'Kami sudah tiada di Malaysia'

Amir Abd Hamid

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di sini, baru-baru ini, dikatakan sudah keluar dari Malaysia.

Ia berdasarkan hantaran di Instagram (IG) seorang daripadanya, lelaki warga Rusia, Ivan Beerkus, hari ini, yang meminta pihak berkuasa tidak membazirkan bajet negara untuk mengesan atau mencari lokasi dia dan pasangannya Angela Nikolau kerana mereka sudah tiada di negara ini.

"Jangan bazirkan bajet (duit) negara untuk mencari kami di Malaysia. Kami sudah tiada di Malaysia lagi," itu antara kandungan hantarannya di IG.

Beerkus berkata, usaha untuk memanjat puncak menara itu bukan mudah dan tindakan mereka adalah bagi meningkatkan keyakinan diri.

"Kami menunggu di tempat persembunyian kecil di dalam Menara Merdeka 118 lebih 20 jam dalam keadaan kehabisan air, makanan, selain tidak dapat menggunakan tandas serta meregangkan kaki atau bernafas di tengah-tengah semua habuk pembinaan.

"Persediaan kami untuk mendaki mengambil beberapa hari. Langkah keselamatan sudah ditingkatkan di bangunan itu dan kami terpaksa membuat perancangan yang kukuh," tulisnya sambil berkata aktiviti pendakian adalah cara untuk mencabar diri bersama pasangannya, Angela.

Sebelum ini, Angela mendedahkan taktik licik dia menceroboh Menara Merdeka 118 sekali gus menyempurnakan misinya memanjat puncak menara itu dan pengakuan itu tular di media sosial.

Menerusi ciapan di Twitternya, Angela turut memuat naik gambar ketika 'menjayakan' misinya.

Menurutnya, kedudukan Menara Merdeka 118 yang terletak di tengah bandar mendorongnya untuk menawan mercu tanda itu.

"Saya jatuh cinta dengan Menara Merdeka 118 sebaik saja melihatnya. Saya berasa seperti berhubung secara rohani dengannya," katanya.

Wanita itu menjelaskan misi dimulakan dengan menyamar termasuk memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan tidak dikesan pihak keselamatan.

Terdahulu, tular video di laman sosial menunjukkan pasangan itu di puncak Menara Merdeka 118.

Susulan itu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 pada 29 Disember lalu untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan terbabit.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan rekod pasangan itu keluar dari Malaysia, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kenyataan mengenai perkara ini akan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan