Dah dua tahun Umno-Pas perintah: Selesaikah bela Adib, RUU 355, hudud, pramugari pakai tudung?

MOHD ALI HASHIM

Dah lebih dua tahun PN jadi kerajaan, apakah pembelaan terhadap anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban, Rang Undang Undang 355 (RUU 355) Hudud dan pramugari memakai tudung yang sering mereka dombakan sebelum ini telah berjayakah mereka selesaikan?

Soalan ini dilontarkan spontan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semasa ceramah sempena siri jelajah PH PRU-15 Melayu Bermaruah di Teluk Bagan, Pengkalan Kundur, malam tadi.

Tegasnya, jika sebelum ini Pas kerap mempersoalkan isu pembelaan terhadap anggota bomba Adib yang terkorban, RUU 355, hudud dan pramugari pesawat yang perlu bertudung, mengapa kini ianya sunyi sepi setelah mereka menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa.

Malah kata beliau lagi, adalah amat merbahaya dan salah sekiranya dakwaan yang kerap dipermainkan bahawa Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno atau pun Pas itu Islam dan Islam itu adalah Pas, maka semuanya akan menjadi rosak.

“Harus kita ingat, bahawa di Malaysia bukan semua orang Melayu itu adalah Umno dan bukan juga semua Melayu itu adalah Pas kerana Melayu juga ada bersama AMANAH dan Melayu juga ada bersama PKR.

“Yang perlu diutamakan ialah Melayu Islam yang bermaruah dan sekiranya ingin membela Melayu tidak semestinya ia adalah Melayu Umno sahaja maupun Melayu Pas semata-mata.

“Tempoh 22 bulan PH memerintah dan menjadi kerajaan, segala usaha telah dibuat bagi membela Melayu dan Islam termasuklah membawa keadilan untuk semua serta menentang rasuah.

“Namun begitu amat memalukan kini apabila mereka berkuasa perasuah cuba dijunjung dengan penuh bangga tanpa rasa bersalah sekelumit pun demi membela Melayu, ” tegasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar.

Tambah beliau, kini sudah sampai masanya orang Melayu perlu membuka mata dan sedar, sekiranya ada yang hanya mahu menjadi penunggang agama ia tidak wajar disokong, sebaliknya mendukung apabila Islam itu dimartabatkan dan dimuliakan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Zahid takut masuk sungai buloh ke tu?: Buat PRU sekarang atau Umno, BN kalah, Zahid beri amaran

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran Barisan Nasional (BN) akan tewas jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak diadakan segera.

Katanya, tindakan melengah-lengahkan PRU hanya akan memberi “senjata” kepada pembangkang yang ketika ini menyerang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbinya.

Katanya, pembangkang cuba menyerang, mengelirukan rakyat dan menggambarkan bahawa mereka adalah yang terbaik walaupun sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, keadaan sebaliknya berlaku apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan kerana tahu tidak dapat menunaikan manifestonya.

Sehubungan itu, tegasnya, pimpinan parti dan akar umbi sangat yakin bahawa kini adalah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU15.

“Umno sudah membuat pendirian tersebut sudah lama pun. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti Umno.

“Segerakanlah atau Umno, BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, kebimbangan pembangkang yang tidak mahu pilihan raya dibuat segera dapat dilihat menerusi pengakuan Mahathir bahawa Umno mahu pilihan raya awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

“Berdasarkan temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada Umno untuk menang besar.

“Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.

Sebelum ini, Zahid pernah mendesak PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Zahid dipetik sebagai berkata, gesaan itu dibuat setelah melihat kedudukan kerajaan yang amat rapuh dan negara berada dalam keadaan kerugian apabila tiada pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, ada juga kalangan pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal hingga habis penggal PRU14, iaitu pada pertengahan tahun depan.

Antaranya, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang tidak bersetuju jika PRU diadakan awal kerana boleh menimbulkan kucar-kacir.

'Kalau PAS dan Umno bertembung, kita hadap sajalah'

Haspaizi Zain

Cadangan untuk mewujudkan kerusi 'Muafakat Nasional' timbul kerana PAS tahu parti itu tidak dapat bergantung kepada kekuatan Bersatu, kata setiausaha agung veteran Umno, Mustapha Yaakub.

Ini selepas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata PAS perlu segera mencari jalan mewujudkan "kerusi Muafakat Nasional" bersama Umno-BN.

"Kenyataan itu keluar selepas PAS menyedari bahawa mereka tidak mampu bergantung kepada kekuatan Bersatu untuk menang dalam PRU ke-15 nanti.

"PAS kini baru menyedari bahawa mereka tidak mampu menumpang Bersatu, kedudukan mereka dalam PN juga agak terpinggir," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Mustapha, Umno kekal dengan pendirian untuk bergerak solo meskipun PAS menjangkakan 27 kerusi berisiko dimenangi Pakatan Harapan (PH) jika berlaku pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Risiko hilang kerusi atau tewas kepada PH jika berlaku pertembungan kita hadap saja, tak kiralah berapa penjuru, kita lawan saja," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Zuhdi berkata Muafakat Nasional (MN) adalah kaedah yang mampu menafikan kemaraan PH pada PRU akan datang.

"Oleh yang demikian, ruang perlu diterokai dalam MN agar usaha itu dapat dilaksanakan.

"Di Semenanjung Malaysia, ada 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya Umno dan PAS bertembung," kata Mohd Zuhdi.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata Umno tidak perlu melayan sandiwara PAS yang baru menyedari bahawa PN tidak mempunyai kekuatan seperti mana diharapkan.

"Hasrat PAS untuk menumpang Bersatu, tapi sebaliknya Bersatu yang menumpang jentera PAS," katanya.

'Beri laluan Umno tanding 27 kerusi'

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal, berkata PAS perlu memberi laluan kepada Umno bertanding di 27 kerusi jika benar ia berisiko dimenangi PH.

Katanya, jika PAS mendukung penyatuan ummah, parti itu perlu sedia membuka ruang kepada Umno bagi memastikan PH dapat dikalahkan.

Tambahnya, cadangan itu relevan memandangkan kekalahan PAS dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.

"Lagi pun dilihat bahawa setelah kalah di Melaka dan Johor, kenyataan PAS ini menunjukkan PAS tidak lagi yakin dengan gabungan PN.

"Jadi, daripada hanya jadi parti nyamuk yang menjadi penyebab PH bakal menang di 27 kerusi tersebut, lebih baik serah pada Umno.

Jelasnya, Pemuda Umno kekal konsisten dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setelah usaha memulihkan MN di Melaka dan Johor buntu.

"Kita telah buat keputusan untuk bergerak solo, itulah prinsip Umno dan BN. Jadi PAS pujuklah Bersatu supaya 27 kerusi itu diserahkan pada BN dan jangan letakkan calon PN di situ," katanya kepada Malaysiakini.

Imran Khan dakwa penasihatnya didera secara seksual

Bernama

Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mendakwa satu daripada pegawai parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang ditahan di Islamabad baru-baru ini telah didera secara seksual.

Shahbaz Gill yang juga penasihat Imran telah ditahan pada 9 Ogos selepas polis mendapati komennya mengenai tentera yang disiarkan di televisyen ARY dianggap berbaur "hasutan".

Pada Jumaat Imran menerusi media sosial memuat naik semua gambar dan video menunjukkan dengan jelas Gill didera mental dan fizikal serta secara seksual yang pada beliau satu perbuatan "amat mengerikan”.

"Dia telah dimalukan. Saya ada maklumat terperinci. Polis ICT (di Islamabad) mengatakan mereka tidak melakukan sebarang penderaan. Jadi soalan saya ialah: Siapa yang mendera Gill?".

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan,” ciap Imran di Twitter.

Imran juga dikatakan telah dihalang untuk melawat Gill yang dirawat di Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) Islamabad.

Gill yang dikawal rapi anggota polis dilihat berkerusi roda dan terpaksa menerima bantuan oksigen.

"Jika seorang petugas politik (seperti Gill) boleh didera sedemikian maka tidak mustahil perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," kata Imran kepada pemberita di luar perkarangan hospital.

PTI serta penyokongnya dengan kerjasama ARY dan saluran media lain, mengadakan bantahan di seluruh negara pada Sabtu menuntut Gill dibebaskan.

- Bernama

PANAS!! Ustaz, 3 warden pusat pemulihan dadah disyaki bunuh penghuni

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Polis mengklasifikasikan kematian seorang penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, di sini, kelmarin yang pada mulanya dikatakan mengamuk di pusat pemulihan itu, kepada kes bunuh.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata susulan itu seorang lelaki bergelar 'ustaz' serta tiga warden pusat pemulihan itu kini ditahan.

Beliau berkata, maklumat awal kejadian diterima daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar memaklumkan mangsa yang sudah tidak bernyawa dibawa ke hospital berkenaan oleh tiga suspek berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang identitinya disahkan sebagai Muhammad Shahrul Samion, 25 dan berasal dari Shah Alam, Selangor dibawa ke hospital selepas didakwa mula tidak sedarkan diri sejak 7 malam hari yang sama.

Katanya, hasil temu bual dengan pengasas dan warden pusat pemulihan itu mendapati mangsa pada mulanya cuba melarikan diri dari pusat berkenaan kira-kira 1.45 tengah hari kelmarin sebelum bertindak mengamuk serta mencederakan seorang daripada warden pusat itu menggunakan pisau.

"Ketika mengamuk mangsa bergelut dengan warden yang sempat beberapa kali menumbuk bahagian badannya, sebelum mangsa sekali lagi dikatakan cuba melarikan diri kira-kira tiga jam kemudian.

"Mangsa cuba sekali lagi melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan. Selepas berjaya ditangkap semula, kaki serta tangan mangsa dikatakan diikat dengan kain untuk mengelakkannya daripada kembali mengamuk dan melarikan diri dengan dia ditempatkan di dalam bilik tetamu.

"Ketika itu mangsa didakwa beberapa kali menghentak kepalanya ke lantai dan dinding sehingga luka berdarah namun kira-kira 7.45 malam, warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri semasa ditempatkan di bilik tetamu lalu terus membawa mangsa ke hospital," katanya dalam kenyataan malam ini.

Azizi berkata, ujian X-Ray yang dilakukan sejurus mangsa dibawa ke hospital malam kelmarin mendapati terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam pada muka, mata kiri, dada, kedua-dua kaki, serta tangan mangsa.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar yang selesai dijalankan 2.45 petang hari ini mendapati sebab kematian mangsa akibat parah pada bahagian dada serta pelbagai otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

"Susulan itu keempat-empat suspek kini ditahan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

3 pemuzik jalanan ditahan, polis rampas ganja dan pokok

Hamzah Osman

am@hmetro.com.my

Langkawi: Tiga sahabat termasuk seorang wanita kumpulan pemuzik jalanan (buskers) ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja di sini, awal pagi hari ini.

Kesemua mereka itu berusia antara 24 hingga 26 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu di sini.

"Dalam serbuan itu, sepasukan anggota polis menemui 17 paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja seberat 178.14 gram (g).

"Turut ditemukan tiga pasu yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja di kawasan hadapan rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, polis turut merampas peralatan menghisap ganja dan alat timbangan digital di atas lantai ruang tamu di tempat ketiga-tiga suspek berada.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai pemuzik jalanan itu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

"Kini mereka direman dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39A(2), 6B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

‘Tikam lidah’ berkait rumah pusaka punca 2 beradik maut

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pertengkaran berhubung pembahagian harta pusaka menjadi punca dua beradik maut dalam kejadian di Jalan Mohamed Naseh, Ipoh, Perak, semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata kejadian itu melibatkan dua beradik berusia 67 dan 70 tahun.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap harta pusaka iaitu sebuah rumah didiami mereka,” katanya menurut Kosmo.

Semalam, dalam kejadian 10 pagi, seorang warga emas yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah.

Polis turut menemui pisau kecil berdekatannya.

Azizi berkata, ketika kejadian ada beberapa lagi ahli keluarga mereka, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan luka akibat tikaman pada leher menjadi punca kematian mangsa berusia 67 tahun.

“Selain itu, terdapat beberapa kesan tikaman pada muka dan leher mangsa,” katanya.

Rumah keluarga pengkid 'kosong'

Noor Hidayah Tanzizi

am@hmetro.com.my

Bota: "Dia memang wanita tetapi sejak daripada dulu memang berperwatakan tomboi dan belum pernah lagi saya melihat dia berpakaian wanita," kata penduduk di Titi Gantong, di sini.

Wanita enggan dikenali itu tinggal di kawasan perumahan sama dengan keluarga pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' yang tular mengerjakan umrah memakai ihram di Tanah Suci, baru-baru ini.

Menurutnya, keluarga individu berkenaan sudah belasan tahun tinggal di kawasan itu dan mendakwa ketika berpindah ke situ individu itu dianggarkan berusia kira-kira 13 tahun.

Katanya, sejak itu individu berkenaan didakwa tidak pernah memakai pakaian wanita namun dia pernah dilihat memakai selendang pada hari pengebumian salah seorang ahli keluarganya.

"Dari dulu lagi dia memang tak pakai seperti wanita, selalu pakai seluar dan baju-T (seperti lelaki). Saya ada juga melihat dia apabila pulang ke kampung, hari raya baru ini pun dia ada balik.

"Ketika ahli keluarga dia meninggal dunia, dia ada balik dan saya melihat dia memakai selendang ketika itu (tetapi tidak menutup penuh rambut)," katanya ketika di temui di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini dia ada bersembang dengan ibu individu itu, namun keluarga berkenaan dilihat tiada di rumah sejak kisah itu tular dan pulang hanya sesekali saja.

Dia turut mengakui kisah itu juga menyebabkan keluarga berkenaan terutama ibunya sedih.

Seorang lagi penduduk berhampiran kawasan itu mengakui tidak mengenali individu atau keluarga individu itu namun mengetahui kisah tular itu.

"Saya tidak mahu menghukum perkara itu tetapi secara logik takkanlah (dia) tak tahu hukum dan dia pun sudah dewasa.

"Kena tanya dia juga kenapa buat begitu. Ini ujian untuk dia dan keluarganya" katanya yang turut bersimpati dengan keluarga individu itu.

Sementara itu, tinjauan wartawan di rumah yang dipercayai milik keluarga individu berkenaan di Titi Gantong gagal menemui sesiapa manakala pintu dan pagar rumah juga dikunci dari luar.

Metro Ahad sebelum ini melaporkan, Ayid memperdayakan beberapa orang mangsa dengan janji dan perlakuan romantis untuk memperisterikan mereka.

Tembelang 'lelaki jadian' itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum ia tular.

“Peliklah Najib ni semua orang salah. Hakim ada kepentinganlah, tak adillah, sedang dia tidak pernah pun dipenjara”

NORMAN RADZUAN

Di media sosial penyokong-penyokong ‘Bos Ku’ malah Najib sendiri menyerang keputusan Hakim dan menzahirkan seolah-olah mahkamah zalim kepadanya. Persoalannya kezaliman apa setelah mahkamah melayani berkali kali penangguhan kes ini hingga berusia 4 tahun?

Pelik Najib ini semua orang salah, hakim ada kepentingan, PH yang salah, Rafizi fitnah, peguam tak sesuai, hakim tak adil, Tun tak betul, pendek kata semua org tak betul. Dia yang betul atau tak salah.

"Peliklah Najib ni semua orang salah. Hakim ada kepentinganlah, tak adillah, sedang dia tidak pernah pun dipenjara"

Masihkah kita ingat ketika kes Anwar Ibrahim berjalan dirinya telah dipenjarakan, dipukul, ditelanjang dan pelbagai lagi sebelum dijatuhkan hukuman.

Najib pernah kita lihat dia dipenjara? Pernah lihat dia memakai baju oren atau bergari sepertimana pencuri susu? Najib sedang memainkan plot simpati seolah dirinya dizalimi.

Masihkah kita ingat pelbagai alasan dibuat sehingga kes ini tertunda begitu lama. 12 Mac 2019 peguamnya dicederakan anjing, 16 Ogos 2019 Najib sakit mata, Covid 4 kali ditangguhkan dari 13 Mac 2020, 5 Oktober 2020, 17 Feb 2021 dan 3 Mei 2021.

19 Ogos 2021 ponteng mahkamah dan 30 Mei & 11 Ogos 2022 peguam demam. Sedangkan Anwar ketika kematian Karpal Singh kes beliau diteruskan oleh mahkamah.

Waktu terluang Najib pergi main golf, sibuk nak ziarah anak di Singapura dan sibuk berkempen sana sini untuk pilihanraya seolah-olah kesnya di mahkamah tidak penting. Bila tiba waktu dia tuduh mahkamah zalim kepadanya.

Yang lucu sepatutnya dia buktikan dirinya tidak bersalah menggunakan wang rakyat tetapi sibuk mempertikai

Hakim Mohd Nazlan dengan mengetengahkan isu konflik kepentingan.

"Peliklah Najib ni semua orang salah. Hakim ada kepentinganlah, tak adillah, sedang dia tidak pernah pun dipenjara"

Sekarang Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun juga dipertikaikan dengan alasan suaminya hadir ke mahkamah dan dituduh merakamkan tanpa bukti. Hello! Suami Tengku Maimun tu rakyat negara ini.

Jangan persoalkan integriti Hakim-hakim sedangkan rakyat dan masyarakat dunia sedang pertikaikan integriti Najib dan dirinya yang sedang dibicarakan. Sungguh lucu bila Zahid persoalkan integriti Hakim.

Zahid ini ada integriti ke? Kes pun berpulu…

Hairan Najib yang rumah digeledah mempunyai wang dan aset beratus juta, membeli jam tangan bernilai hampir 1/2 juta untuk isterinya, memberi anaknya menggunakan wang 1MDB ( wang rakyat ) RM 1 billion, ada yang mengatakan dia dizalimi.

Ketika ini semua mata tertumpu kepada Tun Tengku Maimum bersama 2 wanita lagi iaitu Datuk Nallini dan Datuk Mary Lim ( Hakim Mahkamah Perseketuan) serta 2 lagi hakim.

Saya memilih 3 wanita ini berdasarkan pengalaman bekerja dengan bos wanita, kaum ini jika mempunyai (kuasa/pangkat) dikenali ketua yang tegas, tidak mudah dipujuk dan lurus.

Jika Najib bebas pastinya dunia akan ketawakan kita. Dunia dan rakyat Malaysia sedang melihat masih adakah keadilan untuk rakyat.

Apapun Najib kamu mesti ingat mahkamah di sana nanti pasti kamu tidak akan terlepas jika kamu terlepas di dunia ini.

“We judge ourselves by what we feel capable of doing, while others judge us by what we have already done.”

‘Henry Wadsworth Longfellow.

Syarikat palsu pindah RM192 juta dari projek LCS gaya 1MDB - Rafizi

 Malaysiakini

Siasatan dalaman oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd ke atas projek kapal tempur pesisir (LCS) mendapati bahawa RM192 juta telah dipindahkan.

Ini didedahkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini, yang mendakwa telah melihat laporan siasatan itu. Laporan itu tidak dikongsi dengan media.

Menurut Rafizi, laporan itu mendapati subkontraktor LCS telah membayar EUR43.69 juta, bersamaan RM210 juta, berdasarkan invois daripada firma Perancis Alizes Marine France.

Walau bagaimanapun, bayaran tersebut dihantar kepada sebuah firma yang mencurigakan yang diperbadankan Malta yang dikenali sebagai Alizes Marine Limited.

“Sebaliknya, jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya EUR3.53 juta (bersamaan sekitar RM18 juta) (dikutip dalam tempoh itu).

“Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki,” kata Rafizi.

Menurutnya, skim berkenaan sama dengan 1MDB yang menyaksikan syarikat palsu dengan nama yang hampir serupa dengan syarikat tulin ditubuhkan di seluruh dunia untuk mengutip dana haram.

“Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan,” katanya.

Skim itu, dakwa Rafizi, berpusat kepada firma pertahanan Perancis DCNS, yang kini dinamakan sebagai Naval Group.

Rafizi berkata laporan dalaman itu mendakwa Alizes Marine Limited disyorkan sebagai pembekal alat ganti oleh DCNS, yang adalah firma di sebalik reka bentuk LCS.

“DCNS menggunakan Alizes Marine sebagai syarikat palsu untuk mendapat manfaat dari pembekalan alat gantian berdasarkan muslihat yang dibuat di Malaysia,” petik sebahagian laporan dalaman yang dikongsi Rafizi.

Pemimpin PKR itu berkata Malaysia mempunyai sejarah buruk dengan DCNS kerana firma itu kini sedang dalam siasatan Perancis berhubung dakwaan rasuah berhubung perolehan dua kapal selam Malaysia pada 2002.

Oleh itu, kata Rafizi, adalah wajar untuk orang ramai menuntut siasatan terhadap siapa yang "melindungi" DCNS dalam peranannya dalam projek LCS.

“Hanya (perdana menteri ketika itu) Najib Razak, (bekas menteri pertahanan) Ahmad Zahid Hamidi dan (menteri pertahanan semasa) Hishammuddin Hussein yang boleh menjawab soalan ini,” kata Rafizi.

Menurut laporan penyiasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Zahid pada 26 Mei 2011 telah meluluskan permohonan TLDM supaya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd membina enam kapal LCS berdasarkan reka bentuk "Sigma".

Bagaimanapun, dalam tempoh kurang dua bulan, Zahid mengubah fikiran dan sebaliknya mengikut cadangan BNS untuk menggunakan reka bentuk kelas Gowind yang dimiliki oleh Kumpulan Tentera Laut Perancis.

Ini berlaku walaupun dibantah berulang kali oleh tentera laut dan panglimanya.

Abang, adik gaduh sampai mati

BERNAMA

Ipoh: Dua beradik ditemukan maut selepas dipercayai bertengkar dalam satu kejadian di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10 pagi berhubung kejadian berkenaan dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di sebuah rumah, didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah di dapur dengan kesan tikaman, manakala seorang lagi lelaki berada di luar rumah (dalam keadaan tergantung).

"Siasatan awal mendapati, kedua-duanya merupakan adik-beradik yang bertengkar di rumah itu.

"Isteri kepada lelaki pertama (adik) dipercayai cuba mententeramkan keadaan sehingga luka pada ibu jari tangan kanannya. Kami masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca insiden pergaduhan.

"Menurut saksi, mereka kerap dengar kejadian pergaduhan di rumah ini," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek, 70, yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, 67, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah dan pihaknya turut menjumpai pisau kecil yang berada berdekatannya.

"Sewaktu kejadian, ada beberapa ahli keluarga. Keterangan akan direkodkan untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dan menambah mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

‘Semua tindakan Najib adalah bagi capai hasrat peribadi’

Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini diberitahu bahawa semua tindakan yang diambil oleh Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd adalah bagi mencapai hasrat peribadi beliau bagi mendapat perolehan secara salah bagi dirinya, dan kerugian secara salah kepada syarikat itu.

Pendakwa ad hoc Datuk V Sithambaram berhujah bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan perayu (Najib) bertindak bagi melindungi atau memelihara kepentingan SRC, sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepadanya secara undang-undang.

“Najib adalah perdana menteri, menteri kewangan, dan juga penasihat emeritus syarikat itu. Ia ketara dan jelas bahawa dia menggunakan semua kedudukannya itu bagi mendapatkan perolehan kewangan menerusi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Hasrat perayu melakukan jenayah dilaksanakan dengan cara dia memegang pelbagai jawatan berbeza.

“Apa yang dirancang oleh perayu terhadap wang berbilion yang dibekukan di Swiss bank, tiada siapa yang tahu. Ia adalah ‘mens rea’ (niat) perayu melaksanakan hasrat jenayah dalam pelbagai kedudukannya, yang membolehkan perayu melakukan tujuh kesalahan sebagaimana dakwaan keatasnya,” katanya pada pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau berkata sememangnya niat tunggal perayu adalah untuk melakukan jenayah dalam pelbagai peranan yang dimainkan olehnya dalam pentadbiran negara, dan dalam SRC.

Sithambaram berkata gabungan pelbagai peranan yang dimainkan Najib membolehkan dia melaksanakan rancangannya untuk mendapat manfaat daripada dana SRC, apabila dia meletakkan dirinya dalam kedudukan yang menyaksikan lembaga pengarah (BoD) SRC bertindak atas arahannya, dan bukannya sebagai pengarah bebas.

“Walaupun undang-undang menghendaki BOD SRC sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik SRC, ia sebenarnya bertindak (tanpa disedari) demi kepentingan terbaik perayu.

“Pinjaman RM4 bilion KWAP kepada SRC telah hilang, sementara hutang masih dibayar oleh kerajaan daripada dana awam. Ia sesuatu yang luar biasa apabila syarikat yang baru ditubuhkan (SRC) diberi pinjaman yang begitu besar.

“Kelulusan pinjaman dilakukan dengan sangat pantas, dan ia diluluskan kabinet yang dipengerusikan oleh Najib pada ketika itu,” katanya di hadapan panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Lain-lain hakim dalam panel itu terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Peguam itu seterusnya berkata sejumlah RM50 juta dipindahkan keluar daripada SRC kepada anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan lhsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) dalam dua transaksi berasingan, yakni RM40 juta pada Disember 2014 dan seterusnya RM10 juta pada Februari 2015.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM42 juta dipindahkan ke akaun Najib dalam tiga transaksi yakni RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Prosiding rayuan itu bersambung esok.

- Bernama

Penyokong Najib cuba jadikan prosiding Mahkamah Persekutuan sebagai ‘sarkas politik’

NASUHA RAHMAN

Penyokong-penyokong politik pihak perayu Datuk Seri Najib Tun Razak telah cuba untuk menjadikan prosiding Mahkamah Persekutuan sebagai sarkas politik dengan menyerang suami kepada Ketua Hakim Negara.

Dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas dan mengaitkan suaminya sebagai penyokong Pakatan Harapan dan selanjutnya mewujudkan persepsi kononnya suaminya itu telah mempengaruhi Ketua Hakim Negara untuk membuat keputusan.

Pengerusi KANUN Parti AMANAH Negara Dr Zulqarnain Lukman berkata, tindakan penyokong-penyokong perayu yang cuba mengaitkan pandangan peribadi suami Ketua Hakim Negara dengan keputusan Ketua Hakim Negara adalah jauh terpesong daripada landasan undang-undang kerana para hakim hanya membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti dalam Rekod Rayuan serta setelah mendengar hujahan pihak-pihak.

“Tindakan penyokong-penyokong politik pihak Perayu ini yang cuba mewujudkan suasana sarkas politik di dalam prosiding Mahkamah adalah amatlah melampau batas dan mencemarkan nama baik institusi kehakiman dan adalah satu penghinaan kepada Mahkamah.

“KANUN menggesa pihak PDRM dan pihak Mahkamah mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas mereka ini,” katanya.

Penyokong Najib cuba jadikan prosiding Mahkamah Persekutuan sebagai 'sarkas politik'

Ini susulan tindakan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan peguam perayu untuk menangguhkan kes serta menarik dari daripada menjadi peguam Perayu adalah dalam ruang lingkup budi-bicara (discretion) Mahkamah yang hendaklah dihormati oleh semua pihak terutama sekali pihak Perayu.

Tindakan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan perayu untuk memasukkan bukti-bukti baharu adalah berlandaskan kepada prinsip undang-undang.

Menurut KANUN, sebelum ini sudah wujud duluan di mana ada hakim yang menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Negara atau Hakim Mahkamah Persekutuan yang bekas ahli UMNO seperti Tun Zaki Tun Azmi dan Tan Sri Apandi Ali tetapi mereka tetap menjalankan fungsi-fungsi kehakiman menurut lunas undang-undang.

“KANUN menyatakan bahawa mana-mana hakim bebas untuk mempunyai fahaman politik masing-masing berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tetapi para hakim adalah terikat dengan sumpah jawatan berdasarkan Perkara 124 dan Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lain, sumpah bahawa mereka akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya mereka serta sumpah bahawa mereka akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya,” katanya.

Juteru, KANUN percaya bahawa dengan integriti para Hakim Mahkamah Persekutuan ini dan ketelusan prosiding Mahkamah semua pihak dapat menilai secara objektif setiap penghakiman yang diberikan.

Ini dibuktikan dengan prosiding yang lepas di mana Ketua Hakim Negara telah memberikan alasan bertulis terhadap kenapa Mahkamah Persekutuan telah menolak kedua-dua permohonan yang dibuat oleh pihak Perayu.

Skandal LCS: Rafizi akan dedah ‘syarikat palsu’ yang modus operandi mirip-mirip isu IMDB

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan mendedahkan nama syarikat dikatakan ‘palsu’ yang didakwa ditubuhkan bagi tujuan penyelewengan dalam projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) esok.

“Modus operandi mirip-mirip isu IMDB. Nama syarikat seolah-olah sama tetapi syarikat lain. Tunggu esok.” katanya menerusi Twitter.

Rafizi berkata, BNS telah menandatangani surat perjanjian dengan sub kontraktor pertama bagi dua pakej bernilai RM1.18 billion.

Rafizi mempersoalkan mengapa kerajaan sebelum itu tidak membeli LCS secara terus daripada DCNS, sebaliknya melalui struktur berlapis melibatkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan dua sub-kontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED).

Katanya, sub kontraktor itu seterusnya melantik syarikat bersekutunya sebagai sub kontraktor kepada mereka. Tindakan itu menjadikan kos LCS melonjak 200%.

Rafizi turut menegaskan bahawa beliau akan mendedahkan skandal penyelewengan projek LCS bernilai RM9 bilion dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh turut berkata, menteri pertahanan dan BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut berkenaan projek LCS.

Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementerian Pertahanan, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Jul 2011 atas cadangan BNS, pada 8 Jul 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

Rasa sedih, marah, geram bila dengar laporan audit forensik LCS

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Bilakah kali terakhir emosi kita terusik bila kita membaca novel? Mungkin bagi generasi baby boomers dahulu emosi mereka terusik bila baca novel Mill & Boon.

Hari ini bila kita baca Laporan Prosiding (Hansard) PAC bersama Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) dan Alliance IFA (M) Sdn Bhd kita rasa sedih, marah, geram dan rasa nak hempuk hempuk aja kepala kepala dajal yang merompak wang negara di siang hari (nampaknya bukan siang aja diorang rompak, malam pun rompak juga)

Bayangkan kalau kita sebagai ayah punya duit kemudian anak kita sakau berjoli sakan sana sini, beli lamborghini, beli penthouse, beli membership club lepas tu kita pula tak boleh halang anak kita sebab anak kita ada kebenaran yang kita berikan untuk sain cek dan kebenaran itu kita tak boleh tarik balik. Lepas itu kita pun tak nak tarik kebenaran itu sebab apa, jeng jeng jeng! mestilah bapak pun subahat sama kan. Kalau anak itu boleh supply call girl kat bapak buat apa bapak halang. Baik bapak dok diam diam dan enjoy sama sama.

Kata Prabhat Kumar (Allliance IFA), siasatan pun tak boleh buat secara menyeluruh sebab Boustead ada sain agreement yang mana sehingga audit BHIC pun tak boleh nak sentuh dengan syarikat joint venture. Ini yang saya kata, BHIC punya duit lepas tu orang lain belanja tapi BHIC tak boleh persoalkan. Kan ini kerja giler. Takkan yang jadi Chairman atau CEO syarikat bodoh pulak. Ini syarikat yang punya kontrak billion kot. Mestilah Chairman/CEO ini cerdik cerdik dan ada pengalaman korporat.

Barang kapal LCS ini dibeli majoritinya tahun 2012-2014. Semuanya oleh syarikat CAD (Contraves Advanced Devices Sdn Bhd) dan CED (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd). Mungkin ramai tak faham kaitan syarikat ini. Senang citer syarikat ini dibuat untuk wujudkan pelbagai lapis supaya bila nak sakau duit orang payah nak cari. Penubuhan Contraves ini pula sangat tidak telus. Ia anak syarikat kepada Rheinmetall iaitu syarikat Perancis. Kerja depa kat Boustead Naval Shipyard pun forensik tak boleh identify. Ini lagi satu kerja giler. Engkau bagi job kat syarikat yang entah apa apa pastu syarikat itu boleh masuk shipyard buat apa yang depa suka.

Sebab apa mereka buat layer company ini. Ini dijelaskan dalam siasatan audit forensik,

“Dr Salihin Abang: …..So, until now, saya pun bertanya-tanya jugalah Yang Berhormat, kenapa kita ada another layer. For your information Yang Berhormat, bila kita check dalam dia punya invoices ataupun dia punya LOA itu Yang Berhormat, certain expenses were actually bloated sampai naik kepada three times of dia punya ini. That’s why I think kalau kita pergi direct kepada OEM sekarang ini the price itu sudah naik. I think, that is why I think, what we wanted to explain here Yang Berhormat, is a layer established for whatever reason yang kita tengok sekarang ini menyebabkan harga projek yang kita buat ini jadi tinggi. I think sekarang ini kalau kita tengok because of slowdown pada LCS punya projek sekarang ini, so, company will function seperti biasa, berjalan seperti biasa Yang Berhormat because of ada business yang lain. Akan tetapi, it is very – sangat perlahan sekarang inilah (m/s 9).

Satu hal lagi penyiasat forensik pun kata antara kerja giler yang depa buat ini, kontrak sain tahun 2014, design kapal tak finalise tapi barang dah order. purchase order dah keluar. Jadi kita tak faham macam mana Dato Mat Hasan boleh pertahankan kenyataan CEO BNS sekarang ini yang kata barang LCS ini beli dalam bentuk bulk sebab untuk jimat kos. Bagi aku ini cakap politik yang terang terang bercanggah dengan fakta.

Kalau ikut citer ini, cara diorang sakau duit ini lebih gempak daripada 1MDB. Kalau buat filem mesti meletop lebih daripada filem Mat Kilau.

Ini cara diorang sakau duit negara:

“Tuan Prabhat Kumar: Okey. This is slide number 10. The structure of the LCS programme. The value of LOAs covered during the review of 2011 to 2014 was RM5 billion. During this period, we have observed that out of RM9 billion, RM5 billion where LOAs had already been issued …

Ahli-ahli Yang Berhormat, I would like to tell you based on my 20 years of investigative experience. Whenever manipulation is required to be done in a given contract, variation order is the biggest culprit and that is what we have seen in this whole episode. Now, organisational structure, SOPs, procurement plan and budget for LCS programme all were done in such a manner that I can’t tell you. Later on, I will come back to you. So, out of this RM5 billion, progress payment approximately RM1.94 billion was made and majority of the sum was released much before a single dollar’s delivery at the site where the manufacturing or the construction was to take place.

Mobilisation; that’s right, it is mentioned here separately. Out of RM1.94 billion, mobilisation payment was RM1.02 billion. Mobilisation is paid at the beginning of the project and that money can be so high out of the total sum. It is beyond comprehension. (m/s 10).

Ada beberapa nama yang disebut berulang kali dalam Laporan Forensik ini, iaitu Tan Sri Dato’ Seri Che Lodin bin Wok Kamaruddin, Laksamana Madya Tan Sri Dato Seri Ahmad Ramli bin Haji Mohd Nor (B) dan Anuar Murad. Korang pergi baca sendiri. Aku malas nak tulis panjang panjang nanti silap tulis depa saman fitnah pula. Cuba engkorang relate pula nama-nama ini dengan menteri-menteri waktu itu mesti akan jumpa link depa ni.

Semua laporan hansard ini ada dalam website PAC. Cari Laporan Prosiding (Hansard) Selasa, 8 Mac 2022 Bil. 1(j)/2020

Tuan P\puan boleh cari kat bahagian Hansard DR.13/2022 – Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia.

Nama AHMAD dah bertahun terima rasuah setiap bulan beri anak bini makan ?

Anggota JPJ didakwa terima rasuah dari syarikat lori selama 3 tahun, disuap lebih RM27,000

SITI NUR ZAWANI MISCON

Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 sejak 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md. Saru, 40, didakwa menerima sejumlah wang daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, P. P. Vijayan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Jamil telah menerima rasuah berjumlah RM27,600 menerusi empat transaksi berbeza di Bank CIMB Cawangan Muar antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019.

Dia didakwa menerima suapan wang antara RM3,000 hingga RM11,000 secara pindahan dalam talian.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan seorang pembantu penguatkuasa JPJ di cawangan Muar, Johor itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana masih perlu menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah berusia 16 dan 10 tahun.

Mahkamah kemudian memutuskan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam JPJ juga diarahkan untuk mematuhi syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Pada 5 Julai lalu, Ahmad Jamil didakwa terhadap 12 pertuduhan kerana menerima suapan bulanan sebanyak RM500 bagi melindungi syarikat sama, iaitu Sivan Sakthi Maju Enterprise sejak dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Guru ‘lesap’ selepas disyaki rogol 2 pelajar di Sarawak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Guru berusia 33 tahun dari Tumpat, Kelantan menghilangkan diri sejak bulan lalu selepas dipercayai merogol dua pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di Sebauh, Tatau, di Bintulu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Fatimah Abdullah, berkata laporan polis berhubung kejadian itu dibuat dua mangsa berusia 14 tahun itu masing-masing, pada 27 dan 29 Jul.

Katanya, susulan laporan terbabit, Kementerian Pendidikan bertindak membekukan gaji terbabit.

Beliau berkata, kes berkenaan juga sudah dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Polis masih memburu suspek yang menghilangkan diri sejak kes itu terbongkar bulan lalu dan saya berharap pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dapat mengesan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” lapor Harian Metro.

Fatimah berkata, pihaknya juga sudah menjalankan tindakan susulan dengan memberikan sistem sokongan terhadap dua pelajar terbabit.

Ia termasuk bantuan perubatan dan khidmat psikologi bagi memastikan kesan kejadian itu tidak menjejaskan tumpuan dua mangsa terhadap pelajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Bintulu Batholomew Umpit, dalam kenyataan, baru-baru ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung lokasi suspek diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurikman Hadi di talian 019-3517155.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi terus talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304,” katanya.

Gelar polis bodoh: Mahkamah beri amaran terakhir kepada Lokman

Malaysiakini 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Lokman Noor Adam melakukan penghinaan terhadap mahkamah semasa perbicaraan rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah menerima permohonan maaf tanpa syarat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu petang ini.

Hakim kemudiannya mengeluarkan amaran terakhir agar Lokman tidak mengulangi perbuatan menghina itu.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan menghina, selepas tarikh 3 Ogos sebelum ini dikosongkan kerana timbalan pendakwa raya Izalina Abdullah dijangkiti Covid-19.

Pada 30 Jun lalu, Lokman telah diberikan notis tunjuk sebab oleh Sequerah berhubung tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil semasa Zahid.

Sequerah membuat keputusan bersalah mengikut Perintah 52 Kaedah 2A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

"Mahkamah mengambil kira semua keadaan, kita mendapati Lokman menghina mahkamah berdasarkan penjelasan dibuat (oleh Lokman).

"Isu yang timbul adalah perkara serius. Lokman sudah memohon maaf kepada mahkamah. Ini amaran terakhir dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Lokman," katanya.

Sebelum itu, semasa prosiding mahkamah terbuka, dan ketika di kandang saksi, ahli politik itu membuat permohonan maaf.

“Saya minta maaf kerana saya tidak faham undang-undang. Saya memohon maaf tanpa syarat kepada mahkamah dan semua pihak dengan sesuci hati.

"Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya akan patuhi peraturan ditetapkan jika saya masuk mahkamah pada masa lain," kata Lokman.

Lokman diwakili peguam, K Balaguru dan Singara Velan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah.

Najib terkejut, kecewa? Rakyat jelata pun kecewa juga

SITI NUR ZAWANI MISCON

Rakyat jelata pun kecewa juga. Rakyat jelata terkejut dan kecewa dengan perbuatan dia. Tapi dia buat bodoh saja.

Bila dia tak dapat apa yang diminta daripada Mahkamah Persekutuan, dia kata dia “terkejut dan sangat kecewa dengan keputusan hakim”

Dia dah dibicarakan dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Tiba-tiba dia pecat peguam dia dan lantik peguam baru.

Peguam baru cuba tangguh kes selama 3 hingga 4 bulan, kemukakan “bukti baru” dan “bicarakan” Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pula.

Nasib baiklah Mahkamah Persekutuan tolak kesemua percubaan mereka dan tangguh perbicaraan sehari saja. Prosiding akan disambung lusa (Khamis).

Sekarang mereka kenalah pertahankan dia daripada sudut “legality” berasaskan bukti dan bukan lagi “technicality” yang berasaskan “hearsay” (cakap-cakap mulut).

‘Stesen berikutnya… Sungai Buloh’, orang ramai tidak sabar lihat kesudahan Bossku

FAZLI RADZI

‘Stesen berikutnya… Sungai Buloh’ dan soalan bertanyakan tentang ‘check in’ Sungai Buloh antara komentar orang ramai yang dilihat tidak sabar untuk mengetahui kesudahan membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Reaksi awam itu sejurus barisan hakim sebulat suara menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rasuah SRC International mencecah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim memutuskan bukti tersebut tidak relevan dengan kes terhadap bekas Presiden Umno itu.

Terdahulu, Najib memohon agar kesemua sabitan terhadapnya dibatalkan iaitu satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

“Stesen berikutnya… Sungai Buloh,” komen Syeikh Syamil manakala Nurul Ashikin yang mengaku tidak sabar bertanyakan, “Hari ni check in Sungai Buloh ka?”

Ramai juga warganet mendoakan kesejahteraan buat kesemua panel hakim dan semoga mereka sentiasa dilindungi Allah dalam menjalankan tanggungjawab demi negara.

“Alhamdulillah. Hakim bertindak dengan bijaksana dan telus tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Hakim yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan jujur, suatu perkara yang baik untuk negara kita,” tulis Shahnizam Zam pula.

Untuk rekod, Penjara Sungai Buloh yang berusia 26 tahun itu mampu memuatkan seramai 3,000 banduan yang terdiri daripada banduan reman dan sabitan.

Kompleks penjara itu merupakan institusi penjara pertama di Jabatan Penjara Malaysia yang dilengkapkan dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB).

Tak mustahil PAS kembali kepada PKR, DAP - Pemuda UMNO

Malaysiakini 

Sejurus selepas Pemuda PAS mengajak penyokong pembangkang menjatuhkan kerajaan Pahang - yang dipimpin Umno bersama BN - Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberikan reaksi segera.

Kata Ketua Pemuda Umno itu melihat kepada tindakan Pemuda PAS tersebut, adalah tidak mustahil untuk parti berkenaan kembali menyertai gabungan disertai PKR dan DAP.

"Untuk PAS kembali kepada PKR dan DAP bukanlah sesuatu yang mustahil kerana mereka pernah bersama dalam Pakatan Rakyat atas matlamat yang serupa dengan saranan ketua Pemuda PAS hari ini (iaitu) semata-mata untuk mengalahkan Umno.

"Kalau PAS boleh meninggalkan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) untuk bersama dengan Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan 'pasangan' baru," katanya sebentar tadi.

Asyraf Wajdi berkata demikian sebagai mengulas saranan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyeru penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) membantu mereka untuk menawan Pahang daripada BN.

Kata Ahmad Fadhli, dengan bantuan undi daripada penyokong PH, PAS yakin mampu memenangi lebih banyak kerusi di Pahang kerana pada pilihan raya umum (PRU) lalu mereka hanya tewas dengan undi kecil di pelbagai kawasan dewan undangan negeri.

Malah ahli parlimen Pasir Mas itu juga secara terbuka menyerukan agar Pahang dijadikan satu lagi negeri ditadbir oleh PAS selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kata Asyraf Wajdi kenyataan Ahmad Fadhli itu juga mengundang persoalan mengenai kejujuran PAS ketika ini.

Menurutnya kelmarin Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata jalan perlu dicari bagi menyelamatkan MN yang dimeterai kedua-dua parti pada 2019.

"Apabila Ketua Pemuda PAS bersungguh-sungguh mengajak DAP-PKR (dan) PH menjatuhkan kerajaan Umno di Pahang, apakah bermakna kenyataan Mursyidul Am PAS kelmarin hanyalah sandiwara semata-mata?" soalnya.

Sejarah kerjasama dengan DAP

Pun begitu Asyraf Wajdi menjelaskan - dalam nada sinis - apa yang berlaku itu adalah "seni politik" yang membawa pelbagai kemungkinan.

"Itulah seni politik. Seni yang serba berkemungkinan. Seni yang boleh berubah-ubah.

"Seni yang jika agama dikesampingkan, matlamat boleh menghalalkan cara," katanya.

Untuk rekod dalam keadaan hubungan PAS-Umno yang kian menegang, ada pihak tertentu di dalam - dan luar - parti itu sedang cuba memulihkan kerjasama yang dijalin melalui MN.

PAS pernah bekerjasama dengan PKR dan DAP melalui Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2016 sebelum parti itu bertindak keluar daripada gabungan tersebut.

Susulannya, Parti Amanah ditubuhkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin PAS yang tidak puas hati dengan keputusan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun mengikut sejarah PAS pernah bekerjasama dengan DAP lebih awal iaitu pada 1999 apabila Barisan Alternatif ditubuhkan.

Melalui gagasan yang muncul selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno, PAS menyertai Barisan Alternatif yang menghimpunkan DAP, Parti Keadilan Nasional (nama lama PKR) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

(Utusan) Kes tembak polis: ‘Hanya Allah tahu apa yang berlaku’

WARTAWAN LUAR NEGARA

FERDY Sambo (kiri) bersama Nofriansyah Yosua Hutabarat. - AGENSI

JAKARTA: Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia (Kabareskrim) sudah mengerahkan pasukan penyiasat ke Magelang, Jawa Tengah bagi meneliti semua insiden, tindakan yang boleh memacu kepada pembunuhan Nofriansyah Yosua Hutabarat atau oleh Inspektor Ferdy Sambo.

Ketua Kabareskrim, Agus Andrianto berkata, biarpun kes gangguan seksual terhadap isteri Ferdy, Putri Candrawathi sudah digugurkan, semua insiden yang berlaku di Magelang masih perlu disiasat.

“Polis yakin dapat menemukan sebarang insiden yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan Nofriansyah.

“Hanya Allah SWT yang mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam kes ini, selain Putri Candrawathi dan mangsa,” katanya kepada Kompas.com.

Kes kematian Nofriansyah mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak di seluruh Indonesia.

Setakat ini, Ferdy menjadi seorang daripada empat suspek utama selepas dia didakwa mengarahkan orang bawahannya supaya menembak mangsa.

Tiga lagi suspek lain termasuk Richard Eliezer atau Bharada E, Ricky Rizal dan Kuat Ma’ruf.

Terdahulu, Ferdy dalam pengakuan kepada polis memaklumkan dia berasa marah terhadap mangsa kerana mendakwa anggota polis itu ‘melukai martabat keluarganya’.

Polis pada mulanya menyangka perkara itu mempunyai kaitan dengan gangguan seksual oleh mangsa terhadap isteri Ferdy, namun Putri Candrawathi menafikan dakwaan tersebut.

Budak 12 tahun maut direnjat elektrik guna telefon waktu ribut petir

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut setelah dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar dekat Gua Musang, Kelantan semalam.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata, bapa mangsa, M Nor Zawawi Awang melaporkan kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh isterinya bahawa anak mereka, Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur.

Ketika kejadian kira-kira 4.50 petang itu, kawasan tersebut sedang dilanda ribut petir.

“Apabila selesai solat Asar di surau di hadapan rumah, pengadu mendengar bunyi petir. Pengadu pulang ke rumah dan dimaklumkan bahawa tiada elektrik,” katanya, menurut laporan Bernama.

Pengadu kemudian menghubungi pembaiki inverter solar yang memaklumkan bahawa peralatan tersebut rosak akibat panahan petir, tambahnya.

“Lebih kurang 15 minit kemudian, isteri pengadu memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur,” kata Sik.

“Pengadu kemudian pergi ke tempat tidur anaknya dan didapati anaknya pengsan dan di tangan kanan anaknya terdapat telefon bimbit serta ada pengecas telefon bimbit berdekatan anaknya.”

Turut terdapat kesan lecur di tangan kanan mangsa dan kesan terbakar pada tilam, tambahnya.

Sik berkata, bapa mangsa kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan dia disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan di tempat kejadian didapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan kematian dengan perlakuan jenayah dan dipercayai (terdapat) kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap inverter solar rumah pengadu,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang pada 8 malam tadi untuk tindakan selanjutnya.

Ramai tertanya-tanya kapal layar mewah RM200 juta singgah di Perlis milik siapa, ini jawapannya

AYHAN FERHAT

Kehadiran kapal layar mewah RM200 juta yang singgah di Perlis baru-baru ini menimbulkan tanda tanya siapa pemiliknya sehingga menjadi tular di media sosial.

Kapal mewah yang tiba-tiba masuk di sekitar muara Sungai Perlis, Kuala Perlis berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis menjadi perhatian terutamanya nelayan di situ kerana ini kali pertama kapal layar mewah berlayar melewati kawasan berkenaan.

Tidak habis di situ portal TheVocket menjawab segala pertanyaan ramai siapa pemilik sebenar kapal layar tersebut.

Siapa individu yang membelanjakan sejumlah besar wang untuk memiliki sebuah kapal layar mewah berbentuk unik & futuristik tersebut.

Ramai tertanya-tanya kapal layar mewah RM200 juta singgah di Perlis milik siapa, ini jawapannya

Pemilik asal kapal layar mewah ini, Antony Marden

kapal layar mewah yang melalui muara Sungai Perlis baru-baru ini mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan, ini bermakna sejak tahun 2008 lagi pemilik bersama-sama pereka kapal ini (Shuttleworth Design) sudah mempunyai ‘visionary‘ untuk mencipta sebuah masterpiece yang tak lapuk ditelan zaman.

Bersaiz kira-kira 43 meter itu diberi nama ‘Adastra’, diambil daripada bahasa Latin — Ad Dastra — bermaksud ‘menuju ke bintang-bintang’. Oleh sebab itu kapal layar mewah tersebut mempunyai reka bentuk yang mendahului zaman pada ketika itu.

Ia dibina oleh McConaghy Boats untuk seorang ‘baron’ perkapalan yang berpangkalan di Hong Kong. Superyacht ini pertama kali diperlihatkan kepada dunia pada 2012 dengan nilainya pada waktu itu sekitar USD10 juta (~RM44.5 juta) serta kos operasi tahunan mencecah USD1 juta (RM~4.45 juta).

Dalam satu portal pemilik-pemilik superyacht sedunia, pemilik asal kapal layar mewah ini, Antony Marden (Anto Marden) berusia 73 tahun dilaporkan mempunyai nilai kekayaan sehingga USD200 juta (~RM890 juta) melalui beberapa perniagaan seperti Fenwick Shipping yang mula beroperasi sejak tahun 1973 lagi.

Beliau juga memiliki Magsaysay Transport and Logistics Group yang berpangkalan di Manila, sebuah syarikat logistik yang menumpukan pada bidang pengurusan kapal, bunker marin, pembaikan & perkhidmatan marin, dan perundingan marin.

Kebanyakkan syarikat yang dimilikinya fokus pada perkhidmatan logistik, kemudian dikembangkan daripada pengangkutan kepada pelepasan kastam, penghantaran kontena, pergudangan dan pelancongan.

Menurut Anto, beliau merupakan sorang yang gemarkan aktiviti pelayaran dan meluangkan masa bersama ahli keluarganya, jadi dengan hasil kekayaan yang ada, beliau memiliki beberapa pulau persendirian sekitar Asia Tenggara, antaranya pusat peranginan pulau persendirian Pulau Pangkil di Indonesia dan resort butik Pulau Joyo di Kepulauan Riau berhampiran Singapura.

Pada tahun 2019, Anto telah membuat kenyataan mahu menjual kapal layar mewah miliknya dengan harga USD12 juta (~RM53.44 juta). Namun baru-baru ini, laman jual-beli kapal layar mewah Boat International menunjukkan harga terkini Adastra lebih murah, bernilai USD10 juta (~RM44.5 juta) sahaja.

Anto juga pernah mengibarkan bendera Malaysia, dipercayai apabila beliau berada di persekitaran perairan Langkawi sebelum ini.

Kerajaan Kelantan hantar rombongan besar ke Mesir, tapi hutang anak syarikat bila nak selesai?

HUSAM MUSA

Diberitakan Kerajaan Kelantan membawa rombongan besar melawat Mesir.

Lenakah MB Kelantan tidur di Mesir ketika dua anak syarikat kerajaan negeri berdepan masalah kewangan sepeninggalan beliau?

Air Kelantan Sdn Bhd dikatakan mempunyai hutang tertunggak bil elektrik RM35.2 juta! Sehingga 30 Jun 2022.

Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd belum mampu melunaskan tuntutan kalah saman sebanyak RM 6.4 juta sehingga 15 Ogos 2022.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Kompleks Perkayuan Kelantan gagal dalam rayuannya pada 7 Julai 2022 lagi.

Akibatnya, difahamkan semua akaun bank milik Kompleks Perkayuan Kelantan telah dibekukan atas perintah Mahkamah.

Difahamkan, Notis Petisyen Penggulungan atau Winding Up Petition Notice telah difail dan diserahkan kepada Kompleks Perkayuan Kelantan beberapa hari lalu.

Sedikit sebanyak penjimatan wang tiket dan belanja di Mesir jika anggota rombongan dikurangkan boleh diguna bayar bil elektrik AKSB dan kalah saman Kompleks Perkayuan Kelantan.

Jumlah dua itu dah RM41.6 juta. Itu belum ambil kira kos guaman kes Kompleks Perkayuan Kelantan.

Tiada komen saya yang lain. Sekadar pastikan rakyat Kelantan tahu perkembangan pentadbiran negeri mereka.

Lelaki cabut batu nisan perkuburan Islam ditahan

 Bernama

Polis menahan seorang gelandangan lelaki hari ini yang disyaki terlibat dalam kes khianat mencabut beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim di Sibu yang telah menggemparkan masyarakat Muslim di bandar ini.

Perbuatan mencabut nisan itu tular di dalam media sosial sejak kelmarin apabila terdapat waris-waris yang mendakwa nisan di kubur ahli keluarga mereka telah dicabut selepas memeriksa sendiri keadaan di tanah perkuburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata pada jam 1.21 tengah hari polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang memaklumkan batu nisan kubur bapa beliau telah dicabut dari kedudukan asal.

“Hasil siasatan pihak polis, jam lebih kurang 3.00 petang, seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun disyaki terlibat dalam kejadian ini telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata suspek yang didapati mempunyai rekod jenayah itu diberkas di tanah perkuburan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan berhubung tindakan suspek mencabut batu nisan di tanah perkuburan.

- Bernama

Bukti baru yang dibawa Najib hanya 'hearsay' atau khabar angin

DPP: Dakwaan bukti baru Najib khabar angin

Hidir Reduan Abdul Rashid

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram hari ini berhujah di Mahkamah Persekutuan bahawa permohonan penyerahan bukti baru Najib Razak dalam kes SRC International bernilai RM42 juta hanya berdasarkan kenyataan individu tertentu kepada SPRM.

Sithambaram berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan harus menolak bukti itu kerana afidavit sokongan Najib berdasarkan keterangan khabar angin atau 'hearsay'.

Di bawah undang-undang, 'hearsay' ialah laporan kata-kata orang lain oleh saksi, yang mahkamah biasanya tidak membenarkan ia diambil sebagai bukti semasa perbicaraan.

Bukti tambahan yang cuba diajukan Najib disokong oleh afidavitnya mengenai apa yang dikatakan oleh tiga pegawai SPRM dan dua pegawai bank kepada suruhanjaya antirasuah itu semasa siasatan.

Sithambaram memberitahu lima bangku hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa afidavit Najib menunjukkan bahawa saksi yang didakwa ini tidak memberitahu Najib sendiri mengenai apa yang mereka maklumkan kepada SPRM.

“Saksi-saksi itu (apa yang mereka didakwa katakan seperti yang terkandung dalam afidavit Najib) adalah khabar angin, mereka tidak memberitahu perayu (Najib),” kata Sithambaram.

DPP menentang hujahan awal peguam bela Hisyam Teh Poh Teik berhubung bukti baru ini - yang didakwa dihantar tanpa nama dalam sampul surat kepada Najib antara 9 Mei dan 7 Julai.

Hisyam telah berhujah awal hari ini bahawa jika tidak kerana sampul surat tanpa nama ini, Najib dan pasukan pembelaan tidak akan menyedari tentang dakwaan konflik kepentingan yang melibatkan Nazlan.

Prosiding di hadapan mahkamah akan disambung semula pagi esok, dengan peguam Najib dijangka mengemukakan hujah balas terhadap penghujahan pihak pendakwaan berhubung permohonan menyerahkan bukti baru itu.

Panel hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Melalui permohonan penyerahan bukti baru yang bertujuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC, perayu mendakwa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berisiko berat sebelah kerana konflik kepentingan.

Pasukan pembelaan Najib mendakwa terdapat konflik kepentingan disebabkan Nazlan, yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu memegang jawatan sebagai peguam am di Maybank.

Perayu mendakwa bahawa bank komersial itu kemudiannya terlibat dalam pembentukan SRC, anak syarikat 1MDB ketika itu.

Walaupun secara rasmi telah menarik balik tuntutan rasuahnya terhadap Nazlan, bekas perdana menteri itu tetap menegaskan dakwaan konflik kepentingan terhadap Nazlan.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menyerahkan bukti baru, ia akan meneruskan untuk mendengar rayuan utama Najib yang bertujuan untuk membatalkan sabitan atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), dan tiga pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC.

Perayu juga memohon untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan sembilan hari mulai hari ini untuk mendengar rayuan Najib.

Pada mulanya ditetapkan selama 10 hari, namun Mahkamah Persekutuan kemudian mengurangkannya, kepada sembilan hari untuk perbicaraan dari 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melalui hakim perbicaraan Nazlan, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Setelah menjatuhkan hukuman itu, Nazlan bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk penangguhan hukuman sementara menunggu proses rayuan diselesaikan. Nazlan sejak itu telah dinaikkan ke Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib.

Ringkasan laporan PAC isu kapal LCS, kita bincang dari ‘kulit ke kulit’ – Siri 1

NIK HASYUDEEN

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung dengan perolehan kapal peronda generasi kedua – Littoral Combat Ship (LCS) 1/10

Mulai pagi ini saya akan bincang secara ringkas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau Public Accounts Committee (PAC) berkenaan pembelian LCS dari kulit ke kulit macam dibuat di pondok-pondok.

Harapnya kita akan menjadi lebih faham berkenaan isu berkenaan dan tidak bergantung kepada sentimen semata-mata.

PAC adalah salah satu dari Jawatankuasa terpilih Parlimen Malaysia. Ianya ditubuhkan untuk meneliti laporan Juruaudit Negara berdasarkan Artikel 107 Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu PAC juga mempunyai kuasa untuk meneliti perkara lain yang dianggap sesuai atau pun yang dirujuk kepadanya oleh Dewan Rakyat. Jadi, PAC ni macam jawatankuasa audit di dalam institusi-institusi korporat.

Keahlian PAC untuk sesi ini ada 15 orang terdiri dari wakil pelbagai parti politik. Di kebelakangan ini, pengerusi PAC dilantik dari wakil pembangkang, sama dengan tradisi Parlimen di negara-negara Komonwel yang lain.

Bagi membantu PAC dalam menjalankan kerjanya, ada wakil tetap yang membantu mereka yang datang dari beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam isu pembelian kapal LCS oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, saya percaya PAC telah merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

JKSTUPKK ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang bertujuan untuk menyiasat pembelian aset-aset mencurigakan di dalam kementerian kerajaan. Pengerusi JKSTUPKK adalah Tan Sri Ambrin Buang, mantan Ketua Audit Negara.

PAC telah memanggil beberapa orang saksi di dalam prosiding berkenaan pembelian LCS. Antara saksi-saksi yang terlibat adalah:

1. Timbalan Ketua Audit Negara

2. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan

3. Pengerusi JKSTUPKK

4. Ketua Pengarah dan mantan Ketua Pengarah Projek LCS TLDM

5. Mantan Panglima Tentera Laut

6. Mantan Menteri Pertahanan

7. Syarikat Bousted Naval Shipyard (kontraktor LCS)

8. Syarikat Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. (Juruaudit Forensik BNS)

Jadi, dapatan PAC berkenaan projek LCS ini bukannya secara agak-agak dan sangka-sangka sahaja tetapi berdasarkan keterangan dan fakta yang dibentangkan kepadanya.

Sama dengan jawatankuasa terpilih Parlimen yang lain, PAC tidak ada kuasa untuk mendakwa.

Ianya hanya boleh mensosialisasi (socialise) isu-isu yang ada kepentingan awam supaya rakyat tahu dan maklum bagaimana duit mereka diurus oleh kerajaan.

Terpulanglah kepada agensi-agensi penguatkuasa seperti SPRM dan polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang.

Mokhtar Senik dituduh 'langgar' Hadi

Malaysiakini 

Dituduh 'langgar' Hadi, Mokhtar ingatkan PAS pada insiden 2015

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini memberi bayangan insiden penyingkiran beramai-ramai dalam parti itu pada 2015 boleh berulang sekali lagi.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata sikap ahli parti yang "bersilat di belakang presiden" dan tidak ikhlas akan menyebabkan seseorang itu tidak akan selamat.

Tanpa menyebut atau memberikan gambaran secara jelas pihak yang dimaksudkannya itu, ulama PAS terbabit berkata, sikap berkenaan menunjukkan mereka membawa kepentingan sendiri.

"Ingat, tindakan kamu itu tidak selamat.

"Apabila ahli tahu beza pendekatan kamu yang berkepentingan dengan pendirian sebenar presiden yg ikhlas untuk jamaah, kamu pasti akan ditendang keluar dari jamaah sebagaimana muktamar pada 2015," katanya hari ini.

Mokhtar yang juga anggota Dewan Ulama PAS Pusat berkata demikian sebagai mengulas sikap parti itu kepada Muafakat Nasional (MN), iaitu kerjasama mereka dengan Umno ketika kedua-duanya menjadi pembangkang.

Dinafikan sudah berakhir oleh kedua-dua parti, hubungan PAS-Umno melalui MN kini dianggap sebagai retak menanti belah dengan pemimpin yang terbabit saling memberikan kenyataan yang keras.

Dengar sendiri dari presiden

Pun begitu sesetengah pihak dalam PAS dilihat masih cenderung untuk memulihkan keadaan dan memilih Umno berbanding Bersatu.

Kata Mokhtar ada pemimpin tertentu PAS mendakwa dia "melanggar" parti dan presiden apabila bersuara agar MN dijaga.

Untuk memastikan dia tidak tersalah langkah, dakwa Mokhtar, dia berkali-kali juga merujuk pendiriannya itu kepada Mursyidul Am PAS Hashim Jasin.

"Setiap kali itu juga mursyidul am menegaskan perlu dijaga simpulan MN agar tidak terlerai.

"Saya jadi hairan di mana celahnya mengatakan tulisan saya itu bercanggah dengan pendirian PAS?" katanya.

Pada Sabtu lalu, kata Mokhar, Dewan Ulama PAS mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi Awang, dan mendengar bagaimana presiden mereka itu menegaskan agar hubungan parti itu dengan Umno perlu diteruskan.

"Saya semakin hairan. Kumpulan yang sebelum ini mengatakan pendekatan mengeratkan hubungan PN (Perikatan Nasional) dan MN itu sebagai pendekatan 'langgar' presiden itu, kumpulan mana sebenarnya?

"Jangan bersilat di belakang presiden. Asalkan siapa saja tak setuju dengan kamu, lalu (kamu) dianggap orang itu langgar presiden," katanya.

Untuk rekod pada 2015 krisis dalaman PAS mencapai kemuncaknya apabila pemilihan muktamar menyaksikan sekumpulan pemimpin sederhana dalam parti itu diketepikan.

Konflik itu bermula dengan perbezaan pandangan pemimpin dalam parti terhadap kerjasama mereka dengan parti lain, khususnya PKR dan DAP.

Penyingkiran tersebut kemudian membawa kepada tertubuhnya parti Amanah.

Timb Presiden Umno: Lidah pemimpin Pas bukan setakat bercabang tetapi bercabang-cabang

NASUHA RAHMAN

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan mendakwa lidah pemimpin Pas bukan setakat bercabang tetapi bercabang-cabang.

“Bukan bercabang…bercabang-cabang,”kata Mohamad selepas peserta Umno ramai-ramai kata Paslah lidah bercabang.

Berucap ketika merasmikan pelancaran pra pilihanraya BN negeri Terengganu, bertempat di Dun Kijal, Kemaman semalam Mohamad membidas sikap pemimpim Pas yang sering menuding jari.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Pas menyalahkan Umno kerana mengakhianati Muafakat Nasional (MN) sebaliknya ia tidak berlaku.

Katanya, Pas sendiri yang tidak berpendirian dalam permuafakatan dengan Umno apabila secara senyap-senyap menyertai Perikatan Nasional (PN) walaupun berulang kali ditanya penegasan Pas dalam hal itu.

“Mesyuarat tertinggi MN saya pengerusi bersama dengan timbalan presiden saya, tanya kerana Umno telah buat keputusan, kami tidak akan menyertai PN… apakah tuan punya pandangan? Kami tidak akan menyertai PN jawab Pas.

“Mesyuarat bulan depan saya tanya lagi macam mana pendirian masih nak sertai PN?…Jawab mereka tidak…

“Dua minggu lepas itu dia masuk PN, dia menjadi penaja utama. Siapa yang careless sekarang?” soal beliau kemudian dijawab Pas oleh peserta.

Malangnya, kata Mohamad Pas pula menuduh Umno yang khianat dan menyifatkan pemimpin Pas ‘serban dililit tebal tapi cakap tak betul’.

“Lebih baik saya yang tidak berjambang dan tidak berserban.

“Lebih baik muka bersih macam ni… hati pun bersih.

“Jangan cakap di mulut lain di hati lain,” katanya undang tepukan dan sorakan ahli BN.

Bertatu kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem, apakah individu India ini sengaja buat provokasi agama?

NASUHA RAHMAN

Bertatu kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem, apakah individu lelaki India ini sengaja buat proovokasi agama, soal pendakwah Firdaus Wong Wai Hong.

Firdaus berkata, individu ini bertatu apa sekalipun, itu bukan urusannya tetapi apabila individu ini membuat tatu tertera kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem ke media sosial seolah-olah berbangga mempertontonkan kepada umum.

“Apakah individu ini sengaja membuat provokasi agama atau dia tidak tahu tatunya itu mempunyai kalimah suci bagi orang Islam?”

“Adalah menjadi hak seseorang individu bukan Muslim untuk bertatu jikalau dia mahu selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara namun mengapa kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem menjadi pilihan individu tersebut?,” soalnya lagi.

Persoalan itu dilontarkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Facebook beliau semalam berserta kepingan gambar susuk tubuh seorang lelaki dimuat naik yang didakwa berbangsa India.

Bertatu kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem, apakah individu India ini sengaja buat provokasi agama?

Bertatu kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem, apakah individu India ini sengaja buat provokasi agama?

Beliau berkongsikan gambar lelaki itu mempunyai tatu berbentuk singa yang mengandungi kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem.

Beliau berkata, isunya bukan individu berbangsa India tersebut bertatu kerana itu adalah hak peribadi lelaki itu tetapi beliau dihimpit dengan dua persoalan berkenaan tindakan individu itu yang didakwa bekerja di sebuah syarikat penerbangan di Malaysia;.

Dua persoalan tersebut iaitu;

Kenapa mesti dia & artis tatu itu membuat tatu berbentuk singa yang mengandungi kalimah Bismillahir Rahmanir Raheem?

Apa niat individu ini memuat naik gambarnya bertatukan singa yang mempunyai kalimah Islamik ke media sosial? Adakah dia ingin menunjukkan kecantikan seni tatu di badannya semata-mata atau ingin melakukan provokasi sedangkan beliau sedia maklum sensitiviti agama di Malaysia.

Beliau juga mengharapkan semoga pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu tersebut bagi menjaga keharmonian dan keamanan Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

Tembelang 'Mohd Syahid' sipenkid pecah

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

ALIYA ketika ditemuramah oleh wartawan, semalam.

ALIYA ketika ditemuramah oleh wartawan, semalam.

Shah Alam: Berbekalkan janji manis serta perlakuan romantis, seorang pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' menjerat beberapa wanita kononnya akan diperisterikan menyebabkan ada dalam kalangan mangsanya itu turut membeli pelbagai barangan untuk persediaan perkahwinan.

Bagaimanapun, tembelang 'lelaki jadian' itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum ia tular.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aliya, 30-an, berkata, dia mengenali pengkid itu pada Mac lalu melalui aplikasi Tik Tok apabila 'lelaki' terbabit sering muncul setiap kali dia bersiaran langsung.

"Bermula dari situ, kami berhubung dan Ayid memaklumkan, dia bekerja sebagai doktor di Arab Saudi. Sepanjang perkenalan, kami tidak pernah berjumpa dan hanya berhubung melalui panggilan video.

"Pernah terdetik dalam hati saya bahawa tubuh badan Ayid seperti perempuan. Namun, ketika membuat panggilan video, Ayid sering menampakkan bahagian atas badan selain memakai kain pelekat," katanya ditemui di sekitar Shah Alam.

Aliya berkata, dia mula terpaut hati dengan Ayid yang berusaha memikatnya dengan memberikannya pelbagai hadiah selain makanan walaupun kononnya dia berada di Arab Saudi.  

"Ketika bersiaran di Tik Tok, saya memaklumkan yang saya lapar kerana belum makan. Tiba-tiba sahaja, ada penghantar makanan sampai ke rumah memaklumkan ada pesanan untuk saya. Malah, Ayid pernah membelikan beg berjenama untuk saya ketika membeli-belah di tempat rakannya bekerja.  

"Tindak-tanduk dia menyebabkan saya jatuh cinta sebelum kami mula menjalinkan hubungan serius walaupun hanya beberapa bulan mengenalinya," katanya yang juga usahawan.  

Menurutnya, dia dan Ayid juga merancang untuk bertunang pada bulan depan dan berkahwin pada awal tahun depan dengan perancangan itu sudah dimaklumkan kepada ibu bapanya.

"Namun, pada awal bulan ini, saya menerima banyak mesej daripada ramai orang memaklumkan bahawa Ayid sebenarnya perempuan. Pada mulanya, saya tidak melayan semua mesej berkenaan kerana Ayid sudah memberi penjelasan mengenai perkara itu yang dikatakan fitnah terhadapnya.  

"Apabila rakan baik yang saya kenal turut memaklumkan perkara sama, saya mula curiga dan bertanyakan kepada kawan Ayid. Rakan Ayid memaklumkan yang kami tidak boleh berkahwin. Saya kemudiannya menghubungi mangsa penipuan Ayid yang lain," katanya.  

Aliya berkata, dia berjaya mendapatkan beberapa bukti mengenai perbuatan pengkid berkenaan termasuk rakaman video Ayid memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini daripada teman wanitanya yang lain.  

"Saya memuat naik rakaman video itu kerana saya mahu orang di luar sana tahu siapa Ayid sebenarnya. Saya tidak mahu lebih ramai wanita menjadi mangsa penipuannya. Malah, tindakannya memakai ihram juga adalah tindakan yang bertentangan dengan agama. 

"Apabila rakaman video berkenaan tular, lebih ramai mangsa yang tampil menceritakan jalan cerita yang sama seperti saya. Ayid berjanji kepada semua wanita berkenaan bahawa dia akan mengahwini mereka. Malah, ada di antara mereka sudah membeli baju pengantin serta menghantar borang kahwin ke pejabat jabatan agama.  

"Ada juga wanita yang memaklumkan ada meminjamkan ribuan ringgit kepada Ayid. Saya sendiri juga sudah menyediakan beberapa hantaran untuk majlis pertunangan kami yang dijadualkan berlangsung pada September ini," katanya.

Aliya membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Seksyen 9 di sini, malam semalam.

'Ajak saya dan adik kahwin'

Shah Alam: "Ingatkan 'Ayid' ikhlas mahu menjadikan saya sebagai isterinya, tetapi di belakang saya, dia juga mengajak adik perempuan saya untuk berkahwin," katanya mangsa penipuan pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah.

Ramlah, 35, berkata, dia mengenali 'lelaki' terbabit yang turut dikenali sebagai Ayid di aplikasi TikTok pada awal tahun lalu.

"Sejak itu, kami kerap berhubung dan Ayid selalu menyertai siaran langsung di TikTok saya. Sepanjang perkenalan itu, Ayid memaklumkan yang dia adalah duda anak dua.

WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram  dikecam akibat mencemar agama.

WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram dikecam akibat mencemar agama.

"Malah, Ayid juga ada menunjukkan gambar bersama dua kanak-kanak perempuan serta seorang wanita yang didakwa sebagai anak dan bekas isterinya. Dia juga memaklumkan sedang bersedih dengan perpisahan itu dan mahu mengahwini saya," katanya ketika dihubungi.

Ramlah berkata, selepas beberapa bulan mereka berkenalan, dia memperkenalkan adiknya yang dikenali sebagai Rohana, 34, kepada Ayid semasa adiknya itu turut menyertai siaran langsung di TikTok miliknya.

"Saya maklumkan kepada Ayid bahawa Rohana seorang jururawat yang sudah lapan tahun berkhidmat di Arab Saudi. Namun, saya tidak mengetahui mereka ada berhubung di belakang saya sehinggalah Rohana memaklumkan dia dan Ayid mahu berkahwin pada Aidilfitri lalu (Mei lalu).

"Saya terkejut dengan perancangan mereka dan memaklumkan kepada ibu bapa Ayid juga ada mengajak saya berkahwin dengannya. Kerana itu, ibu bapa saya menentang hubungan mereka kerana Ayid mempermainkan perasaan kami," katanya.

Menurutnya, selepas hubungan itu tidak direstui ibu bapanya, sikap Rohana juga berubah malah dia merahsiakan kedatangannya ke Kuala Lumpur pada Aidilfitri lalu untuk bertemu Ayid.

"Sebelum ini, Rohana seorang yang lemah lembut dan mendengar cakap orang tua. Namun kini, dia berubah menjadi seorang yang melawan cakap ibu bapa dan sanggup menipu dengan tidak pulang ke kampung halaman kami di Ipoh, Perak untuk bertemu ahli keluarga, sebaliknya menghabiskan cuti selama seminggu di Kuala Lumpur bersama Ayid.

"Hubungan kami (ahli keluarga dengan Rohana) juga mula renggang kerana kami melarang hubungan mereka. Malah, mereka tetap mahu meneruskan perancangan untuk berkahwin di Arab Saudi meskipun tidak mendapat restu keluarga," katanya yang bekerja sebagai anggota penyelamat.

Kata Ramlah, beberapa hari lalu, dia menghubungi wanita dikenali sebagai Aliya selepas melihat rakaman video Ayid memakai ihram di Tanah Suci Makkah tular.

"Saya difahamkan, Rohana ada bertemu Ayid yang berada di sana (Arab Saudi) ketika ini. Walaupun kami (ahli keluarga) sudah memaklumkan mengenai perkara itu, namun Rohana tetap yakin Ayid adalah lelaki.

"Kami bimbang dengan perhubungan mereka kerana Ayid licik memanipulasi Rohana sehinggakan dia memilih untuk mempercayai Ayid berbanding kami," katanya.

'Agak berahsia kehidupan peribadinya'

Shah Alam: Usaha pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini, semata-mata mahu membuktikan dia adalah lelaki, cukup dikesali bekas penyelianya.

Bekas penyelia pengkid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Am, 28, berkata, dia mengenali Ayid pada 2015 ketika mereka bekerja di sebuah cawangan bank di Bukit Jelutong di sini, pada 2015.

"Perwatakan Ayid memang seperti lelaki namun saya sebagai rakan rapatnya tahu bahawa dia adalah seorang perempuan. Saya yang meneliti dokumen dirinya ketika dia ditemu bual untuk bekerja di cawangan bank sama di Kuala Lumpur.

"Dia adalah seorang yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah di tempat kerja. Namun dia agak berahsia dengan kehidupan peribadinya dan kami jarang bergaul selepas waktu kerja," katanya ditemui di sekitar Shah Alam.

Am berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Ayid adalah pada beberapa bulan lalu apabila pengkid terbabit memaklumkan, ada rakannya mahu menjalankan ibadat korban menggunakan khidmatnya yang ketika itu berada di Arab Saudi.

"Namun, saya terkejut apabila melihat rakaman video Ayid memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah di Twitter yang dimuat naik oleh seorang wanita dikenali sebagai Aliya. Saya kemudian menghubungi Aliya dan menghantar gambar saya bersama Ayid sebagai bukti saya mengenalinya.

"Daripada situ, saya juga dapat tahu bahawa dia memperdaya ramai wanita yang juga teman wanitanya selain berjanji untuk mengahwini mereka. Saya percaya tindakan dia memakai ihram itu sebagai bukti untuk meyakinkan teman wanitanya bahawa dia adalah lelaki tulen," katanya.

Am juga kesal dan marah dengan tindakan Ayid yang dilihat sanggup mempermainkan agama untuk kepentingan diri.

"Selain jantinanya, banyak perkara yang dia tipu terhadap mangsanya termasuk pekerjaan apabila dia mendakwa bertugas sebagai doktor sedangkan dia bekerja di bahagian pemasaran di Kuala Lumpur dan bukannya di Arab Saudi seperti dimaklumkan.

"Malah, ada mangsa yang sudah bergolok bergadai untuk membuat persiapan perkahwinan dengan Ayid. Perkara ini semua menyebabkan saya marah terhadap Ayid kerana perbuatan terbabit memang melampau.

"Saya berpegang pada prinsip matlamat tidak menghalalkan cara dan dalam kes ini, tindakan Ayid mahu membuktikan diri sebagai lelaki tidak boleh dihalalkan dengan menggunakan agama," katanya.

49 individu beragama Islam ditahan minum arak

Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Seramai 49 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas didapati mengambil minuman keras dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan, pada Jumaat.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, 49 individu beragama Islam terdiri daripada 24 orang lelaki dan 25 wanita yang ditahan Jawi diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559).

Operasi diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan di sekitar Jalan Kia Peng dan Jalan Metro Pudu sebelum berakhir pada jam 4 pagi, pada Jumaat.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, selain Jawi, operasi dengan kerjasama agensi sahabat itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan.

Menurut DBKL, hasil pemeriksaan dijalankan di tujuh buah premis hiburan, ia turut mengenakan tindakan penutupan (sealed) serta-merta dan sita peralatan terhadap sebuah premis di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

"Ini termasuk membuka satu kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran dan satu notis di bawah Kaedah 29(2), Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993 kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan (kelab malam)," menurut kenyataan itu.

Selain itu, DBKL mengeluarkan satu notis kompaun di bawah UUK 5(1), Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1989 kerana mempamerkan iklan premis tanpa lesen dan membuat tindakan sita terhadap 10 pelbagai peralatan muzik melibatkan 'spinner', 'karaoke system player', 'mixer' dan 'sound controller' serta pembesar suara. 

Lawatan PAC ke tapak LCS Lumut Perak, menyedihkan

WONG KAH WOH

Sejurus selepas laporan PAC mengenai Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibentangkan, seorang rakan wartawan telah menghantar mesej kepada saya, bertanya “Apakah perasaan anda?”

Saya jawab, menyedihkan.

Kami telah mengadakan 10 prosiding, dengan satu lawatan tapak ke limbungan kapal BNS di Lumut, dan memanggil 21 orang saksi. Akhirnya, sebuah Laporan dengan 247 muka surat, berserta dengan dengan penyata hansard sebanyak 489 muka surat, dan 192 muka slaid telah dibentangkan sebagai laporan penuh.

PAC memutuskan untuk melawat limbungan kapal BNS selepas menerima keterangan dari KSU MINDEF, saksi dari BNS, dan bekas Menteri Pertahanan DS Zahid Hamidi.

Lawatan Tapak pada 11 Disember 2021

Kami tiba di limbungan kapal pada jam 9 pagi, 11 Disember 2021. Prosiding bermula pada jam 9.05 pagi dengan kehadiran saksi dari MINDEF, Tentera Laut, BHIC, dan BNS. Untuk dinamakan, tiga orang saksi penting turut hadir bersama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini, Pengarah Projek LCS BNS Kepten (B) Ir Azhar Jumaat, dan bekas Ketua Pasukan Projek Tentera Laut, Lak. Muda Datuk Ir. Mohd Saiful.

Prosiding berlangsung selama 3 jam, berakhir pada 12.01 tengahari dan semua orang beredar untuk ke lawatan tapak.

Gudang simpanan

PAC dibawa untuk melawat gudang simpanan. Terdapat sejumlah 13 gudang simpanan yang menyimpan perkakasan yang berkaitan dengan projek LCS ini, 5 secara khusus untuk perkakasan LCS dan 8 lagi digunakan sebagai Gudang Simpanan Am BNS yang mengandungi campuran perkakasan untuk LCS dan barang-barang lain.

Kami melawat beberapa gudang simpanan. Terdapat perkakasan persenjataan, bahagian-bahagian untuk tujuan pembinaan kapal, dan barang-barang lain. Apa yang menonjol adalah beberapa bungkusan TV Pintar, untuk tujuan kegunaan LCS, disimpan di stor ini. Kita semua tahu yang TV Pintar ini tidak lagi pintar selepas beberapa tahun.

Saya tidak pasti mengenai yang lain, terutama mengenai bahagian dan perkakasan yang melibatkan teknologi kapal tempur. Kami menyemak dan mendapati banyak perkakasan dan barangan ini dibeli pada tahun 2013, 2014, dan 2015. Persoalan timbul sama ada barang-barang ini masih cukup “pintar” untuk kegunaan masa sekarang apabila mengambil kira kemajuan teknologi terkini.

Kami dimaklumkan nilai barangan dalam simpanan ini adalah RM1,757,791,266.02. Saya bertanya kepada BNS, berapa banyak daripada barangan ini boleh dikira usang dan jawapan dianggarkan pada kira-kira 15%. Bermakna kerugian sebanyak kira-kira RM263,668,689.90.

Adakah semua perkakasan ini telah dibayar oleh BNS? Tidak, bukan semuanya telah dibayar. Kerana ini kita boleh baca mengenai hutang besar BNS kepada pengeluar asal (OEM) yang telah menyebabkan arahan henti kerja dan henti bekalan.

Tapak pembinaan

Kami kemudiannya dibawa untuk melawat LCS1 di tapak pembinaanya. Melihat kapal ini, seseorang mungkin tidak pasti sama ada ia adalah kapal yang sama yang “dilancarkan” pada tahun 2017, tetapi kami tahu ia adalah kapal yang sama. Sudah tentu sekali, tiang utama kapal yang dipertikaikan itu sudah tidak ada.

Kami naik ke blok utama, untuk melihat tahap kemajuan proses pembinaan. MINDEF memaklumkan PAC yang kadar kemajuan proses pembinaan LCS1 pada tahap 44%.

Kami meluangkan masa kira-kira satu jam dalam LCS1 dan kemudiannya pulang ke bas. Bas ini membawa kami ke seluruh tapak pembinaan untuk LCS1 hingga ke LCS5. Sudah tidak ada pekerja di tapak pembinaan ini, baik tempatan atau pekerja asing, dan sudah tidak ada kerja yang berjalan. Kosong, segalanya terhenti. Perkara ini amat menyedihkan memandangkan kita semua tahu yang RM6 billion telah pun dibelanjakan.

Sudah tidak ada wang

Dalam mesyuarat sebelum ini, kami dimaklumkan bahawa kedudukan kewangan BNS berada dalam keadaan yang buruk kerana salah tadbir urus dalam Syarikat ini.

Ahli PAC, YB Wong Shu Qi bertanya sama ada semua RM6 billion telah dibelanjakan oleh BNS. Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin mengakui “memang duit kita sudah habis… company memang tidak ada duit dan memang akan lingkup pun besok silap-silap.” Gaji pekerja dipotong sejak Oktober 2020, caruman KWSP tidak dibayar sejak Mei 2021. BNS memang bergantung kepada kerja kecil-kecilan seperti kerja pembaikan untuk TLDM untuk terus bertahan. (Hal 49 Hansard)

Sharifuddin mengatakan lagi kepada PAC, sekiranya BNS tidak ada lagi, Boustead Holdings dan LTAT akan terkesan teruk. Sektor Perladangan, Pharmaniaga, Boustead Properties dan Boustead Hotels semua akan terkesan. Perkara ini berkemungkinan menyebabkan LTAT untuk kehilangan sehingga 46% saiz dananya. (Hal 52 Hansard)

Menyedihkan

Perkara ini amatlah menyedihkan dan mengecewakan. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah, bagaimana sebuah syarikat yang mendapat kontrak yang bernilai RM9 billion dari Kerajaan jadi sampai tahap sebegini? Perkara ini pastinya melibatkan lebih dari salah urus. Pastinya ada perkara lain selain dari pengurusan yang lemah. Ada perkara yang amat tidak kena dengan mereka yang memegang kuasa dan mereka yang mendapat Kontrak ini.

Saya harap Laporan PAC mengenai LCS ini dapat membantu negara, dengan menjadi rujukan tentang cara bagaimana proses perolehan pertahanan negara TIDAK sepatutnya dilakukan, dan bagaimana kuasa dan proses TIDAK patut disalahguna. Kisah ngeri dalam keseluruhan Projek LCS ini patut menjadi pengajaran kepada semua yang memegang kuasa, baik pada masa sekarang, mahupun pada masa hadapan.

Wong Kah Woh merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)