Berang hantar wang ke kampung disyaki punca lelaki bunuh isteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis semalam kerana disyaki membunuh isterinya dengan menggunakan sepana dalam kejadian di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara pada 16 Disember lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Batu Gajah, Perak kira-kira 12.30 tengah hari.

Katanya, suspek melarikan diri selepas kejadian berlaku dan meninggalkan empat orang anaknya bersama mayat isterinya yang berusia lewat 30-an.

Menurutnya, semua anaknya yang berusia lingkungan lima tahun hingga enam bulan ditemui selamat beberapa jam selepas anggota polis tiba di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di belakang kepala hingga menyebabkan kematian di tempat kejadian.

“Dengan bantuan sepasukan polis dari Balai Polis Batu Gajah, seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes tersebut, tengah hari tadi (semalam),” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Kosmo!

Menurut Anbalagan, suspek sudah berkahwin selama tujuh tahun dan mengaku bertindak memukul kepala isterinya menggunakan sepana boleh laras.

“Kejadian terjadi akibat pergaduhan antara suspek dan mangsa di mana wang simpanan bersama berjumlah RM6,000 digunakan mangsa untuk dihantar kepada keluarga di kampung tanpa pengetahuan suspek.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan