KJ terus ‘sengat’ Umno selepas dipecat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berterusan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung pemecatannya dari parti itu, termasuk pemimpin lain menerima nasib sama atau digantung.

Memuatnaik gambar dirinya bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, di Instagram, Khairy berkata: “Inilah lelaki yang patut jadi ketua Pemuda Umno seterusnya.”

“Tapi, beliau digantung tanpa proses wajar. Untuk apa,” tambahnya.

Semalam, Shahril mendedahkan beliau tidak menerima sebarang surat daripada Lembaga Disiplin berhubung kes terhadapnya, terutama melibatkan penggantungan.

“Semalam (kelmarin) saya digantung enam tahun oleh Lembaga Disiplin, saya tak pernah dapat apa-apa surat, saya pun tak tahu sebab apa mereka gunakan untuk ambil tindakan ini,” katanya.

Shahril, bersama bekas naib presiden dan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif, digantung keahlian selama enam tahun.

Terdahulu, Khairy dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, dipecat kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.

Khairy, dalam muatnaik berasingan dalam Instagram miliknya, juga mendedahkan keputusan parti memecatnya tidak dilakukan melalui proses sewajarnya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab. Katanya, beliau juga tidak dipanggil Lembaga Disiplin untuk pendengaran.

Semalam, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, ketika mengulas berhubung perkara itu, menyatakan rasa tidak bersetuju dengan ketetapan parti bertindak memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan.

“Jika mereka didapati bersalah jawatankuasa perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan Umno dan membawa kepada Majlis Tertinggi untuk keputusan. Tetapi proses ini tidak dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di Instagram.

Menurut bekas perdana menteri itu, keputusan itu juga tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan konsep ‘natural justice’ seperti hak membela diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan