Anwar: Rafizi tak perlu sanggah presiden dalam kongres

Anne Muhammad

SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim menegur Rafizi Ramli supaya tidak menggunakan kongres parti untuk memberi pandangan negatif berkaitan dirinya, sebaliknya teguran boleh dibuat secara dalaman.

Anwar berkata, ketika berlangsungnya kongres parti sejak semalam, hampir 90% perwakilan mengusulkan supaya semua pihak memperkukuhkan parti.

“Saya tak mahu panjangkan isu ini, kerana Ini Rafizi. Kalau dia tak gunakan forum itu menyinggung sikit-sikit bukan dia.

“Saya harap mudah-mudahannya dalam beberapa perbincangan awal, saya pujuk dia redakan hal ini tumpu menyerang musuh, tumpu perkuat parti.

“Bila dia sibuk bab itu, dia tak nampak masalah dalaman ini kerana masalah dalaman boleh bincang, boleh kritik, boleh canggah, boleh bantah dalam forum dalaman. Itu adab jamaah, saya rasa dalam perbincangan tadi, 90%cakap hal sama,” katanya pada sidang media di Kongres PKR.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rafizi bahawa popularitinya sebagai ketua pembangkang ketika ini mengalami kemerosotan.

Rafizi turut berkata sekiranya beliau menjadi Anwar, beliau akan menerima dapatan kajian berkenaan kerana ia memberi kesan langsung kepada Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

‘Tinggalkanlah parti’, tangisan Wan Azizah di kongres PKR, kecewa kerana musuh dalam selimut

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu ahlinya jika mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti, mereka boleh meninggalkan parti tetapi jangan jadi musuh dalam selimut.

Wan Azizah yang mesra dipanggil Kak Wan itu menyampaikan ucapan kongres wanita dengan tangisan air mata apabila menyentuh konflik dalaman parti.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang kecewa selepas kekalahan dalam pemilihan parti baru-baru ini supaya tidak terus menyerang dan menghancurkan PKR dari dalam. Mereka tidak patut bermusuh antara satu sama lain, katanya.

“Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan (parti), tinggallah.. tak apa.  Tapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam. 

“Jangan hancurkan apa yang kita sama-sama bina,” katanya yang kelihatan amat sedih dan kecewa dengan konflik dalaman parti itu. 

Wan Azizah turut mengimbas kembali tentang kesetiaan anggota parti ketika tempoh krisis langkah Sheraton yang menyaksikan pengkhianatan dari bekas timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membawa keluar 10 Ahli Parlimen PKR sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, ahli-ahli di dalam PKR ibarat satu keluarga dan mereka perlu menyatukan semula kekuatan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang cukup mencabar.

“Dalam tempoh 23 tahun ini tidak sedikit daya juang dan kesetiaan kita pada parti telah tergugat. Dengan pelbagai tohmah, kemelut, perpecahan dan tiada disiplin pada keputusan. Cukup rencam serta memberi kesan kepada kestabilan organisasi. Tapi ini bukan baru. Timbalan pertama pun (Azmin) tinggalkan kita, jangan lupa.

“Saya biasa kalah tetapi tak bermaksud saya memusuhi (lawan). Kita semua ahli keluarga. Pemilihan sudah berakhir, inilah masanya untuk kita kembali merangkul kekuatan dan terus konsisten dengan perjuangan asal kita,” katanya pada kongres wanita PKR hari ini.

Wan Azizah dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa sama ada menang atau kalah, seseorang itu perlu mengekalkan kesopanan dan adab kerana ia merupakan adat dalam sesuatu pertandingan.

“Kalah atau menang kita kena ingt adab, adab seorg kawan dan seorg lawan. adab dan akhlak kesopanan Melayu, kita tak boleh dijual beli

“Kita bukan saja perlu berbudi pada alam tapi pada makhluk, kepada sama-sama kawan…Ini adalah sebahagian daripada kita sebagai seorang insan,” katanya lagi.

Elak hal berkaitan Islam jadi bahan ketawa, ‘pelawak’ di masjid perlu dibanteras

DANIAL HAKIM

Tiga individu termasuk wanita yang menjadikan hal berkaitan Islam sebagai bahan ketawa di sebuah kelab komedi telah bermalam di lokap dan diheret ke mahkamah.

Namun, dalam masa sama gejala segelintir penceramah agama menjadi pelawak di masjid hingga riuh-rendah rumah ibadat dibuatnya juga perlu sangat dibanteras.

Ikuti tulisan ATRIZA UMAR berikut yang mengupas isu bagaimana ‘penunggang agama’ tidak segan silu apabila melampaui batas menjadikan agama sebagai bahan ketawa:

Ahli falsafah Inggeris Thomas Carlyle yang memenangi Hadiah Nobel berkata dalam bukunya, ‘Heroes’:

“Menjadi salah satu perkara yang memalukan bagi mana-mana individu yang bercakap pada zaman ini, apa yang dikatakan bahawa agama Islam adalah pembohongan dan bahawa Muhammad adalah pemalsu yang menipu.”

“Kita telah melihat sepanjang hayatnya, teguh pada prinsip, azam yang tinggi, berpandangan jauh, pemurah, alim, belas kasihan, berbudi bahasa. Seorang lelaki yang sangat bersungguh-sungguh, ikhlas, namun, lembut dan tegas.”

Tambahnya, baginda seorang yang sangat adil, cerdas hatinya, berbudi luhur, lemah lembut, seakan-akan ada pelita di antara kedua sisinya setiap malam, bercahaya, seorang yang besar sifatnya.

Dan selepas Carlyle menghuraikan tentang keadilan Rasulullah, beliau mengakhiri ucapannya dengan kata-kata ini:

“Beginilah kehebatan, beginilah kepahlawanan, dan begitulah geniusnya seorang Muhammad.”

Realitinya, sejarah penghinaan dengan pelbagai cara sentiasa berlanjutan terhadap Islam dan baginda Salallahualahiwasallam (SAW), telah bermula sejak zaman baginda mula menyebarkan dakwah lagi.

Siti Nuramira Abdullah, 26, dan teman lelakinya, V Alexander Navin, 38, didakwa ekoran mempersenda Islam.

Cukuplah ibrah dan asbab nuzul dalam Surah al-Lahab dan Surah al-Kauthar menjadi bukti secara jelas bahawa yang melindungi Rasulullah SAW ialah Allah Subhanahuwataala (SWT).

Pada 2016, dunia menyaksikan bahawa seorang menteri di Mesir yang mempersenda Nabi SAW, lantas dipecat berikutan apa yang dikatakannya itu adalah sesuatu yang sensitif dan menghina Islam.

Ahmed al-Zind dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kehakiman Mesir berikutan mengeluarkan kenyataan berbaur persendaan kepada Rasulullah SAW.

Ia dilaporkan menyebut bahawa dia akan memenjarakan mana-mana individu yang didapati bersalah tidak terkecuali Rasulullah SAW.

Ucapan ini telah disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen Mesir dan telah mengundang kemarahan dan bantahan umat Islam, bukan sahaja di Mesir.

Waktu itu, Perdana Menteri Mesir, Sheriff Ismail yang telah bertindak tegas mengumumkan pemecatan Ahmed al-Zind daripada jawatan Menteri Kehakiman Mesir.

Betapa agama Islam dan Nabi SAW dimuliakan serta disanjung tinggi, tanpa mengira siapa pun diri seseorang itu.

Kerenah yang perlu dinoktahkan

Gurauan dengan menggunakan sesuatu perkataan atas istilah yang merujuk kepada hal-hal berkaitan agama Islam perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh merosakkan akidah.

Dewasa ini, pelbagai ragam dan kerenah dicetuskan oleh golongan tertentu semata-mata untuk memenuhi selera diri mereka, terutama apabila membuat sesuatu itu untuk ‘content’ bagi meraih ‘likes, views, followers’ apatah lagi ‘viral.’

Situasi ini tidak khusus merujuk kepada orang awam sahaja, tetapi terdapat golongan seperti ‘penunggang agama’ tidak segan silu apalagi rasa amat malu terhadap agama yang mulia ini.

Sebagaimana memetik kata-kata Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, sebagai Muslim yang beriman, pasti mempunyai sifat ‘cemburu’ (ghirah) terhadap agamanya.

“Seperti dalam insiden seorang yang kononnya pelawak atau cuba menjadi pelawak di sebuah kelab komedi baru-baru ini. Menjadikan agama sebagai bahan komedi bukanlah tindakan yang bertamadun, bahkan jelek dan biadab,” tegas beliau.

Beliau berkata, namun jauh sebelum itu, telah ramai ‘pelawak’ yang merapu meraban seakan ‘stand-up comedian’ bukan di kelab komedi, tapi di masjid dan surau.

“Riuh-rendah dalam masjid dengan gelak ketawa akibat sang ‘pelawak’ yang cuba menghiburkan dengan lawak jenaka, cerita karut, kisah dongeng Israiliat, hadis palsu dan seumpamanya yang dipersembahkan oleh ‘pelawak’ yang mungkin menghafal 30 juzuk al-Quran.”

Bagaimana rasa dan tindakan kita apabila lawak seumpamanya itu tercetus daripada orang Islam itu sendiri? Adakah kita perlu berdiam diri, pekakkan telinga dan butakan mata? Sangatlah tidak layak kita berbuat demikian. Kembalilah ingat Firman Allah SWT:

“Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” (Surah al-An’aam : 70)

Sedarkah mereka, perbuatan mempersenda agama adalah satu dosa besar dan bagi mereka azab yang amat perit. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam ayat yang sama (Surah Al- An’aam):

“Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”

Menjadi perosak dalam beragama?

Teringat saya dalam perbincangan berkaitan isu ini, iaitu kata-kata Ketua Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia IKRAM, Puan Siti Hamisah Manan bahawa selalunya kita dengar orang bukan Islam menghina atau memperlecehkan agama Islam.

“Tetapi sekarang ini, orang Islam itu sendiri yang melakukannya. Apakah pandangan orang yang bukan beragama Islam terhadap situasi ini?”

Dan tentunya persoalan itu wajar difikirkan bersama semua umat Islam. Walau sememangnya kita tidak perlukan apa-apa pandangan tentang itu, tetapi di mana maruah dan martabat agama Islam itu sendiri di mata kita sebagai seorang Muslim?

Setiap umat Islam ada peranan besar terhadap agama Islam yang mulia ini. Siapa pun yang mempersendakan agama Islam atau agama lainnya, ia tidak wajar dibela apatah lagi dilindungi.

Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan untuk kita mempertahankan Islam dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama.

Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu mempersendakan dan mengejeknya?”

“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (Surah at-Taubah : 65-66)

Sedangkan William, seorang sejarawan Inggeris yang hebat menukilkan dalam bukunya, ‘The Life of Muhammad’:

“Muhammad SAW sangat cemerlang dalam kejelasan ucapannya dan kemudahan agamanya, baginda menyempurnakan amalan-amalan dengan konsisten. Sejarah tidak perlu seorang pembaharu yang membangkitkan jiwa, menghidupkan akhlak dan mengangkat martabatnya dalam masa yang singkat seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad untuk agama Islam.”

Jadi, fikir-fikirlah bagaimana kita terhadap agama yang mulia ini?

Simptom yang berakar umbi

Mengulas isu yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu ini, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Dr Hamidah Mat berkata, kebanyakan insiden yang berlaku pada masa ini adalah simptom-simptom kepada satu masalah yang telah berakar umbi.

“Seperti barah yang sedang merebak di dalam badan, tanda dan sakit yang muncul memberikan amaran.”

Beliau berkata, insiden yang berlaku amatlah dikesali, apalagi dengan kelajuan teknologi dalam wadah media sosial yang melambakkan komen-komen secepat kilat, hingga kadang-kadang sesuatu perkara belum sempat kita hadam dan faham akan tujuan dan motif ia dilakukan.

“Sungguh, sensitiviti dalam sesetengah golongan pada hari ini sudah makin pudar, sama ada sensitiviti terhadap susila bangsa mahupun adab dalam agama,” ujarnya.

Beliau yang juga Penasihat ILMAN berkata, tindakan yang dilakukan tidak dapat diterima dalam mana-mana neraca, hatta dalam neraca lawak jenaka sekalipun.

“Hakikatnya, perbuatan tersebut seperti meludah ke langit, akhirnya yang terkena ialah diri sendiri, keberanian mempersenda yang cuba dilawakkan akhirnya tumpah sebagai aib ke muka sendiri,” tegasnya dengan berkata apa yang pasti, satu langkah yang drastik perlu dilakukan.

“Nampaknya bukan kanak-kanak sahaja yang perlu disekolahkan, golongan dewasa juga dilihat dahagakan suntikan-suntikan yang positif dan segar untuk menjadi manusia yang betul-betul menggunakan akal dan kewarasan dalam tindakan.”

Menurutnya lagi, jika perlu, penguatkuasaan dalam bentuk undang-undang yang lebih tegas dan hukuman yang setimpal dilihat sebagai satu alternatif yang mendesak demi mengekalkan kesejahteraan sosial dalam masyarakat.

Kenakan tindakan tegas

Memang Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, maka pohonlah keampunan atas dosa yang telah dilakukan dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh.

Walaupun begitu, kita sebagai seorang Muslim perlu bersikap tegas dan keras dalam mengendalikan isu yang sangat keterlaluan serta melampau ini.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar : 53)

Justeru, pihak Kerajaan Keluarga Malaysia terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlulah bersikap tegas tanpa kompromi terhadap isu yang berleluasa kini.

Sedangkan kita hidup di sebuah negara yang agama Islam disanjung dan agama lain juga tidak boleh diperlecehkan, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 108;

“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

Maka, sudah tiba masanya situasi seperti yang terjadi ini dikenakan tindakan yang tegas agar tiada lagi golongan yang berani melakukan perkara yang sama semata-mata meraih populariti atau agenda tertentu, tidak terkecuali kepada sesiapa pun.

Khairuddin tak tolak kembali ke pangkuan PAS, tapi bukan sekarang

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali yang meninggalkan PAS pada Mac lalu tidak menolak untuk kembali ke pangkuan parti itu semula.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu bagaimanapun berkata, isu itu tidak berbangkit buat masa ini, sebaliknya beliau menyerahkan kepada masa untuk menentukan bila ia akan berlaku.

“Bagi saya, tak berbangkit untuk mengajak saya kembali kepada PAS kerana saya berhenti secara sukarela mengikut perlembagaan parti.

“Akan datang tak pasti macam mana…perkara mendatang itu kita serah kepada ilmu Allah,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan PAS Terengganu yang terbuka menerima bekas pemimpin dan ahlinya untuk kembali kepada parti itu, termasuk Khairuddin.

Khairuddin berkata, sejak keluar PAS, beliau tidak pernah menyerang parti itu, sebaliknya hanya memberi pandangan secara akademik berdasarkan isu yang berlaku.

“Saya tak pernah menyerang PAS kerana PAS adalah sebahagian daripada kerajaan dan kita sama-sama Ahli Parlimen kerajaan,” katanya sambil memaklumkan hubungannya secara peribadi dengan pemimpin PAS masih baik.

Walaupun tidak lagi bersama PAS, beliau berharap ahli parti itu kekal bersama PAS untuk meneruskan wadah perjuangan mereka.

Katanya, beliau juga akan terus memperjuangkan agenda Muafakat Nasional serta menyatukan kembali Umno dan PAS.

“Tidak ada apa yang mustahil dalam politik. Hasrat untuk berpakat dan muafakat adalah hasrat ahli-ahli akar umbi…pemimpin atasan mesti mendengar kehendak dan kemahuan ahli, dan jangan bertindak kerana kepentingan peribadi yang sempit.

“Kita kena terus berusaha dan saya akan terus berusaha untuk bersama dengan Umno berpakat dan berusaha berpakat dengan PAS, selagi mereka tidak menolak atau memulau saya,” katanya.

Diminta mengulas kemesraannya bersama Umno, termasuk menganjurkan program Korban Perdana #KeluargaMalaysia Kuala Nerus yang turut dihadiri Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said pada Isnin lalu, Khairuddin berkata, ia kerjasama demi kebaikan rakyat di kawasannya dan bukannya untuk menyertai parti itu.

“Isu nak jadi calon (Umno) dalam pilihan raya umum, isu lain (mahu masuk Umno) tak berbangkit. Ia kerjasama dalam menyelesaikan tugas sebagai Ahli Parlimen, itu saja,” katanya.

Dah kena balun dengan netizen, Afdlin Shauki buat pusingan U

Afdlin Shauki buat pusingan U, jijik tidak beri lagi sokongan kepada kelab komedi TTDI

DANIAL HAKIM

Pelakon dan pelawak Datuk Afdlin Shauki hari ini membuat pusingan U dengan menarik kembali sokongan kepada Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di Kuala Lumpur.

Menerusi hantarannya di Facebook, pengarah filem itu menegaskan dengan sekeras-kerasnya apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

Pendirian terkininya itu seperti dijelaskan dalam satu program siaran langsung bersama Amin Idris adalah susulan maklumat-maklumat yang diterimanya daripada rakan-rakan beliau.

“Walaupun hanya segelintir, jika ianya berterusan akan menjadi barah. Perbuatan-perbuatan seperti di atas yang dibanggakan membuat saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club!” tegasnya.

Dalam masa sama, Afdlin turut berkongsikan tangkap layar dari Instagram Rizal Van Geyzel yang memaparkan aksi meminta bantuan seorang wanita Muslim di barisan hadapan pentas persembahan komediri (komedi berdiri) untuk membuka tin bir untuknya.

Terdahulu, tular beberapa sedutan rakaman video yang memaparkan Rizal membuat persembahan komediri dengan naratif yang disifatkan mempersenda Islam dan Melayu selain memfitnah sekolah kebangsaan.

Mengulas lanjut, Afdlin berkata, sebelum ini beliau tidak menyokong penutupan Kelab Komedi Crackhouse lantaran demi kesinambungan rezeki golongan pelawak yang kebanyakannya mempunyai lawak bermutu dan tanpa menghina sesiapa.

“Sekarang ini, nasihat saya pada pelawak-pelawak stendap cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki…,” ujarnya.

Beliau berpendapat kontroversi yang mula tercetus ekoran tindakan seorang wanita berusia 26 tahun yang menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga tampil mencolok mata itu dijangka mengambil tempoh panjang untuk diselesaikan.

Oleh sebab itu, Afdlin berkata, kes tersebut harus diserah kepada pihak berkuasa dan jika mereka disabit kesalahan mestilah menerima pembalasannya.

“Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang terus murah.

“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ni membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi Kelab Komedi Crackhouse pada 10 Julai lalu selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Walhal, setiap premis yang menjalankan perniagaan restoran dan operasi berbentuk hiburan perlu memiliki dua lesen iaitu lesen restoran dan hiburan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pihak penguat kuasa pelesenan DBKL akan mengambil tindakan lebih tegas yang boleh membawa kepada penutupan kelab jika benar menyalahi syarat lesen yang dikeluarkan.

Kalau tak menipu bukan Najib namanya, dakwa bekas pegawai MITI

NASUHA RAHMAN

“Kalau tak menipu bukan Najib namanya,” dakwa bekas pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mula menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan berkenaan isu Sulu.

Menurut bekas pegawai MITI Liyana Marzuki, Najib Razak sebenarnya cuai dalam kes Sulu ini yang mana pada tahun 2017 ketika itu beliau sebagai Perdana Menteri langsung tidak pernah menghantar wakl peguam untuk rekod penghakiman kes ini.

Bahkan katanya, sehingga kes ini berlanjutan pada tahu 2018 pun Malaysia masih lagi tidak hadir membela kes.

“Masa tu, PM Malaysia masih Najib. Bukan Tun M.

“So, apa cerita ni Najib. Awak yang cuai dengan kes ni, dah salahkan orang lain pula.

“Tu sebab saya cakap, kalau tak menipu bukan Najib namanya,” kata beliau.

Kalau tak menipu bukan Najib namanya, dakwa bekas pegawai MITI

2 Aset Petronas didakwa dirampas Kesultanan Sulu

Terdahulu, Najib di facebooknya panjang lebar menyenaraikan kronologi isu Sulu bermula tahun 2013 yang mana beliau mendakwa kerajaan Pakatan Harapan menyokong untuk hentikan bayaran RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu.

“Jenuh la team putar alam Najib spin dan spin lagi menipu kita. Tak habis-habis.

“Najib kata Sultan Sulu tidak pernah saman Malaysia pada zaman Najib. Saya dah bagi bukti kes saman bermula pada 2017 lagi. Ini mengikut rekod penghakiman kes.

“Pastu, dia oorang salahkan Kerajaan seterusnya kenapa tak pernah hantar wakil ke Mahkamah. Ni saya nak gelak,” kata Liyana lagi.

Isu Sulu kembali hangat diperkatakan selepas dilaporkan pewaris kesultanan Sulu telah merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia, Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Waris kesultanan Sulu sebelum ini dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

“Kita tak nak Malaysia bankrap macam Sri Lanka”- Warganet mahu pemimpin rasuah dijatuhkan segera

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sri Lanka bankrap masih lagi menjadi perbualan hangat wargamaya sehingga hari ini. Mana tidaknya, negara yang berpenduduk sekitar 22 juta orang itu, dilapor muflis disebabkan rasuah berleluasa di negara tersebut.

Negara kita juga sejak akhir-akhir ini banyak membongkar salah laku dan ketirisan yang dilakukan pemimpin atasan. Tidak hanya mereka yang berada di herarki tertinggi, sampai ke peringkat akar pun ada yang terpalit dengan rasuah.

Di sini, menimbulkan kebimbangan orang ramai yang rata-rata memberi amaran mungkin Malaysia mengikut jejak langkah Sri Lanka disebabkan sikap penguasa yang tidak amanah.

Bagaimanapun seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun @wolfipali, menegur agar orang ramai tidak mendoakan perkara buruk terjadi kepada Malaysia kerana hutang negara masih lagi dalam keadaan terkawal.

Dia memberitahu, Malaysia sedang mengawal ekonomi negara daripada bankrap dengan usaha menaikkan kadar faedah dan melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya juga, masalah yang berlaku di Malaysia tidak seteruk di Sri Lanka dan meminta netizen berhati-hati dengan apa yang mereka minta.

Ciapan itu kemudian disanggah warganet yang menyifatkan individu berkenaan salah tafsir dengan apa yang dibimbangi netizen.

“Masalahnya orang bukan minta Malaysia bankrap macam Sri Lanka. Kita nak rakyat sedar dan bangkit belasah menteri. Tapi tu lah semua pun takut masuk lokap. Akhirnya hadap je lah,” ciap pengguna Twitter.

Apa yang dapat difahamkan, orang ramai menekankan tentang lemahnya pengurusan ekonomi dan rasuah berleluasa.

Bahkan mereka yakin, dengan ketirisan meningkat, tidak mustahil Malaysia berkesudahan seperti Sri Lanka.

“Tak ada siapa yang minta Malaysia jadi seperti Sri Lanka. Yang diminta adalah agar semua rakyat Malaysia peka dan waspada yang kita boleh jadi seperti Sri Lanka jika dibiarkan berleluasanya rasuah, tadbir urus yang lemah, dan menteri atau politikus yang hanya pentingkan poket sendiri,” tulis pengguna lain.

Isu ini turut mendapat perhatian Penganalisis Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Harris Zainul yang berpendapat tidak ada rakyat Malaysia yang mahukan nasibnya sama dengan Sri Lanka, cuma negara itu boleh dijadikan pengajaran tentang akibat salah guna kuasa.

“Saya pun tak bersetuju dengan perbandingan Malaysia-Sri Lanka. Majoriti hutang kerajaan adalah kepada pelabur tempatan dan bukan antarabangsa.

“Namun saya rasa bukannya rakyat Malaysia meminta nasib sama tetapi Sri Lanka merupakan pengajaran tentang akibat rasuah/salah guna kuasa,” tulisnya.

Terbukti kelab komedi ini tempat menghina Islam

Tutup terus kelab komedi hina Islam dan Melayu

FAZLI RADZI

Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dilihat menjadi sarang mempersenda dan menghina Islam dan Melayu.

Hal itu terbongkar susulan aksi seorang wanita Melayu yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar menanggalkan baju dan tudung selepas mendakwa menghafal 15 juzuk al-Quran.

Ekoran itu terbongkar pula beberapa sedutan klip video TikTok yang memaparkan “jenaka” seorang lelaki berbahasa Tamil dan Inggeris yang menggunakan nama Rizal Van Geyzel.

Ayah kepada empat anak itu antara lain mengaku sebab dia buat persembahan jenakanya dalam bahasa Tamil sebab suka perli orang Melayu.

“… sebab mereka tak faham apa yang saya maksudkan,” katanya.

Malah, dakwanya, orang Melayu juga tidak faham jika persembahan dibuat alam bahasa Inggeris.

Sementara itu, dalam satu persembahan “stand up comedy” lain oleh lelaki berkenaan, dia mendakwa sekolah kerajaan telah mengasingkan murid mengikut kaum.

Bahkan, fitnahnya, guru agama di sekolah kerajaan juga memberitahu bahawa orang bukan Islam akan masuk neraka.

“Sebaik sahaja kamu tiba di sekolah, mereka asingkan kamu mengikut agama kamu, bukan?

“Jika kamu Muslim, kamu pergi ke pengajian Islam, bukan? Dan kamu bukan Islam, kamu akan masuk neraka.

Semakan turut mendapati, terdapat beberapa program dengan poster perkataan “halal” seperti “Happy Halal-Days” yang berlangsung pada 24 dan 25 Disember.

Program “jenaka” yang juga disertai Shamaine Othman itu dikatakan mendapat sokongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).

Sebelum itu, pada 21 dan 22 Disember, kelab komedi sama mengadakan slot persembahan bertajuk, “Funny, InsyaAllah, 100% HahaHaLal”.

Dalam poster itu turut terpampang imej tiga lelaki termasuk Rizal disunting dengan ‘berpakaian’ serban lengkap berjanggut.

Waris kesultanan Sulu rampas aset Petronas bernilai AS$2 bilion

Malaysiakini 

Waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia - merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Peguam berkata bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin.

Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

Peguam bagi pihak yang menuntut telah berhujah bahawa memandangkan Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York), maka anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan sekiranya jumlah yang dituntut tidak dibayar.

Wanita hina Islam: ‘Dari 2015 Mereka Dah Buat Hal’ – Merdekarya Kongsi Kisah Pernah Disabotaj Pasangan Tular

Nur Syamimi

Baru-baru ini tular di media sosial, sebuah video memaparkan seorang wanita dipercayai menghina Islam dalam satu persembahan komedi di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail dan siasatan telah dijalankan berhubung isu tersebut.

Bukan itu sahaja, Crackhouse Comedy Club telah diarah untuk tutup operasi sementara disebabkan isu terbabit. Terbaharu, kafe dan bar Merdekarya mendedahkan bahawa wanita tersebut yang dikenali sebagai Amy dan pasangannya pernah cuba menjatuhkan reputasi bar.

Menerusi perkongsian di Twitter, Merdekarya mengatakan bahawa Alex iaitu pasangan kepada wanita terbabit selalu berkunjung ke bar Merdekarya sekitar tahun 2015. Menerima banyak aduan daripada pengunjung atas tingkah laku tidak bermoral Alex, maka pihak Merdekarya memberikan Alex pilihan untuk tidak berkunjung ke bar atau menghentikan tingkah lakunya itu.

Alex memilih untuk tidak datang kembali ke bar. Akan tetapi, Alex dan pasangannya Amy telah berkunjung ke bar Merdekarya pada bulan lalu untuk menganjurkan sebuah acara.

Dikatakan bahawa acara yang mahu dianjurkan itu melibatkan stand-up comedy, persembahan Alleycats dan juga bengkel seks. Lantaran itu, pihak Merdekarya telah menolak permintaan mereka yang menganjurkan acara itu.

Tidak puas hati permintaan ditolak, Alex dan Amy bertindak ‘melarikan diri’ daripada membayar makanan yang mereka makan berjumlah RM75. Malah, pihak Merdekarya juga menerima ugutan bunuh dan khianat mahu membakar bar daripada Alex di media sosial serta WhatsApp.

Bukan itu sahaja, para pelanggan Merdekarya juga menerima mesej berbau ugutan bahawa mereka akan terbunuh jika berkunjung ke bar disebabkan kebakaran.

Selain itu, Alex juga mahu menjatuhkan reputasi bar Merdekarya apabila mendakwa makanan dijual memperdaya umat Islam apabila menjual daging babi sedangkan memang menu memang jelas mengatakan ada babi.

Amy juga telah memberikan komen bahawa telah ‘termakan’ babi dalam hidangannya di bar Merdekarya. Oleh itu, pihak Merdekarya telah membuat laporan polis dan Alex telah ditahan polis dan didakwa di mahkamah serta mengaku bersalah dan dibebaskan dengan kompaun sebanyak RM100.

Tambah Merdekarya, agenda Alex dan Amy ialah untuk memperalatkan pentas seni tempatan bagi tujuan promosi kultus seks mereka, dan jika tempat itu tidak membenarkan mereka, maka rancangan mereka ialah untuk memperalatkan pula pihak berkuasa untuk menutup tempat tersebut.

Itulah apa yang menimpa Crackhouse Comedy Club dan Merdekarya berharap pihak berkuasa menarik balik penggantungan lesen Crackhouse Comedy Club. Kedua-dua Merdekarya dan Crackhouse KL sering menganjurkan acara open-mic sebagai cara untuk mencungkil bakat baru seni masing-masing.

Catatan persaraan Prof. Mohammad Agus Yusoff

37 tahun membedah politik Malaysia: Satu catatan persaraan

Mohammad Agus Yusoff

Tahun 1985 semasa saya baru bertugas, berlaku tragedi Memali. Satu sebab utamanya ialah kesan amanat seorang pemimpin PAS yang diucapkan di Kampung Banggol, Peradong pada April 1981. Bahaya amanat ini dan amanat ini sampai sekarang belum lagi ditarik balik.

Demokrasi Malaysia juga begitu, selama 37 tahun saya menilainya hanya prosedural, setakat ada pilihan raya secara berkala sahaja. Dari dahulu, ada sahaja akta yang menyekat keberanian rakyat untuk bersuara.

Mengkritik dan menegur kerajaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) menanti walaupun sebenarnya ia bertujuan untuk menangkap dan menahan tanpa bicara mana-mana orang yang memudaratkan keselamatan negara atau mana-mana perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

Biarpun begitu tujuan ISA, mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia juga dianggap sebagai memudaratkan keselamatan negara. Oleh sebab itulah, ramai yang bertentangan dengan kerajaan di bawah ISA.

Setelah ISA dimansuhkan, saya membayangkan rakyat akan mempunyai ruang untuk berhimpun dan bersuara. Ruang itu memang ada sekarang, tetapi tetap dibataskan dengan pelbagai akta dan sekatan baru. Ekspresi demokrasi mandul lagi.

Ini yang membimbangkan saya. Saya bimbang sekiranya intelektual tidak berani bersuara lagi dan menjadi bisu untuk menegur kerajaan. Saya sendiri merasakan begitu.

Kawan-kawan dalam politik yang berjawatan, apabila ada sedikit perbezaan pendapat tidak lagi bertegur sapa, dan tidak lagi menjawab pesanan WhatsApp. Saya harap pemimpin kita selepas ini berjiwa besar dan bersedia meraikan perbezaan pendapat, apatah lagi apabila perbezaan itu adalah berkaitan dengan hal-hal pengurusan negara.

Kini PRU15 menghampiri, semua parti ada masalah masing-masing. Pun begitu, sejujurnya jika diadakan PRU sekarang, BN mempunyai kelebihan kerana kuasa incumbentnya, dan parti oposisi pula dalam keadaan keliru antara perlu khemah besar atau sebaliknya.

Saya menolak khemah besar. Parti politik yang kuat di Malaysia cuma Umno, PAS, PKR dan DAP sahaja. Parti-parti lain kecil, tidak ada akar umbi yang kuat, dan bukan bersifat nation-wide parties.

Dalam PRU akan datang, saya berharap hanya dua gabungan parti sahaja bersaing—BN dan PH. Oleh itu, PH hanya perlu ada PKR, DAP, Amanah dan Upko sahaja. Upko kerana ia bersama PH sejak tahun 2018 dan tidak melakukan pengkhianatan kepada PH. Muda juga boleh dipertimbangkan kerana mereka juga belum ada sejarah mengkhianati PH.

Jika PN bertanding sebagai gabungan ketiga, itu lagi menarik. Rakyat akan menilai parti pilihan masing-masing. Sekiranya Bersatu tidak membuat impak dalam PRU15, maka setakat itu sajalah Bersatu signifikan dalam politik Malaysia.

Pejuang, biarpun bersetuju dengan khemah besar asalkan tanpa Anwar Ibrahim, dan mahu bertanding sekurang-kurangnya 120 kerusi bagi membentuk kerajaan, jika menang, bagi saya hanya khayalan sahaja.

Saya menaruh harapan besar untuk politik Malaysia berubah setelah PH menang dalam PRU14. Saya mengharapkan berlaku pendemokrasian politik Malaysia.

Malangnya, ia tidak berlaku. Dan lebih malang lagi setelah beberapa polisi kerajaan PH ketika itu melanggar manifesto Buku Harapan dan memijak intelek rakyat, ramai ahli parlimen dan menterinya diam tidak bersuara.

Bahaya kuasa ini, ia membuatkan pemimpin yang sebelum ini melaungkan reformasi menjadi kaku dan terkunci mulut. Mujurlah berlaku Langkah Sheraton, setidak-tidaknya pemimpin yang kehilangan kuasa tadi mendapat pengajaran daripadanya, jika mahu sedar.

Rakyat lega apabila kerajaan berubah. Harapan rakyat agar kesilapan kerajaan BN dan PH tidak diulangi. Namun, yang berlaku tetap sama.

Selain Covid-19 yang memangsakan kerajaan PN, kerajaan ini juga membonsaikan demokrasi. Tidak mahu mendengar jeritan rakyat, mengamalkan tindakan dua darjat, membentuk kabinet gemuk dan melantik duta khas yang entah apa fungsinya, menutup parlimen, dan lain sebagainya.

Kerajaan Keluarga Malaysia juga begitu, kabinetnya gemuk, ada duta khas yang keberkesanannya tidak jelas, dan pelantikan pelbagai jawatan yang melukakan perbelanjaan negara dalam keadaan rakyat menghadapi kesusahan hidup.

Negara sebenarnya bermasalah. Kita menghadapi inflasi. Inflasi adalah keadaan di mana harga barang dan perkhidmatan meningkat, sebaliknya daya beli mata wang turun. Inflasi mencerminkan ketika harga barang dan perkhidmatan naik, mata wang akan kehilangan nilainya kerana hanya mampu membeli lebih sedikit barang berbanding sebelumnya.

Bagi mengawal inflasi ini, maka kerajaan menaikkan OPR. Ahli ekonomi bersetuju peningkatan OPR sebagai langkah terbaik untuk ‘menjinakkan’ peningkatan indeks harga pengguna (IHP) dan kemerosotan kadar tukaran ringgit.

Namun, menaikkan OPR ini ada kesan negatifnya. Rakyat yang mempunyai pinjaman bank akan terbeban. Rumah dan kereta akan banyak tidak terjual kerana bunga pinjaman yang meningkat.

Oleh itu, kerajaan perlu “address supply side issues by allowing goods and services to flow easily to meet demand.” Kerajaan perlu mengumpulkan pakar ekonomi dari universiti, untuk memikirkan langkah mengatasi masalah rakyat ini.

Tolonglah jangan biarkan rakyat menjerit, kelaparan dan sakit. Bagi menjimatkan ketirisan ekonomi, kerajaan perlu menghentikan amalan mencipta kartel, monopoli dan kroni. Berubahlah.

Maju mundur negara

Kepimpinan politik menentukan maju atau mundur sesebuah negara. Pada tahun 1994, berlaku genosid di Rwanda yang mengorbankan 500, 000 kaum Tutsi oleh militia Hutu. Apabila Paul Kagame menjadi presiden pada tahun 2000, dia membangunkan Rwanda sehingga menarik kedatangan pelancong dan menjadikan pelancongan sebagai pendapatan utama Rwanda.

Selain itu, Rwanda sekarang adalah hab tekonologi bagi Afrika. GDP nominalnya juga meningkat laju dari US$127 pada tahun 1994 kepada US$909.9 pada tahun 2022. Begitu juga Indonesia di bawah Joko Widodo sekarang. Negaranya begitu pesat membangun dan ini adalah disebabkan oleh kepemimpinan negaranya.

Malaysia juga perlu mempunyai pemimpin yang hebat jika mahu negara maju. Sekiranya saya ditanya siapa pilihan terbaik untuk mengendalikan negara, jika daripada Umno saya akan menyebut Khairy Jamaluddin.

Dia berani, tegas dengan pandangannya, artikulatif, cerdik, dan berwibawa untuk mewakili negara di persada antarabangsa.

Jika secara keseluruhannya, tanpa mengambil kira parti mana yang menang nanti, pilihan pertama saya adalah Anwar Ibrahim. Dalam tulisan sebelum ini, saya telah memberikan empat alasan kenapa saya memilihnya.

Kali ini, tanpa mengulanginya, saya memilih Anwar, kerana dia berpengalaman, bernyawa dengan denyut nadi rakyat, dan mempunyai jiwa reformasi. Saya yakin beliau boleh membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan berintegriti sehingga Malaysia kembali mendapat perhatian masyarakat dunia.

Saya sedih untuk meninggalkan mahasiswa saya. Merekalah sumber kekuatan dan semangat saya untuk berkarya. Dalam setiap kuliah, saya sering menyampaikan pesan-pesan saya.

Bagi mahasiswa sarjana falsafah (PhD) pula, dalam setiap pertemuan, saya yakinkan mereka, saya tidak akan tinggalkan mereka. Mereka bukan setakat harta dan kasih saya, tetapi harta negara. Saya berdoa agar mereka terus maju.

Hari ini, 11 Julai, saya secara rasminya bersara. Sebagai mengakhiri khidmat, saya perturunkan catatan saya tentang politik negara. Salam Aidiladha.

MOHAMMAD AGUS YUSOFF merupakan penganalisis politik dan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Polis tahan teman lelaki wanita didakwa hina Islam

FMT Reporters

Polis berkata lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu bagi membantu siasatan.

PETALING JAYA: Polis menahan teman lelaki kepada wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata sepasukan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan lelaki itu, semalam.

“Lelaki tersebut ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu bagi membantu siasatan,” katanya menurut Sinar Harian.

Noorsiah berkata, pihaknya akan membuat permohonan untuk menyambung reman suspek wanita yang ditahan pada Sabtu lalu, selepas tempoh remannya tamat esok.

“Kertas siasatan akan segera dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, wanita berusia pertengahan 20-an itu pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.

'Datang pejabat, saya mahu dengar bacaan 15 juzuk’, mufti P Pinang pelawa wanita didakwa hina Islam

Anne Muhammad

Video tular di media sosial menunjukkan wanita yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mempelawa wanita yang didakwa menghina Islam ketika berkomedi, datang ke pejabatnya bagi mendengar sendiri bacaan 15 juzuk al-Quran.

Menurut Wan Salim, semakin jahil seseorang itu semakin berani dia mempersenda agama dengan merujuk tindakan wanita berkenaan.

“Bagi orang macam ini tak ada sesuatu pun yang sakral di dalam kehidupan ini. Untuk publisiti murahan segala-galanya boleh dilakukan.

“Kalau sudi dia boleh datang ke pejabat saya di Komtar kerana saya ingin mendengar sendiri dia membaca Quran yang kononnya dia menghafal 15 juzuk,” katanya kepada FMT.

                    Wan Salim Wan Mohd Noor.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan wanita berkenaan yang mempersendakan Islam dalam sesi “open mic” di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.

Dalam video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial, wanita berusia pertengahan 20-an itu pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.

Polis sudah melakukan tangkapan dan wanita berkenaan direman selama tiga hari.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, kajian lanjut perlu dibuat bagi mengetahui punca sebenar mengapa ia dilakukan oleh segelintir orang Islam.

“Mungkin ini disebabkan sikap sebahagian agamawan, yang terlalu rijid dalam memberi pandangan. Mungkin juga kerana pihak berkuasa agama termasuk Mahkamah Syariah dilihat bertindak kurang bijaksana dalam menangani kes membabitkan wanita.

“Saya juga mengharapkan pihak berwajib menyelidik adakah kejadian ini dirancang oleh pihak tertentu yang dengan sengaja ingin memburukkan imej agama Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata jika perkara itu dirancang, tindakan tegas perlu diambil terhadap “mastermind” sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Akhirnya saya menyeru kepada semua kaum di negara ini supaya menghormati semua agama dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara kaum.

“Janganlah kerana tindakan bodoh yang dilakukan oleh mana-mana individu mengeruhkan suasana aman yang kita sama-sama nikmati selama ini,” katanya.

Kenapa Tajuddin tiada dalam senarai duta terima watikah Agong?

Malaysiakini

Para duta baru Malaysia akan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong pada esok Selasa (12 Julai).

Bagaimanapun, Malaysiakini mengetahui daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa Tajuddin Abdul Rahman - yang dijadual menjadi duta besar ke Indonesia - tidak termasuk dalam senarai menerima watikah esok.

Malaysiakini telah menghubungi Tajuddin untuk pengesahan mengenai perkara itu.

Satu lagi sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai majlis itu mengesahkan ia akan berlangsung esok, tetapi enggan mengulas apabila ditanya mengenai kenapa Tajuddin tidak berada dalam senarai itu.

Tidak jelas mengapa nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu tiada dalam senarai penerima watikah atau jika pelantikannya telah dibatalkan.

Free Malaysia Today pula memetik sumber sebagai berkata Tajuddin telah digugurkan sebagai duta ke Indonesia.

Tajuddin dan empat bakal duta lain sepatutnya menerima watikah pelantikan mereka pada bulan lalu, tetapi majlis itu ditangguhkan atas sebab yang tidak didedahkan.

Kini, nampaknya hanya empat duta sahaja yang akan menerima watikah pelantikan mereka esok.

Keempat-empat mereka dikatakan akan menjadi duta Malaysia ke Jepun, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan.

Pelantikan Tajuddin mencetuskan pelbagai maklum balas, dengan sesetengah pihak mempersoalkan keupayaannya untuk menjadi diplomat kerana rekod prestasinya yang dilihat agresif.

Dia dipecat sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu dikatakan kerana pengendaliannya yang tidak sensitif terhadap kemalangan LRT yang menyebabkan ramai cedera.

Beberapa hari selepas majlis pelantikan Tajuddin sebagai duta pada 20 Jun ditangguhkan, ahli parlimen Pasir Salak itu dipecat sebagai ahli majlis tertinggi Umno yang dilantik.

Ini disebabkan perselisihan dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Berikutan itu, Tajuddin mengadakan sidang akhbar mendedahkan beberapa perkara, antaranya dia mengecam Zahid, menuduhnya berbohong kepada Umno mengenai sokongan terhadap ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Muhyiddin minta Haji Hadi rujuk kepada Setiausaha Agung PAS

Malaysiakini 

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menasihatkan rakan sekutunya dari PAS supaya merujuk kepada setiausaha agung parti itu, mengenai kewujudan perjanjian jawatan timbalan perdana menteri.

Menurut Muhyiddin, yang juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan ialah individu yang menggubal draf perjanjian berkenaan.

Selain itu, bekas perdana menteri itu juga mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa.

"Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), disaksikan oleh Annuar Musa dan saya bagi PN disaksikan oleh Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir.

"Jadi, mungkin Tok Guru boleh memeriksa kembali dengan Takiyuddin. Beliau sendiri yang sebenarnya adalah draftman kepada perjanjian itu. Itu kenyataan yang sebenarnyalah.

"Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN. Bukan atas nama parti sahaja," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Pada 8 Julai lalu, Hadi dipetik sebagai berkata tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Ismail Sabri.

"Kita masih lagi berpegang pada (keputusan) awal penubuhan kerajaan bahawa tak ada (jawatan) timbalan perdana menteri,” katanya.

Sehari kemudian, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin ketika presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad tampil mengesahkan wujud perjanjian berkenaan.

Katanya walaupun ada beberapa pihak menafikan Ismail Sabri dan Muhyiddin memeterai sebarang perjanjian mengenai jawatan timbalan perdana menteri, persefahaman itu memang wujud.

Muhyiddin berkata, selain jawatan timbalan perdana menteri, kandungan perjanjian itu antara lain menyentuh bilangan jawatan dalam jemaah menteri, khususnya kuota parti.

"Itu sebahagian daripada perjanjian itu dan sebab itu apabila Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar Bersatu, maka wajarlah kuota itu diisi oleh ahli Parlimen Bersatu.

"Jadi, kita tidak tuntut lebih. Yang kita kemukakan kepada perdana menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian," katanya lagi.

Portal berita itu melaporkan Muhyiddin bagaimanapun tidak menjawab soalan pemberita mengenai keperluan untuk jawatan timbalan perdana menteri diwujudkan semula ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir dan rakyat dibelenggu kos sara hidup yang tinggi..

Daim: PAS akan menang lebih kerusi - Bersatu, Pejuang 'habis’

Malaysiakini 

Ahli politik veteran Daim Zainuddin menjangkakan PAS akan memperolehi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang berikutan perpecahan dalam BN dan Pakatan Harapan (PH).

Manakala, parti serpihan seperti Bersatu dan Pejuang mungkin tidak mampu bertahan pada PRU15, kata bekas menteri kewangan itu.

Parti dalam PH akan kehilangan sebilangan kerusi yang dimenangi pada 2018, katanya.

“Pembangkang tidak akan dapat majoriti kerana DAP akan kehilangan sebilangan kerusi sementara PKR akan kalah lebih lagi.

“Bagi Pejuang, saya rasa sudah habis dan begitu juga Bersatu.

“Dan jika kita tidak hati-hati, PAS akan dapat lebih banyak kerusi,” katanya yang dipetik oleh The Malaysian Insight dalam satu wawancara.

PAS bukan sahaja memenangi 18 kerusi parlimen pada pilihan raya 2018, tetapi malah berjaya menerajui Kelantan, Kedah dan Terengganu melalui kerjasama dengan Perikatan Nasional.

Daim mengingatkan masa depan yang suram menunggu PH jika mereka enggan melakukan perubahan dan kekal berpecah belah.

"Malah sehingga hari ini, mereka tidak berubah. Pembangkang berpecah. Dan ini akan berterusan selama 10 tahun jika kita tidak berhati-hati," kata Daim.

Setakat hari ini, PH dan parti pembangkang lain masih berbalah mengenai pendekatan ‘khemah besar’.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedang berdepan tekanan dan asakan daripada partinya, khususnya puak yang sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan Parlimen, memandangkan pentadbiran semasa di Putrajaya masih tidak stabil.

Mengulas lanjut, Daim berkata, perpecahan dalam PH dan Umno akan hanya mendorong pengundi Melayu ke arah PAS.

Berbeza dengan parti lain, ideologi Islam yang dibawa PAS menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti, golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama, katanya.

“Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang Allah dan bagaimana PAS menjadi penyelamat mereka,” kata Daim.

Menurutnya lagi, ramai pengundi Melayu berusia pula di negeri majoriti Melayu, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang menjadi bank undi parti konservatif itu, dan ini tentunya menguntungkan PAS.

Anak kelahiran Kedah berusia 84 tahun itu berkata, dirinya, mengenali PAS sejak tahun 1960-an sewaktu berkecimpung dalam politik ketika menjadi peguam muda.

Namun, katanya, parti Islam itu sudah berubah selepas mengecapi kuasa apabila menyertai pentadbiran Perikatan Nasional.

“Ini bukan PAS yang saya kenal pada tahun 1960-an. Ini PAS yang mahu kuasa kerana mereka sudah mengecap kuasa.

“Saya masih rapat dengan mereka tetapi saya (tolak usaha mereka ambil alih pentadbiran negara). Sebab itu kita perlukan generasi baharu,” katanya.

Mengulas parti lamanya, Umno, Daim yakin parti itu mampu memenangi lebih separuh daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Sesetengah penganalisis Umno percaya mereka boleh menang hingga 85 kerusi. Tapi itu bermaksud mereka perlukan Sabah dan Sarawak," katanya.

Wanita ini yang mengaku hafal 15 juzuk al-Quran, berkahwin selamba dedah jumlah teman lelaki

DANIAL HAKIM

Tular rakaman video wanita Melayu yang kontroversi mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran dan menanggalkan pakaian di depan khalayak di sebuah kelab komedi berkongsikan latar belakang dirinya.

Dimulakan dengan ucapan “Hello dan Assalamuaikum semua”, dia yang membahasakan dirinya sebagai “Amy” memberitahu menerima banyak pesanan yang memintanya berkongsi sedikit mengenai dirinya.

Kata Amy, nama sebenarnya adalah Siti Amira Natasha, berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

“Amy sudah berkahwin dan Amy ada tujuh boyfriends,” katanya.

Menurut Amy, dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat berpegang teguh pada ajaran Islam dan ketika dia berumur enam tahun sudah menutup aurat dengan mengenakan tudung dan memakai stoking.

“Tapi masa umur 20 tahun, Amy officially start tanggal tudung. Amy tak pakai tudung lagi.

“Tingkatan 1 hingga 3, Amy dihantar ke sekolah agama, sekolah tahfiz dan Amy sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.

“Habis saja tahfiz, Tingkatan 4 dan 5, Amy ambil SPM, masuk Tingkatan 6, study bisnes. Habis form 6, masuk universiti di Pulau Pinang, ambil PR (Public Relations),” ujarnya.

Pada masa ini, tambah Amy lagi, dia bekerja dan dalam masa sama belajar undang-undang separuh masa.

“Selain daripada itu, Amy juga sedang berjinak untuk jadi comedian.

“Anda boleh tunjukkan sokongan terhadap saya. Please share my video,” serunya pula.

Berbaju bertali halus

Sebelum ini, Amy mengejutkan orang ramai khususnya masyarakat Islam yang sibuk melakukan persiapan Hari Raya Aidiladha apabila tular videonya menanggalkan pakaian di hadapan audiens di Crackhouse Comedy Club (CH) dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Walhal, ketika memperkenalkan diri, dia tampil sopan mengenakan tudung dan baju kurung Kedah.

Sejurus menanggalkan tudung dan pakaiannya itu, dia yang berambut pendek paras bahu dilihat berbaju bertali halus berwarna hitam dan skirt singkat paras paha berwarna perang.

Dia kemudiannya mengambil semula mikrofon sambil menyebut, “Hello motherf***ers.”

Menerusi klip video yang dikongsi di TikTok itu, tertera kapsyen, “They laughed… they hugged me and said amazing set, you’re so brave. (Mereka (penonton) terhibur. Mereka memeluk saya dan memberitahu saya berani dan persembahan itu menakjubkan).

Aksi wanita itu mengundang kecaman orang ramai sehingga membawa kepada siasatan pihak polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Wanita hina Islam di kelab: Menteri Agama pula dipersenda tak garang macam masa jadi pembangkang

FAZLI RADZI

Satu klip video tular disyaki menghina agama Islam baru-baru ini yang berlaku di sebuah kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail di ibu negara dilihat turut mengheret nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Pemimpin Pas itu dipersenda kerana dianggap warganet tidak garang seperti ketika menjadi pembangkang.

Ramai juga yang menyindir dengan menyebut sebagai padah apabila Malaysia diperintah oleh DAP yang merupakan ungkapan popular semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Idris memberitahu susulan tularnya klip video itu, beliau telah meminta pihak JAWI untuk mengambil tindakan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada dengan kadar segera.

“Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam,” katanya lagi.

‘Berakhirlah sakit Ahmad Lutfi tapi deritanya menuntut media bebas, kitalah yang menanggung’

NOOR AZAM SHAIRI   July 9, 2022

Ahmad Lutfi Othman sudah lama sakit. Bertahun-tahun dia menanggungnya – berulang-alik ke hospital, selang dua atau tiga hari sekali untuk cuci darah. Selepas mencuci darah kerana buah pinggangnya bermasalah dia akan selalu penat.

Tetapi pada hari dia tidak ke hospital itulah yang selalu dia cuba luangkan untuk menerima kunjungan kawan-kawan, baik yang memohon izin mahu menziarahinya atau yang dia sendiri panggil datang.

Saya pernah beberapa kali dipanggilnya datang kerana dia mahu bersembang, bertanya itu dan ini, selalunya tentang politik dan media.

Dia nampak penat tetapi tetap semangat, mendengar dan bertanya, dan memberi pandangannya. Saya selalu cuba untuk tidak berlama-lama kerana menyedari keadaannya yang uzur.

Lutfi tidak hanya menanggung sakit badan tetapi juga derita batin kerana cita-citanya untuk media bebas. Sakit yang itu juga ditanggungnya bertahun-tahun.

Dia keluar dan masuk Harakah kerana kekangan akhbar itu sebagai suara parti politik. Keluar dari Harakah, dia menerbitkan sendiri akhbar dan majalah. Satu demi satu akhbar dan majalahnya dirampas, disekat jualan atau diharamkan.

Bekas editor Harakah, Tarmizi Mohd Jam bersama Ahmad Lutfi sempena penerbitan Lorong Sunyi Media Bebas pada 2016.

Setiap seorang yang terlibat ditakut-takutkan oleh penguasa tetapi mereka mencampakkan ketakutan itu ke kaki penguasa. Bersama kawan-kawan yang sealiran fahaman, dia mengasaskan gerakan media bebas yang menuntut hak sampai ke pintu Suhakam.

Pensyarah media di Universiti George Washington, Janet Steele yang membuat kajian tentang kewartawanan Islam dan wartawan Muslim di Malaysia dan Indonesia mencatatkan ada lebih kurang 50 penerbitan berkala yang dikerjakan sendiri oleh Lutfi. Semuanya atas cita-cita kebebasan.

Kebebasan dan kejujuran media yang dia perjuangkan tidak lagi bertolak daripada teori dan amalan media yang lazimnya dicatat dalam buku dan diajar di sekolah kewartawanan.

Kebebasan dan kejujuran media yang dia perjuangkan berakar daripada ajaran agama yang dia pegang dengan kuat.

Awal pagi tadi, Lutfi tutup usia – kebetulan pada hari lahirnya yang ke-59.

Lutfi sudah menunjukkan contoh tetapi tidak mungkin ada dalam kalangan kita yang mahu mengikutnya. Dia sudah merintiskan jalan ke depan tetapi tidak mungkin banyak orang yang sedia menurutinya.

Dalam perjuangannya, Lutfi mungkin kalah – dikalahkan oleh penguasa, malah dalam beberapa hal, oleh orang yang dia taruh harap dan percaya. Tetapi dia tidak mudah mengalah, dan tidak pernah mengaku kalah. Sama seperti dia berjuang melawan sakit badannya.

Hari ini, pada ulang tahun hari lahirnya dia pergi. Berakhirlah sudah sakitnya. Tetapi derita batinnya tentang media bebas kitalah sekarang yang menanggungnya.