Nasihat 'ahli biasa' buat pimpinan tertinggi PAS

Malaysiakini 

PRN JOHOR | Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali menitipkan nasihat buat PAS dan pemimpinnya ketika kempen semakin galak di lapangan menjelang hari penentuan tidak lama lagi.

Menggunakan media sosial, bekas menteri itu berkata PAS dan pemimpin parti itu tidak perlu menjadi pak turut dengan memberikan reaksi kepada pihak yang ditentang.

Jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan keras atau kasar, kata Mohd Khairuddin, PAS tidak wajar membalas dengan cara yang sama kerana ahli parti itu dianggap sebagai pendakwah.

"Kepada rakan pimpinan di peringkat pusat, anda perlu memimpin kaedah kempen yang betul dan berhemah kepada pimpinan pertengahan dan bawahan.

"Mereka di bawah hanya 'kami dengar dan taat' saja," katanya yang turut mengiringi kenyataan berkenaan dengan sepotong hadis lemah dinukil dari kitab Targhib wa Targhib.

Hubungan di antara PAS dan Umno terus tegang berikutan pelbagai kenyataan dibuat pemimpin kedua-dua parti, termasuk presiden masing-masing.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 28 Jan menganggap Umno seperti itik patah kaki yang kini mahu berenang sendirian selepas dibantu untuk pulih daripada kekalahan dalam PRU 2018.

Nabi suruh simpan rahsia

Duta khas bertaraf menteri itu juga menganggap tindakan Umno tersebut sebagai tidak bermoral.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kemudian secara sinis mencadangkan Abdul Hadi menukar kerjayanya daripada ahli politik kepada pakar hal ehwal zoo kerana kegemaran ahli parlimen Marang itu menggunakan haiwan dalam bidalannya.

Ketegangan di antara kedua-dua parti juga dapat dilihat di peringkat pertengahan dan bawahan di sebalik piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno dan PAS ketika mereka menjadi pembangkang.

Mohd Khairuddin - yang dilihat terkedepan mengajak PAS untuk memulihkan hubungan dengan Umno - juga menambah, Islam adalah sebuah agama yang mementingkan nasihat.

Dia yang diketepikan daripada jawatan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan tergugur daripada tugas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata parti itu tidak perlu mengungkit hal-hal dahulu termasuk "kezaliman lama" yang dianggap hanya membakar sentimen kebencian.

Malah katanya tidak wajar sebarang rahsia mesyuarat "berdua dan bertiga" dijadikan modal kempen terbuka kerana Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam menyimpan rahsia mesyuarat dan perbincangan.

"Ini nasihat saya sebagai ahli biasa kepada pimpinan tertinggi sebagai mengamalkan sabda Nabi SAW," katanya.

‘Isteri meninggal di depan mata saya’ – suami sebak isteri maut, bayi terkeluar dari kandungan

SURI LAILA

Pada semalam, tular di media sosial berhubung satu kemalangan membabitkan dua buah motor sehingga menyebabkan seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan, maut dan bayinya terkeluar daripada kandungan.

Dilaporkan, bayi berkenaan meninggal dunia pada 12 tengah malam tadi selepas lima jam bertarung nyawa di Hospital Pasir Mas (HPM).

Bapa kepada bayi berkenaan bagaimanapun sempat mengazankan bayinya sebelum dia ‘pergi’ bersama ibunya.

“Isteri meninggal di depan mata saya kerana motosikal ditunggangnya hanya berjarak lima meter di belakang motosikal saya ketika kejadian berlaku,” kata Mohd Khairi Hasbullah, 31, seperti dipetik Harian Metro.

'Isteri meninggal di depan mata saya' - suami sebak isteri maut, bayi terkeluar dari kandungan

Dia memberitahu, selepas pertembungan dua motor itu berlaku, dia segera berlari mendapatkan isteri yang sudah tidak sedarkan diri, manakala sempat meriba bayi serta anak kedua mereka berusia enam tahun yang membonceng motosikal bersama ibunya.

“Kami sebenarnya menunggang dua motosikal beriringan yang mana isteri yang sarat mengandung membonceng seorang anak daripada tiga cahaya mata kami, manakala dua lagi bersama dengan saya untuk ke kedai runcit berhampiran.

“Ketika kejadian motosikal yang ditunggang remaja lelaki berkenaan terbabas memasuki laluan kami dan hampir berlanggar dengan motosikal saya, namun saya sempat mengelak. Tidak sangka, dia kemudian bertembung dengan motosikal isteri yang berada di belakang saya pada ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan unit forensik Hospital Pasir Mas.

Menurutnya, sebaik segala urusan bedah siasat selesai, isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Stol.
 
Mohd Khairi berkata, dia sudah beberapa kali melarang isteri yang sarat mengandung untuk menunggang motosikal sendiri namun petang semalam, Nur Hasliza bersungguh-sungguh meminta kebenaran daripadanya.

Terdahulu, Nur Hasliza dilapor maut di tempat kejadian manakala penunggang satu lagi motosikal Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPM.

Adakah Taliban menepati janji?

ATRIZA UMAR

Sejak mengambil alih Afghanistan, pihak berkuasa Taliban telah cuba memadamkan imej wanita yang dirampas hak mereka sejak pemerintahan pertamanya pada tahun 1996 hingga 2001, iaitu pada akhir abad ke-20.

Namun, realiti situasi itu mengesahkan ketiadaan perubahan besar dalam urusan pergerakan itu dengan wanita negara terutam pekerjaan, pendidikan dan sukan.

Selepas merampas kuasa di Afghanistan, Taliban berjanji untuk menjadi lebih fleksibel dalam memberikan wanita lebih banyak hak berbanding semasa pemerintahan pertama mereka yang mana golongan itu dinafikan semua hak mereka.

Mengambil kira konteks masyarakat antarabangsa, kerajaan baharu lebih berhati-hati untuk tidak mengeluarkan langkah ketat di seluruh negara.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan di pelbagai negeri mengambil tugas untuk menentukan peraturan yang harus dihormati oleh para wanita.

Mengubah kehidupan wanita secara radikal?

Walaupun Taliban mengatakan bahawa mereka membenarkan wanita bekerja, hakikatnya mereka dihalang daripada bekerja dalam pekerjaan rasmi kecuali dalam sektor khusus seperti kesihatan dan pendidikan.

Dalam sektor swasta pula, wanita mengadu tentang gangguan apabila mereka pergi bekerja. Perniagaan dan kedai dipantau dengan teliti kerana Taliban sering datang untuk memeriksa adakah pekerja diasingkan mengikut jantina.

Di beberapa kawasan, koperasi wanita sahaja dibenarkan untuk terus beroperasi, seperti kilang pemprosesan melati di Herat, barat Afghanistan yang dianggap sebagai antara yang paling terbuka di negara itu.

Tetapi berpuluh-puluh ribu wanita telah kehilangan pekerjaan sejak Taliban kembali berkuasa, menamatkan dua dekad kemajuan dan membolehkan mereka meneruskan pekerjaan baharu dalam sektor seperti polis dan badan kehakiman.

Adakah Taliban menepati janji?

Wanita Afghanistan menuntut hak

Pendidikan hak semua?

Taliban berkata mereka menganggap pendidikan sebagai hak untuk kanak-kanak perempuan juga, tetapi sebahagian besar sekolah rendah dan menengah telah menutup pintu mereka sejak Ogos lalu.

Pihak berkuasa kini mengesahkan bahawa sekolah itu akan dibuka kepada semua pada akhir Mac. Bagaimanapun, kekurangan guru wanita dan keputusan melarang lelaki mendidik anak perempuan akan menyukarkan usaha mencapai matlamat ini.

Kebanyakan universiti swasta telah dibuka semula beberapa daripadanya sejak September, tetapi mereka mengalami kekurangan pensyarah.

Namun, pengasingan mengikut jantina terus dikuatkuasakan.

Dua minggu lalu, universiti tempatan juga telah membuka pintu mereka di lapan negeri kepada mahasiswa, manakala yang lain akan menyusul pada 26 Februari akan datang. Akan tetapi, tetap berlakunya pengasingan antara pelajar wanita dengan lelaki.

Kebebasan individu

Dalam peraturan pertamanya yang dikuatkuasakan, Taliban mewajibkan wanita memakai burqa apabila keluar. Kali ini, papan tanda digantung di kedai-kedai Kabul yang menyatakan bahawa wanita harus memakai tudung, tetapi turut disertai dengan gambar burqa, menunjukkan bahawa lebih baik memakainya.

Selain itu, mereka menyatakan bahawa wanita wajib ditemani oleh mahram apabila keluar dalam perjalanan jauh dari satu kota ke kota yang lain. Pemandu teksi juga diarahkan agar tidak membenarkan wanita tidak bertudung masuk ke dalam kereta mereka.

Salun kecantikan dan kedai pakaian terkenal sebelum kehadiran Taliban, tetapi kini sebahagian besarnya tidak terdapat lagi di jalanan.

Sukan juga disekat untuk wanita

Dalam pada itu, stesen televisyen dilarang menyiarkan filem yang memaparkan wanita, manakala wartawan wanita mestilah bertudung apabila muncul di skrin.

Seorang pegawai kanan Taliban berkata, sukan tidak perlu untuk wanita, tetapi pihak berkuasa negara itu tidak memutuskan kedudukan ini secara rasmi. Ini kerana dana yang datang daripada Persekutuan Sukan Antarabangsa, termasuk untuk kriket dan bola sepak, akan dibekukan jika wanita tidak dibenarkan bersukan.

Seperti kaum lelaki di negara itu, kebanyakan penyanyi, pemuzik, artis dan jurugambar terkemuka telah meninggalkan negara tersebut dalam beberapa minggu sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul.

Kembali ke situasi mundur

Terdahulu, Taliban telah membebaskan empat aktivis wanita Afghanistan yang menyertai protes antikeganasan pada Januari lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tetapi di sebalik peristiwa yang kelihatan menggembirakan ini, keadaan wanita menyaksikan kemunduran yang ketara di Afghanistan.

PBB di Afghanistan telah mengumumkan pembebasan empat aktivis wanita Afghanistan, Tamana Zaryabi Biryani, Parwana Ibrahim Khel, Zahra Mohammadi dan Mirsal Ayar, yang sebelum ini telah ditangkap oleh Taliban.

Aktivis tersebut telah hilang selepas menyertai demonstrasi di ibu negara Kabul bagi mempertahankan hak wanita untuk pendidikan dan pekerjaan, tetapi Taliban menafikan sebarang penglibatan dalam kehilangan mereka.

“Status wanita di Afghanistan tidak berubah, sama ada semasa pemerintahan pertama Taliban, yang berlanjutan hingga ke hari ini,” kata Naib Presiden Universiti Amerika Afghan Victoria Fotan, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal akademik di Kabul.

Menurutnya, tanda-tanda keterbukaan yang ditunjukkan oleh Taliban sejak mereka kembali berkuasa adalah semata-mata memasarkan imej positif mereka di luar negara. Mereka mahu tampil dalam menghadapi kemodenan dan kemajuan, tetapi sebenarnya matlamat strategi ini adalah agar negara Barat mengiktiraf rejim mereka.

Semakin terjejas dan membimbangkan

Sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021, pergerakan Taliban berusaha untuk menampakkan imej positif dan terhormat mereka di peringkat antarabangsa, memandangkan bantuan kewangan yang disediakan oleh masyarakat antarabangsa adalah bersamaan 80 peratus daripada bajet negara.

Untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan ini, Taliban berjanji pada Khamis lalu di hadapan PBB untuk melindungi pekerja dalam organisasi bantuan yang beroperasi di negara itu dan menyokong pendidikan.

Sebagai sebahagian daripada strategi ini, dua wartawan yang disokong PBB dan rakan sekerja Afghanistan mereka turut dibebaskan pada Jumaat lalu, menurut UNHCR.

Tetapi bagi, bekas Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Scheherazade Akbar di Afghanistan dan kini tinggal dalam buangan di Turki, di sebalik niat baik ini ada sesuatu yang tersirat.

Enam bulan selepas Taliban berkuasa di Afghanistan, keadaan wanita terus terjejas dan sangat membimbangkan. Ini bertepatan dengan kemerosotan ekonomi yang banyak bergantung kepada bantuan asing.

Talam dua muka?

Walaupun Taliban mengumumkan bahawa mereka akan membenarkan kaum wanita menyambung pelajaran mereka, realitinya berbeza sama sekali daripada apa yang mereka katakan kerana sebenarnya wanita mengadu tentang kesukaran untuk memasuki universiti.

“Wanita tidak mempunyai hak untuk menduduki jawatan dalam sektor awam. Mengapa mereka mempunyai hak untuk pergi ke universiti?” menurut Victoria Fotan

Lagi merumitkan proses pemecatan guru wanita Afghanistan, situasi pelajar wanita yang menghadapi kesukaran yang besar adalah melanjutkan pengajian di universiti. Selain itu, murid-murid tersebut tidak berhak meneruskan pelajaran sekiranya guru yang menyampaikan pelajaran ini adalah seorang lelaki.

Victoria Fotan menyifatkan langkah yang diambil oleh pergerakan Taliban sebagai munafik. Selain itu, beliau turut mengkritik keputusan pergerakan itu.

Rakyat bangkit menentang

Walaupun penindasan terus dikenakan ke atas wanita Afghanistan, penentangan awam tetap masih kuat.

“Penculikan pejuang wanita Afghanistan menyebarkan ketakutan dan keganasan dalam kalangan wanita dan memberi kesan negatif kepada mereka,” jelas Shahrazad Akbar.

Menurutnya, jumlah pembunuhan yang menyasarkan beberapa wanita telah meningkat, walaupun setiap ahli politik pembangkang yang muncul di laman media sosial ditindas. Taliban juga sedang memburu pengguna laman web tersebut.

“Taliban telah menjadi lebih ganas dan lebih menindas daripada masa lalu, dan menggunakan pelbagai teknik untuk menindas orang.”

Hakikatnya, gerakan itu jauh daripada imej indah yang ingin pasarkan ke luar negara untuk mendapatkan bantuan kewangan. Keganasan Taliban tidak berubah, malah tetap semakin teruk.

Penangkapan baru-baru ini mendorong ramai wanita bersembunyi. Seperti seorang aktivis dan penyair Afghanistan yang enggan mendedahkan identitinya, beliau bimbang Taliban membunuhnya, menangkap ahli keluarga atau anak-anaknya kerana aktivitinya.

Keganasan terus berlaku

Selain keganasan luar, wanita Afghanistan menghadapi keganasan dalaman yang pahit.

“Mereka tahu bahawa jika mereka meninggalkan rumah kerana keganasan, mereka akan ditangkap di jalanan dan kemudian dihumban ke dalam penjara,” kata seorang pejuang hak asasi manusia Afghanistan, Mahbouba Sirah.

Berikutan itu juga, PBB menyatakan bahawa 87 peratus wanita Afghanistan telah mengalami keganasan seksual, fizikal atau psikologi, manakala keadaan keselamatan mereka semakin merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Apa yang memburukkan keadaan adalah situasi kemanusiaan yang sukar di Afghanistan. Selain ketidakamanan makanan yang kronik, penggantungan bantuan kewangan boleh meletakkan 20 juta rakyat Afghanistan di bawah kancah kebuluran.

Ini menyebabkan beberapa keluarga menjual anak perempuan mereka di bawah umur sebagai pertukaran untuk mendapatkan makanan.

“Strategi Taliban adalah untuk mengambil tebusan penduduk. Ia adalah strategi yang diikuti oleh rejim diktator. Ancaman kebuluran membolehkan Taliban menekan masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan kembali wang mereka sebagai balasan.”

“Namun, penggantungan kewangan bantuan daripada masyarakat antarabangsa membolehkan ia menekan Taliban supaya hak asasi manusia dihormati dan rakyat diselamatkan,” tegas Victoria Fotan.

Mufti: Pengislaman anak Loh sah di sisi undang-undang Perlis

Yasmin Abdul Latif

PETALING JAYA: Pengislaman tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong sah bawah undang-undang negeri Perlis dan ia tidak boleh dipertikaikan, kata Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri berkata, bawah Enakmen Islam Perlis, sama ada bapa, ibu atau penjaga boleh mengislamkan anak di bawah umur.

“Geng DAP dan juga pelampau LTTE ini, mereka ini semua kata bahawa kita telah menyanggahi undang-undang, sebab masuk Islam tanpa persetujuan ibu, kerana nak masuk kena persetujuan ibu dan ayah.

“Saya ingin memberitahu bahawa pada tahun 2016 Dewan Undangan Negeri Perlis telah menggubal pentafsiran perkataan menganut Islam daripada ibu dan bapa kepada ibu atau bapa.

“Jadi dari segi undang-undang negeri Perlis tidak bertentangan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Mengulas lanjut, Asri berkata, Perlis masih mengguna pakai undang-undang itu, yang bermaksud dalam kes Loh, ia bukan satu kesalahan untuk bapa mengislamkan anak-anaknya.

Beliau berkata, apabila Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2003, baginda memainkan peranan penting dalam mengeluarkan teks Melayu yang sahih dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam teks sahih itu mengatakan ibu atau bapa, itu di peringkat persekutuan.

“Ini bukan soal tafsiran. Tolong jangan kata kami melanggar undang-undang.”

Katanya, undang-undang Perlis dalam bahasa Melayu dan ia menyatakan sama ada bapa atau ibu atau penjaga boleh menukar agama anak mereka.

Kain rentang Pas tolak PN, mahu MN bersepah di Johor

FAZLI RADZI

Sekurang-kurangnya tujuh lokasi di Johor termasuk di jejantas digantung dengan kain rentang mengenai sikap Pas menolak Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa sama, intipati yang terpapar pada kain rentang itu ialah ahli Pas kononnya mahukan Muafakat Nasional (MN) iaitu gabungan dengan Umno yang telah dimeterai pada September 2019.

‘Perang’ kain rentang itu dilihat mewarnai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjelang tarikh penamaan calon pada 26 Februari ini.

Antara ungkapan yang terpampang pada kain rentang tersebut ialah, “Tolong dengar suara hati ahli Pas di bawah yang mahukan MN dan bukannya PN.”

Bahkan, ada juga banting yang ‘mengugut’ bahawa jentera pilihan raya tidak akan bertugas pada PRN Johor jika memilih PN.

Kesemua gantungan kain rentang itu dikongsikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi Facebook rasminya hari ini.

Kain rentang Pas tolak PN, mahu MN bersepah di Johor

Puad menganggap Bersatu sebagai parti yang paling banyak katak.

Beliau menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai paling banyak ahli politik yang lompat parti.

Menurutnya, hal tersebut telah diberitahu lebih awal sekali gus menimbulkan persoalan sejauhmana kestabilan kerajaan yang terbentuk jika Bersatu dan sekutunya menang pada PRN Johor.

“Ini bibit-bibit tikam dari belakang. Parti yang paling banyak katak ialah PPBM. Dah beritahu lama dah. PPBM bernafsu besar. Cawangan tidak seberapa. Tapi mahu bolot semua kerusi selamat.

“Pas dapat apa? Macam mana mahu percaya kestabilan yang mereka janjikan?” soal Puad.

Bukan kesalahan jenayah? Adakah anda betul-betul yakin Mr. PM?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya agak tertarik membaca laporan media berkenaan komen YAB Perdana Menteri Gomen Tebuk Atap (Umno) yang secara jelas cuba membela kesalahan yang dilakukan oleh salah seorang YB Menteri dalam Gomen Tebuk Atap beliau (juga Umno).

Al-kisah, YB Menteri berkenaan telah dilaporkan telah membayar kompaun kerana melanggar SOP di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Secara mudahnya, bila menteri itu bersetuju membayar kompaun, maknanya beliau dianggap telah bersalah. Sama ada kesalahan itu serius atau tidak itu isu persepsi.

Logiknya, sudah tentu tak sama apabila rakyat biasa langgar SOP dan apabila Menteri pula yang langgar SOP apatah lagi jika menteri itu berada di dalam kerajaan yang sedang sibuk menguatkuasakan SOP tersebut.

Sebelum saya menjawab komen YAB Perdana Menteri, mungkin eloknya saya kongsi di sini dua istilah latin yang biasa diajarkan kepada para pelajar undang-undang semasa mereka belajar undang-undang jenayah (criminal law).

Istilah-istilah itu adalah “mala in se” dan “mala prohibita“.

Secara mudahnya, “mala in se” adalah kesalahan jenayah yang memang salah dengan sendirinya (wrong or evil in itself) walaupun misalnya kesalahan itu tidak disebut dalam mana-mana undang-undang seperti Akta.

“Mala prohibita” pula secara mudah adalah sebarang kesalahan jenayah yang secara jelas disebut dalam Akta misalnya.

Dalam konteks kes yang melibatkan YB Menteri Umno yang sedang dibela oleh YAB PM Umno itu, jelas ia termasuk dalam kesalahan jenayah yang dipanggil “mala prohibita“.

Suka atau tidak suka ia adalah suatu kesalahan jenayah sebab kesalahan itu disebut di dalam Akta 342 walaupun hukumannya boleh dikompaun. Itu soal lain.

Jika kita lihat bahagian V Akta 342 tersebut (KESALAHAN DAN PENALTI), ia ada menyebut terma-terma seperti kesalahan, pendakwaan, penalti am dan kompoun yang mana saya hujahkan terma-terma tersebut adalah suatu yang biasa wujud hanya dalam undang-undang yang ada elemen jenayah.

Suatu yang mungkin ramai tidak sedar bahawa antara perbezaaan asas/utama undang-undang jenayah dan undang-undang lain adalah dalam undang-undang jenayah, negara adalah aktor utamanya.

Kesalahan jenayah adalah kesalahan ke atas negara hakikatnya walaupun sudah tentu kategori kesalahan jenayah itu berbeza dari pelbagai dimensi seperti tahap keseriusannya. Tetapi ia tetap JENAYAH!

Dalam kes jenayah, sebarang pelanggaran kesalahan hanya boleh diambil tindakan oleh NEGARA melalui ejen-ejennya seperti polis, para penguatkuasa yang ditentukan oleh undang-undang dan pendakwaraya.

Kesimpulannya kesalahan YB Menteri yang dibela oleh YAB PM itu hakikatnya adalah kesalahan JENAYAH walaupun hukumannya boleh dikompoun dan tidak menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Maaf YAB PM, YB Menteri anda telah melakukan kesalahan jenayah yang Gomen anda sendiri sedang menguatkuasakannya ke atas rakyat negara ini. Di situlah isunya YAB Mr PM!

والله اعلم.

YB Sepang.

15/2/2022.

Wanita putus leher ditetak anak tiri

Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Wanita ditemukan mati dalam keadaan leher terputus dipercayai ditetak oleh anak tirinya dengan menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang hari ini.

Mayat mangsa berusia 54 tahun ditemukan di ruang tamu rumahnya dan dipercayai dibunuh pada 4.55 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 39 tahun yang juga pesakit mental selain penagih dadah itu tampil ke balai polis menyerah diri selepas kejadian terbabit.

"Suspek hadir di Balai Polis Bertam sebelum memaklumkan dia sudah membunuh ibu tirinya di rumahnya menggunakan parang.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian kemudiannya ditemukan seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dengan leher terputus akibat tetakan.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pihak polis turut merampas parang yang dipercayai yang digunakan suspek di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita masih menyiasat punca kejadian sama ada berlaku pergaduhan atau sebaliknya," katanya.

Umno ohh Umno…

ZULHAZMI SHARIFF

Sekarang kawan-kawan di Johor di ambang pilihan raya negeri setelah Dewan Undangan Negeri dibubarkan oleh pentadbiran Umno.

Umno dihumban oleh pengundi pada PRU14 yang lalu tetapi kembali berkuasa di Persekutuan termasuk Johor dan beberapa negeri lain akibat kebiadapan Bersatu pimpinan Mahiaddin Yaasin dan Azmin Ali bersama konconya yang lari mengkhianati undi pengundi.

Sekarang Mahiaddin yang khianat memberi nyawa dan kuasa kepada Umno meminta pengundi kembali menghukum Umno dan menghumban Umno seperti PRU14 dulu. Muka tak malu. Dia yang khianat dia pula minta belas kasihan.

Umno seperti biasa, apabila berkuasa, mereka sombong bahkan mereka kembali sebagai Umno yang semua kita tahu.

Umno penuh dengan tipu muslihat demi kuasa. Dengan kuasa, Umno kembali Umno.

Selepas mendapat semula kuasa di Melaka melalui pengkhianatan, Umno bubarkan DUN Melaka, akhirnya mereka mendapat semula kuasa.

Sekarang mereka lakukan di Johor. Johor yang mempunyai 56 kerusi DUN, diyakini akan dimenangi oleh Umno sekurang-kurangnya 29 kerusi majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan.

Sila ambil perhatian, sekiranya Umno perolehi 29 kerusi, Umno akan mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 dijalankan. Mereka mahu kembali berkuasa di Malaysia sepenuhnya supaya segala kejahatan mereka dibersihkan dengan kuasa yang mereka ada.

Ismail Sabri hanya Naib Presiden yang akan terpaksa akur arahan Presiden dan Ahli MKT. jika Ismail tidak mengikut telunjuk mereka, Ismail akan dipecat dari Umno dan menjadi PM tersingkat berbanding Mahiaddin.

Sekarang Ismail agak selesa kerana masih ada bekal MoU tetapi ianya tidak lama.

Kita semua terpaksa akur dengan kejahatan Umno selagi kita tidak buang Umno sepenuhnya. Biarlah jika ada kawan yang terhegeh-hegeh dengan Umno tetapi kita tidak sekali.

Pengawal pengiring VIP dah jadi macam pembuli jalanraya?

Netizen geram pengawal pengiring VIP melampau, sengaja langgar cermin sisi kereta orang awam

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Twitter @FannnF mendakwa pengawal pengiring yang membawa orang kenamaan (VIP) cuba merosakkan bahagian kenderaannya kerana lewat memberi laluan kepada kenderaan VIP.

Menerusi perkongsiannya dia berkata, cermin sisi bahagian pemandu dipukul atau dilanggar pengawal pengiring kerana tidak memberikan laluan kepada kenderaan VIP yang difahamkan kejadian ketika itu berlaku di Lebuh raya Elite berdekatan susur keluar Bandar Saujana Putra.

Dia menjelaskan bahawa ketika itu, agak bahaya untuknya terus memasuki lorong sebelah bimbang berlanggar dengan kenderaan lain.

“Konvoi VIP ini cuba merosakkan kereta saya kerana saya tidak ubah laluan ke lorong kiri. Saya tidak tahu sama ada polis atau pengawal yang melanggar cermin sisi saya.

“Pegawai itu juga secara bahaya mengarah untuk menukar laluan pada saat akhir dan mengharapkan kami pergi ke lorong kiri yang boleh membuatkan saya melanggar kereta lain,” ciapnya.

Perkongsian itu diulang kicau lebih 10,000 kali dengan rata-rata netizen turut berkongsikan pengalaman sama di mana kereta mereka diketuk pegawai pengiring sehingga membuatkan mereka terkejut hampir menekan brek mengejut.

Ada juga yang menganggap tindakan tersebut sebagai melampau kerana tidak memikirkan keselamatan orang lain.

Pengguna Twitter @faris_ariff berkata, dia juga mengalami perkara sama apabila pegawai pengiring pernah mendekati dan mengetuk kenderaannya meminta dia segera mengubah lorong.

“Masalahnya nak masuk lorong kiri kereta banyak. Tak dapat selit. Nak buat macam mana. Patut bertimbang rasa lah. Terus tepuk ‘side mirror’. Ngeri oh,” balas @FannnF.

“Konvoi polis ini amat berbahaya. Siren akan terus berbunyi dan anda perlu juga memberi laluan. Ini sepatutnya dihentikan. Walaupun VIP tergesa-gesa, tetapi dia masih penjawat awam. Gajinya dibayar oleh pembayar cukai. Oleh itu, kenapa dia mesti mendapat keutamaan?, ” soal @ThePenangite

“Berlaku sepanjang masa. Mereka memaksa kita keluar dari lorong, dan kita tak sempat lakukan dengan selamat. Kita panik kerana mereka sangat biadap dan tidak sabar. Ini sangat bahaya. Mereka boleh melebihi had laju di jalan raya, tetapi kita rakyat biasa kena saman kalau pandu laju,” tulis @K25398167.

Isu membabitkan laluan VIP begitu hebat dikritik sejak insiden polis pengawal memberhentikan ambulans kerana mahu memberi laluan kepada kenderaan orang kenamaan.

Netizen juga menganggap adalah tidak wajar untuk kenderaan VIP sewenangnya menggunakan kuasa dan membuli pemandu lain di jalan raya.

Zaharin Mohd Yassin: ‘Jika calon Umno ‘budak itu’, maaflah, saya harap Maszlee menang’, kata veteran Umno

SURI LAILA

Pemerhati dan penulis politik pro Umno, Datuk Zaharin Mohd Yassin berkata, beliau lebih rela melihat Dr Maszlee Malik memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang berbanding calon Umno yang akan dipertandingkan.

Tanpa menyebut siapakah calon Umno yang dinamakan, Zaharin berkata, jika calon tersebut adalah ‘budak itu’, beliau berharap agar Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan sewaktu Pakatan Harapan memenangi kerusi tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan cicit Datuk Onn Jaafar dan anak saudara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berjaya mengatasi pencabar lain dengan kelebihan 364 undi.

Dilaporkan, Umno akan mengetengahkan muka-muka baharu dalam PRN Johor kali ini.

“Saya masih orang Umno. Jika calon Umno di Layang-Layang budak itu, maaflah. Saya harap Dr Mazlee Malik akan menang. Saya bukan sokong PKR.

“Saya tidak sokong budak itu sampai ke hujung dunia. Saya lihat budak ini seorang yang sombong walaupun pencacai dan dedak ‘trooper’ kata dia YB yang terbaik,” katanya yang juga bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak dalam hantaran di Facebook semalam.

Pada semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam yang baru menyertai PKR, sebagai calon PH di DUN Layang-Layang.

Nama beliau diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan, 42, diumumkan bertanding DUN Kempas, manakala Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim, 34, selaku muka baharu diletakkan sebagai calon DUN Pasir Raja.

Arthur Chiong Sen Sern, 32, pula dipertaruhkan di DUN Bukit Batu dan Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) lalu ditampilkan semula sebagai calon DUN Larkin.

Manakala penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan akan kekal mempertahankan kerusi berkenaan.

PAS: 'Sampai masanya kita mengajar orang yang bongkak'

Malaysiakini

PRN JOHOR | Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, sekarang adalah masa untuk mereka "mengajar" parti dan orang politik yang "bongkak" selepas mereka dibantu oleh PAS.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata sebelum ini PAS berkempen dengan "penuh keikhlasan" membantu calon BN dalan pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan di Tanjung Piai.

Untuk rekod PRN Tanjung Piai itu diadakan pada 16 Nov 2019 ketika negara ini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan berkenaan mendapat mandat daripada rakyat.

PAS pula masih menjadi pembangkang dan baru saja memeterai piagam kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional, manakala PN pula belum wujud.

Kata Ahmad Fadhli ketika PRK Tanjung Piai PAS bersungguh-sungguh membantu BN dengan mengarahkan ahli dan penyokong memenangkan Wee Jeck Seng dari MCA.

Kini katanya ada pihak tertentu yang mendakwa PAS tidak ikhlas berkawan dengan mereka.

"Saya tak nak sebut nama siapa, tapi inikah nilai sebuah persahabatan? Inikah cara kamu menilai sebuah persahabatan?" katanya di depan penyokong PN.

Ahli parlimen Pasir Mas itu berkata demikian semasa berucap sempena pelancaran jentera Pemuda PN sempena PRN Johor di Batu Pahat.

Petikan ucapan itu dikongsikan sendiri oleh Ahmad Fadhli di media sosialnya semalam.

PH tak boleh menang

Hubungan di antara Umno dan PAS kini terus tegang dengan kedua-dua parti saling melontarkan kritikan tajam di antara satu sama lain.

Antara kecaman yang pernah dibuat datang daripada presiden PAS sendiri, Abdul Hadi Awang, yang menganggap Umno sebagai parti yang tidak bermoral kerana mahu bergerak sendirian selepas dibantu ekoran kekalahan dalam PRU 2018.

Abdul Hadi juga mengumpamakan Umno seperti itik yang patah kakinya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula menyindir Abdul Hadi - yang gemar menggunakan haiwan sebagai perumpamaan - dengan menyarankan duta khas bertaraf menteri itu meninggalkan jawatan sebagai ahli politik dan menjadi zoologi.

Kata Ahmad Fadli lagi, di Johor adalah tempat berkumpulnya beberapa pemimpin BN yang mengeluarkan kenyataan tajam sehingga melukakan hati PAS dan PN.

"Maka sampai masanya kita kena ajar orang yang bongkak. Bukan semuanya, tidak," katanya lagi.

Bagaimanapun dia tidak menyebut atau memetik mana-mana pemimpin Umno bagi menjelaskan kenyataan tersebut.

Sementara itu ketua Pemuda PAS itu juga dengan yakin meramalkan bahawa PH tidak akan memenangi PRN Johor, justeru gabungan yang pernah menjadi kerajaan di Johor itu "tidak perlu dihentam".

"Dalam situasi yang ada pada hari ini [...] PH tak boleh menang. PH sudah menjadi pakatan yang tak ada harapan," katanya.

Maszlee sah calon PH DUN Layang-Layang

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Nama bekas Menteri Pendidikan itu diisytihar pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat sini hari ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Maszlee yang sebelum ini daripada Bersatu telah menyertai PKR kira-kira tiga bulan lalu.

Mengulas pemilihannya, beliau mengakui terharu dengan kepercayaan yang diberikan parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis PKR, Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.

“Namun, saya dapati pihak parti memutuskan untuk saya turun bertanding demi menawan DUN Layang-Layang yang kita kalah dan juga untuk memastikan DUN-DUN lain juga kita dapat bantu.

“Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang ada di Parlimen Simpang Renggam.

“Lagi pula DUN Layang-Layang dalam Parlimen Simpang Renggam,” katanya yang menyertai PKR pada 27 November lalu.

Maszlee menjadi calon keenam diumumkan bertanding mewakili PKR pada PRN Johor, bulan depan.

Kena istikharah dulu, kata Rafizi bila diminta aktif politik semula

MALAYSIA DATELINE

Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau akan membuat solat istikhrah terlebih dahulu setelah digesa sesetengah pihak supaya beliau aktif semula dalam politik.

Menjawab ciapan @reformis Rafizi menjelaskan beliau akan berbincang dengan keluarga dan pemegang saham serta tim rakan-rakan di tempat kerja sebelum memutuskan untuk aktif dalam politik.

“In Sha Allah saya solat istikharah. Kena tanya keluarga, kena bincang dengan shareholders, kena bincang dengan team members ditempat kerja (kucing aku Kristy confirm tak setuju).

“Bila kita ambil jalan politik, niatnya kena betul,” tweet Rafizi.

Terdahulu, ciapan @reformis merayu Rafizi kembali aktif dalam politik kerana menyifatkan negara sekarang seolah-olah tiada hala tuju.

“Bro @rafiziramli , tolonglah comeback. Aku dah tak tahu mana hala tuju negara kita sekarang. Tolong bro, kita masih ada tugas yang kita kena selesaikan,” rayu beliau.

Beliau berkata, Malaysia masih memerlukan khidmat Rafizi dan mencadangkan mereka bermula dari peringkat bawah.

“Kita mula semula dari bawah. Agenda reformasi mesti kita selesaikan demi anak cucu kita,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi pernah mengumumkan beliau tidak akan kembali ke arena politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Pengumuman itu selepas dia dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Sarawak mahu tukar gelaran ketua menteri kepada 'perdana menteri'

Malaysiakini 

Kerajaan negeri Sarawak akan menukar gelaran ketua menteri kepada perdana menteri (premier) Sarawak.

Hal ini akan dilakukan melalui pindaan terhadap perlembagaan negeri apabila DUN Sarawak bersidang buat kali pertama sejak kemenangan besar GPS dalam pilihan raya negeri lalu.

Adun Bawang Assan, Wong Soon Koh, ketika dihubungi mengesahkan wakil rakyat Sarawak telah dimaklumkan mengenai pindaan perlembagaan itu.

"Ia adalah satu daripada lima rang undang-undang yang akan dibentangkan pada 15 Feb," katanya.

Rujukan lain terhadap gelaran ketua menteri dalam perlembagaan negeri juga akan digantikan dengan premier di bawah Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022.

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 7(A) perlembagaan negeri Sarawak untuk menukar gelaran pembantu menteri kepada timbalan menteri.

DUN Sarawak akan bersidang esok dan rang undang-undang pindaan perlembagaan itu akan dibentangkan pada Selasa.

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg yang mengetuai GPS meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak Disember lalu.

GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN. RUU itu dijangka akan diluluskan dengan mudah dalam sidang DUN.

Perangai BN, makan semeja satu lauk tapi tikam belakang'

Malaysiakini 

Kestabilan politik hanya boleh dicapai jika Umno dan BN disekat kemaraannya untuk kembali memerintah, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor.

Ini kerana Umno-BN selepas mendapat kuasa mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan pilihan raya negeri, katanya.

“Formulanya Umno tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang Umno mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Mnteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (Umno) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya, petik Sinar Harian.

Menteri besar Kedah itu dilaporkan merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai di Johor, semalam.

‘Zahid ikut formula Anwar’

Menurut Sanusi, BN khususnya Umno dilihat terus menjadi pihak yang mencetuskan perbalahan sehingga sukar mencapai kesepakatan dengan PAS.

“Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah lah perangai BN. Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama.

“Mereka (Umno) sudah menerima macam-macam tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua.

"Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” dakwa Sanusi.

Sementara itu, Sanusi juga mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggunakan formula Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mahu menunjukkan parti mereka sudah kembali diterima rakyat dengan menuntut mengadakan beberapa PRN.

“Ini strategi digunakan Anwar dan diikut pula oleh Zahid yang juga anak muridnya. Mereka (Umno) mahu tunjuk yang konon mereka sudah mendapat keyakinan kembali, itu sebab mereka buat PRN demi PRN.

“Beza sikit daripada Anwar, kalau boleh lihat berapa beliau (Anwar) berjaya buat Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2008 hingga 2013 tetapi tidak boleh buat PRN kerana ketika itu tiada negeri yang goyah, Zahid berjaya lakukan,” katanya lagi.

Di Melaka, wakil rakyat Umno yang berpaling tadah membawa kepada pilihan raya mengejut, manakala di Johor, Umno mewajarkan perlunya pilihan raya negeri baru kerana pemerintahan dengan majoriti tipis satu kerusi.

Mengulas kenyataan Sanusi, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata parti lain yang menyebabkan ketidakstabilan.

Tanpa menyebut nama, dia memetik insiden sebuah parti menjatuhkan kerajaannya sendiri selepas 22 bulan, menukar menteri besar kurang setahun selepas dia memegang jawatan, menukar ketua parti negeri, dan mengancam pilihan raya mengejut yang memaksa PRN Johor.

Ini rujukan jelas kepada Bersatu, yang merupakan rakan pilihan PAS selepas sebahagian besarnya meninggalkan Umno.

"Kestabilan politik adalah sinonim dengan Umno," kata Shahril.

Bayi menggelupur kepanasan, isteri melecur, disimbah minyak panas

PETALING JAYA: Seorang pemotong ayam dipercayai sanggup menyimbah minyak panas terhadap isteri dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan akibat cemburu kononnya pasangannya itu mempunyai hubungan sulit.

Dalam kejadian pada petang Jumaat, di Semabok, Melaka Tengah, lelaki berkenaan bagaimanapun ditahan serta direman empat hari, bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Lim Meng Seah, berkata kesan perbuatan lelaki itu, isterinya mengalami kesan melecur di bahagian paha kiri, manakala bayinya yang menggelupur kepanasan melecur di bahagian belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki kiri dan kanan.

Beliau berkata suspek berusia 24 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana cemburu kononnya isteri yang sudah dikahwini hampir tujuh tahun itu didakwa mempunyai hubungan sulit.

“Semasa kejadian, wanita berkenaan sedang menggoreng ayam sambil mendukung anak bongsunya sebelum suspek tiba-tiba datang dan mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga berlaku pertengkaran mulut.

“Mangsa ketika itu menjelaskan pada suspek tentang hubungannya dengan lelaki tersebut dan pada masa yang sama anak bongsunya (bayi) menangis.

“Suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan telah bertindak mengangkat kuali di dapur serta terus menyimbah minyak panas ke arah isteri serta anak bongsunya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, akibat tindakan suspek itu, isterinya yang berusia 22 tahun serta bayi perempuan yang juga anak keempat mereka melecur di beberapa anggota badan.

“Akibat perbuatan suspek itu bayi mereka menangis dan menggelupur kepanasan sebelum ibu suspek datang dan membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Melaka,” katanya.