Anwar: Sabah sudah tenang, cuma ‘ada beberapa isu’

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Keadaan politik di Sabah sudah tenang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyusuli babak rampasan kuasa yang tidak menjadi kenyataan semalam.

“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan, cuma dimaklumkan ada beberapa isu,” katanya kepada pemberita di Masjid Bukit Aman petang tadi, ketika ditanya mengenai situasi semasa di Sabah.


Anwar bagaimanapun tidak menghuraikan isu yang dikatakan itu, namun meminta Ketua Menteri Hajiji Noor mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain di negeri itu.

“Saya minta ketua menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah,” katanya, dan menambah beliau telah menghubungi pemimpin tertinggi parti-parti di negeri itu, termasuk Umno, DAP, dan Warisan.

“Saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” tambahnya.


BN Sabah seakan tertikam diri sendiri apabila cubaan menyingkir Hajiji semalam tidak menjadi kenyataan, selepas enam daripada 17 ADUN gabungan itu enggan mengikrar sokongan kepada usaha menggulingkan kerajaan negeri pimpinan GRS.

Spekulasi menyusuli khabar angin mendakwa BN Sabah, yang dipimpin Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, sedang berbincang dengan Warisan pimpinan Shafie Apdal, untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Dilaporkan langkah itu tidak menjadi kenyataan selepas enam ADUN Umno Sabah enggan menyokong cubaan itu.

Pakatan Harapan Sabah dengan tujuh kerusinya juga mengesahkan sokongan kepada Hajiji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan