Murid patah kaki kanan saman cikgu

Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my
NOR Azlina berbincang dengan Mohd Hazwan  (tengah) di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
NOR Azlina berbincang dengan Mohd Hazwan (tengah) di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Murid tahun tiga memfailkan saman sivil terhadap seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang didakwa menyebabkan cedera parah sehingga patah tulang kaki kanan pada Julai tahun lalu.

Saman sivil terhadap guru Kafa, Ahmad Mursyidin Abdullah, 38, dan Yayasan Islam Terengganu itu dikemukakan ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, yang mewakili anaknya menerusi peguam, Mohd Hazwan Hamidun dari Firma Guaman Tetuan Rafaei & Co di Mahkamah Sesyen di sini.

Saman sivil itu difailkan terhadap dua defendan bagi tuntutan ganti secara bersama dan berasingan sebanyak RM410,000 termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta ganti rugi khas.

Mohd Hazwan berkata, tuntutan sivil bagi anak guamnya dilakukan kerana tindakan defendan pertama mengangkat dan menghempaskan plaintif ke atas sebuah kerusi menyebabkannya patah tulang kaki kanan dan keretakan pada bahagian yang lain.

Katanya, tindakan defendan pertama turut menyebabkan plaintif yang ketika itu berusia sembilan tahun terpaksa menjalani rawatan pemulihan dan kemungkinan perlu menjalani pembedahan sekali gus berisiko mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan dialaminya.

"Plaintif turut mengalami tekanan emosi dan mental di atas kejadian menimpanya selain ketinggalan di dalam sesi pembelajaran di sekolah akibat terpaksa menjalani rawatan pemulihan disebabkan tindakan defendan pertama.

"Tindakan defendan pertama adalah tidak wajar sama sekali sebagai seorang pengajar yang sedang mendidik pelajar yang berumur sembilan tahun bertentangan dengan tingkah laku serta akhlak sebagai seorang pendidik selain jelas gagal mengawal emosinya dalam menangani tingkah laku pelajar di bawah umur," katanya.

Mohd Hazwan berkata, sebagai majikan, defendan kedua mempunyai tugas memastikan tenaga pengajar yang dilantik adalah berkelayakan menjalankan tugas dan kerja-kerja mendidik dengan cara yang baik serta berhemat bersesuaian dengan pelajaran yang akan diajar.

"Defendan kedua melakukan kecuaian di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada plaintif disebabkan perbuatan defendan pertama.

"Walaupun defendan pertama sudah didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Marang pada 12 Oktober tahun lalu, kita failkan tindakan sivil supaya anak guam saya mendapat ganti rugi disebabkan kecederaan dialaminya yang membataskan pergerakannya," katanya

Susulan saman difailkan itu, mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan kes.

Sementara itu, Nor Azlina berharap anaknya mendapat keadilan ke atas kecederaan yang dialaminya selain berharap tuntutan itu dapat digunakan anaknya pada masa akan datang.

"Kejadian itu menyebabkan anak saya patah tulang dan tentunya dia akan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja yang berat.

"Selain itu, kejadian itu turut menyebabkan anak trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri dan sehingga kini, anak masih mendapatkan rawatan secara berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan