Nik Abduh malukan ayahandanya, kata netizen marah kerana minta kemudahan PBT untuk kenduri anak

BORHAN AHMAD

Permohonan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Nik Mohd Abduh Nik Aziz kepada Majlis Bandaran Kota Bharu bagi majlis kenduri kahwin anaknya mendapat kecaman warga maya.

Tambahan lagi selepas MPKB – Bandaraya Islam mengesahkan kebenaran permohonan itu kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin, mengesahkan mengenai permohonan bekas ketua Pemuda Pas itu kepada Malaysiakini.

Katanya permohonan berkenaan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit melalui sepucuk surat.

“Pejabat saya terima surat itu,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Permohonan melalui surat bertarikh 20 September itu dibuat atas nama keluarga besar Nikmatillah sempena perkahwinan anakanda beliau pada 24 September 2022 hari ini.

MPKB_BRI diminta menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal (sampah), kerusi meja, hiasan bunga dan penguatkuasaan kawalan lalu lintas.

Surat Nik Abduh kepada MPKB-BRI yang ditularkan.

Ekoran itu, Nik Abduh diserang bertalu-talu oleh para pengguna laman sosial.

Bagi Jeesmi Mohamed, tindakan Nik Abduh ini, “Memalukan arwah tok guru nik abdul aziz jer dia ni.”

Munir Maktar pula berkata, “Iman tak dapat diwarisi..“

Sahib AtTrolaki pula menggunakan bahasa pendokong Pas ketika menyerang Nik Abduh apabila menulis, “mana boleh guna harta awam untuk diri sendiri syeikh Nik Mohamad Abduh, enta tak ingat ka pesan almarhum ayah enta TG Nik Aziz Rahmatullah alaih“

Bagi sesetengah pengguna media sosial bahasa yang digunakan oleh Nik Abduh ketika membuat permohonan itu bukannya bahasa memohon kerana kerajaan negeri adalah di bawah Pas tetapi bahasa mengarah.

Hassan Khamis menulis, “Tengok pada surat tu bukan mohon tapi mcm mengarahkan pbt sediakan kemudahan kerusi meja, bunga, kawalan lalulintas dan pungut sisa pepejal.. guna aset gomen utk kenduri bekwoh anok..”

Bagi pihak yang lain pula, tindakan Nik Abduh tersebut adalah satu bentuk korupsi yang bersarang dalam masyarakat kita.

Mohd Sanusi Yusuf menulis, “Ini adalah salah bentuk korupsi dalam masyarakat kita. Ahli Parlimen Bachok ni patut beli naskah buku yang baru dilancarkan oleh Raja Nazrin bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ karangan Profesor Emiritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. Kalau YB Nik Abduh baca buku ni pasti dia insaf…. “

Muhyiddin akan minta Hadi jelaskan khabar angin 'hidupkan semula' MN

Raveena Nagotra

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan mendapatkan penjelasan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang minggu depan, berhubung khabar angin mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Ini susulan laporan Utusan Malaysia semalam, mengenai pertemuan Hadi dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah membaca kenyataan itu, dan saya juga berminat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya ingin mendapatkan penjelasan apabila saya bertemu Hadi pada Isnin atau Selasa ini, saya akan tetapkan tarikhnya," katanya kepada pemberita di luar majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata dia berminat untuk mengetahui sama ada perbincangan sedemikian berlaku, keputusannya dan sama ada Umno bersetuju dengan pengaturan sedemikian.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kedudukan PN juga perlu diambil kira.

Utusan Malaysia melaporkan dakwaan pertemuan antara Hadi dan Zahid berlaku Selasa lalu, dan perbincangan mengenai kemungkinan menghidupkan semula MN akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 30 Sept.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin dipetik dalam laporan itu berkata terdapat kemungkinan besar untuk menghidupkan semula MN, sambil menambah bahawa mesyuarat susulan akan diadakan antara PAS dan Umno sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan pendirian Muhyiddin hari ini bahawa semua parti gabungan dalam PN telah bersetuju bahawa musuh utamanya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ialah BN.

Awal minggu ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata bahawa musuh politik "sebenar" parti itu ialah Pakatan Harapan (PH).

Takiyuddin berkata, PAS percaya gabungan yang menghimpunkan ummah adalah formula paling berkesan untuk memupuk perpaduan nasional.

Awal bulan ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula dipetik sebagai berkata parti mereka telah memutuskan untuk menghadapi pilihan raya akan datang sebagai sebahagian daripada gabungan PN.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PAS, termasuk presidennya, berulang kali mendakwa mereka masih berbincang dengan Umno, yang mengetuai gabungan BN.

Pemimpin Umno telah berulang kali menafikan dakwaan Hadi.

Awal tahun ini, Umno Selangor telah mencetuskan idea untuk bekerjasama dengan PAS negeri tetapi ia gagal menjadi kenyataan.

Pemimpin Umno telah menetapkan syarat bahawa sebarang kerjasama dengan PAS mestilah didahului dengan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

PAS dan Umno dahulunya membentuk ta'awun siyasi (kerjasama politik) atau disebut juga tahaluf siyasi (perjanjian politik) melalui MN.

Bagaimanapun, kerjasama ini runtuh selepas PAS menyertai PN - sebuah gabungan yang diketuai oleh Bersatu, pesaing Umno dan rakan parti pemerintah.

Bayi perempuan baru lahir ditinggalkan atas jalan raya

Willie Jude

Bayi perempuan yang ditemui orang awam di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan. (Gambar PDRM)

KENINGAU: Seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, hari ini.

Bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira jam 1.05 pagi sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Keningau, Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu, jam 2.38 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

“Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.

Nor Rafidah turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes,

Kenapa Mall boleh daulat Bahasa Inggeris, tapi tak boleh daulat Bahasa Kebangsaan

MOHD ALI HASHIM

Pelik, ajaib dan ganjil. Itu luahan yang dizahirkan oleh Pengerusi Dunia Melayu, Dunia Islam Pulau Pinang, Abdullah Mohd Nor sebaik saja melangkah kaki masuk ke dua buah pusat membeli belah popular di Batu Kawan dan Seberang Jaya.

Malah kata beliau, yang menjadi tanda tanya ialah kenapa gedung membeli belah seperti IKEA di Batu Kawan boleh mendaulatkan Bahasa Malaysia dengan dwi bahasa tetapi tidak pula dengan gedung membeli belah yang baru dan besar tersergam indah di Bandar Sunway Seberang Jaya.

Papan tanda dan notis sekitar Mall Bandar Sunway Seberang Jaya yang hanya mengutamakan Bahasa Inggeris. 

“Sepatutnya Mall di Bandar Sunway Seberang Jaya mengikut teladan atau contoh IKEA Batu Kawan yang lebih awal diwujudkan dimana Bahasa Kebangsaan digunakan bersama Bahasa Inggeris oleh IKEA Batu Kawan secara meluas.

” Syabas kepada Mall IKEA Batu Kawan yang tidak meminggirkan Bahasa Kebangsaan, sebaliknya tulisan Bahasa Kebangsaan ditulis jelas dan kemas sehinggakan ia kelihatan menarik dengan ‘font’ atau stail huruf yang digunakan.

” Pihak berkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sepatutnya lebih peka, turun padang melihat setiap sudut di Mall Bandar Sunway Seberang Jaya yang jelas dan ketara menidakkan, menolak serta meminggirkan Bahasa Kebangsaan secara nyata dan tidak menghormati Bahasa Kebangsaan negara ini, ” ujar beliau ketika ditemui.

Papan tanda dan notis sekitar IKEA Batu Kawan yang menobatkan Bahasa Kebangsaan

Tegas beliau lagi, sekiranya pihak berkuasa. tempatan seperti MBSP sendiri tidak peka, alpa dan tidak serius menobatkan Bahasa Kebangsaan di notis dan papan tanda, apalagi yang hendak diharapkan daripada pengusaha dan peniaga yang secara sengaja tidak menghormati Bahasa Kebangsaan.

Penghakiman kes Zahid di Mahkamah Tinggi perlu diteliti dan kaji sebelum ke Mahkamah Rayuan

MOHD ALI HASHIM

Apabila Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah dan dihukum penjara oleh mahkamah, maka ramai menganggap bahawa mahkamah itu adil dan bebas dalam membuat keputusan dan semua pihak menghormatinya.

Jadi dalam kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam. membebaskan Zahid dari 40 pertuduhan rasuah sudah pasti ia tidak menggembirakan, tetapi ianya dihormati.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata adalah diharapkan rayuan ke Mahkamah Rayuan akan difailkan oleh Pendakwa Raya.

“Penjelasan Peguam Negara bahawa penghakiman kes Zahid di Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut perlu diteliti dan dikaji sebelum rayuan ke Mahkamah Rayuan difailkan harus diterima dan sekiranya Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam belum lagi membentangkan penghakimannya kepada umum, mengapa pula Zahid dibebaskan.

“Maka itu adalah wajar alasan penghakiman tersebut diterbitkan kepada umum untuk dibaca oleh orang ramai kerana tuntutan ini mempunyai dua sebab utama, iaitu pertama kes Zahid yang didakwa dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 merupakan kes kepentingan awam.

“Yang keduanya, sekiranya Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara dan empat lagi Hakim Mahkamah Persekutuan pada hari yang sama berjaya membentangkan penghakimannya secara bertulis untuk bacaan orang awam. seperti dalam kes Najib melibatkan SRC International Sdn Bhd, maka adalah wajar juga Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Zahid berbuat demikian, ” ujar beliau.

Betulkah pembebasan Zahid jejaskan strategi pembangkang

Tsubasa Nair dan SK Devi

PETALING JAYA: Penganalisis politik bercanggah pendapat berhubung strategi akan digunakan pembangkang susulan pembebasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 40 pertuduhan rasuah berhubung kes sistem visa asing.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pembangkang perlu menyusun semula pendekatan selama ini yang melabel Umno dan kepimpinan Zahid sebagai rasuah.

Ujarnya, Umno pula boleh melaungkan naratifnya bahawa pemimpin parti itu tidak rasuah dan bahawa pertuduhan dikenakan terhadap mereka adalah hasil daripada “penganiayaan politik”.

“Bagi pembangkang, naratif mereka bahawa Umno korup perlu diubah kerana ‘nombor satu’ (merujuk kepada presiden) Umno telah dibebaskan daripada semua pertuduhan,” kata Azmi kepada FMT.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway pula berkata pembangkang berkemungkinan mengambil kesempatan daripada keputusan Mahkamah Tinggi “untuk menggesa pengundi anti-rasuah berjuang di belakang mereka.”

Bagaimanapun, Wong menyatakan bahawa pembangkang harus ingat, berdasarkan situasi pilihan raya negeri Johor, segmen terbesar pengundi mereka adalah “kumpulan yang berkecuali”.

“Berapa ramai pengundi ini mengambil berat tentang Zahid masih tidak diketahui.

“Mereka mungkin mengambil berat (lebih), dan membandingkan, apa yang kerajaan dan blok pembangkang boleh lakukan untuk mereka, terutamanya dalam krisis,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini pemimpin Pakatan Harapan harus memfokuskan kepada gerak kerja politiknya bermula dengan membentangkan belanjawan bayangan sebelum pembentangan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt.

Namun, Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berpendapat sebaliknya. Beliau percaya pembebasan presiden Umno itu tidak akan memaksa pembangkang mengubah pendekatannya kerana mereka tetap perlu berdepan dengan sesiapa sahaja mengetuai Barisan Nasional sama ada Zahid atau Ismail.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania pula berkata keputusan itu akan menyukarkan pembangkang yang sering menjadikan anti rasuah sebagai bahan kempennya.

Zahid hari ini dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan kontrak sistem visa asing.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

KASIHAN TAKIYUDDIN, DIA LUPA MUSUH UMNO BUKAN SAJA PH TAPI JUGA BERSATU

Shabudin Husim

Seperti seorang yang amat takut kehilangan jawatan serta kemewahan dunia, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan tampil mengingatkan UMNO bahawa musuh bersama mereka ialah PH.

Selain itu, kata beliau juga, musuh Pas bukanlah BN.

Beliau seterusnya menekankan bahawa hanya gabungan Pas dengan UMNO/BN atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional saja yang mampu menjadi formula berkesan untuk mereka menghadapi PH.

Tambahnya lagi, pendekatan itu diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah “kerajaan prihatin rakyat” dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberi perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

“PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU15 nanti,” katanya dalam kenyataan media media hari ini.

Kadang-kadang kasihan pun ada dengan pimpinan Pas yang masih tak henti-henti bermuka tebal mahu bekerjasama dengan UMNO, meskipun UMNO sudah berkali-kali menegaskan pendirian untuk bertanding solo dalam PRU15 akan datang.

Macam-macam usaha, helah dan provokasi cuba dilakukan untuk mengubah pendirian UMNO itu dan kenyataan Takiyuddin ini adalah sambungan daripada beberapa kenyataan pelbagai pimpinan Pas dengan nada yang sama sebelum ini.

Nampak sangat Pas semakin cemas takut ditimpa kekalahan, seterusnya hilang segala nikmat dunia melalui jawatan menteri yang diduduki sekarang.

Mengingatkan bahawa PH adalah musuh bersama yang perlu dikalahkan adalah cubaan terbaru Pas untuk terus memancing perhatian UMNO.

Kasihan…kasihan…kasihan….

Untuk makluman Takiyuddin, UMNO bukanlah tidak sedar bahawa PH merupakan musuh mereka kerana PH jugalah yang mengalahkan UMNO/BN pada pada PRU14 yang lalu.

Tetapi, dalam situasi politik semasa, Pas janganlah terus lurus macam pembaris, sebaliknya hendaklah juga sedar bahawa Bersatu yang sedang mereka peluk erat sekarang ini juga merupakan musuh kepada UMNO.

Bersatu bukan saja sama-sama terlibat dengan PH dalam mengalahkan UMNO/BN pada PRU14 lalu, bahkan mempunyai iltizam berterusan untuk “membunuh” UMNO.

Sementara parti-parti lain dalam PH hanya berlawan dengan UMNO secara politik, Bersatu jauh ke depan dengan menyediakan “papan pengkhianatan” untuk pemimpin-pemimpin UMNO melompat menyertai mereka.

Dengan itu, Bersatu sebenarnya lebih merupakan musuh kepada UMNO berbanding PH.

Mengingatkan UMNO untuk saling bekerjasama menentang PH kerana kononnya PH adalah musuh bersama tidak mungkin mengubah pendirian UMNO selagi Pas kekal berpelukan dengan Bersatu yang merupakan musuh UMNO itu.

Lebih dahsyat, dalam Pas berusaha mahu bekerjasama dengan UMNO itu, bukanlah rahsia lagi bahawa mereka juga mahu membawa Bersatu masuk sama ke dalam kelambu kerjasama itu.

Maka, sudah tentu ia sesuatu yang mustahil kerana UMNO dengan Bersatu ini tidak ubah perbandingannya macam Pas dengan Amanah.

Sebagaimana Pas keras menolak Amanah dan enggan bekerjasamaa dalam apa bentuk sekali pun dengan parti tersebut, itulah juga sikap UMNO terhadap Bersatu.

Kalau Pas benar-benar mahu bekerjasama dengan UMNO, satu saja jalan yang terbuka iaitu mereka mesti segera meninggalkan Bersatu dan keluar daripada PN.

Tapi, sediakan Pas melakukannya dan mampukah Takiyuddin menjadi pendahulu membuka mulut melafazkan talak kepada Bersatu? – ShahbudinHusin 20/09/2022

Pelarian ‘red notice’ paling terkenal ada di China dengan tiga pembantunya – Wartawan ini dedah di mana lokasi Jho Low!

DANIAL HAKIM

Pelarian paling terkenal dan menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sekarang dikatakan berada di China.

Wartawan, Bradley Hope mendedahkan individu yang memperoleh ‘red notice’ (orang dalam buruan dikehendaki untuk pendakwaan) itu ‘merayau-rayau’ di pusat beli-belah di Macau.

Penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World’ itu berkata, dia ada menerima beberapa foto berkaitan ahli perniagaan yang terbabit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Bradley berkata demikian menerusi perkongsian di Youtube bersama Tom Wright, menerusi episod keempat program ‘Di Mana Jho Low’.

Sebelum ini, Jho Low turut mengheret nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk berhubung dana sebanyak RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun yang kononnya adalah daripada Raja Arab Saudi.

Selain imej Jho Low, Bradley mendakwa turut terpampang sama adalah tiga individu yang disyaki pembantu kepada lelaki berusia 40 tahun itu.

Menurutnya, foto dipercayai Jho Low yang memakai baju berkolar warna jingga dan berseluar pendek, tetapi membelakangi kamera itu dan beberapa pembantunya disalurkan oleh penyiasat persendirian.

Dakwanya lagi, dia juga ditunjukkan beberapa foto yang memaparkan imej Jho Low mendepani kamera.

Walau bagaimanapun, jelasnya, penyiasat persendirian yang tidak jelas diupah oleh pihak mana melarang beliau menggunakan foto tersebut.

Sebelum ini, Jho Low turut mengheret nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk berhubung dana sebanyak RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun yang kononnya adalah daripada Raja Arab Saudi.

Jho Low yang membesar di Georgetown, Pulau Pinang mula menarik perhatian orang ramai ekoran ‘pencapaiannya’ menghabiskan ribuan US dollar bersama rakan-rakannya di kelab malam sekitar Manhattan semasa berumur lingkungan 20-an.

Ekoran gaya hidup super mewah itulah, muncul spekulasi tentang dari mana sumber kewangan Jho Low.

Latar pendidikannya bukan calang-calang apabila mendapat pendidikan elit di Harrow School, England seterusnya melanjutkan pengajian di Wharton School of the University of Pennsylvania di Amerika Syarikat.

Untuk rekod, akhir tahun lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilapor berkata, Jho Low masih belum dimasukkan ke dalam senarai Notis Merah oleh Interpol (Polis Antarabangsa).

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan Notis Merah itu, bagaimanapun nama Jho Low dan seorang lagi buruan, Nicky Liow Soon Hee masih tidak dimasukkan dalam senarai individu dikehendaki.

Nicky merupakan pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow berhubung sindiket Macau Scam.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri pada November lalu dilapor mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low.

‘Hairan, kenapa perokok tak makan sama puntung yang hujung sekali tu’ – Sindiran ini buat perokok tegar sentap

FAZLI RADZI

Sikap perokok yang masih mahu ‘berhembus’ walaupun di tapak perkhemahan mengundang rasa tidak senang orang lain yang ingin menikmati kesegaran alam sekitar bebas asap rokok.

Hinggakan ada yang secara sinis menyarankan mengapa tidak makan sekali puntung rokok itu.

“Saya hairan, kenapa perokok buang puntung yang last sekali? Kenapa tak dimakan saja?,” kata Muyassarah.

Ada juga yang menempelak sikap perokok yang membuang puntung merata-rata selepas mencemarkan udara sekiat.

Bagi Mohd Danial Fai pula, beliau menasihatkan supaya perokok menghentikan tabiat buruk itu selepas menyaksikan sendiri bagaimana seorang ayah merokok di luar khemah tetapi asap rokok masuk ke dalam khemah yang ada anak-anak kecil.

“Bagi perokok tegar, janganlah bawa perangai merokok tu sampai ke tapak perkhemahan. Bau rokok yang menganggu jiran sebelah satu hal, kesihatan keluarga dan anak-anak kenalah ambil cakna.

“Anak kecil-kecil tu sangat bahaya dengan asap rokok. Paru-paru mereka masih lembut lagi, dan mudah terdedah kepada bahaya bahan racun dalam asap rokok,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Danial menyeru agar perokok yang masih berbuat demikian berhentilah merokok mulai sekarang.

“Kita jaga kesihatan bukan untuk diri kita, tapi untuk keluarga. Kalau kita sakit, mereka telah hilang tempat pergantungan,” ujarnya lagi

'Pergi' selepas 13 hari peluk Islam

Mohd Khidir Zakaria

am@hmetro.com.my

ALLAHYARHAM Fatimah bersama ibunya, Hanna Zulaikha ketika dirawat di hospital.

ALLAHYARHAM Fatimah bersama ibunya, Hanna Zulaikha ketika dirawat di hospital.

Seremban: "Sudah lama anak berminat dengan Islam, tetapi hasrat itu tertangguh sebaik dia dimasukkan ke hospital kerana menjalani rawatan akibat penyakit SLE (auto imun) sejak sebulan lalu," kata Hanna Zulaikha Abdullah, 51.

Hanna Zulaikha berkata, dia terlebih dahulu memeluk agama Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, pada 3 Ogos lalu.

Sementara, anak perempuannya, Fatimah Abdullah, 25, memeluk agama Islam pada 8 September lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini.

"Arwah sendiri memilih nama Fatimah sebaik mengucapkan dua kalimah syahadah di katil hospital baru-baru ini.

"Wajahnya nampak ceria dan dia memberitahu jiwanya terasa tenang seolah-olah baru dilahirkan walaupun ketika itu sedang sakit," katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale di sini, hari ini.

Hanna Zulaikha berkata, walaupun sedih dengan pemergian anaknya pada 20 September lalu, namun dia bersyukur kerana Fatimah 'pergi' selepas memeluk agama Islam.

"Ketika nazak, arwah anak sempat menyebut nama Allah dengan terang yang membuatkan saya benar-benar terharu," katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak Pusat Dakwah Islamiah, Paroi yang membantu menguruskan pengebumian arwah Fatimah.

Katanya, jenazah anaknya baru dapat dikebumikan hari ini kerana perlu melalui pelbagai prosedur perubatan, selain perlu disahkan bebas Covid-19.

Sementara itu, petugas pengurusan saudara baru, Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Fathiah Doris Abdullah berkata, dia dihubungi ibu arwah memaklumkan anaknya yang sedang menerima rawatan di hospital ingin memeluk agama Islam.

"Saya bersama rakan pejabat terus ke hospital untuk menunaikan hasrat arwah," katanya.

‘Datuk Seri’ dah tipu lebih 100 individu – Skim bayar RM10 dapat rumah setengah juta ringgit guna penyanyi, pelakon jadi jurucakap

DANIAL HAKIM

Lebih 100 individu dah kena tipu dengan ‘Datuk Seri’ apabila hanya perlu membayar RM10 untuk memiliki rumah di bawah harga setengah juta ringgit di mana-mana lokasi yang dipilih. Tawaran yang memang tak logik tetapi ramai pula yang ‘cair’ sebelum hanya berputih mata.

Modus operandi skim beli rumah tanpa deposit itu turut melibatkan seorang penyanyi yang dipilih sebagai duta manakala seorang pelakon pula untuk tujuan promosi.

Setelah promosi pertama melibatkan bayaran pendaftaran sebanyak RM10 habis, syarikat itu membuka pula pakej kedua dengan bayaran sebanyak RM10,000 untuk rumah bernilai RM1 juta.

Difahamkan, pihak pemaju terbabit sekarang ligat mempromosi kempen bayar RM10 dapat rumah RM500,000.

Lapor Sinar Harian, projek itu dilakukan bersama ahli keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan hartanah.

Peguambela dan peguamcara, Mahmud Abdul Jumaat memberitahu jumlah kerugian pendeposit terlibat melebihi RM2.3 juta.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam itu juga berkata, rata-rata pendeposit merasakan diri mereka ditipu oleh Datuk Seri berkenaan dan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, aktivis yang mengangkat kes penipuan itu, Mona Din berkata, pihaknya banyak menerima aduan dan maklumat berhubung penipuan tersebut termasuk daripada bekas pekerja syarikat hartanah berkenaan, wakil pemaju, bekas peguam serta bekas ahli keluarga iaitu mertua Datuk Seri itu sendiri.

Rupa-rupanya, kata Mona, syarikat yang dipercayai didalangi oleh Datuk Seri yang sama melakukan modus operandi dengan skim rumah murah hampir serupa di utara Semenanjung pada 2013 sehingga 2015.

Tular surat MP Bachok minta MPKB sediakan kerusi meja, hiasan bunga untuk majlis perkahwinan anaknya

NASUHA RAHMAN

Tular satu surat daripada Ahli Parlimen Bachok meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandaraya Islam menyediakan perkhidmatan termasuk menyediakan kerusi meja serta hiasan bunga untuk majlis perkahwinan anaknya.

Surat tersebut yang ditandatangani oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz telah diterima oleh Yang Dipertua MPKB pada 22 Setember lalu.

“Majlis bekwoh kesyukuran keluarga besar Nikmatillah sempena perkahwinan anakanda saya pada 24 september 2022 di perkarangan masjid tok guru dan SMU Darul Anwar bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

“Sehubungan dengan itu sukacita diipohon kerjasama daripada pihak Majlis perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan penguatkuasaan kawalan lalu lintas yang sewajarnya untuk melancarkan majlis tersebut,”ujar surat itu yang bertarikh 20 September.

Dalam pada itu, seorang penulis politik Shahbudin Husin yang berkongsi surat berkenaan di hantaran Facebooknya pagi ini menyifatkan kenduri kahwin adalah urusan peribadi.

“Anak kahwin, walaupun kita Ahli Parlimen, kerusi meja dan bunga tu pergilah sewa dan beli sendiri. Kenduri ni urusan peribadi.

“Semua nak free belaka…,”tulis beliau.

Dalam pada itu, ada netizen meminta penjelasan daripada Nik Abduh pada hantarannya di Facebook hari ini apakah benar surat berkenaan.

Bahkan ada yang mempersoalkan bolehkah Ahli Parlimen menggunakan kesempatan itu terutama dalam penyediaan kerusi meja dan hiasan bunga untuk majlis perkahwinan kerana ia bersifat peribadi.

Pas lupa nak bercakap soal moral bila terkena atas batang hidung sendiri

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN

Sikap berdolak dalih dan munafik Pas terselah dengan isu konsert Riuh Sokmo di Ketereh, Kelantan baru baru ini.

Konsert Riuh Sokmo yang diadakan dari 16 September hingga 18 September telah menerima banyak kecaman dan teguran masyarakat tempatan Kelantan sendiri tetapi dalam 3 hari tersebut tiada sebarang tindakan di ambil oleh kerajaan Pas Kelantan yang selama ini menyekolahkan seluruh dunia tentang isu moral dan sikap liberal dan sebagainya.

Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad dari Pas telah menyatakan isu tersebut di luar bidang kuasa beliau dan terpulang pada kerajaan Pas Kelantan untuk mengambil tindakan jika ada pelanggaran undang-undang oleh konsert tersebut.

Menteri Agama dari Pas ini dan kerajaan Pas Kelantan berselindung di sebalik alasan bidang kuasa dan teknikal undang undang dalam isu di Kelantan, tetapi apabila acara konsert atau hiburan oleh pihak selain dari Pas di adakan, riuh rendah isu moral, liberal dan LGBT di gembar-gemburkan bak kan hendak kiamat dunia ini.

Apabila perlu berdolak dalih kelemahan diri sendiri, Pas munggunakan alasan undang-undang sivil yang dahulu dikecam dikatakan peninggalan penjajah.

Tetapi apabila menyerang pihak lain, Pas berhujah atas isu moral dan undang-undang Islam menunjukkan pendiriannya secara terpilih kepentingan diri yang tidak konsisten.

Semasa orang lain diserang Pas bercakap atas isu “moral” tetapi bukan perundangan.

Kenapa dalam isu Konsert Riuh Sokmo Kelantan tiada pimpinan utama Ulama Pas bercakap tentang isu moral Islam seperti mereka biasa sekolahkan dan mengecam pihak lain?

Sekarang mereka berselindung dengan alasan undang-undang dan telah lupa bercakap tentang isu “moral” kali ini apabila kena atas batang hidung sendiri.

Walaupun acara lain tidak melanggar peraturan dan undang-undang tempatan, Pas mengherdik dan mengecam semua pihak tentang isu moral, akhlak dan liberalisma.

Adakah Pas “berpuas hati” konsert Riuh Sokmo Kelantan yang dikecam oleh penduduk tempatan, menepati piawaian KPI moral Islam ala Psd dan tiada unsur liberalisma yang Psd mengecam selama ini?

Atau adakah konsert ini menjadi “suci” kerana berlangsung di bawah negeri Pas Kelantan yang memiliki bandar digelar Serambi Mekah.

Atau adakah kerana Negara Arab telah meng-liberalkan peraturan dengan membenarkan konsert artis barat kontroversi yang dulu dikira tidak bermoral, maka Pas menurut jejak mereka menjadi liberal juga?

Baru baru ini, Pas mengecam kemasukan konsert kumpulan artis asing barat dengan ugutan untuk berdemonstrasi tetapi senyap sepi menjadi ulama bisu apabila konsert yang dikecam oleh orang tempatan sendiri diadakan di Negeri Pas yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah.

Sama jugalah dalam isu judi di mana dahulu Pas menentang begitu lantang tetapi setelah menjadi kerajaan, mereka menaikan cabutan judi dari 8 (semasa Kerajaan PH dahulu) kepada 22 semasa Kerajaan PN yang di sertai Pas.

Tuduhan fitnah oleh Pas dari Ustaz Dusuki kononnya kerajaan PH menjual aset Tabung Haji pada orang Cina juga telah terbukti salah apabila mahkamah menolak saman fitnah Dusuki terhadap Dr Mujahid dan mengarahkan bayaran kos kepada YB Datuk Mujahid.

Tohmahan tersebut adalah antara cara digunakan Pas untuk menutup kejayaan pihak PH menjaga Islam selain dari mengurangkan judi yang Pas menambah naik semula.

Isu moral Pas dalam hal konsert dan judi hanya dikenakan kepada pihak lain tetapi menjadi suci apabila dilaksanakan oleh kerajaan Pas di bawah pengawasan Menteri Agama Pas.

Pas tidak layak menjadi “Moral Police” atau pengawas moral, dengan sikap “double standard” mereka yang boleh mensucikan apa yang mereka dahulu haramkan apabila mereka mempunyai kepentingan dan kuasa.

Janganlah menyalahgunakan dan memperalatkan Islam jika Pas sendiri tidak boleh berlaku adil dan kini mensucikan perkara yang dahulu mereka sendiri haramkan apabila telah mempunyai kepentingan dan kuasa.

Itu sifat munafik namanya.

Pukul, pijak kepala anak tiri, lelaki ditahan polis Faisal

Faisal Asyraf

PETALING JAYA: Seorang lelaki di Parit Buntar, Perak sedang disiasat polis selepas dia didakwa menyerang anak tirinya di rumahnya bulan lalu.

Dalam laporan polisnya, gadis berusia 19 tahun itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 17 Ogos lalu ketika di melawat ibunya.

Katanya, lawatan itu berakhir dengan pertengkaran dengan ibunya berhubung isu yang tidak didedahkan, dan ini menimbulkan kemarahan bapa tirinya yang menyaksikan kejadian itu.

“Dia menarik leher saya, menampar muka saya, menendang belakang dan memijak kepala saya,” katanya dalam laporan polisnya.

Menurutnya, bahagian badannya bengkak dan dia mendapatkan rawatan di Hospital Taiping, sebelum membuat laporan polis keesokannya.

Berkongsi nasibnya di Instagram semalam, gadis itu berkata, dia sedang menuntut keadilan dan berharap dapat menyebarkan kesedaran mengenai keganasan rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Kerian, Mazuki Mat berkata, lelaki itu ditahan pada hari sama laporan itu dibuat mangsa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

“Polis masih menyiasat kes ini dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada FMT.

Mahkamah beri menteri 14 hari putuskan pendaftaran parti veteran

FMT Reporters

Peguam Lim Wei Jiet (dia dari kiri ) dan pengasas Parti Kemakmuran Negara bergambar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin untuk memutuskan rayuan sebuah parti politik berasaskan veteran supaya didaftarkan secara rasmi.

Peguam Lim Wei Jiet berkata, Parti Kemakmuran Negara berjaya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Hamzah semalam.

Lim berkata, pengasas parti itu memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk mendaftarkan parti itu pada 9 Mac 2021, tetapi permohonan itu ditolak pada 16 Mac.

Katanya, pengasas itu kemudiannya merayu kepada menteri dalam negeri pada 25 Mac lalu, tetapi tiada keputusan dibuat selepas hampir enam bulan.

“Dalam saman itu, pengasas terbabit mendakwa penangguhan sedemikian tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan melanggar hak untuk menubuhkan persatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah mengarahkan menteri itu membuat keputusan berhubung rayuan itu dalam tempoh 14 hari,” kata Lim dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Lim memberitahu FMT, menangguhkan rayuan yang dibuat pihak benar-benar berminat menubuhkan parti politik adalah “tidak demokratik, tidak adil dan tidak munasabah”.

Beliau berharap Hamzah akan mempercepatkan rayuan oleh pihak yang mahu menubuhkan parti politik kerana ia akan memberi mereka masa untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya.

“Anak guam saya adalah veteran yang sudah berkorban dan menghabiskan kebanyakan masa dalam hidup mereka untuk mempertahankan keselamatan negara ini, dengan sebahagian daripada mereka berkhidmat sejak pemberontakan komunis.

“Untuk memaksa mereka menunggu dan naik turun mahkamah pada usia mereka menunjukkan rasa tidak hormat terhadap pahlawan ini yang sudah berkhidmat kepada negara selama 30, 40 tahun.”

Parti itu diketuai Brig-Gen (B) Abdullah Mohamed yang terbabit dalam operasi menentang komunis pada 1970-an dan 1980-an.

Pengasas lain ialah veteran dari tentera darat, laut dan udara.

'Apakah PAS berpuas hati dengan Konsert Riuh Sokmo?'

Malaysiakini

Pendirian PAS terhadap penganjuran ‘Konsert Riuh Sokmo!’ di Kelantan baru-baru ini terus dikritik susulan tiada tindakan susulan diambil oleh kerajaan negeri.

Pengerusi PH Terengganu Raja Bahrin Shah berkata, perkara itu menggambarkan sikap berdolak-dalih PAS berbanding pendirian mereka selama ini yang menentang isu moral dan sikap liberal.

"Apabila perlu berdolak dalih kelemahan diri sendiri, PAS menggunakan alasan undang-undang sivil yang dahulu dikecam dan dikatakan peninggalan penjajah.

“Tetapi apabila menyerang pihak lain PAS berhujah atas isu moral dan undang-undang Islam menunjukkan pendiriannya secara terpilih dengan kepentingan diri yang tidak konsisten.

"Semasa orang lain diserang PAS bercakap atas isu moral tetapi bukan perundangan.

Kenapa dalam isu Konsert Riuh Sokmo! tiada pimpinan utama ulama PAS bercakap tentang isu moral Islam seperti mereka biasa sekolahkan dan mengecam pihak lain?" soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Agama) Idris Ahmad berhubung penganjuran konsert berkenaan.

Terdahulu Idris dilaporkan berkata, kerajaan pusat tidak boleh mengambil sebarang tindakan berhubung penganjuran Konsert Riuh Sokmo! di Kelantan yang berlangsung pada 16 hingga 18 Sept lalu.

Katanya, tindakan terhadap penganjuran konsert berkenaan adalah di luar bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru dia menyerahkan kepada kerajaan Kelantan untuk menyiasat jika ada sebarang pelanggaran undang-undang di sepanjang penganjuran konsert yang diadakan di Ketereh itu.

https://www.malaysiakini.com/hiburan/636331

Sementara itu Raja Bahrin mendakwa Idris dan kerajaan Kelantan berselindung di sebalik alasan bidang kuasa dan teknikal undang undang.

"Tetapi apabila acara konsert atau hiburan oleh pihak riuh rendah isu moral, liberal dan LGBT digembar-gemburkan bagaikan hendak kiamat dunia ini.

"Sekarang mereka berselindung dengan alasan undang-undang dan telah lupa bercakap tentang isu moral kali ini apabila kena atas batang hidung sendiri.

"Walaupun acara lain tersebut tidak melanggar peraturan dan undang-undang tempatan, PAS mengherdik dan mengecam semua pihak tentang isu moral, akhlak dan liberaslime," katanya yang juga pengerusi Amanah Terengganu.

Untuk rekod Konsert Riuh Sokmo! Bersama Celcom menampilkan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Konsert berkenaan dianjurkan dengan kerjasama penyedia telekomunikasi Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan Padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, mulai 16 Sept hingga 18 Sept.

Dilaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung ke Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat itu.

12 pelanggan bank jadi tebusan

AFP

WANITA memerhatikan video dimuat naik tebusan di media sosial. FOTO EPA

WANITA memerhatikan video dimuat naik tebusan di media sosial. FOTO EPA

Tbilisi: Seorang lelaki bersenjata menjadikan pelanggan sebuah bank di Kutaisi, bandar kedua terbesar di Georgia pada Selasa.

Suspek turut menuntut wang tebusan sebagai syarat pembebasan tebusan, menurut pegawai.

Kementerian Dalam Negeri berkata, suspek menceroboh masuk ke dalam bank, di bandar tengah Georgia itu yang dihuni kira-kira 150,000 orang.

"Buat masa ini, terdapat 12 tebusan di dalam bangunan berkenaan," menurut kenyataan kementerian itu.

Menurutnya, polis sudah mengarahkan pegawai dan anggota untuk menyelesaikan insiden ini.

Pihak berkuasa sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Pengganas, tebusan dan pemilikan senjata api secara tidak sah.

-hmetro 

Lelaki hilang selepas disyaki cuba bunuh diri

Juwan Riduan

am@hmetro.com.my

Bomba menemui kain tergantung pada kipas di sebuah rumah di Jalan Sulaman. FOTO ihsan JBPM

Bomba menemui kain tergantung pada kipas di sebuah rumah di Jalan Sulaman. FOTO ihsan JBPM

Kota Kinabalu: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas disyaki cuba membunuh diri di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berserta gambar kepada tunangnya.

Panik dengan situasi berkenaan, tunangnya terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit menunjukkan gambar sehelai kain sarung yang diikat pada kipas siling rumah kepada tunangnya.

Katanya, wanita itu menerima beberapa lagi SMS yang memberikan bayangan seolah-olah mahu membunuh diri.

"Dia terus menghubungi bomba untuk meminta bantuan dan sebaik tiba, lelaki terbabit tiada di rumah berkenaan.

"Pihak bomba bagaimanapun menemui nota dan kain sarung yang terikat di kipas siling rumah terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, wanita itu kemudiannya membuat laporan susulan bagi meminta polis menjejaki tunangnya itu.

Tempoh berkabung tamat, tiba-tiba muncul lelaki dakwa anak Raja Charles III dan Camilla tuntut ujian DNA

AYHAN FERHAT

Hari ini hari terakhir tempoh berkabung untuk Ratu Elizabeth II bagaimanapun tiba-tiba muncul seorang lelaki yang mendakwa dirinya anak kepada Raja Charles III dan Raja Permaisuri Camilla.

Lelaki terbabit dikatakan pernah menulis surat kepada mendiang Ratu Elizabeth II memohon agar ujian DNA dilaksanakan

Simon Dorante-Day telah lama mendakwa bahawa Raja Charles III dan Camilla merupakan ibu bapa kandungnya. Dia juga mengatakan bahawa dirinya sudah ‘dikaburi’ selama beberapa tahun.

Simon pernah meminta baginda Ratu memberikan keberanian kepada anak lelakinya untuk mendapatkan ujian DNA. Walau bagaimanapun, surat itu tidak dibalas.

Kini, lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anak tidak sah taraf kepada kerabat diraja tersebut memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Keluarga Diraja British dan sanggup membawa Raja Charles III ke mahkamah untuk ujian DNA.

Tempoh berkabung tamat, tiba-tiba muncul lelaki dakwa anak Raja Charles III dan Camilla tuntut ujian DNA

lelaki ‘bakal diraja’ yang berusia 56 tahun itu berkata walaupun dirinya kehilangan insan yang berkemungkinan neneknya (mendiang), ia masih tidak dapat menghalang dirinya untuk menuntut hak.

Lewat minggu lalu, lelaki tersebut yang merupakan seorang jurutera di Australia itu membuka mulutnya mengenai kematian mendiang baginda pada usia 96 tahun.

“Walaupun saya kehilangan peluang untuk mendengar sendiri kisah ini menurut versinya, kita semua masih dapat merasai kesedihan yang sangat besar atas pemergiannya, sama ada pada skala peribadi atapun awam,” kata ayah sembilan anak itu.

Hari ini mendiang Ratu Elizabeth II akan disemadikan di dalam Bilik Kebal Diraja di Gereja St. George selepas tempoh 10 hari berkabung secara rasminya tamat.

Upacara persemadian akan dilakukan pada pukul 11.00 pagi (waktu tempatan) hari ini (kira-kira pukul 6 petang waktu Malaysia).

Istiadat penghormatan terakhir akan berlangsung di Westminster Abbey di London yang merupakan gereja bersejarah pernah menabalkan Raja dan Ratu Britain.

Majlis itu dijangka berakhir sebelum waktu tengah hari dengan semua penduduk di seluruh negara diarahkan bertafakur dan senyap selama dua minit selepas itu.

Wanita ditahan kerana disyaki upah orang tikam suami

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita selepas disyaki mengupah dua lelaki untuk merompak kediamannya sebelum membunuh suaminya dengan 14 tikaman dalam kejadian di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, pada Khamis.

Suspek berusia 37 tahun ditahan selepas polis menjalankan siasatan dan mendapati, dia ada kaitan dengan kejadian itu.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, polis yang menjalankan siasatan mendapati, wanita itu telah merancang untuk membunuh suaminya berusia 41 tahun.

“Menerusi keterangan wanita itu, dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau memasuki rumah melalui pintu hadapan lalu menikam mangsa.

“Dua suspek itu juga dikatakan menggeledah bilik dan mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM40,000,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Namun, Arjunaidi berkata, suspek mengaku merancang kejadian itu sebelum polis menahannya bersama empat lelaki berusia 20 hingga tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut merampas BMW yang digunakan suspek selain beg tangan dan barang kemas yang dilarikan ketika kejadian.

“Motif kejadian dipercayai mempunyai unsur dendam dan kepentingan diri.

“Polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan hasil bedah siasat mendapati, mangsa maut akibat lebih 14 tikaman di badan dengan senjata tajam,” katanya.

Menurut Arjunaidi lagi, semua suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau, direman lima hari bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu membunuh serta rompakan berkumpulan bersenjata,” katanya.

Polis siasat dakwaan seluar pelajar perempuan ditarik ketika tidur

Izad Thaqif Hassan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Tiga pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini memberi alasan mahu mengambil barang ketika mereka ditahan warden selepas didapati berada di bilik asrama perempuan, awal pagi Khamis lalu.

Kejadian itu kini dalam siasatan polis selepas seorang pelajar perempuan yang tidak berpuas hati dengan alasan tidak munasabah membuat laporan semalam.

Menurut sumber, pelajar perempuan tingkatan satu berkenaan mendakwa pada hari kejadian dia tidur di lantai bilik asrama sebelum terasa ada seseorang menarik seluarnya.

"Remaja perempuan itu dalam laporan polis mendakwa kejadian terbabit berlaku pada 2.30 pagi dan dia yang terkejut apabila seluar ditarik terus terjaga daripada tidur.

"Ketika itu, pelajar perempuan berkenaan memberitahu yang dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian bersembunyi di bawah katil di sebelahnya," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang masih dalam keadaan terkejut turut melihat seorang lagi lelaki berada bawah katil sama dengan lelaki yang menarik seluarnya sebelum itu.

"Bimbang identiti mereka terbongkar sekiranya mangsa menjerit atau membuat kecoh, dua pelajar lelaki berkenaan terus berlari keluar dari bilik asrama itu.

"Namun, tindakan mereka melepaskan diri itu gagal apabila ditahan warden yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan asrama terbabit," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan warden itu terdiri daripada tiga pelajar lelaki tingkatan dua dan mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan asrama pelajar perempuan.

"Semua pelajar terbabit kemudian mendakwa yang mereka berada dalam bilik asrama perempuan ketika itu kerana mahu mengambil barang.

"Bagaimanapun, alasan diberikan tidak masuk akal dan pelajar perempuan yang mendakwa ditarik seluar ketika tidur oleh kumpulan pelajar lelaki itu tampil membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

“Jati diri Pas sudah hilang, perlu muhasabah diri, jangan hanyut dengan status parti Islam tunggal”

NASUHA RAHMAN

Isu Konsert Riuh Sokmo yang diadakan selama 3 hari di Ketereh memberi tamparan hebat kepada kerajaan Pas Kelantan apabila sekian lama hiburan seperti itu telah lama diharamkan di bumi Serambi Mekah sekali gus bertentang dengan slogan Membangun Bersama Islam.

Tiba-tiba umum dikejutkan dengan kemunculan konsert di Bumi Serambi Mekah yang diadakan bermula 16 Sept hingga semalam 18 Sept.

Facebook Abdel Rahmanov yang juga merupakan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam terpanggil untuk menegur kerajaan Pas Kelantan dalam isu ini.

Katanya, Pas yang bersama dalam kerajaan pusat hari ini membuatkan parti itu bagaikan hilang taringnya seolah-olah jati diri dan kekuatan Pas telah hilang.

"Pas perlu muhasabah diri, jangan hanyut dengan status parti Islam tunggal"

konsert riuh

Katanya, jangan diharap aktivis Pas, ustaz Pas atau pemimpin Pas akan menegur isu konsert di Kelantan sebab ada kaedah agung dalam politik iaitu dengar, taat serta bodek.

“Jika bersuara nanti kena cantas daripada pentas politik atau hilang jawatan. Maka lebih baik diam membisu dalam Toyota Vellfire. Inilah realiti dunia politik,” kata beliau.

Justeru katanya, Pas perlu muhasabah diri dan jangan hanyut dengan status sebagai parti Islam tunggal di Malaysia.

“Jati diri Pas perlu disegarkan kembali. Islam perlu memimpin dan bukan hanya menjadi pak turut dalam pentadbiran negara,” katanya lagi.

Pada bulan Ogos lalu, Ketua Pemuda Pas, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari secara terbuka membidas penganjuran bertalu-talu konsert mega yang didakwanya “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.

Beliau memberi amaran untuk menggerakkan bantahan “di seluruh negara” jika kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan konsert diadakan.

“Konsert yang mega yang dibantah itu berlaku di bandar besar. Tiba-tiba wujud konsert di Bumi Serambi Mekah. Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pemuda Pas Kelantan bimbang dengan penganjuran Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung di negeri itu minggu ini kerana disifatkan bertentangan dasar “Membangun Bersama Islam” dibawa kerajaan negeri pimpinan Pas.

Ketuanya, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed turut menggesa kerajaan negeri bertindak tegas terhadap penganjur jika konsert itu melanggar enakmen hiburan negeri.

Beliau menyebut, “Enakmen hiburan negeri Kelantan secara ringkas masih tidak membenarkan persembahan wanita berumur 15 tahun ke atas di pentas umum (persembahan wanita hanya untuk audien wanita) dan pengasingan peserta dengan 3 tempat duduk iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.

Malangnya menurut Abdel Rahmanov kenyataan ketua pemuda Pas ini agak terlambat umpama sasi sudah menjadi bubur.

“Tiada guna membantah perkara yang sudah berlaku. Pemuda Pas Kelantan perlu bersikap pro aktif pada masa hadapan. Apatah ia berlaku ditempat sendiri,” ujarnya lagi.

Konsert Riuh Sokmo! bersama Celcom menampilkan persembahan artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi. Semasa konsert, diasingkan bahagian lelaki dan perempuan.

Konsert itu dianjurkan dengan K-KOMM dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, mulai 16 Sept hingga 18 Sept.

K-KOMM merujuk kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Menterinya ialah Tan Sri Annuar Musa. Saya yakin program ini diadakan untuk memancing undi kerana PRU15 semakin hampir. Parlimen Ketereh ialah kawasan Tan Sri Annuar Musa.

Rafizi: Raih 30% undi Melayu, PH mampu menang 27 kerusi kritikal

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) boleh menang di 27 kerusi Parlimen dianggap kritikal jika mampu menguasai 30% sokongan pengundi Melayu yang berada di Kedah, Johor dan Selangor, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau mendakwa, kemenangan itu boleh dicapai sekiranya PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu yang mencukupi, walaupun berada dalam pertarungan satu lawan satu, sama ada bertembung dengan Umno atau PAS.

“Mengikut pengalaman saya pada PRU lalu, jika mahu memenangi pilihan raya, anda perlu memenangi hati dan fikiran pengundi. Jika PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu mencukupi di 27 kerusi itu, melepasi ke paras 30% dalam tempoh dua ke tiga bulan ini, maka ia boleh dilakukan. Mungkin juga kita akan mengejutkan Umno dan PAS.

“Disebabkan itulah persediaan perlu dilakukan sekarang termasuk lah meyakinkan pengundi atas pagar,” ketanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini, PAS berkata, parti itu sedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan pertembungan.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya melihat ada perkara perlu perundingan bersama PN dan BN dalam konteks pembahagian kerusi kritikal bagi manfaat kedua-dua parti itu menjelang PRU akan datang.

“Kita tengok ada beberapa perkara untuk kita duduk bersama (dengan BN) sebagai contoh jika kita ingin menawan Selangor, PAS menerusi PN dan juga BN perlu duduk bersama berbincang hal ini,” katanya.

Rafizi ketika mengulas lanjut, turut menyenaraikan beberapa kerusi kritikal berkenaan.

“Beberapa kerusi di Kedah seperti Merbok, Kulim Bandar Baharu serta Tambun (Perak). Di Johor seperti Ledang dan Muar. Di Selangor, di beberapa kerusi yang kuat kerana ramai profesional Melayu cenderung menyokong PAS,” katanya.

Mengulas strategi pertembungan satu lawan satu di lokasi itu, beliau berkata, PKR dan PH boleh mendapatkan manfaat apabila sokongan pengundi Melayu mencecah hingga 30% dengan lebih 80% adalah dari sokongan bukan Melayu, termasuklah jumlah 75% keluar mengundi.

“Sebenarnya 27 kerusi itu majoritinya adalah kerusi ditandingi PKR dan biasanya mempunyai pengundi Melayu seramai 60 hingga 70%.

“Sekiranya Umno dan PN (PAS) bergabung dan mengelak pertembungan di situ, mereka boleh menguasai sehingga 90% undi Melayu dan menang, walaupun tidak mempunyai banyak sokongan bukan Melayu,” katanya.

Rafizi mendakwa, sokongan pengundi hari ini juga lebih terarah kepada PKR disebabkan beberapa isu antaranya mengenai peningkatan kos sara hidup.

“Sejak Julai hingga Ogos lalu, kami melihat perubahan sehingga empat peratus sokongan Melayu kepada PKR dan PH,” katanya.

Rafizi yakin PH boleh buat PAS, Umno terkejut sekali lagi

Alyaa Alhadjri

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan PKR partinya serta Pakatan Harapan (PH) boleh selamat walaupun dalam pertembungan satu lawan satu dengan BN atau PN di 27 kerusi marginal pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Katanya, andaian itu dibuat berdasarkan pembolehubah yang terdiri sehingga 30 peratus sokongan Melayu di kerusi majoriti Melayu, lebih 80 peratus sokongan bukan Melayu dan peratusan keluar mengundi mengatasi 75 peratus.

"Daripada 27 kerusi bertindih itu, majoritinya adalah kerusi PKR. Kerusi ini biasanya di kawasan pilihan raya pengundi Melayu seramai antara 60 peratus hingga 70 peratus.

"Jadi yang dikatakan jika Umno-BN dan PN bergabung dan mengelak pertembungan di sini, mereka boleh menguasai sehingga 90 peratus undi Melayu dan dengan itu mereka boleh menang walaupun tidak mendapat banyak sokongan bukan Melayu," kata pengarah pilihan raya PKR itu pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih untuk jentera parti di Cheras hari ini.

Sambil mengakui terdapat asas pada strategi itu, Rafizi memetik dapatan tinjauan PKR yang menunjukkan peralihan sokongan Melayu terhadap partinya dan PH.

Antara lain ia disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap cara kerajaan menangani pelbagai isu termasuk peningkatan kos sara hidup.

"Daripada data, sejak Julai hingga Ogos lalu, kami melihat perubahan sehingga 4 peratus sokongan Melayu kepada PKR dan PH. Jadi keadaan sangat dinamik," katanya.

Sebelum ini, AJK PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki mencadangkan agar parti itu dan Umno berbincang untuk mewujudkan 'kerusi muafakat' di 27 kerusi parlimen ketika dia mendapati PH mempunyai peluang besar mengulangi kejayaan pada 2018.

Daripada 27 kerusi yang dirujuk Mohd Zuhdi itu, 20 kini diwakili PH manajala bakinya dimenangi parti lain dengan majoriti tipis.

Hubungi pengundi atas pagar

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dan pemimpin lain parti juga pada awal bulan ini menegaskan rundingan dengan Umno boleh diteruskan sehingga saat akhir, walaupun mendapat tentangan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Rafizi lagi PH perlu terus berhubung dan terlibat dengan pengundi atas pagar selain bersedia menghadapi PRU ke-15 yang mungkin akan diadakan seawal Nov ini.

“Terpulang kepada Umno dan PAS untuk mengatur strategi serta mengelak pertembungan, tetapi pengalaman saya pada 2016 ialah, jika anda mahu memenangi pilihan raya, anda perlu memenangi hati dan fikiran pengundi.

"Sekiranya PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu yang mencukupi di 27 kerusi berkenaan, dan kita mencapai sasaran melepasi paras 30 peratus dalam dua atau tiga bulan dari sekarang - dan ia boleh dilakukan - maka walaupun dalam pertarungan satu lawan satu, Umno dan PAS mungkin akan terkejut sekali lagi," katanya.

Diminta untuk mengenal pasti beberapa kerusi yang dimaksudkan, Rafizi merujuk kepada kawasan pengundi majoriti Melayu di Kedah, Johor dan Selangor yang memilki sejumlah besar profesional Melayu cenderung menyokong PAS.

Bekas ahli parlimen Pandan itu berkata kawasan terbabit termasuk Kulim-Bandar Baru, yang kini disandang Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, serta kerusi dimenangi Bersatu serta sebahagian PH pada PRU lalu.

Terdahulu, dalam ucapannya kepada kira-kira 600 sukarelawan PKR, Rafizi, berkata parti itu telah menetapkan sasaran untuk menghubungi 1.5 juta pengundi atas pagar melalui panggilan telefon menjelang Nov ini.

Sajat dihalau balik Australia visa ke Singapura tak lulus, sedih tak dapat jumpa anak

AYHAN FERHAT

Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjat Kamaruddin atau Sajat dihalau balik ke Australia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura semalam kerana permohonan visa untuk masuk ke negara itu masih belum diluluskan.

Dia sepatutnya pergi ke Singapura bagi menghadiri ekspo perkahwinan dan bercadang untuk bertemu dengan anak-anaknya di sana.

“Saya tersangkut di lapangan terbang Singapura, nak jumpa anak-anak pun tak dibenarkan. Sedih sangat, permainan pun kena bawa balik tak dibenarkan serah pada anak.

“Saya hormat undang-undang, sebab visa saya masih lagi belum selesai,” katanya dalam hantaran di TikTok.

Sajat berkata demikian menerusi hantaran video di platform TikTok miliknya yang turut memperlihatkan dia sedang membuat panggilan video bersama anaknya.

Menerusi hantaran sama, Sajat berkata, dia sudah melakukan yang terbaik untuk kembali bersatu dengan dua anaknya itu namun terpaksa akur dengan undang-undang Singapura.

Terdahulu, Sajat berkongsi keterujaannya di TikTok apabila akan menyertai ekspo tersebut bermula 16 hingga 18 September ini.

Kata Sajat, dia terlalu merindui anak-anaknya dan kehadirannya di Singapura adalah satu-satunya peluang untuknya bertemu dengan Syaza dan Syahmi.

“Ummi dah buat terbaik untuk kita berjumpa. Ummi datang jauh-jauh untuk jumpa anak-anak Ummi. Ummi akur dengan keputusan, maafkan Ummi sayang.

“Dua tahun kita tidak berjumpa, Ummi nak sangat jumpa anak-anak Ummi. Ini sahaja peluang yang Ummi jumpa anak Ummi. Maafkan Ummi sayang. Ummi kena hantar balik ke Australia,” luahnya.

Terdahulu, tular video memperlihatkan Syaza dan Syahmi muncul di atas pentas program berkenaan sambil menangis menahan kerinduan terhadap Sajat sambil ditenangkan oleh pengacara, Roslan Shah.

Sajat yang sebelum itu dalam menahan sebak ketika muncul dalam video siaran langsung memberitahu tidak sabar untuk bertemu dengan anak-anaknya dan dalam perjalanan ke Singapura.

Usahawan itu dilaporkan bakal membuat kemunculan di acara itu pada Jumaat lalu namun kelibatnya langsung tidak kelihatan.

Nur Sajat memilih untuk memulakan kehidupan baru di Australia sejak Oktober tahun lalu kerana berasa tidak selamat tinggal di Malaysia.

Nur Sajat sebelum itu menjadi buruan pihak berkuasa sehingga melarikan diri ke Thailand sebelum ditahan oleh pihak Imigresen pada 8 September 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.

Ketika itu, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNCHR) sebelum berhijrah ke Australia.

Ini Amanat Hadi 2.0 ke?

Mohsin Abdullah

Hadi Awang pernah berkicau di Twitter: “Adat orang berumah tepi pantai, menjala dan memancing menjadi hobi.”

Sememangnya rumah presiden PAS itu berdekatan pantai di Terengganu. Maka, menjala dan memancing ikan menjadi kegemarannya.

Semasa Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan setelah merampas kuasa darIpada Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton, wartawan meminta komennya jika beliau tidak dipilih untuk jawatan timbalan perdana menteri, meskipun PAS turut menjayakan Langkah Sheraton.

Jawapan Hadi dengan nada berseloroh: “Kalau saya tak dipilih pun tak apa, saya balik jadi nelayan pun tak apa.”

Hadi, kita tahu tidak dipilih sebagai TPM oleh Muhyiddin mahupun Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih jawatan perdana menteri, setelah Muhyiddin ditumbangkan.

Hadi bagaimanapun tidak “balik jadi nelayan”. Giliran saya berseloroh. Hakikatnya, beliau masih aktif sebagai politikus. Namun sedang “memancing”, bukan ikan, tetapi memancing undi. Secara spesifik, pengundi Melayu.

Catatan terbaharu Hadi melalui ruangan Minda Presiden PAS siaran media milik partinya, pada hemat saya, sedikit sebanyak memaparkan strategi PAS menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Matlamatnya jelas, iaitu memancing undi Melayu.

Kata-kata dan hujah catatan 15 Sept lalu dengan judul “Mengapa PAS menolak Pakatan Harapan?” berkisar soal menjaga kepentingan orang Melayu-Islam. Diulang-ulang. Ringkasnya, apa yang Hadi luahkan ialah keburukan (dosa?) PH dan kebaikan (pahala?) PAS.

Beliau menuduh “mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman”. Siapa “mereka” yang beliau maksudkan? Berdasarkan tajuk catatan mestilah PH.

Hadi juga mendakwa “dalam PH terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, Rukun Negara, dan asas Perlembagaan Persekutuan, khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan”.

Pada masa sama, Hadi berkata: “Ada (maksudnya PH) yang lantang menentang usaha PAS dalam melaksanakan Islam secara demokrasi sehingga mereka terus mempertahankan undang-undang warisan penjajah dan sistem kehakimannya yang rapuh.”

Selari dengan catatannya, Hadi memberitahu, partinya tidak bersedia memasuki khemah besar PH dan mengapa mereka menolak PH.

Kata Hadi, PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah jenamanya.

Hadi mendakwa ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan tidak bermoral (berakhlak) secara terbuka mengumpul kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Hadi turut mendakwa dalam PH terdapat juga kalangan fanatik yang bencikan Melayu dan Bumiputera, tanpa peduli adanya “hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi”.

Tentunya beliau memuji parti sendiri. Menurut Hadi, Islam yang menjadi aqidah perjuangan PAS menetapkan politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat. “Maka, wawasan PAS tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia,” kata beliau.

PAS katanya, menentang teori Malaysian Malaysia dan “menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia”.

Pada masa sama, beliau berkata, “PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.”

Seperti saya katakan tadi, catatannya mengenai apa yang beliau dakwa “keburukan” PH dan apa yang beliau lihat “kebaikan” PAS berlatarbelakangkan elemen “kemelayuan”.

Panjang lebar catatannya yang saya tidak bercadang ulangi di sini. Yang berminat mendapatkan catatan penuh Hadi sila Google.

Bandingkan dengan sedutan ucapan ini yang dikaitkan dengan Hadi pada 7 April 1981 di Kampong Banggol Peradong, Kuala Terengganu:

“Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh kerana itulah kita cuba berlawan dengan mereka.”

Berkata lagi Hadi:

“Percayalah saudara-saudara sekalian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Kata-kata itu dikenali sebagai Amanat Hadi. Ia mengakibatkan tercetus perpecahan umat Islam, khusus di negeri Pantai Timur. Antara anak dengan ibu bapa, suami dengan isteri (sehingga ada yang membawa kepada penceraian), saudara-mara, kawan-kawan. Ada juga terjadi masalah dua imam, yakni seorang mengimamkan sembahyang yang didirikan kumpulannya, manakala seorang lagi menjadi imam untuk kumpulan lain.

Adakah apa yang dicatat Hadi pada 15 Sept 2022 sama dengan ucapan pada 7 April 1981 itu? Bolehkah ia dianggap Amanah Hadi 2.0? Amanat versi baharu? Atau sesuatu yang sama, tetapi tidak serupa?

Kata seorang pemerhati politik: “Yang cakap dulu dan cakap sekarang sama. Cuma penggunaan ayat, tapi punya maksud sama.” Penulis politik terkenal, Mohd Sayuti Omar setuju.

Bagi ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Aziz Bari, begitulah asasnya sama – cuma mangsanya lain. “Dulu kafirkan Umno, sekarang Hadi kafirkan PH, sedangkan PH ini pada asasnya adalah PR (Pakatan Rakyat) yang dia sendiri ikut dulu,” kata Aziz.

Seorang bekas aktivis Umno pula dengan sinis menegaskan: “Politik PAS terbaik. Mana-mana parti yang bersama PAS pasti menjadi suci. Bila tidak bersama lagi, terus jatuh hukum haram, kotor, dan sebagainya. Tak boleh ke berhenti menjatuhkan hukum pada orang lain? Inilah sebenarnya ‘the ugly side of’ pemimpin PAS.”

Kata Sayuti, presiden PAS rasa beliau tahu pemikiran orang Melayu boleh “diperolok-olokkan” dengan agama, jadi modal politik paling ampuh buatnya.

Tetapi, adakah taktik Hadi boleh mendapatkan sokongan untuk PAS pada PRU15? “Setakat Kelantan, Terengganu, Kedah bolehlah,” menurut penulis politik veteran itu.

Bagaimana pula pengundi muda? “Mereka tidak peduli ‘fatwa’ karut tu,” jawab Sayuti ringkas.

Ku Li : Ringgit merudum: ‘Jangan sampai ke pasar sewa beca bawa duit’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah, memberi ingatan kepada kerajaan segera mengawal kedudukan tukaran asing atau berdepan situasi rakyat terpaksa “sewa beca untuk membawa duit”, jika ringgit terus merudum serta jatuh secara tidak terkawal.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, kawalan tukaran asing membabitkan ringgit perlu dibentangkan dalam Bajet 2023 bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, kadar tukaran asing negara berada pada kedudukan “free fall” sehingga menimbulkan kegusaran.

“Kerana tukaran asing kita sudah jatuh dengan tidak terkawal, atau dalam bahasa Inggeris ‘free fall’, kalau free fall sejauh mana ringgit kita nak jatuh? Adakah ringgit kita ni nak jadi macam duit kertas zaman Jepun, nak ke pasar terpaksa sewa beca untuk bawa duit?” katanya menurut Astro Awani.

Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pernah menjadi menteri kewangan bermula 1976 hingga 1984 mendakwa, daya produktiviti pengeluaran dalam negara juga jatuh.

“Sekarang kita nak import saja, tak nak buat sendiri…apa benda yang kita boleh buat sendiri, kita masih nak import. Kita tak nak buat sendiri.

“Zaman kita apabila kita merdeka dahulu, zaman Tan Sri Khir Johari menjadi menteri perdagangan dan Tengku dan Tun Razak mengepalainya menekan supaya kita cuba buat segala-gala barang yang kita mampu buat. Dan hentikan pengimportan. Maka kita dapat melawan kenaikan harga barang di luar negara,” katanya.

Menyentuh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), beliau menjelaskan, OPR menjadi alat yang Bank Negara (BNM) gunakan untuk mengawal jumlah wang yang ada.

“Saya harap kerajaan cuba kawal kejatuhan ringgit ini, kerana tukaran asing kita sudah jatuh dengan tidak terkawal. Tidak mampu untuk membayar apa yang kita nak.

“Sejauh mana ringgit ini akan jatuh? Apakah ringgit kita akan jadi, kalau kita izinkan ringgit kita jatuh? Mungkin rumah yang kita beli dengan harga ratusan ribu boleh turun kepada sepuluh ribu ringgit. Jadi tidak ada sebab mengapa kita perlu biarkan perkara ni berterusan berlaku,” katanya.

Pada 27 Mei, Tengku Razaleigh meramalkan penyusutan ringgit kepada RM5.50 berbanding USD1 menjelang akhir tahun.

Hari ini, ringgit berada pada kadar RM4.54 berbanding USD1, paras terendah dalam tempoh 24 tahun.