahu bertanding solo?

Kenapa Pas tidak mengutamakan hubungannya dengan Bersatu yang sedia ada melalui PN, sebaliknya masih sibuk mencari peluang kerjasama dengan Umno?

Dalam keadaan Umno sentiasa mahu mematikan Bersatu dan Bersatu pula adalah musuh Umno, Pas sebagai ahli rasmi gabungan PN yang ada Bersatu di dalamnya tidak harus sama sekali cuba berbaik-baik, apa lagi bekerjasama dengan Umno.

Pas sepatutnya sentiasa memihak kepada Bersatu kerana parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin itulah rakan sah yang mereka ada ikatan rasmi dengannya.

Bukankah pelik, dengan Bersatu yang ada ikatan rasmi tidak dipeduli, tetapi dengan Umno yang tiada ikatan apa-apa yang membuatkan Pas serabut kepala untuk bersama?

Dalam hal ini, jika Pas benar-benar jujur ingin bersama Umno, mereka mesti berperlakuan betul dengan berani meninggalkan Bersatu dan keluar daripada PN terlebih dahulu.

Jika setelah tidak lagi bersama PN dan tiada apa-apa ikatan dengan Bersatu, barulah nampak munasabah kalau ia pun bersungguh-sungguh mahu menjalin kerjasama dengan Umno.

Umno pun, jika Pas tiada lagi dalam PN dan tidak terikat dengan Bersatu, pasti lebih terbuka untuk berunding bagi menjalin sebarang kerjasama.

Ini tidak, dengan Bersatu mahu dan dengan Umno juga mereka mahu. Apa Pas ingat politik ini macam poligami ke?

‘Kita cepat hilang sabar, cepat koyak’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan mengakui adanya persengketaan antara Pas dan Umno yang dianggapnya mewakili parti besar umat Islam di negara ini.

Menurutnya, wujud sifat berjiwa besar hendak menyatukan umat Islam di Palestin supaya mengambil semula Al Quds sebaliknya tidak dalam mengurus hubungan kedua-dua parti tersebut dalam negara sendiri.

“Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yemen, Afghanistan dan lain supaya bersatu. Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara.

“Kenapa tiba-tiba kita berjiwa kecil bila berdepan dengan konflik dalaman negara kita sendiri? Hanya sekadar untuk menyatukan Pas dan Umno saja pun.

“Kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Tulisan Nasrudin itu muncul ketika hubungan Pas dan Umno dilihat semakin dingin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Semangat Muafakat Nasional (MN) dilihat luntur apabila BN Johor mahu berseorangan dengan bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN tanpa kerjasama parti lain.

Malah, BN Johor yang kini menguasai 16 kerusi DUN yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi yang dipertandingkan ketika Pas sekarang hanya mempunyai satu kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, dia melihat Pas dan Umno banyak menghabiskan masa bergaduh dalam perkara yang tidak perlu hanya demi mencari ‘kepuasan hati’.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, Pas dan Umno banyak melayani karenah pihak yang anti perpaduan kedua-dua parti itu hingga terpedaya dengan provokasi licik agen perpecahan.

“Dalam masa yang sama, kita bercakap bahawa kita mahukan perpaduan.

“Malangnya kita cepat hilang sabar. Panas baran, cepat melatah, terlalu sensitif, cepat koyak dan mudah terpedaya dengan provokasi yang datang dari segenap arah termasuk menerusi warlord di belakang media.

“Kita bergaduh di tengah laman. Semua orang tengok aksi dan sikap kita. Membosankan. Sikit-sikit gaduh. Kebanyakannya kerana ‘react’ dari kenyataan media,” tambahnya lagi.

PKR dan Amanah tanding 20 kerusi, DAP 16

Malaysiakini

PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi dalam pilihan raya negeri Johor manakala DAP akan bertanding 16 kerusi, kata sumber-sumber daripada Pakatan Harapan (PH).

Dengan itu, PKR dan Amanah mendapat tambahan lapan kerusi manakala DAP pula dua.

Kerusi-kerusi ini dalam pilihan raya umum lalu ditandingi oleh Bersatu - yang kini berpaling tadah membentuk kerajaan bersama BN.

Johor mempunyai keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)

Berdasarkan keputusan itu, bermakna parti pembangkang lain - Parti Pejuang Tanah Air, Parti Warisan Sabah dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) - diketepikan oleh PH.

Bagaimanapun, situasi dilihat lebih anjal kali ini apabila DAP dan Amanah mempunyai lebih suara selepas PKR memutuskan menggunakan logo sendiri.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini berkata akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Ini bermakna Amanah dan DAP masih boleh memberikan laluan kepada mana-mana individu, malah kepada calon luar, untuk bertanding menggunakan lambang PH.

Pejuang sebelum ini berkata akan bertanding di 42 kerusi.

PH sebelum ini berharap pembangkang dapat bergabung tenaga untuk menumbangkan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, berkaitan pembahagian kerusi, tidak jelas bagaimana agihan kerusi ditandingi Bersatu sebelum ini diagihkan, atau kemungkinan terdapat sebarang pertukaran kerusi.

‘Kita tanam, dia datang petik hasil saja’

Setakat ini, pemimpin Wanita PKR Johor Napsiah Khamis mendedahkan bahawa kerusi Puteri Wangsa diberikan kepada Amanah.

“Kita dah bersihkan lalang, kita dah semai benih, ‘dia’ hanya datang memetik hasil,” tulisnya di media sosial.

Napsiah bagaimanapun berkata akan tetap menggerakkan jentera PKR untuk membantu kemenangan PH.

Puteri Wangsa dimenangi oleh Mazlan Bujang (Bersatu) pada 2018.

Guna logo berlainan: Mampukah PH cipta kejayaan?

SHAHBUDIN HUSIN

Mampukah PH mencipta kemenangan atau sekurang-kurangnya memberi saingan yang sengit, meski mengguna logo yang berlainan dalam PRN Johor akan datang ini?

Tidakkah tiada kesepakatan dalam penggunaan logo itu sudah menggambarkan tidak ada perpaduan dalam PH?

Bukankah juga pengggunaan logo yang berlainan itu memperlihatkan BN sudah awal-awal lagi diberi kelebihan kerana isu tersebut pasti akan diguna untuk mengelirukan pengundi bagi menggambarkan PH bukanlah gabungan yang bersatu padu untuk dijadikan kerajaan negeri?

Bagaimana PH mahu menyatukan parti-parti pembangkang bagi menentang BN, sedangkan mereka sesama sendiri tidak mampu sekata dalam penggunaan logo?

Di atas adalah antara beberapa persoalan yang kedengaran berikutan keputusan Majlis Presiden PH semalam yang membenarkan PKR menggunakan logo partinya sendiri, manakala DAP dan Amanah akan menggunakan lambang PH dalam PRN Johor tidak lama lagi.

Meskipun keputusan tersebut dicapai melalui persetujuan bersama dan dalam suasana harmoni antara PKR, DAP dan Amanah, kebimbangan bahawa perkara itu akan mengurangkan peluang PH untuk menang tetap tidak boleh dinafikan.

Benarkah?

Atau PH lebih mempunyai harapan cerah untuk menang dengan penggunaan logo berasingan itu?

Daripada satu segi, keputusan membenarkan PKR menggunakan logonya sendiri di PRN Johor nanti amat menggembirakan akar umbi parti itu.

Bukan saja di Johor, ahli-ahli PKR di seluruh negara seperti telah diberi suntikan semangat baru dengan keputusan Majlis Presiden PH itu.

Ini kerana bagi ahli-ahli PKR, logo PH adalah melesukan kerana ia mengingatkan mereka kepada pengkhianatan Bersatu yang juga menggunakan warna merah untuk logonya.

Selain itu, logo PH berwarna merah itu turut mengingatkan kepada Tun Mahathir Mohamad yang tidak berpegang kepada janji peralihan kuasa dan berdolak-dalik untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana telah dipersetujui.

Maka, mengguna logo sendiri dilihat mampu memberi lonjakan semangat kepada PKR, bermula di PRN Johor dan seterusnya untuk PRU15 akan datang.

Dalam hal ini, meskipun berlainan logo, apa yang penting ialah pembahagian kerusi mesti dapat dilakukan dengan baik dan tidak berlaku sebarang pertindihan.

Oleh kerana PH mungkin bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, terutamanya Muda, jika pembahagian kerusi berjaya dilakukan dengan baik, isu berbeza logo sebenarnya adalah perkara kecil saja.

Ia berikutan Muda misalnya dan parti-parti lain yang akan bekerjasama dengan PH, sudah pasti akan menggunakan logo parti mereka sendiri untuk PRN Johor nanti.

Jadi, tiadalah isu besar sangat dalam penggunaan logo yang berbeza itu, asalkan tidak berlaku pertindihan calon antara sesama pembangkang.

Tambahan lagi, untuk mengatakan masih ada yang mungkin keliru dengan penggunaan logo yang berbeza itu barangkali terlalu minima sifatnya.

Hakikatnya, majoriti rakyat negara ini sudah berpendidikan, terdedah kepada pelbagai maklumat dan mereka boleh membaca berita melalui telefon di tangan masing-masing dengan mudah.

Lebih daripada itu, ramai orang kampung dan warga tua sendiri sekarang ini pasti ada memiliki Whatsapp dan akaun Facebook, selain tidak kurang yang lebih gemar dengan Youtube dan Tik Tok.

Dengan itu, kemungkinannya adalah terlalu kecil jika mahu dikata ada yang masih keliru atau boleh dikelirukan dengan keputusan membenarkan penggunaan logo yang berbeza itu.

PRN Johor: ‘Belum bincang dah tuduh kita tolak tawaran, tak patut!’ PAS bidas Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tuduhan PAS menolak tawaran empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan oleh Umno kepada parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya dibuat kerana belum ada perbincangan mengenai agihan kerusi antara kedua-dua parti.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata sehingga kini, belum ada perbincangan dibuat bersama Umno Johor mengenai pengagihan kerusi apatah lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

“Kenyataan ini merujuk kepada video yang tular di mana Ketua Umno Johor, Hasni Mohammad mempersoalkan kejujuran PAS dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada Umno dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

“Sebagai rakan dalam Muafakat MN, PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain Hasni, Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed turut mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan PAS sebagai “tamak” kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi berbanding tawaran empat kerusi diberikan parti itu untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Nur Jazlan dalam laporan FMT sebelum ini berkata, PAS sepatutnya perlu menyedari kemampuan mereka sebelum meminta untuk diberikan lebih banyak kerusi di negeri itu.

Justeru, Abdullah berkata, PAS Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga.

Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan salah faham di samping ia dapat mengelakkan andaian dan laporan mengelirukan di media sosial.

Pada masa sama, Abdullah juga menafikan parti itu menyokong calon Berjasa ketika pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai bahkan seluruh jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA ketika itu.

'PKR guna logo sendiri kerana logo PH simbol era 22 bulan pentadbiran'

Malaysiakini 

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya memutuskan untuk menggunakan logo sendiri untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang kerana logo Pakatan Harapan (PH) dibayangi era hampir dua tahun pentadbiran mereka sebagai kerajaan persekutuan.

“Akar umbi dan penyokong parti kami sangat meminta untuk ini (guna logo sendiri).

“Kami sentiasa mendengar bahawa logo (PH), baik atau buruk, dikaitkan dengan pentadbiran PH 2018-2020.

“Ia mempunyai pencapaiannya, tetapi juga banyak kekurangan. Ini termasuk kebangkitan puak dalam PKR yang akhirnya mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH yang dipilih.

“Secara adil atau tidak, logo PH telah menjadi simbol era itu,” kata Nik Nazmi dalam siri catatan di Twitter hari ini.

Dia juga menyatakan bahawa rakan gabungan mereka dalam PH telah menerima keputusan mereka untuk kekal menggunakan logo parti sendiri.

Selain itu, kata Nik Nazmi, logo PKR juga jauh lebih dikenali berbanding logo PH, yang merupakan faktor penting dalam kerusi separa luar bandar di mana PKR sering bertanding.

“Mana-mana pakar pemasaran akan memberitahu anda kepentingan pengiktirafan jenama,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Nik Nazmi juga menegaskan bahawa logo PH hanya diperkenalkan pada 2017, dua tahun selepas PH sendiri ditubuhkan pada 2015.

Oleh itu, katanya, logo PH tidak semestinya sebahagian daripada warisan asal PH.

Nik Nazmi menyorot bahawa logo PH tidak benar-benar membantu gabungan itu semasa PRN Melaka November lalu.

“Pengundi tidak kenal logo PH seperti mana logo dacing BN, misalnya.,

“Terdapat juga dakwaan bahawa pengundi tidak dapat mengenal pasti logo pada kertas undi dengan mudah.

“Malah (Ahli Parlimen Seputeh) Teresa Kok daripada DAP membangkitkan isu itu di Parlimen,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata logo PKR juga digunakan untuk kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sementara logo PH masih belum diuji secara meluas.

Akhir sekali, dia berkata parti-parti PH sentiasa fleksibel dalam isu logo, kerana parti itu kadang-kadang menggunakan logo mereka sendiri dalam beberapa pilihan raya kecil.

Sebagai contoh, PKR telah menggunakan logonya sendiri semasa PRK Sungai Kandis pada Ogos 2018 manakala DAP menggunakan logonya semasa PRK Sandakan pada April 2019.

Semasa PRN Sabah, DAP dan Amanah malah menggunakan logo Warisan, walaupun Warisan bukan parti komponen PH.

PKR tidak membantah perkara ini pada masa itu, kata Nik Nazmi, dan kini DAP dan Amanah tidak membantah permintaan mereka sekarang.

“PH terus bersatu dan padu dalam menghadapi PRN Johor akan datang serta dalam mempertahankan hak rakyat Malaysia.

“Isu logo ialah soal strategi dan taktik dalam usaha kita mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

PKR sebelum ini membuat keputusan untuk menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala Amanah dan DAP akan tetap menggunakan logo PH.

Keputusan ini dibuat susulan mesyuarat majlis presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor awal hari ini.

'Tungganglah Vellfire, jangan tunggang agama'

Malaysiakini 

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Rozaimi Ramle, hari ini tampil mengulas secara sinis pandang diberi anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, berhubung isu kerjasama politik parti itu dan Umno.

Rozaimi menyifatkan kenyataan Mokhtar itu tidak mengejutkan sama sekali apabila dia melihat perkembangan terbaru dan kenyataan politik berhubung PAS dan Umno.

Ini kerana, jelasnya, sejak dahulu lagi sesuatu pakatan politik itu lazimnya bersifat anjal dan berbentuk ijtihad.

Justeru, kata Rozaimi, sebelum ini pun dia sudah memberi peringatan apabila Mokhtar mendakwa "malaikat bertakbir" dengan termeterainya piagam ditandatangani PAS dan Umno pada 14 Sept 2019.

"Apabila melihat kenyataan terbaru Mokhtar berkenaan Umno saya hanya mampu tersenyum kerana dari awal telah memberikan teguran kepada beliau apabila dulu berkata kesepakatan itu akan membuatkan malaikat bertakbir bergema seluruh alam dan Muafakat Nasional (MN) adalah piagam yang menggetarkan hati syaitan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis itu turut melampirkan laporan Malaysiakini mengenai pandangan terbaru Mokhtar mengenai Umno.

Pagi tadi Mokhtar menyifatkan Umno kini kelihatan sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian di sebalik hubungan yang dijalin dengan PAS dalam MN dulu.

Katanya, keghairahan itu semakin memuncak selepas Umno berjaya menukar perdana menteri - daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob - dan kemenangan besar mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada Nov tahun lalu.

Kini, katanya, digerakkan pula cubaan Umno untuk menguasai Johor dengan mengetepikan PAS.

Rozaimi juga mempersoalkan siapakah yang telah mengikut "telunjuk syaitan" sehingga menggugat kesepakatan dicapai PAS dan Umno melalui MN.

Dia juga mengingatkan agar tidak ada mana-mana pihak menggunakan agama untuk kepentingan politik kepartian.

"Agama dan nas adalah panduan untuk orang politik, bukan tunggangan ahli politik. Ada beza antara dua keadaan ini.

"Tungganglah Vellfire umpamanya, janganlah tunggang agama," kata Rozaimi.

Dah masuk kategori dinasour, beransurlah undur diri

ZULHAZMI SHARIFF

Mahiaddin Yaasin, Presiden Bersatu, mantan PM dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara maklumkan bahawa bagi pilihan raya negeri Johor yang bakal diadakan nanti, beliau tidak akan bertanding mempertahankan DUN Gambir yang dimenanginya dalam PRU-14 yang lalu.

Ramai juga yang perli Din kononnya dia takut kalah. Dia tak ada ‘telor’ kata sesetengah yang lain.

Bagi aku tindakan Din tidak bertanding boleh dipuji bukan dikeji.

Semua orang tahu keadaan kesihatan Din. Selain mantan Adun Gambir, Din juga Ahli Parlimen Pagoh. Dia juga Pengerusi MPN.

Dalam keadaan kesihatan seperti semua tahu, eloklah Din tidak bertanding. Bukan Dun sahaja, sewajarnya dalam PRU-15 nanti pun tidak perlu bertanding. Rehat makan pencen pun sudah lebih dari cukup dah jika nak banding dengan orang awam lain.

Alasan Din bagi ialah untuk beri peluang muka baru. Sama ada alasan itu ikhlas dan suci hati atau tidak, alasan itu “valid”.

Mahiaddin sekarang pun dah 74 tahun. Bukan 47. Mahiaddin pun bukan muka baru dalam politik, dah masuk kategori dinasour.

Jadi, undur diri, beri laluan muka baru yang lebih muda dan segar adalah tindakan yang tepat.

Lagi pun dengan taraf mantan PM tidak wajar bertanding di DUN.

Untuk yang sekategori “dinasour” macam Din tidak kira parti apa termasuk parti saya, dah boleh beransur-ansur undur diri. Sampai bila lagi?

Pengalaman dan pengaruh yang ada boleh diperturunkan sebagai panduan kepada yang baru. Cukup-cukuplah. Tahniah Mahiaddin.

Ha ha ha! Kenangan 2019 Perhimpunan Penyatuan Ummah (Gambar)

Titisan air mata perhimpunan kembali tular undang sindiran

FAZLI RADZI

Sejumlah gambar peserta Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) di PWTC, Kuala Lumpur tiga tahun lalu kembali tular ketika hubungan Umno dan Pas dilihat tidak seperti apa yang diinginkan dalam Piagam Muafakat Nasional (MN).

Sebanyak 15 gambar yang menunjukkan ahli Umno dan Pas menitiskan air mata dalam siaran di Facebook Harakahdaily pada 14 September 2019 dikongsikan kembali warganet berserta ulasan berbaur sindiran.

Rata-rata netizen termasuk yang sebelum ini menyokong Pas membidas sikap dan keputusan politik parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut.

“Gelojoh dan akal pendek. Dah tak terliur nak menulis tentang Pas. Tapi itupun ‘blue print’ Islamis dalam politik, bukan di Malaysia sahaja,” ulas Muhammad Lutfi Ishak berkongsikan kembali siaran itu.

Sementara itu, Danial Al Rashid pula menulis, “Kalau mereka (peserta HPU) tengok balik ni, menangis lagi ke ketawa menyesal?” soalnya.

Terdahulu, Harakahdaily dalam siaran diberi tajuk, “Titisan air mata penyatuan ukhuwah umat” itu menyatakan ramai yang menitiskan air mata dan beremosi ketika menyaksikan permeteraian Piagam MN.

Kata Facebook rasmi portal berita Pas itu, piagam tersebut menyatukan dua parti terbesar orang Melayu-Islam Umno dan Pas yang berpuluh tahun bersengketa.

“Ada masa kita berbalah, tapi bukan berbalah sepanjang masa. Kita adik-beradik yang sebangsa dan seagama.

“Sejarah yang telah lepas menjadi pengajaran sehingga akhirnya kita hilang maruah dan harga diri dan dipermainkan di bumi sendiri,” katanya.

Namun, dalam masa sama, Harakahdaily berkata, cabaran besar ialah bagaimana untuk merealisasikan Piagam Ta’awun itu di lapangan lantaran “ada luka lama yang perlu diubati”.

Selepas tiga tahun MN dimeterai, orang ramai menyifatkan kerjasama politik Umno dan Pas yang menekankan naratif Islam dan Melayu itu hanya ‘ke laut’ lantaran berebutkan kerusi pilihan raya.

Penyatuan Melayu Islam yang didendangkan pemimpin tertinggi kedua-dua parti tersebut juga terus dipersoal ketika Umno Johor lebih cenderung untuk bergerak sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Semangat MN juga dilihat hilang apabila BN Johor mahu berseorangan dengan bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN tanpa kerjasama parti lain.

Malah, BN Johor yang kini menguasai 16 kerusi DUN yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi yang dipertandingkan ketika Pas sekarang hanya mempunyai satu kerusi DUN.

Bekas Ketua Hakim: Najib dan Zahid perlu berundur untuk pulihkan imej Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Penasihat Barisan Nasional (BN) jika parti itu berniat membersihkan imejnya yang terpalit dengan kumpulan korupsi, kata bekas Ketua Hakim.

Abdul Hamid Mohamad berkata, jika Umno dan gabungan itu gagal menangani perkara berkenaan, ia boleh menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah Johor.

Beliau berkata, perkataan seperti ‘rasuah’, ‘penyalahgunaan kuasa’ dan ‘integriti’ akan mempengaruhi pengundi muda.

Dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 6% daripada 2.5 juta pengundi di Johor, terdiri daripada mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun.

Hamid berkata, pembangkang akan menggunakan perkataan itu sebagai senjata untuk melawan Umno dan mudah mempengaruhi golongan muda.

“Umno tiada pilihan. Ia perlu hapuskan imej sebagai parti yang korup. Ia mesti ‘merehatkan’ pemimpin yang terlibat atau terbabit dengan rasuah. Najib dan Zahid mesti berundur,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, ketika Mohamad Hasan memangku jawatan presiden parti pada Dis 2018, BN menang tiga pilihan raya kecil berturut-turut iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Mohamad mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Zahid mengambil cuti bagi mengelak lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika itu.

Hamid berkata, beliau berasa lega dan mengharapkan ia tanda Umno sudah mula pulih.

Bagaimanapun enam bulan kemudian, Zahid kembali menerajui, manakala Najib dibawa masuk sebagai penasihat BN pada 2019.

“Saya melihat ini sebagai petanda Umno tidak akan berubah. Dan apa yang berlaku sejak itu sehingga hari ini, menunjukkan Umno menuju ke arah itu.”

Jelas Hamid, Najib dan Zahid dilihat mahu menggunakan Umno untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah manakala Ahli Majis Kerja Tertinggi (MKT) menuruti perancangan mereka.

Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah pada Julai 2020 dengan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau sedang merayu kes itu.

Zahid baru-baru ini diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram

Kasihan!!! Jenazah lelaki mati lemas terhumban ke dalam sungai apabila jambatan yang dilalui runtuh

TANGKAP layar video menunjukkan penduduk dan polis yang membawa beg jenazah terjatuh ke dalam sungai akibat jambatan runtuh. - AGENSI

CILACAP: Satu video tular menunjukkan sebuah jambatan buluh runtuh ketika penduduk setempat bersama pasukan keselamatan membawa beg mayat di Cilacap, Jawa Tengah.

Beg mayat itu mengandungi jenazah seorang lelaki yang dilaporkan mati lemas di sebuah sungai berhampiran jambatan tersebut.

Selepas operasi mencari mayat mangsa selesai, penduduk setempat membantu polis untuk membawa beg mayat tersebut keluar dengan melalui jambatan berkenaan.

Namun, jambatan itu tiba-tiba runtuh menyebabkan beberapa orang termasuk polis dan mayat mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Penduduk tempatan memaklumkan, jambatan itu sudah uzur dan tidak dapat menampung bebanan berat.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan berhubung insiden tersebut dan mayat mangsa lemas berkenaan segera dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

-utusan online 

Nur Jazlan: Mahu jumpa MB, PAS cuba 'masuk pintu belakang'

Shakira Buang

PRN JOHOR | Langkah PAS Johor untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Hasni Mohammad bagi berbincang mengenai PRN dilihat sebagai usaha parti itu untuk menyelamatkan diri dan menjadi kerajaan melalui "pintu belakang", menurut Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan yang merupakan timbalan pengerusi Umno Johor berkata ini kerana PAS tahu bahawa parti itu tidak mempunyai sokongan yang kuat di negeri tersebut.

"Jadi mereka nak runding untuk dapat kerusi dan supaya Umno tolong mereka. Tapi buat apa kita nak tolong orang yang lemah?

"PAS sudah buktikan di Melaka, mereka tanding sendiri dan kalah semua kerusi.

"Umno pun dah tawarkan (ketika itu) untuk (PAS) tanding lima kerusi tapi mereka pilih nak tanding sendiri, sudahnya kalah semua. Keadaan sokongan PAS dekat Johor ini pun sama dengan Melaka, amat kurang.

"Jadi, saya lihat ia sebagai cara PAS untuk masuk pintu belakang, konon-konon nak kerjasama dengan Umno tapi tak ikhlas," katanya kepada Malaysiakini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas usaha PAS Johor untuk mengadakan pertemuan dengan Hasni.

Menurut Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin, pihaknya cuba bertemu dengan Hasni sehari selepas BN menyatakan hasrat gabungan itu untuk bergerak secara solo.

Abdullah yang dipetik portal berita rasmi PAS, Harakahdaily berkata ia bagi berbincang mengenai PRN akan datang dalam semangat Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun dia berkata pihaknya diberitahu Hasni yang juga pengerusi Umno Johor sedang sibuk.

Hari ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan parti itu hanya ditawarkan BN untuk bertanding empat kerusi dan menyifatkannya sebagai "bukan cara baik".

'Nak bincang apa lagi?'

Mengulas lanjut, Nur Jazlan secara peribadi berkata dia tidak akan bertemu dengan pimpinan PASkerana Umno sudah lama memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

"Saya tak akan jumpa (pimpinan PAS), sebab masya-Allah saya tak percaya orang PAS ini," katanya.

Namun, Nur Jazlan berkata terpulang kepada Hasni sama ada mahu mengadakan pertemuan itu atau pun tidak tetapi sebarang keputusan berhubung kerjasama tetap peru dibawa ke peringkat jawatankuasa Umno negeri.

"Kita tak macam PAS yang Hadi boleh buat keputusan sendiri bagi orang bawah.

"Maknanya, jika Hasni mahu buat keputusan kerjasama pun dia kena bawa ke peringkat Jawatankuasa Umno negeri dulu. Dia tidak boleh buat keputusan sendiri," katanya lagi.

Namun bagi Nur Jazlan, tiada apa lagi yang perlu dibincangkan dengan PAS memandangkan parti itu sudah menyatakan hasrat untuk kekal bekerjasama dengan PN.

"Kita pun memang dah lama buat keputusan di peringkat pusat bahawa kita tidak mahu kerjasama dengan PN.

"Sekarang nak bincang apa lagi?" soalnya lagi.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Kelmarin media melaporkan BN Johor bercadang untuk bertanding sendirian namun Hasni berkata keputusan muktamad berhubung perkara itu terletak pada pimpinan tertinggi di peringkat pusat.

Untuk rekod PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas pentadbiran PH tumbang di Johor pada penghujung Feb 2020 lalu. Parti itu mempunyai seorang wakil dalam DUN Johor walaupun bertanding di 40 kerusi pada PRU lalu.

‘Jenama Abah’ tak mampu tawan Johor, PAS nak ‘tumpang’ pengaruh Umno

Nora Mahpar 

PETALING JAYA: Langkah PAS terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk berganding dengan Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana parti itu sedar rakan sekutunya, Bersatu tidak cukup kuat untuk menandingi pengaruh Umno di negeri berkenaan, kata penganalisis politik.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata PAS juga sedar parti itu “sangat lemah” di Johor dan tidak mahu episod buruk di PRN Melaka berulang di Johor.

Katanya, walaupun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilihat sebagai jenama popular dan mempunyai pengaruh besar di Johor, namun ia tidak mampu menandingi pengaruh seterunya, Umno dalam kalangan akar umbi di Johor.

“Muhyiddin satu jenama yang popular dan besar pengaruhnya, tetapi mungkin belum berupaya menandingi pengaruh Umno dalam kalangan akar umbi negeri Johor.

“(Sebab itu) PAS mungkin merasakan kekuatan Bersatu tidak cukup untuk mereka mencapai matlamat (memenangi PRN) dan mula memikirkan Umno,” katanya kepada FMT, merujuk kepada hasrat PAS untuk menghidupkan Muafakat Nasional di peringkat negeri.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussin berkata, parti itu bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Umno Johor bagi menjayakan MN menjelang PRN nanti.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), hanya seorang wakil PAS Johor menang kerusi DUN iaitu Najib Lep di Bukit Pasir.

Bagaimanapun, Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor bercadang untuk bertanding secara solo tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin mampu menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Namun, Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad, berkata keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

Susulan itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata keputusan sama ada Umno bekerjasama dengan PAS atau tidak dalam PRN Johor akan ditentukan dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata selepas langkah sumbang PAS mengetepikan Umno untuk bersama dengan Bersatu dalam PRN Melaka pada Nov lalu, memperlihatkan hakikat bahawa Perikatan Nasional berdepan cabaran sukar pada PRN kali ini sekiranya PAS tidak mencari talian hayat baru.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Nusantara (Penyelidikan Strategik), Azmi Hassan berpendapat keputusan PRN Melaka adalah manifestasi bagaimana Bersatu tidak mampu membantu PAS, mahupun dirinya sendiri.

“Keputusan PRN Melaka memaksa PAS untuk memikirkan semula siapa rakan sekutu mereka di Johor,” katanya yang berpendapat sekiranya Umno menyambut hasrat PAS itu, ia hanya akan memberi manfaat kepada jangka hayat politik PAS di negeri terbabit.

Azmi berkata, sekiranya PAS benar-benar mahu menghidupkan semula MN, ia seharusnya bermula di peringkat nasional kerana langkah itu membuktikan keikhlasan sebenar PAS kepada Umno.

“Jika PAS mahu kerjasama dengan Umno, maka ia perlu didatangkan dalam bentuk senario nasional bukan di peringkat negeri saja, dan ini lebih baik kerana Umno melihat PRU dalam hasrat mereka menubuhkan kembali kerajaan (pusat), bukan melihat PRN sebagai keuntungan jangka masa pendek.

“Di peringkat nasional, ia akan membuka mata Umno yang mana akan menguntungkan kedua-dua pihak sebelum PAS hulur tangan di Johor,” katanya.

PRN Johor: PN akan berunding dengan parti anggota

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan parti anggotanya bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Presiden Bersatu itu, rundingan tersebut juga memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.

“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam pilihan raya ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri.

“Saya menyeru semua pengundi yang layak mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Untuk rekod, PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor dengan Bersatu mempunyai 11 kerusi manakala Pas hanya mempunyai kerusi tunggal.

Sementara itu, BN dengan Umno mempunyai 14 kerusi manakala dua kerusi dimiliki MIC.

Kes Zahid Hamidi: Apa maksud dipanggil bela diri?

HANIPA MAIDIN

Apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk membela diri, ada orang awam bertanya kepada saya, “YB, apa maksud frasa tersebut?”

Sebelum saya jelaskan di sini, mungkin elok rasanya kita lihat dahulu apa dia sebenarnya kes yang melibatkan YB Presiden Umno ini?

Sepertimana YB Pekan, mantan Presiden Umno, YB Bagan Datuk juga telah didakwa di atas kes jenayah.

Dalam kes yang terbaharu ini,YB Bagan Datuk telah didakwa melakukan 47 pertuduhan kesalahan jenayah. Apakah 47 kesalahan yang beliau dituduh itu?

Jawabnya, 47 pertuduhan jenayah itu melibatkan:

– 12 pertuduhan jenayah kes PECAH AMANAH @ CBT di bawah Kanun Keseksaan @ Penal Code.

– 8 pertuduhan kes jenayah RASUAH di bawah Akta SPRM 2009, dan

– 27 pertuduhan jenayah PENGUBAHAN WANG HARAM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram ….2001 @ Amla..

Dan kesemua pertuduhan itu dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Kes beliau tersebut yang bermula pada 18November 2019 menyaksikan pendakwa telah memanggil 99 orang saksi.

Setelah kesemua 99 orang saksi pendakwa itu selesai memberi keterangan ( dan disoal balas oleh peguambela YB ( yang juga kawan lama saya ) dan setelah kedua-dua peguam pendakwa dan peguambela YB berhujah di akhir kes pendakwa, hakim berpuashati hati bahawa pihak pendakwa telah BERJAYA membuktikan kes Prima Facie ke atas YB Presiden UMNO atau YB Bagan Datoh bagi kesemua 47 pertuduhan jenayah tersebut dan hakim memerintahkan YB untuk membela diri.

Maksudnya? Maksudnya, secara mudah,hakim telah membaca dan mempertimbangkan dengan teliti kesemua keterangan 99 saksi pendakwa dan juga bukti- bukti yang pendakwa kemukakan atau dalam bahasa undang-undang, hakim dah buat penilaian yang habis maksimum ( a maximum evaluation ) ke atas semua keterangan @ evidence pendakwa dan dia ( hakim) berpuas hati ada kes untuk tertuduh atau YB kena jawab.

Sebab itu, hakim telah perintahkan YB Presiden UMNO untuk membela diri.

Bagaimana dia nak bela diri ? Ada 3 pilihan @cara @ opsyen:

1) Dia memilih untuk berdiam diri.

2) Dia membela diri dengan memberi keterangan dari dalam kandang orang kena tuduh ( OKT )@ a statement from the dock.

Jika YB pilih opsyen yang kedua ini, pihak pendakwa tidak boleh atau tidak dibenarkan untuk soal balas dia.

3) Dia membela diri dengan YB memberi keterangan secara bersumpah dan boleh disoal balas oleh peguam pendakwa.

Dalam media, dilaporkan peguam dia habaq kat hakim dia setuju untuk pilih opsyen ketiga.

Menjelang PRN Johor: Adakah rakyat bakal hukum Umno?

ZAIRI SUBOH

Adakah rakyat terus memberi mandat kepada Umno untuk terus memegang tampuk pemerintahan di Johor? Sama-sama kita nantikan.

Negara dan rakyat sekali lagi akan menghadapi PRN setelah penat lelah mereka ketika PRN Melaka pada November lalu belum pun hilang. PRN yg dimaksudkan ialah di Johor setelah sidang Dun dibubarkan beberapa hari lalu.

Kini, rakyat tertanya-tanya apa keperluan untuk Dun Johor dibubarkan? Sedangkan kerajaan Johor yang sedia ada mempunyai cukup mojoriti untuk terus mentadbir negeri dalam masa tempoh yang berbaki ini sebelum menjelangnya PRU-15.

Adakah perlembagaan tidak membenarkan ia terus berkuasa walaupun dengan hanya kelebihan satu kerusi berbanding pembangkang? Atau adakah ada desas-desus akan ada Adun yang bakal lompat ke kem pembangkang yang dikuatiri akan merampas kuasa seperti yang berlaku pada Mac 2020 lalu?

Jika kita ingat, PRN Melaka terpaksa dijalankan disebabkan oleh empat Adun yang melompat dan menyokong Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Dengan pantas Ketua Menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali mengirim surat memohon pembubaran Dun Melaka kepada Tuan Yang Terutama (TYT) ketika itu. Tetapi apa yang berlaku di Johor ketika ini adalah jauh berbeza.

Matinya amalan demokrasi

Selepas Langkah Sheraton pada awal tahun 2020, kita dapat lihat amalan demokrasi di negara kita makin menjadi kucar-kacir.

Amalan melompat parti dan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) inilah yang menjadi punca demokrasi negara kita akan bakal mati. Rakyat menjadi mangsa keadaan. Mereka yang dipilih dalam PRU-14 tiba-tiba melompat dan bergabung menjadi kerajaan.

Yang peliknya gabungan pembangkang ketika itu iaitu Barisan Nasional (BN) yang kalah teruk ketika PRU-14 menjadi kerajaan dengan sokongan beberapa orang dari Kem Azmin Ali dan Kem Mahiyaddin Yassin.

Ia diikuti oleh beberapa Adun di beberapa negeri sehingga terjatuhnya kerajaan PH di Melaka, Johor, Perak dan Kedah. Kerajaan PN ini dikenali juga sebagai kerajaan Melayu Islam seperti yang digembar-gemburkan. Kita sangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

PRN Melaka

18 bulan selepas kerajaan PN diwujudkan, kita lihat sekali lagi berlaku perubahan pada pucuk pimpinan negara. Dari seorang PM bernama Mahiaddin, Umno menarik sokongan dan menaikkan Ismail Sabri.

Yang peliknya ia disokong pula oleh kem Azmin dan jugak Kem Mahiyaddin sekali lagi. Disamping sokongan Pas yang dilihat tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menjaga kepentingan diri mereka sahaja.

Jika Langkah Sheraton dibenarkan, sesuatu yang pelik berlaku pula di Melaka. Apabila empat Adun kerajaan melompat menyokong pembangkang dan PH mempunyai cukup majoriti untuk mentadbir kerajaan Melaka, Umno mengambil keputusan untuk membubarkan sidang Dun dan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kenapa mereka tidak boleh menyerah sahaja kerajaan seperti mana PH menyerahnya pada tahun 2020 lalu apabila mereka hilang sokongan majoriti?

Jika pada tahun 2020 lalu, mereka kata amalan demokrasi negara kita membenarkan kerajaan dibentuk jika cukup majoriti, tetapi apabila PH cukup majoriti mereka tidak mahu akui.

Amalan demokrasi negara kita bakal mati kerana PRN Johor bakal diadakan. Kenapa ia bakal mati sedangkan itulah demokrasi?

Bukankah demokrasi bermakna kita memberi peluang kepada rakyat untuk memilih siapa wakil mereka dan membentuk kerajaan?

Ya benar, tetapi apabila demokrasi ini boleh dirobek pada bila-bila masa demi kepentingan politik sesuatu parti, maka nantikan kematiannya bakal tiba.

Rakyat akan mula hilang mood untuk meraikan pesta demokrasi ini dengan membuang undi kerana pesta demokrasi ini dilihat sewenang-wenangnya dimainkan dan diwujudkan oleh mereka yang punya kepentingan untuk mengukuhkan kedudukan mereka sahaja.

Tidak peduli hal rakyat yang sedang dihimpit dengan kenaikan harga barang dan keadaan Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.

Sudah tiba masanya SPR bukan sahaja diberi kuasa untuk menjalankan pilihan raya, tetapi juga ia diberi kuasa untuk menentukan adakah pilihan raya itu sesuai diadakan ataupun sebaliknya.

SPR perlu diberi kuasa menentukan sama ada perlunya pilihan raya seperti apa yang berlaku di Melaka yang cukup majoriti untuk kerajaan baru dibentuk ataupun perlukah pilihan raya diadakan di Johor yang majoritinya sudah sedia ada untuk terus mentadbir sehingga tamatnya tempoh penggal sidang dun nanti.

Wang rakyat dibazirkan

Jika PRN Melaka yang mempunyai 28 Dun menelan belanja RM46 juta, maka PRN Johor yang mempunyai 56 kerusi Dun ini pastinya bakal menghabiskan RM90 ke RM100 juta wang rakyat ketika masalah Covid-19 dan ekonomi belum pulih sepenuhnya. Ditambah pula dengan masalah banjir baru-baru ini yang meragut kerugian jutaan ringgit.

Adakah rakyat akan menghukum Umno pada PRN johor kali ini dengan apa yang mereka lakukan terhadap amalan demokrasi yang bakal mati ini?

Adakah rakyat terus memberi mandat kepada Umno untuk terus memegang tampuk pemerintahan di Johor? Sama-sama kita nantikan.

*ZAIRI SUBOH merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka.

PH mahu kerjasama dengan semua pembangkang hadapi PRN Johor

Malaysiakini 

PH memutuskan bahawa semua parti pembangkang, termasuk Pejuang, Warisan dan Muda, perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.

Perkara itu dimaklumkan pengerusinya Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung kira-kira dua jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

"Ada beberapa persetujuan awal. Kita akan membuka ruang untuk semua kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil (untuk) memastikan ada perubahan.

"Kalau ada sedikit retak (di kalangan pembangkang), tidak akan membantu. Jadi kita ada satu suara, satu tindakan dan satu strategi untuk memastikan kerajaan Umno BN dikalahkan bermula di Johor," katanya.

"Semua pembangkang, maknanya Pejuang, Warisan, Muda, masyarakat sivil dan parti-parti lain," katanya lagi ketika diminta mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Susulan itu, katanya, PH Johor akan memulakan rundingan bagi pembahagian kerusi, termasuk kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu ketika masih bersama gabungan itu.

Berubah atau masa depan gelap

 A KADIR JASIN

1. Pilihan raya negeri (PRN) Johor adalah manifestasi ketamakan kuasa Umno dan isyarat terbuka bahawa matlamatnya adalah menamatkan riwayat Bersatu secepat mungkin. Setelah menang besar dalam PRN Melaka 20 November lalu, Umno berasa cukup kuat untuk menawan semula Johor, negeri kelahirannya.

2. Dalam keadaan di mana Mahiaddin Md Yasin gagal memperkukuhkan Bersatu selepas memecat Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) terumbang-ambing di bawah kepemimpinan Anwar Ibrahim yang semakin longlai, kemungkinan Umno kembali menjadi parti dominan dan hegemonik tidak dapat diketepikan lagi.

3. Sejak pilihan raya umum 2018, apabila Umno/BN dikalahkan, PH telah berpecah akibat pengkhianatan Mahiaddin dan Mohamed Azmin Ali dan seterusnya digulingkan dalam rampasan kuasa luar Parlimen oleh Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Umno/BN, Bersatu, Pas, Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) dan beberapa buah parti kecil.

4. Daripada empat parti utama PN, Umno muncul sebagai parti dominan dan berjaya melakukan merampas kuasa dalaman bagi menjatuhkan Mahiaddin dan menaikkan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021. Di segi kekuatan, Umno mempunyai 38 kerusi Dewan Rakyat diikuti Bersatu dengan 32, Pas dan GPS masing-masing 18. Nama kerajaan Perikatan Nasional telah diganti dengan “Keluarga Malaysia”.

5. Pas masih dalam pernikahan permudah cara (marriage of convenient) dengan Bersatu dalam PN walaupun pada masa yang sama cuba memadu semula cinta berahi dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN). Tujuan Pas adalah mempertahankan kerusi-kerusinya di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

6. Sejak menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri cuba membina keabsahan jawatannya sambil mengukuhkan kedudukannya dalam Umno. Walaupun dia naik menjadi Perdana Menteri hasil tindakan kluster mahkamah Umno dan pengikut “Bossku” menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin, Ismail Sabri cuba menjauhkan diri daripada kelompok tercemar ini. Tetapi kluster tercemar ini pun tidaklah percaya sangat kepada beliau.

7. Ismail Sabri tahu harapannya kekal sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang lebih cerah kalau dia dilihat bebas daripada telunjuk kluster mahkamah, khususnya Ahmad Zahid Hamidi dan Mohd Najib Abdul Razak. Kluster mahkamah pula tentulah mahu terus berkuasa kerana itu sajalah harapan mereka kekal dalam kepemimpinan parti dan sekali gus mencerahkan harapan mereka dalam kes-kes mahkamah yang sedang mereka hadapi.

8. Bagi Ismail, jika dia berjaya meyakinkan orang ramai tentang kebebasannya daripada kluster mahkamah dan mampu menunjukkan sedikit kejayaan dalam mentadbir negara, harapannya kekal sebagai Perdana Menteri dan dipilih menjadi “poster boy” Umno dalam PRU akan datang adalah cerah.

9. Cuma mampukah Ismail Sabri memperbaiki prestasi kerajaan, mengelak daripada diasak oleh panglima-panglima perang Umno dan memilih barisan calon yang diyakini oleh pengundi? Kalau muka-muka yang sama dicalonkan dan tidak nampak tanda-tanda pemudaan kepemimpinan serta pembersihan daripada gejala rasuah, Umno mungkin akan ditolak sekali lagi.

10. Pembangkang boleh bangkit semula dengan syarat mereka mengenepikan perbezaan, memberi isyarat yang jelas mengenai pewarisan dan pemudaan kepemimpinan. Berbanding parti-part kerajaan, kem pembangkang mempunyai ramai pemimpin muda yang berintegriti, tekun dan kreatif.

11. Kalau pemimpin-pemimpin veteran seperti Anwar, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng sanggup memberi peluang yang lebih luas kepada pemimpin-pemimpin muda untuk mengambil alih, harapan pembangkang merampas semula kerajaan amat cerah.

12. Tetapi kalau protagonis-protagonis politik ini masih terus menguasai kepemimpinan, saya bimbang pembangkang akan hilang peluang keemasan untuk menyelamatkan Malaysia sekali lagi. Andainya mereka masih tidak dapat membaca isyarat daripada PRN Melaka dan Sarawak, mereka sama ada buta atau memang hendak bunuh diri.

13. Cukup-cukuplah mereka bermusuh dan mengutamakan cita-cita sendiri. Masa telah meninggalkan kita. Berilah peluang dan kepercayaan kepada adik-adik dan anak-anak kita. Ini bukan tahun 1982 atau 1998 lagi. Kita sudah meninggalkan zaman itu lama dulu. Undi 18 memberikan kita peluang untuk menyekat proses penuan negara kita dan mengembalikan kesegaran dalam kepemimpinan.

14. Ingatlah bahawa kepemimpinan negara kita pernah muda, dinamik dan berintegriti. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Almarhum Abdul Razak Hussein 48 tahun (termuda), Almarhum Hussein Onn 54, Dr Mahathir Mohamad 56, Abdullah Ahmad Badawi 64 (tertua) dan Mohd Najib Abdul Razak 56.

15. Melalui rampasan kuasa, Mahiaddin menjadi Perdana Menteri pada usia 73 tahun dan Ismail Sabri 61 tahun. Anwar kini berusia 74 tahun dan Dr Mahathir 96 tahun. Saya yakin kita boleh melakukan perubahan dan menyemarakkan semula Malaysia jika pemimpin muda daripada semua parti diberi peluang mengisi kerusi Dewan Rakyat dan barisan Kabinet.

Wallahuaklam.Terima kasih.

Rakyat hilang ‘mood’ buang undi kerana demokrasi dipermainkan

ZAIRI SUBOH

Negara dan rakyat sekali lagi akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah penat lelah mereka ketika PRN Melaka pada November yang lalu belum pun hilang. PRN yang dimaksudkan ialah di negeri Johor setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada Sabtu lalu.

Kini rakyat tertanya tanya apa keperluan untuk DUN Johor dibubarkan? Sedangkan kerajaan Johor yang sedia ada punyai cukup mojoriti untuk terus mentadbir negeri dalam masa tempoh yang berbaki ini sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Adakah perlembagaan tidak membenarkan ia terus berkuasa walaupun dengan hanya kelebihan 1 kerusi berbanding pembangkang?

Atau adakah ada desas-desus akan ada ADUN yang bakal lompat ke kem pembangkang yang dikuatiri akan merampas kuasa seperti yang berlaku pada Mac 2020 yang lalu?

Jika kita ingat, PRN Melaka terpaksa dijalankan disebabkan oleh 4 orang ADUN yang melompat dan menyokong Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan.

Dengan pantas ketua menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali mengirim surat memohon pembubaran DUN Melaka kepada Tuan Yang Terutama (TYT) ketika itu. Tetapi apa yang berlaku di Johor ketika ini adalah jauh berbeza.

Matinya amalan demokrasi

Selepas langkah Sheraton pada awal tahun 2020 yang lalu, kita dapat lihat amalan demokrasi di negara kita makin menjadi kucar kacir.

Amalan melompat parti dan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional inilah yang menjadi punca demokrasi negara kita akan bakal mati.

Rakyat menjadi mangsa keadaan. Mereka yang dipilih dalam PRU-14 tiba-tiba melompat dan bergabung menjadi kerajaan. Yang peliknya gabungan pembangkang ketika itu iaitu Barisan Nasional yang kalah teruk ketika PRU-14, menjadi kerajaan dengan sokongan beberapa orang dari kem Azmin Ali dan kem Mahiaddin Md Yasin.

Ia diikuti oleh beberapa ADUN di beberapa negeri sehingga terjatuhnya kerajaan PH di Melaka, Johor, Perak dan Kedah. Kerajaan Perikatan Nasional ini dikenali juga sebagai kerajaan Melayu Islam seperti yang digembar gemburkan. Kita sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

PRN Melaka

18 bulan selepas kerajaan PN diwujudkan, kita lihat sekali lagi berlaku perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

Dari seorang PM bernama Mahiaddin, Umno menarik sokongan dan menaikkan Ismail Sabri. Yang peliknya ia disokong pula oleh kem Azmin dan jugak kem Mahiaddin sekali lagi. Di samping sokongan Pas yang dilihat tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menjaga kepentingan diri mereka sahaja.

Jika langkah Sheraton dibenarkan, sesuatu yang pelik berlaku pula di Melaka. Ketika 4 oang ADUN kerajaan melompat menyokong pembangkang dan PH punyai cukup majoriti untuk mentadbir kerajaan Melaka, Umno pula mengambil keputusan untuk membubarkan DUN dan mengadakan Piliha Raya Negeri.

Kenapa mereka tidak boleh menyerah sahaja kerajaan seperti mana PH menyerahnya pada tahun 2020 yang lalu apabila mereka hilang sokongan majoriti?

Pada 2020 dahulu mereka kata amalan demokrasi negara kita membenarkan kerajaan dibentuk jika cukup majoriti. Tetapi apabila PH cukup majoriti mereka taknak akui.

Amalan demokrasi negara kita bakal mati kerana PRN Johor bakal diadakan. Kenapa ia bakal mati sedangkan itulah demokrasi?

Bukankah demokrasi bermakna kita memberi peluang kepada rakyat untuk memilih siapa wakil mereka dan membentuk kerajaan? Ya benar, tetapi apabila demokrasi ini boleh dirobek pada bila-bila masa demi kepentingan politik sesuatu parti, maka nantikan kematiannya bakal tiba.

Rakyat akan mula hilang mood untuk meraikan pesta demokrasi dengan membuang undi kerana pesta demokrasi ini dilihat sewenang-wenangnya dimainkan dan diwujudkan oleh mereka yang punya kepentingan untuk mengukuhkan kedudukan mereka sahaja.

Tidak peduli hal rakyat yang sedang dihimpit dengan kenaikan harga barang dan keadaan Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.

Sudah tiba masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bukan sahaja diberi kuasa untuk menjalankan pilihanraya, tetapi juga diberi kuasa untuk menentukan adakah pilihanraya itu sesuai diadakan ataupun sebaliknya.

SPR perlu diberi kuasa menentukan sama ada perlunya pilihanraya seperti apa yang berlaku di Melaka yang cukup majoriti untuk kerajaan baru dibentuk ataupun perlukah pilihanraya diadakan di Johor yang majoritinya sudah sedia ada untuk terus mentadbir sehingga tamatnya tempoh penggal sidang DUN nanti.

Wang rakyat dibazirkan

Jika PRN Melaka yang mempunyai 28 DUN menelan belanja RM46 juta, maka PRN Johor yang mempunyai 56 kerusi DUN ini pastinya bakal menghabiskan RM90 ke RM100 juta wang rakyat ketika masalah Covid-19 dan ekonomi belum pulih sepenuhnya. Ditambah pula dengan masalah banjir yang meragut kerugian jutaan ringgit baru baru ini.

Adakah rakyat akan menghukum Umno pada PRN Johor kali ini dengan apa yang mereka lakukan terhadap amalan demokrasi yang bakal mati ini atau adakah rakyat terus memberi mandat kepada Umno untuk terus memegang tampuk pemerintahan di Johor? Sama sama kita nantikan.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka

Pemimpin PAS Selangor: Mustahil tawan Selangor tanpa kerjasama Umno

Nora Mahpar

PETALING JAYA: PAS Selangor akan meneruskan kerjasama dengan Umno untuk menawan negeri itu pada PRU akan datang, sekali pun persoalan mengenai penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional masih berterusan, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shafie Ngah membayangkan.

Bekas ADUN Bangi itu berkata, kenyataan Presiden Hadi Awang sebelum ini bahawa PAS tidak boleh bersama Umno dalam MN sekiranya parti itu tetap berkeras menolak Bersatu, harus diimbangi dengan penerimaan PAS negeri masing-masing.

“Ikut keadaan negeri masing-masing. Paling penting muafakat ummah mesti didahulukan. Sekiranya parti atau NGO lain sehaluan dengan kita, boleh turut serta,” katanya.

“Di atas kertas, soal PRU, kalau kita tak bersama (Umno) kita takkan dapat Selangor. Kita kena bekerja untuk jayakan muafakat ummah,” kata beliau kepada FMT.

Pada masa sama, Shafie menerima pendirian PAS Pusat bahawa Bersatu juga berperanan dalam merealisasikan perpaduan ummah.

Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat yang kemudiannya dijenamakan sebagai Pakatan Harapan sejak 2008 dan dilihat sebagai kubu kuat PKR, DAP dan Amanah.

Hadi sebelum ini menuduh Umno melanggar piagam MN kerana menolak penyertaan Bersatu dalam gagasan itu yang ditubuhkan pada 2019.

Pada pilihan raya negeri Melaka, Nov lalu, PAS memilih untuk bersekutu dengan Bersatu, namun parti Islam itu tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya manakala Umno menang selesa untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Shafie berkata tindakan Umno beberapa negeri termasuk Kelantan menolak kerjasama dengan PAS lebih berupa strategi menghadapi pilihan raya.

“Negeri-negeri lain itu ada pandangan mereka sendiri, saya percaya itu berbentuk taktikal pilihan raya. Taktik ni akan disesuaikan mengikut negeri masing-masing.

“Tujuan dia ialah nak menang PRU dan memenangi hati pengundi. Jadi apa yang dibuat di negeri lain itu sesuai dengan demografi dan ‘pattern’ pengundi di negeri tersebut,” katanya.

Di Selangor, Shafie berkata PAS dan Umno negeri komited untuk terus bergabung di bawah payung MN demi memastikan agenda muafakat ummah tercapai.

“Setakat ini tiada ‘move’ yang lain melainkan yang satu ini (MN) saja. Setakat ni kita (PAS Selangor) sudah adakan beberapa pertemuan (dengan pemimpin Umno negeri) dan komitmen (kerjasama) itu sentiasa diperbaharui setiap masa,” katanya.

Semalam, Ketua Umno Selangor Noh Omar berkata pihaknya mahu meneruskan kerjasama dengan PAS negeri, meskipun Umno Kelantan mengambil pendirian sebaliknya.

Noh akur kerjasama Umno-PAS penting untuk menawan Selangor daripada PH.

Beliau berkata demikian setelah Umno Kelantan mengumumkan parti itu tidak akan meneruskan kerjasama dengan PAS negeri yang masih menjalin kerjasama dengan Bersatu.

Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob, berkata parti itu, menerusi Barisan Nasional, akan menentang PAS di semua kerusi DUN dan parlimen di negeri itu.

Belum pun PRN Johor, Pas sudah nak tinggalkan Bersatu?

SHAHBUDIN HUSIN

Dua hari lalu saya telah menulis dengan menjangkakan Pas akan meninggalkan Bersatu selepas PRN Johor berikutan jangkaan bahawa BN akan memenangi pilihanraya tersebut.

Rupa-rupanya, belum pun PRN Johor diadakan lagi, Pas sudah bergerak ke arah itu dengan tiba-tiba bersuara mahu menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional atau MN yang mereka tidak berapa pedulikan selama ini.

Cekapnya Pas? Lupakah Pas bahawa mereka adalah anggota rasmi Perikatan Nasional atau PN bersama Bersatu, Gerakan dan juga Star?

Bagi tujuan menjayakan MN itu, Pas secara terbuka mengakui sudah pun menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi memastikan kejayaan MN pada PRN itu nanti.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, antara butiran yang akan dibincangkan termasuk usaha memperkasakan perjuangan ummah antara Umno serta Pas di bawah payung MN.

“Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah itu (menjayakan MN). Pas Johor sudah berhubung dengan pihak Umno Johor dan telah mendapat maklum balas positif untuk bertemu Menteri Besar.

“InsyaAllah, satu perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat hasil hubungan baik antara kedua-dua parti,” katanya sebagaimana dipetik laporan sebuah portal berita.

Abdullah berkata, Pas Pusat juga telah memberikan lampu hijau buat Pas Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu dan mengharapkan dapat mencapai persefahaman bagi tujuan berkenaan.

Tambah beliau, pembahagian kerusi juga akan dibincangkan bersama kepimpinan pusat selain dalam pertemuan bersama Hasni sedikit masa lagi.

“Sedikit atau banyak kerusi yang akan ditandingi, ia hanya dibincangkan di peringkat dalaman sahaja. Masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

DUN Johor dibubarkan semalam, selepas beberapa minggu spekulasi dan gesaan daripada pemimpin UMNO yang mahu PRN segera diadakan.

Sultan Johor,Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar, Hasni Mohammad pada petang semalam di Istana Bukit Serene.

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, bermaksud yang akan datang mungkin diadakan pada atau sebelum 23 Mac.

Zahid diperintah bela diri atas semua 47 pertuduhan

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan CBT membabitkan wang bernilai jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri.

Sebanyak 12 dakwaan membabitkan CBT, lapan rasuah dan selebihnya adalah pengubahan wang haram.

Pendengaran bagi peringkat pembelaan dijadualkan bersambung pada 28 Mac.

Marina: Tun M masih dirawat di IJN, usah percaya khabar angin

FAZLI RADZI

Anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Marina berharap orang ramai mengabaikan khabar angin mengenai keadaan ayahnya yang disebarkan oleh sumber tidak sahih.

Menurutnya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sehingga ke hari ini dan mereka sekeluarga ada berinteraksi dengannya.

Beliau memberitahu IJN dan keluarga bekas Perdana Menteri itu akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa.

“Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara, yang menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin.

“Begitu juga orang ramai dari pelbagai agama yang mengirim doa dan ucapan supaya Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

“Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

7 badan civil dakwa Azam Baki langgar pekeliling kerajaan

MALAYSIA DATELINE

Tujuh badan bebas hari ini menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah melanggar Pekeliling Kerajaan apabila Suruhanjaya Sekuriti memaklumkan beliau sendiri yang mengendalikan akaunnya ketika menjadi Pengarah Siasatan SPRM pada tahun 2015.

Menurut mereka, Suruhanjaya Sekuriti dengan jelas menyatakan bahawa akaun dagangan saham itu dikendalikan oleh Tan Sri Azam Baki sendiri.

“Ini bercanggah dengan kenyataan akhbar beliau sebelum ini yang menyebut akaun itu digunakan oleh adiknya bagi mengelakkan konflik kepentingan.

“Dalam apa pun keadaan, Suruhanjaya Sekuriti harus memperjelaskan sama ada sebarang saham dalam akaun dagangan Tan Sri Azam Zaki telah dibeli dan dibayar oleh adiknya.

“Jika benar, perlu ada dokumen yang disempurnakan oleh Tan Sri Azam Zaki yang membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangannya,” kata kenyataan itu.

Sekiranya ini benar, kata mereka, maka Tan Sri Azam Baki, pada tahun 2015 di setiap masa yang berkenaan, selaku pengarah siasatan SPRM, telah membeli saham melebihi RM100,000.00, yang mana ia melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tujuh badan yang membuat desakan tersebut adalah

1. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

2. Transparency International Malaysia

3. C4

4. RasuahBusters

5. Gabungan Bertindak Malaysia

6. BERSIH

7. UNDI 18

Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002 – Pemilikan dan Pengisytiharan Aset oleh Pegawai Awam dengan jelas menyatakan perkara ini.

Pekeliling ini, di samping semua pekeliling kerajaan, mengikat semua penjawat awam yang diambil bekerja di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengawal kelakuan mereka, kata mereka.

Seksyen 10 Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 juga dengan jelas menetapkan keperluan untuk penjawat awam mengisytiharkan sebarang pembelian saham kepada Ketua Jabatan mereka.

Sehingga kini, dakwa mereka, masih tiada pengesahan sama ada pengisytiharan aset telah dilaksanakan atau tidak.

“Sekiranya Tan Sri Azam Baki sebenarnya telah melanggar pekeliling kerajaan, tindakan mesti diambil.

“Demi akauntabiliti terhadap awam, adalah penting untuk pihak kerajaan menjelaskan agensi yang wajar dan yang sebenarnya bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang telah bertindak melanggar pekeliling kerajaan, sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Sekiranya tidak terdapat sebarang kesan dan akibat tertentu daripada pelanggaran tersebut, kami menggesa agar prosedur yang sewajarnya dilaksanakan pada masa hadapan, supaya lebih jelas untuk badan kerajaan yang bertanggungjawab memantau pematuhan terhadap peraturan tersebut bagi menjawab persoalan apakah jenis tindakan tatatertib yang diambil apabila seseorang didapati melanggar peraturan kerajaan?” kata mereka.

Sehubungan itu, mereka mengulangi desakan untuk siasatan bebas terhadap pembelian saham Tan Sri Azam Baki, kerana ini juga menimbulkan persoalan serius berhubung dengan konflik kepentingan yang berlaku, dalam pembelian saham melibatkan anggota tertinggi SPRM.

“Demi memulihkan integritinya serta mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap badan pencegah rasuah itu, Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki perlu berehat sementara sehingga siasatan yang telus dapat membuktikan secara konklusif, tanpa sebarang keraguan munasabah, bahawa beliau tidak melanggar mana-mana peraturan sebagai penjawat awam,” katanya.

Kata mereka, Transformasi SPRM yang dicadangkan oleh IDEAS, Majlis Peguam Malaysia, (C4), dan Transparency International Malaysia pada 2015 untuk menjadikan ianya badan bebas disamping perlaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional hendaklah menjadi keutamaan bukan sekadar untuk meningkat keberkesanan SPRM tetapi adalah untuk mengelakkan kes seperti Tan Sri Azam Baki dan yang seumpamanya berulang di masa akan datang.

Antara hormat dan iktiraf, jangan sampai sama taraf

DR HAMIDAH MAT

Islam sebagai agama wahyu, panduan hidup yang murni, mempunyai kedudukan yang tinggi dan utama di sisi penganutnya. Sebagi panduan yang lengkap untuk sekalian manusia, Islam turut mengatur panduan beragama menjangkaui batasan ungkapan dua kalimah syahadah jua.

Inilah yang dinamakan sebagai kebebasan beragama sebagaimana jelas dinyatakan di dalam Al-Quran.

Maksud Firman Allah SWT:

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Baqarah; 256)

Senada dengan itu, Islam mengajar umatnya untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza kepercayaan dan agama.

Sebagaimana maksud firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

(Surah Al-An’am; 108)

Pada masa yang sama, seorang muslim dituntut agar sentiasa menjaga dan memelihara jati diri sebagai seorang muslim dalam kerangka ajaran akidah dan akhlak yang jelas.

Selagi mana tindak tanduk atau kata-kata tidak melampaui batas-batas yang digariskan agama, maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk seorang muslim menyantuni golongan bukan Islam kerana itu sememangnya menjadi ciri-ciri agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keamanan dan keharmonian beragama.

Sempadan Iman

Teras kepada akidah yang sahih merangkumi tiga elemen penting iaitu membenarkan dalam hati dengan teguh, akur dengan lisan dan dibuktikan dengan amalan serta perbuatan.

Pun begitu, syarak tidak semudah-mudah untuk mengeluarkan seseorang daripada daerah keIslaman. Apa yang diajar sepanjang penjagaan agama ini ialah sikap berhati-hati dan teliti dalam ketiga-tiga teras yang berpaksikan kepada hati, lidah dan anggota badan yang beramal.

Justeru, batas-batas iman dan kufur perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati.

Ini penting agar tiada mana-mana pihak yang tersalah faham sehingga terjebak ke dalam sikap melampau. Sama ada terlampau rigid dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau terlampau longgar sehingga mengharuskan apa jua bentuk kekufuran yang dilakukan.

Hal ini membawa kita kepada penelitian ke atas satu surah yang membawa mesej yang jelas tentang batas-batas dan etika dalam menyikap agama lain, iaitu surah al-Kafirun.

Ketika menjelaskan tentang sebab turun surah ini, Ibn Kathir menjelaskan bahawa orang-orang kafir Quraisy pernah mengajak Rasulullah SAW untuk menyembah berhala-berhala mereka selama satu tahun, lalu mereka akan menyembah Allah selama satu tahun. Maka, Allah SWT menurunkan surah tersebut.

Menurut Ibn Ishaq, tawaran daripada kafir Qurays juga pernah dilakuakn berorentasikan manfaat yang akan diperolehi.

Walid bin Mughirah, Ash bin Wail, Aswad bin Abdul Muthalib dan Umayyah bin Khalaf menemui Rasulullah SAW dan mencadangkan,

“Wahai Muhammad, marilah kami menyembah Tuhan yang kamu sembah dan kamu menyembah Tuhan yang kami sembah. Kita bersama-sama ikut serta dalam perkara ini. Jika ternyata agamamu lebih baik daripada agama kami, kami telah ikut serta dan mengambil keuntungan kami dalam agamamu. Jika ternyata agama kami lebih baik dari agamamu, kamu telah ikut serta dan mengambil keuntunganmu dalam agama kami.”

Penawaran yang berlaku telah menjatuhkan taraf Islam dan boleh disifatkan sebagai satu usaha untuk menyamakan taraf Islam dengan agama nenek moyang mereka. Lalu perkara ini telah ditegaskan dengan tuntas sekali iaitu:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

“Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

Berikutan itu, Hamka telah menegaskan dalam Tafsir Al Azhar:

“Soal aqidah, antara tauhid mengesakan Allah, sekali-kali tidaklah dapat dikompromikan atau dicampuradukkan dengan syirik. Tauhid kalau telah didamaikan dengan syirik, ertinya adalah kemenangan syirik.”

Pluralisme agama

Menghormati agama lain tidak bermakna pengiktirafan yang akan menyamatarafkan Islam dan agama-agama lain yang ada di dunia.

Menghormati agama lain tidaklah sehingga kita menggadaikan ketinggian taraf Islam dengan alasan meraikan kepercayaan agama lain.

Hakikatnya, umat Islam perlu berhati-hati dengan satu aliran pemikiran yang dinamakan sebagai Pluralisme agama.

Ringkasnya aliran ini berpandangan bahawa agama-agama yang bermacam-macam dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi, dan epistemologi.

Dengan kata yang lebih mudah, pluralisme agama adalah satu istilah yang merujuk kepada:

1) Kebenaran ada dalam semua agama.

2) Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

Oleh yang demikian, sebagaimana lelaki dan wanita adalah dua jantina yang sama sekali berbeza, begitulah juga dengan Islam dan agama-agama selainnya.

Maka, dalam menghormati dan meraikan agama lain, satu slogan yang mesti sentiasa tersemat ialah “lakum dinukum wa li yadin.”

———–

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM) dan Penasihat Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN).