Buli anak PM, polis cari pemandu proton Iriz

FMT Reporters

Klip video yang dikongsi secara meluas dikatakan menunjukkan tindakan seorang pemandu wanita yang didakwa cuba menakut-nakutkan anak perempuan Anwar Ibrahim. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Polis sedang mencari pemandu Proton Iriz yang tular dalam satu video berdurasi 14 saat dilihat memandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan kereta lain.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menerusi kenyataan di Facebook rasminya menggesa pemandu kereta tersebut segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tambah JSPT, pemandu terbabit diminta berbuat demikian susulan nombor plat kenderaan itu juga telah dikenalpasti.

“Tular satu video yang berdurasi 14 saat memaparkan sebuah kereta jenama Proton Iris warna hijau nombor plat kenderaan WB 7482 M yang dipandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan sebuah kereta (perakam video).

“Tindakan sebegini boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu yang lain,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, anak perdana menteri, Nurul Ilham Anwar Ibrahim memuat naik satu video di twitternya yang menunjukkan aksi bahaya pemandu tersebut yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Dalam video itu, dilihat sebuah kereta jenis Proton Iriz warna hijau yang dipandu seorang wanita telah menghalang laluan Nurul.

Berdasarkan perkongsian video berdurasi 14 saat itu, pemandu sebuah kenderaan jenama Proton telah beberapa kali menekan brek di lorong laju.

Menurut Nurul, tindakan berkenaan amat berbahaya tambahan anaknya yang berusia dua tahun turut berada di dalam kenderaan.

“Saya biasanya tidak berkongsi perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini. Kereta ini asyik tekan brek di lorong laju.

“Sangat bahaya dan saya mempunyai anak berusia 2 tahun bersama saya,” tulisnya di Twitter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan