Husam Musa: Kegilaan teroka hutan simpan untuk Ladang Hutan sudah jadi ketagih

BORHAN AHMAD

Kegilaan untuk meluluskan kawasan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk dijadikan kawasan Ladang Hutan sudah menjadi satu macam ketagihan di kalangan pemimpin kerajaan negeri Kelantan, dakwa Pengerusi #SaveKelantan, Datuk Husam Musa.

“Ia sudah umpama ketagihan, tidak boleh berhentikan lagi,” kata Husam dalam satu wawancara yang mula disebarkan bagi menerangkan kenapa beliau menentang projek Ladang Hutan yang ada sekarang.

Menurut bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan itu, ia berlaku kerana hasil yang diperolehi oleh tauke balak melalui projek Ladang Hutan ini lebih besar berbanding dengan mendapat kawasan balak biasa.

“Dapat kawasan Hutan Simpan Kekal untuk dijadikan Ladang Hutan lebih besar untungnya kerana semua jenis pokok boleh ditebang atau tebang habis berbanding dengan kawasan balak biasa.

“Kawasan balak biasa dibuat secara tebangan terpilih atau selective logging bukan tebang habis.

“Jadi kalau kita boleh dapat ikan tenggiri bakar buat apa kita layan ikan kembung bakar,” kata Husam yang kesal dengan penyelewengan yang berlaku melalui projek Ladang Hutan bermula dengan kawasan HSK dibenarkan untuk ditebang habis untuk dijadikan Ladang Hutan.

Dalam video itu Husam menjelaskan dengan detail bagaimana program Ladang Hutan bermula di negara ini dengan negeri Pahang menjadi tapak projek pertama Ladang Hutan di negara ini.

Projek Ladang Hutan dalam HSK yang pertama dibuat oleh Jabatan Hutan di Kamasul, Mentakab, Pahang pada tahun 1995 dimana 18,000 ekar kawasan HSK telah dibersihkan dan ditanam dengan pokok Acasia.

Menurut Husam, berdasarkan pertemuan beliau dengan pegawai yang terlibat, ketika hutan ini dibersihkan dahulu, anak-anak pokok Cengal dan Meranti yang sangat bernilai itu penuh dalam hutan itu, namun ia dibersih dan dimusnahkan begitu sahaja bersama dengan anak-anak pokok yang tumbuh secara semula jadi.

“Kononnya Ladang Hutan lebih baik dan lebih hasilnya berbanding dengan hutan semula jadi. Namun, projek ini kemudiannya diisytiharkan sebagai gagal,” kata Husam.

Husam diwawancara tentang Ladang Hutan, sejarah dan pelaksanaannya di Kelantan.

Di Kelantan, projek Ladang Hutan bermula pada tahun 1998 melalui cadangan Jabatan Hutan ketika Husam adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz.

Menurut Husam, antara syarat awal Ladang Hutan ini adalah untuk hutan yang dikategorikan sebagai hutan yang miskin iaitu hutan yang telah tidak ada balak yang besar.

“Projek ini kebanyakannya ditolak balik oleh syarikat yang mahu membuat

Ladang Hutan ini kerana mereka tidak mampu membuatnya kerana kekurangan modal dan geran tidak ada lagi di masa itu,” kata Husam.

Menurut Husam, projek Ladang Hutan bermula secara besar-bersaran di Kelantan selepas tahun 1999 ketika beliau adalah ahli Parlimen Kubang Kerian dan bukan berada dalam kerajaan negeri.

“Pada masa itu yang jadi Exco adalah Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Sumber Asli sekarang.

“Datuk Nik Amar juga adalah ahli Parlimen dan bukan dalam Exco tetapi dia adalah Ahli Lembaga Kelantan Darul Naim (Yakin) yang turut terlibat dengan projek Ladang Hutan ini.

“Sudah tentu, dia sedikit sebanyak tahu tentang Ladang Hutan ini,” kata Husam menerusi video itu.

Selepas 2004 apabila Husam berada dalam Jawatankuasa Kecil Perhutanan

Isu Ladang Hutan menjadi topik panas di kalangan aktivis alam sekitar berikutan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh mereka dan juga NgO Save Kelantan yang dipengerusikan Husam.

Mereka mendedahkan tanah hutan seluas tiga kali ganda pulau Singapura dibenarkan untuk pembalakan termasuk untuk dibuat Ladang Hutan.

Save Kelantan turut mendedahkan imej satelit tentang pemusnahan hutan secara besar-besar di Hutan Simpan Nenggiri, Kuala Krai yang antaranya untuk dibuat Ladang Hutan.

Universiti Putra Malaysia (UPM) turut prihatin dengan isu Ladang Hutan dan mahu terlibat secara langsung bagi memastikan ia berjalan dengan baik demi menjaga kelestarian alam.

Anak syarikat UPM dalam satu kenyataan bertulis mereka menggesa kajian menyeluruh berkaitan usaha penanaman semula hutan dilakukan segera bagi menyelesaikan isu penggondolan dan ladang hutan secara komprehensif demi kelestarian hutan-hutan di negara ini.

Hari-hari kelam seorang kapten yang ‘dibuang secara keji’

Asyraf Malik

story-image

Pernah dulu dia dianggap wira. Khidmatnya kepada rakyat malah pernah meniti di dada akhbar.

Namun, nama baik yang dipahat hampir dua dekad lalu tidak sepadan dengan keadaan hidupnya sekarang yang ibarat seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bekas kapten Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Joraymi Jamaludin pernah dipertanggungjawabkan mengemudi aset negara DHC-4 Caribou.

Kapal itu berkebolehan mendarat dan berlepas dalam masa singkat di kawasan bercerun dan sesuai untuk operasi di pedalaman Borneo.

Menabur bakti bersama TUDM dari tahun 1992 sehingga 1998, antara momen yang melekat dalam ingatan Joraymi ialah membantu menjayakan Operasi Haze 1997 ketika kebakaran hutan di Kalimantan meruncing. 

Joraymi yang mahir menerbangkan DHC-4 Caribou diberikan kepercayaan mengetuai operasi pembenihan awan di Malaysia Timur yang akhirnya membuahkan hasil.

Hujan lebat berterusan berjaya mengurangkan titik panas di kawasan terjejas.

Selain itu, dia juga pernah membuat penerbangan ihsan dari kawasan terpencil Sabah ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang memerlukan rawatan segera. 

Jasa baiknya itu mendapat liputan muka depan akhbar New Sabah Times.

Namun, babak seterusnya merencatkan perjalanan karier Joraymi yang baru sahaja hendak bermula.

Titik hitam

Walaupun pahit ditelan, sebagai manusia biasa, Kapten Joraymi akui dia tidak lari daripada membuat kesilapan. 

Ia akhirnya menjadi persimpangan dalam hidupnya yang meninggalkan parut sehingga ke hari ini. 

Dia digugurkan dari perkhidmatan Seri Paduka Baginda melalui tindakan disiplin mahkamah tentera.

Dalam dokumentasi hitam putih pemberhentianya dicatat status dibuang dengan keji (dismissed with disgrace). 

“Perasaan sedih dan sebak semua ada bila dengar hakim bacakan pertuduhan sebab ini adalah kerjaya yang paling saya sayang,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini minggu lepas.

Joraymi disabitkan dengan pertuduhan tidak hadir tugas tanpa sebab, memudaratkan perkhidmatan, memburukkan nama TUDM dan beberapa lagi isu disiplin.

Anggota tentera yang diberhentikan secara keji tidak layak bergelar veteran tentera, sekali gus dinafikan sebarang imbuhan dan manfaat yang sepatutnya dinikmati seorang pesara tentera.

“Saya ada cuba pergi ke Mindef (Kementerian Pertahanan) untuk tuntut hak saya yang boleh diselamatkan, tetapi ternyata tiada sebarang kelebihan ataupun imbuhan yang tinggal untuk saya, kosong.

“Tunggang terbalik rasa hidup ini. Nak pergi ke dunia luar sana tanpa ada apa-apa bekalan. 

“Rasa geram dan nak mengamuk memang ada, apalah nasib,” katanya yang kini menetap bersendirian di sebuah kawasan setinggan di Gombak, Selangor.

Awan mendung menanti Joraymi dalam episod mendatang untuk memulakan hidup baharu sebagai orang awam.

Lautan bergelora

Rekod dibuang secara keji menghantui si kapten walau ke mana saja dia pergi. 

“Setiap pesara tentera apabila tamat khidmat akan diberikan satu buku pasport untuk membuktikan mereka pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

“Tetapi sebab cara saya diberhentikan, saya tidak ada kertas kerja itu.

“Memang susah sangat nak cari kerja sebab majikan nak tengok buku pasport itu.

“Tambah pula bila mereka buka pangkalan data Mindef untuk cari nama saya, sejarah masa silam saya mereka tahu, lagi liat mereka nak terima saya masuk,” keluhnya.

Tidak cukup dengan itu, kecaman bertali arus dari komuniti sekeliling dan ahli keluarga boleh diibaratkan seperti meletakkan garam pada luka yang bernanah.

“Pada mata mereka, saya ini memang jahat sangat. Semua orang mula menjauhkan diri dari saya. Keluarga dan saudara pinggirkan saya. Isteri minta cerai. Saya difitnah macam saya ini penjenayah.

“Kadang ada terfikir, setelah apa yang saya sumbangkan kepada tanah air, adakah begini pengakhiran hidup saya?” soalnya. 

Keadaan kewangan yang tenat bertambah buruk apabila Joraymi didiagnos dengan penyakit jantung dan buah pinggang sehingga memerlukan rawatan dialisis. 

“Saya makan setiap hari pun sekadar alas perut, lagi pula nak pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan. 

“Kos pengangkutan untuk pergi ke sana pun satu hal lagi. Saya mana ada kereta, motosikal saya pun kejap berfungsi, kejap rosak. 

“Ada minggu memang terpaksa ponteng rawatan dialisis itu.

“Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang memberikan rawatan percuma untuk pesara tentera pula tak terima saya sebab saya ini bukanlah seorang veteran tentera. 

“Masyarakat ada yang kesian dengan nasib saya. Mereka sumbang apa yang boleh untuk bantu ringankan beban tetapi ada sesetengah bila dapat tahu saya ini ‘dibuang secara keji’, mereka cancel dan minta pulangkan balik duit sumbangan itu. Macam saya ini scammer.

“Saya tidak kisah. Saya pulangkan balik semua duit itu,” katanya pasrah. 

Dia kini membuat rawatan “dialisis air” sendiri di rumah mengguna mesin yang dibeli oleh penderma. 

Dia mengakui mendapat bantuan zakat secara bulanan tetapi jumlahnya masih tidak mencukupi.

Hidup harus diteruskan

Bagaimanapun, Joraymi enggan menjadi seorang manusia yang hidup segan mati tak mahu.

“Saya mulakan satu projek kitar semula. Apa ilmu pengurusan dan strategi operasi yang saya belajar dalam tentera dulu, saya pakai semula dalam projek saya ini. 

“Pada mulanya, saya berjalan kaki dari Gombak ke Kuala Lumpur untuk kutip sampah di tepi lebuh raya yang boleh dikitar semula. 

“Kemudian, ada hamba Allah ini yang baik hati hadiahkan saya motosikal yang disertakan sekali dengan kereta sampingan.

Motosikal yang digunakannya bagi mengumpulkan barang kitar semula

“Senang sikit nak angkut barang kitar semula bila ada motosikal kereta sampingan ini. Barang-barang kitar semula itu saya periksa semula di halaman rumah saya, apa yang boleh diambil untuk dijual.

“Projek kitar semula ini boleh beri saya pulangan dalam RM 200 macam itu sebulan. Cukuplah untuk tampung makan minum saya. Saya ada tebalkan muka minta duit dari kawan-kawan tetapi nak tagih simpati mereka setiap masa rasa segan.

“Saya ada juga ambil upah sapu sampah, basuh kereta, dan bekerja di kedai jual buah,” katanya.

Lembaga pengampunan

Joraymi menyokong penuh perhimpunan aman Veteran Bangkit pada 6 Jun ini di ibu kota yang bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Antara tuntutan dalam perhimpunan aman tersebut adalah untuk mewujudkan lembaga pengampunan bagi membawa kes mahkamah tentera kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong. 

“Saya sangat memerlukan pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong untuk melayakkan diri saya bergelar sebagai veteran tentera dan mendapat manfaat di bawahnya. (Masa) 24 tahun sudah berlalu, sampai sekarang saya dihukum.

“Kesalahan saya bukannya seberat seperti menjual aset negara, mengambil rasuah dan menganiaya anggota bawahan,” katanya. 

Penganjur perhimpunan Suara Veteran

Penganjur demonstrasi itu Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi berkata bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan dan meringankan hukuman bagi kes mahkamah tentera.

Bagaimanapun, katanya, dari tahun 1974 ketika dia mula berkhidmat dengan tentera, tiada satu pun kes di mahkamah tentera yang diberikan pengampunan. 

Sedangkan, katanya, ahli politik yang berjaya mendapat pengampunan.

“Bekas komunis yang merupakan petualang negara pun dapat peluang kedua untuk hidup dengan selesa dalam tanah air kita ini.

“Kes seorang lelaki India yang menyeludup dadah ke Singapura dan dihukum gantung, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia sampai tulis surat rayuan kepada kerajaan dan Presiden Singapura.”

Kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Suara Veteran itu merancang mengadakan demonstrasi itu pada awal bulan. Butiran lanjut acara belum didedahkan.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini menasihatkan pesara tentera yang tidak puas hati itu supaya membawa cadangan mereka terus kepadanya dan bukan dengan membuat ugutan.

Najib elok mengaku atau buat penafian elak terpalit fitnah

SHAHBUDIN HUSIN

Sejak kelmarin, heboh di media sosial tentang penularan sekeping gambar melibatkan Najib Razak yang dilihat tersenyum riang sambil diapit dua lelaki dan tiga orang wanita.

Seorang wanita yang berdiri di sebelah Najib didapati memaut erat lengan bekas Perdana Menteri itu dengan wajah penuh keriangan dan kebahagiaan.

Berikutan tersebarnya gambar tersebut, ramai yang memperkatakan ia adalah gambar Najib bersama isterinya yang baru.

Sehubungan itu, ada yang tampil mengesahkan, wanita di sebelah Najib itu memang isteri yang baru dinikahinya bersama tiga anaknya serta seorang menantu lelakinya.

Sepantas itu juga, di laman media sosial Najib segera dipenuhi dengan ucapan tahniah dan selamat pengantin baru, termasuk daripada Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Kedudukan Najib yang diperkatakan berkahwin lagi satu memang sudah menjadi bualan ramai sejak lebih setahun yang lalu lagi.

Diberitakan isteri baru beliau itu ialah bekas isteri seorang komposer terkenal suatu ketika dahulu dan pernah menjadi pramugari.

Bagaimanapun, tiada bukti atau pengesahan diberikan oleh mana-mana pihak mengenai perkahwinan beliau itu.

Sejak diberitakan berkahwin lagi, Najib juga dilihat dan diperkatakan ramai semakin ceria penampilannya dan sentiasa bersemangat, seolah-olah mendapat suntikan vitamin baru dalam hidupnya.

Bagaimanapun, Najib sehingga ini masih membisu dan enggan mengia atau menidakkan mengenai perkahwinannya itu, walaupun dalam banyak isu lain, beliau begitu cepat memberi reaksinya.

Mendirikan rumahtangga ibarat membina masjid dan ia adalah perkara baik dalam agama, malah tidak digalakkan menyembunyikannya kerana ia mungkin boleh mengundang fitnah.

Sebab itu, dalam hal ini, sementara isu perkahwinan ini sudah lama diperkatakan dan terbaru pula tersebar gambar mengenainya, adalah lebih baik Najib berterus-terang saja.

Buat benda baik buat apa nak sembunyi-sembunyi.

Kalau benar sudah berkahwin dan wanita dalam gambar itu adalah isterinya yang baru, mengaku dan berkongsilah berita gembira itu dengan rakyat seluruh negara ini.

Kalau itu bukan isterinya, segeralah pula membuat penafian supaya tidak ada sesiapa terpalit dengan fitnah.

Cuma jika benar wanita yang memaut lengannya itu adalah isteri daripada perkahwinan terbarunya, ramai kaum lelaki ingin tahu daripadanya – di mana beliau beli ubat berani?

Apabila penjenayah yang pernah rosakkan ekonomi negara tawar solusi kes Sapura Energy

MOHAMAMED HANIPA MAIDIN

Isu penyelamatan Sapura Energy Bhd menjadi isu pokok perdebatan terbuka antara dua tokoh politik nasional di Malaysia.

Telah menjadi pengetahuan umum bahawa Sapura Energy Bhd, yang orang putih habaq berada dalam keadaan ‘cash-strapped’ memikul beban hutang sebanyak RM10.5 bilion.

YB Pekan yang telah pun disabitkan bersalah oleh 4 orang Hakim Mahkamah di atas 7 pertuduhan jenayah skandal kewangan mega termasuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa, boleh dengan tanpa rasa malu sekecil zarah pun, mencadangkan sebuah solusi iaitu kerajaan atau Petronas pi selamatkan Sapura Energy itu.

Sebenarnya,bukanlah suatu yang aneh penjenayah itu cadang macam itu.

Ada pepatah habaq bila anda ada sebuah tukul besi di tangan anda, anda cenderung nampak semua masalah itu adalah paku. So, kerjanya, nak menukul je 24/7.

Semua tahu bagaimana ‘cekapnya’ penjenayah itu mengurus ekonomi negara dulu-dulu dengan misalnya dia benarkan wang pembayar cukai (ya wang kita semua) digunakan untuk membayar wang bunga/faedah pinjaman 1MDB bagi memastikan syarikat bermasalah itu boleh terus ‘afloat’.

Masa itu sibuk dicanangkan kononnya 1MDB itu kaya dengan cash padahal tak ada wang pun hatta nak pi bayar bunga pinjaman apa lagi pinjaman pokok! Apapun, agak lucu juga politik di negara ini.

Jika di negara lain, mungkin penjenayah seperti dia tu dah lama berkelana di dalam penjara dan tak ada peluang nak berkeliaran atau buka mulut tapi di sini keadaannya agak berbeza.

Sebab tu susah juga nak tolak label “Penjenayah VVIP” yang Tun berikan pada penjenayah sorang ini.

Media pernah melaporkan bagaimana ada pemegang saham Sapura Energy pernah menikmati ganjaran (remuneration) hingga mencecah RM84.25 juta pada tahun kewangan 2017 dan RM 71.92 juta pada tahun kewangan 2018 walaupun dilaporkan masa tu pencapaian syarikat itu taklah berapa bagus sangat.

Atas dasar itu, para pakar ekonomi dan kewangan habaq saranan penjenayah lejen dari Pekan itu untuk minta Gomen tebuk atap pi guna wang Petronas bagi nak selamatkan Sapura Energy itu adalah ibarat tindakan ‘privatising profits and socialising losses’ (memperibadikan keuntungan dan mensosialisasikan kerugian).

Dalam bahasa rakyat di bawah ia mungkin berbunyi begini: “Masa syarikat untung, depa para pemegang saham syarikat yang dapat rasa nikmatnya dan bila syarikat rugi pula, disosialisasikan kerugian itu untuk ditanggung oleh rakyat!” .

Bila mendengar dan membaca saranan solusi penjenayah Pekan itu agar digunakan wang Petronas untuk bail out Sapura Energy, minda saya terus teringat sejarah yang berlaku pada zaman pemerintahan sebuah empayar Islam satu waktu dahulu tatkala kaum tartar menakluk bumi umat Islam.

Dalam kitab Fiqh Al-Zakat karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi, beliau menceritakan bagaimana pemerintah waktu itu cuba minta pendapat ulama untuk nak pi kutip cukai dari rakyat bagi nak bantu kerajaan lawan bangsa tartar tu.

Salah seorang ulama’ hebat yang bergelar “Sultanul Ulama” iaitu Imam ‘Izzuddin ‘Abd Salam dengan tegas bersuara bahawa kerajaan masa itu kena pi jual dulu segala harta kemewahan seperti limpahan simpanan emas (termasuk hadiah emas untuk para gundik) yang digunakan untuk depa hidup bermewah dan guna kutipan wang negara itu terlebih dahulu sebelum nak guna wang rakyat.

Bila dah jual semua kekayaan harta tu dan wang masih tak cukup, barulah boleh gomen kutip wang daripada rakyat. Dalam konteks kes Sapura Energy, mungkin gomen tebuk atap kena buat lagu tu juga kot.

Media lapor menurut laporan kewangan tahunan syarikat itu, khabarnya syarikat itu ada aset bernilai RM18.5 bilion di mana dikatakan dari jumlah tersebut, nilai aset syarikat dalam bentuk ‘hard assets’ ada lebih kurang RM13 bilion.

Kenapa tidak aset-aset itu dijual terlebih dahulu untuk, orang putih habaq, ‘to pare down its debts’ (untuk kurangkan jumlah hutang depa)?

Selepas itu semua telah dilakukan dan selepas dilakukan juga audit forensik, barulah munasabah jika nak layan saranan penjenayah Pekan tu kan? Ke lagu mana

Bekas Adun Bersatu Melaka sertai Amanah

 Malaysiakini

Bekas Adun Bersatu Melaka, Noor Effandi Ahmad, memilih Amanah sebagai wadah baru politiknya.

Menurut Noor Effandi, dia menyerahkan borang keahlian Amanah kepada naib presiden parti itu, Adly Zahari, kelmarin.

Penyertaan bekas exco Melaka itu kemudian disahkan Adly.

"Selamat datang kepada Datuk Noor Effandi Ahmad dan Sdr Afiq Nordin serta rakan-rakan dalam keluarga Parti Amanah Negara.

"Semoga kita cekal terus berusaha untuk masa hadapan yang lebih baik buat negara," katanya melalui hantara di media sosial.

Dalam PRU ke-15 lalu Noor Effandi mewakili Bersatu - dan Pakatan Harapan (PH) - bagi merebut kerusi Telok Mas. Dalam pertandingan tiga penjuru itu dia mengalahkan calon BN, Abdul Razak Abdul Rahman; dan Rosazli Md Yasin (PAS) dengan kelebihan 1,288 undi.

Semasa berada dalam kerajaan Noor Effandi pernah dilantik sebagai exco pendidikan, pengajian tinggi, teknikal dan vokasional sains, dan inovasi.

Dia kemudian menyertai gerakan Bersatu meninggalkan PH sekali gus menjatuhkan gabungan tersebut daripada kerajaan, sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Bagaimanapun pada Sept 2021 Noor Effandi menyertai tiga Adun lain menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-Perikatan Nasional yang kemudian membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Noor Effandi tidak dinamakan sebagai calon dalam PRN tersebut.

Menuru Adly apa saja yang baik wajar dijadikan teladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.

"Selamat berjuang dalam Parti Amanah Negara. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Yang Maha Esa," katanya.

Sementara itu Noor Effandi berkata pengalamannya sebelum ini akan dimanfaatkan untuk membantu parti terbabit.

“Inilah wadah baru perjalanan politik saya. Sedikit sebanyak, pengalaman lalu - baik suka mahupun duka - akan dibawa bersama buat merencana suatu harapan yang lebih baik dan semoga membawa manfaat kepada Malaysia tercinta.

"Kekuatan diri akan diperkasa, kelemahan diri menjadi pedoman berharga,“ katanya.

Harga barang harian makin melambung, menteri ramai buat apa?

FAZLI RADZI

Rakyat diserang resah dengan harga makanan dan keperluan harian semakin melambung sejak sebelum Aidilfitri lagi. Menteri terlalu ramai dalam Kabinet yang terlebih saiz entah buat apa.

Tambah membuatkan orang ramai bimbang apabila dijangkakan harga semua barangan keperluan akan melonjak ekoran pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Belum dikuatkuasakan gaji minimum pun, harga barang sudah naik, bayangkan bagaimana nanti kenaikan harga barangan apabila kadar baharu itu dilaksanakan.

Kerajaan terutama menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilihat macam tiada fungsi untuk mengawal harga barangan terutama menjelang musim perayaan.

Harga barangan banyak kali naik sejak kerajaan ‘pintu belakang’ meraih laba kuasa sedangkan gaji baru naik sekali.

Itu pun bukan semua rakyat menikmati kenaikan gaji malah ramai masih terkesan dengan pukulan wabak Covid-19 termasuk diberhentikan kerja.

Kesan kenaikan harga bahan makanan dilihat bakal memburukkan lagi kualiti hidup golongan B40 terutama di kawasan bandar. Keadaan diburukkan lagi jika mempunyai ramai anak selain beban menanggung kos tinggi rawatan penyakit kritikal, ahli keluarga OKU atau menjaga warga tua.

Lonjakan harga bahan makanan berlaku ketika Malaysia mempunyai enam individu yang berkaitan langsung dengan kewangan dan ekonomi.

Jumlah gaji dan elaun Menteri Kewangan, dua Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Timbalan Menteri Ekonomi dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri mencecah ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Sejauhmana tindakan mereka dalam mengawal kejatuhan teruk nilai mata wang negara serentak dengan kenaikan mendadak harga makanan dipersoal.

Luahan rakyat di media sosial tentang realiti kos sara hidup yang semakin meningkat bertebaran. Ada yang membandingkan kesungguhan negara luar dalam mengawal harga keperluan makanan asas.

Pengguna Facebook, Awa Shi berkongsikan pandangannya tentang bagaimana Jepun mengawal harga makanan di semua jenis restoran sekitar 1,000 yen dalam satu hidangan.

“Sushi kebanyakannya 100 yen untuk satu pinggan. Nasi kepal atau onigiri pun 100 yen boleh dapat untuk sarapan.

“Kedai-kedai berkualiti macam Daiso 100 yen banyak di Jepun,” beritahunya lagi.

Situasi peningkatan harga barangan keperluan di Malaysia yang semakin kritikal turut menyaksikan lonjakan beberapa produk pertanian sekaligus kemungkinan risiko terjebaknya negara dalam krisis bekalan makanan.

Sehubungan itu, Burhanuddin Mohd Isa berharap semua rakyat berdoa agar kerajaan yang diterajui Ismail Sabri segera bertindak tidak hanya menjaga tembolok sendiri sahaja.

“Memang ada doa wabak bencana alam dan harga barang naik ini semua musibah,” katanya.

Malah, mereka yang berada di bahagian jualan juga mendedahkan sedang menaikkan harga barang dan servis susulan gaji minimum RM1,500.

Demokrasi dalam Umno sedang menuju kematian?

ARIF ATAN

Jika diperhalusi, pindaan perlembagaan yang diluluskan melalui Perhimpunan Agung UMNO Khas semalam dengan sendirinya menjadikan pemegang jawatan dalam parti itu dapat “berkubang” di kedudukan masing-masing sekitar lima tahun selepas memenangi jawatan yang ditandingi.

Meskipun ketetapan sebenar mensyaratkan pemilihan adalah setiap tiga tahun sekali, tetapi dengan keistimewaan sedia ada untuk melanjutkannya selama 18 bulan dan ditambah dengan pindaan baru iaitu enam bulan selepas PRU diadakan, bermakna tempoh pemegang jawatan dalam UMNO selepas ini adalah lebih lama berbanding hayat penggal Parlimen itu sendiri iaitu lima tahun.

Jika PRU diadakan genap lima tahun daripada tarikh pembubaran Parlimen sebelumnya dan dengan itu pemilihan UMNO hanya diadakan enam bulan kemudiannya, mereka yang berjawatan dalam UMNO lebih menikmati keistimewaan lagi kerana mampu memegang jawatan masing-masing selama lima setengah tahun lamanya.

Woww…seronoklah mereka yang ada jawatan dalam UMNO sekarang, terutama Presiden dan mereka yang segerombolan dengannya.

Mereka kini masih boleh mencatur kuasa dan menentukan calon dalam pilihan raya bagi memastikan masa depan tetap ceria, walaupun sedang ada kes mahkamah misalnya.

Daripada sudut yang lain, apakah keadaan yang berlaku dalam UMNO ini mampu menjadikan parti itu lebih diminati oleh generasi muda dan terus disokong oleh rakyat jelata?

Dalam keadaan UMNO berkuasa selama ini, memang diakui ada kewajaran untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan bagi memberi laluan PRU diadakan terlebih dahulu.

Ini kerana pada ketika itu, penentuan tarikh PRU adalah dalam lingkungan kuasa Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO menentukannya.

Tetapi, setelah UMNO tumbang dan kini kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan campuran, malah mungkin selepas ini parti itu hilang lagi kuasa tanpa menang pilihanraya yang sedang dipegangnya sekarang, mengekalkan ketetapan lama itu sudah tidak lagi relevan.

Sebagaimana sekarang ini misalnya, disebabkan kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan campuran, UMNO tidak lagi mempunyai kuasa menentukan tarikh PRU secara mutlak di sebalik kerusi Perdana Menteri yang hilang sebelum ini sudah pun dimiliki UMNO.

Lebih tidak relevan sebenarnya dengan UMNO melakukan pindaan baru semalam yang menetapkan pemilihan hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU dilangsungkan.

Bayangkan, sementara mungkin parti lain yang berkuasa menentukan tarikh PRU, tetapi pemegang jawatan dalam UMNO tetap dapat bertahan dengan jawatan masing-masing tanpa tergugat sama sekali.

Dengan itu, apa gunanya ditetapkan tempoh pemilihan setiap tiga tahun kalau akhirnya mereka senang-senang dapat bertahan selama lima atau lima setengah tahun dengan jawatan yang dipegang?

Demokrasi apa begitu?

Apakah ini bermakna demokrasi dalam UMNO sedang menuju kematiannya?

Bukankah, sesuai dengan pengajaran daripada kekalahan pada 2018 lalu, pembesar-pembesar UMNO seharusnya lebih berjiwa besar dengan lebih wajar menetapkan pemilihan diadakan setiap tiga tahun secara mandatori tanpa ada keistimewaan lanjutan masa selama 18 bulan atau enam bulan selepas PRU dilangsungkan?

Atau alang-alang demokrasi semacam sudah mati jadinya di bawah kepimpinan sekarang, baik saja dipinda terus perlembagaan UMNO dengan menetapkan pemilihan hanya diadakan setiap enam tahun sekali?

Selepas dapat ‘restu’ PAS, Bersatu Terengganu letak 10 calon lawan BN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu Terengganu akan meletakkan calon di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang Barisan Nasional (BN) hasil persetujuan bersama PAS, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bersatu negeri, Razali Idris, berkata pihaknya juga akan meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Besut, selain mempertahankan Parlimen Hulu Terengganu.

Beliau berkata, PAS melalui perbincangan pengagihan kerusi sudah bersetuju menyerahkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dikuasai BN kepada Bersatu untuk meletakkan calon.

“Kita sudah menyerahkan senarai calon untuk bertanding di 10 kerusi DUN kepada Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk dianalisis.

“Kita menyerahkan senarai tiga calon bagi setiap kawasan DUN kepada Muhyiddin untuk dimuktamadkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada PRU14 lalu, BN memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.

Mengulas lanjut, Razali yang juga ketua Bersatu bahagian Marang berkata, senarai calon diserahkan untuk bertanding di 10 kerusi DUN terbabit adalah berintigeriti, bebas daripada jenayah serta diterima rakyat.

Katanya, senarai calon daripada Bersatu itu juga diserahkan kepada pimpinan PAS negeri untuk dianalisis.

Berhubung pengumuman nama ADUN Telemong, Rozi Mamat, yang akan bertanding mewakili Umno di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Razali berkata, pihaknya tidak mahu mencampuri urusan parti itu, namun mengakui ia berlaku di luar peraturan parti.

“Mengikut peraturan, calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen akan ditentukan presiden dan bukannya pengerusi Umno negeri,” katanya.

Terbukti projek AKSB timbulkan masalah: Exco Kelantan dicadang letak jawatan

BORHAN AHMAD

Bekas Pengerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Datuk Hanifa Ahmad, dicadangkan agar meletakkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, berikutan sekitar 150,000 pengguna air terjejas akibat kegagalan Rumah Pam Telaga Jejarinya.

Ini berikutan kerosakan di projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II (Pakej I) yang telah kontroversi sejak dari awal lagi dan dikritik.

Awal 2018 lalu, pihak yang menegur masalah pembinaannya, Datuk Husam Musa telah disaman oleh AKSB namun kes itu telah dimenangi oleh Husam.

Kini, Pengerusi Save Kelantan itu, Datuk Husam Musa mencadangkan agar Hanifa meletakkan jawatan kerana beliau bertanggungjawab terhadapnya.

“Apa kata, Pengerusi AKSB di masa itu, YB Datuk Hanifa Ahmad – sekarang masih Exco – diminta berundur dari Exco Kerajaan Negeri kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab meneruskan pelantikan kontraktor berkenaan walau pun sudah diperingatkan.

“Menjadi kewajipan beliau sebagai Pengerusi AKSB untuk menjaga kepentingan Kerajaan dan rakyat Kelantan melalui amalan pengurusan yang beramanah.

“Sebarang kepincangan kerana gagal mengikut amalan pengurusan yang pruden hendaklah dipikul oleh mereka yang terlibat,” kata Husam dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.

Menurut Husam, akibat kelemahan peringkat awal pembinaan loji ini telah menyebabkan masalah timbul sekarang ini.

Berdasarkan HEBAHAN GANGGUAN AIR terpapar di Laman Web AKSB sendiri sejak kelmarin dan dikemas kini pada 14 Mei 2022.

Ia berpunca dari kebel besar Aksb – 11 kv atau 11,000 volt dan pepasang elektrik Pam Telaga Jejari AKSB di Sungai Bagan rosak, kata Husam

“Ikut kawan-kawan TNB, kabel macam ini boleh tahan berpuluh tahun bagi projek lain. Kalau pasang betul dan elok,” katanya.

Katanya, kejadian keroskan ini jarang berlaku kalau kontraktor yang memasangnya baik.

“Apa tah lagi bagi loji atau rumah pam yang baru siap seperti di Sungai Bagan, di bawah Projek Merbau Condong yang penuh kontraversi dari awal.

Tetapi ia berlaku.

“Tok-Tok Wakil Pas kena buka la mata. Jangan anggap teguran orang lain langsung tak ada kebenaran. Tegur lah mana patut sebelum terlambat macam sekarang,” kata beliau.

Ini kerana, beberapa Dun terlibat dari empat jajahan?

“Kan Tok Wakil juga yang susah dan dimarahi. Kalau pun tidak dibenci oleh rakyat?” katanya.

Husam menyindir, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub “tak payah lah letak jawatan, fasal KEGAGALAN AKSB bagi beliau tak ada apa-apa yang hendak diherankan, kan.”

TEGURAN

“Info terkini yang saya terima – kerja-kerja pembaikian kabel yang rosak ini memerlukan kontraktor pakar dalam mencari lokasi kebocoran kabel,” kata beliau.

Menurut Husam, panjang kabel yang terlibat adalah sejauh 800 meter atau setengah batu.

Kabel ini dipasang di tepi sungai Bagan. Kawasan ini rata-rata di penuhi kebun jagung penduduk setempat dan kawasan pengambilan pasir.

Bahagian MnE AKSB mungkin tidak mempunyai kepakaran diperlukan, katanya.

“Saya agak kontraktor elektrik dari Kuala Lumpur terpaksa dipanggil dan dengan itu kerosakan ini memerlukan masa sekurang-kurangnya sampai sehari dua lagi untuk dikesan dan pembaikian selesai.

“Panjang jugalah masa ratusan ribu rakyat jelata menderita.

“Berapa pula nanti kos pembaikian ini? Kalau pun tak jutaan, ratusan ribu ringgit akan lesap,” dakwanya lagi.

Katanya, ia kembali kepada cerita kontraktor yang dilantik oleh AKSB dulu tidak ada kelayakan, sub kepala untuk kerja elektrik dan mekanikal atau MnE yang menjadi asas tender.

Laporan berita AKSB memburu pihak yang membocorkan maklumat.

“Ini lah yang ditegur oleh pegawai AKSB yang jujur masa itu. Mereka pula yang diburu – seperti kenyataan YB Datuk Hanifa di atas. Bukan nak betulkan kesalahan. Kini, Allah tunjukkan KekuasaanNya,” kata Husam merujuk kepada kenyataan Hanifa sebelum ini.

Ketika kesilapan ini didedahkan Husam awal 2018 dahulu, Hanifa membuat kenyataan media untuk menyiasat siapa yang memecahkan dokumen tender berkenaan.

Menurut Husam, sejak awal lagi kontraktor utama yang dilantik tidak ada kelayakan MnE.

“Periksalah dokumen-dokumen pra kelayakan tender dulu. Kalau Aksb kata dah tak ada, saya ada salinan dokumen itu,” katanya.

Untuk menutup kekurangan itu, katanya, kontraktor yang tak layak dari awal itu telah menubuhkan syarikat usaha sama dengan sebuah syarikat lain.

“Kontraktor ini tidak layak dari awal. Tetapi tetap dilantik. Agak sendiri lah sebabnya,” katanya.

Menurut bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu, pihak tertentu dalam pengurusan AKSB telah menutup hilang kelayakan ini.

“Syarikat yang ditubuhkan untuk menutup kehilangan kelayakan ini pula belum didaftarkan ketika mereka diberikan projek ini sehingga ditegur oleh Penasihat Undang-Undang Kelantan sendiri masa itu.

“Semua itu tidak dipedulikan oleh Aksb.

“Mereka tetap lantik syarikat yang tak layak.

“Bila saya membuat teguran terbuka, saya dituduh memfitnah AKSB. Saya disaman atas tajuk ini, bukan tajuk yang lain.

“Selang masa berlalu, Allah Maha Besar menunjukkan apa yang terjadi. Ia menyusahkan rakyat jelata.

“Ia mengaibkan AKSB, kecuali AKSB pun beriman dengan malu apa. Apa kita nak kata sekarang?” katanya.

#SaveKelantan #AKSB #HusamMusa #Kelantan #Pas

Nama-nama besar tandingi jawatan dalam PKR

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Pemilihan PKR bermula pada Jumaat untuk memilih pemimpin mereka bagi tempoh tiga tahun akan datang, sehingga 2025, dengan perhatian tertumpu kepada jawatan timbalan presiden yang ditandingi Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

Walaupun Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan presidennya tanpa bertanding, perebutan jawatan kepimpinan lain, seperti empat naib presiden yang dipilih, wajar diperhatikan kerana 17 calon bersaing untuk keempat-empatnya.

Antara yang bertanding adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ketua Wanita Fuziah Salleh, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Nama terkemuka lain yang bertanding termasuk Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Setiausaha Penganjur Nik Nazmi Nik Ahmad dan anggota kepimpinan pusat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Selebihnya adalah ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, bekas ahli Parlimen Kapar G Manivannan, bekas timbalan pengerusi Perak MA Tinagaran, bekas ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas naib presiden Pemuda S Thiban; ADUN Sentosa G Gunarajah, ADUN Chuah Michael Yek and ADUN Bukit Selambau R Summugam.

Bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim and Fahmi Zainol merebut jawatan ketua Pemuda. Adam menubuhkan kumpulan “Seangkatan”, manakala Fahmi menyertai kempen “Ayuh Malaysia” anjuran Rafizi.

Bagi jawatan timbalan ketua Pemuda pula, dua calon yang bertanding adalah peguam Kamil Munim and Chua Wei Kiat.

Sementara itu, perebutan jawatan ketua Wanita menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Roziah Ismail dan Fadhlina Sidek, manakala jawatan timbalannya akan ditandingi Faizah Ariffin, Juwariya Zulkifli dan Napsiah Khamis Maharan.

Di peringkat cabang, antara persaingan yang ketara adalah di Gombak, di mana bekas setiausaha politik Anwar Farhash Salvador akan menentang Amirudin.

Di Pulau Pinang, pertembungan antara ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Exco Halim Hussain bagi jawatan ketua cabang Bayan Baru dikatakan patut diberi tumpuan.

Beberapa selebriti yang menganggotai PKR turut mengambil bahagian dalam pemilihan tahun ini.

Hans Isaac dan penyanyi rap Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, akan bertanding untuk jawatan ketua cabang Ampang, dalam pertembungan dengan tujuh yang lain.

ans menyertai parti itu pada 2020, manakala Altimet pada tahun berikutnya.

Sumber dalaman parti berkata, cabang Ampang menjadi lemah selepas bekas ketuanya Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti dan menyertai Bersatu. Dengan Hans dan Altimet bertanding, dijangka ini dapat menyegarkan dan meningkatkan moral di cabang itu.

Seorang lagi selebriti, Ketua Eksekutif Petra Media Afdlin Shauki bertanding untuk jawatan ketua cabang Setiawangsa, menentang Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Undian dalam talian akan dijalankan dari 18-20 Mei bagi mereka yang telah mendaftar, manakala undian secara fizikal bermula pada 13 Mei dan akan diteruskan sehingga 22 Mei.

Keputusan bagi kepimpinan cabang akan diumumkan pada 23 Mei, manakala jawatan timbalan dan naib presiden pada 26 Jun, sehari selepas kongres kebangsaan parti pada 24-25 Jun.

Pemilihan berasingan akan diadakan untuk memilih 60 ahli dalam jawatankuasa pusat, serta jawatankuasa sayap Pemuda dan Wanita. Kira-kira 2,000 perwakilan daripada cabang dijangka akan mengundi.