Pembersihan Umno hasil lebih banyak kotoran - Annuar Musa

Malaysiakini

Semalam, Umno memecat pemimpin kanannya, ahli majlis tertinggi parti dan lebih 40 ahli diambil tindakan termasuk digantung keanggotaan kerana melanggar disiplin parti.

Antara yang menjadi perhatian, pemecatan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertinggi Noh Omar.

Selain itu, beberapa pimpinan digantung, seperti ahli parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian yang digantung selama enam tahun.

Mengulas perkembangan politik ini, bekas pemimpin Umno Annuar Musa menjangkakan tindakan disiplin itu akan mengakibatkan lebih ramai lagi yang menolak parti yang telah kalah teruk sewaktu pilihan raya umum ke-15 itu.

"’Pembersihan' yang mereka (Umno) lakukan akan hanya menghasilkan lebih banyak kotoran kerana punca sebenar kotoran kekal berpaut dalam parti.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yang mereka reka sendiri.

“Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka. They created lies and finally they believe in their own lies (mereka yang cipta penipuan itu dan akhirnya mereka percaya dengan penipuan mereka sendiri),” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Annuar yang sebelum ini menerima nasib sama - dipecat Umno turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang digantung dan dipecat oleh parti kerana cuba memperbaiki parti daripada terus rosak.

“Saya harap semua bertenang dan sabar (kerana) memecat orang yang tidak bersependapat adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa,” katanya.

“Rakyat telah memberi isyarat. Tapi malangnya mereka masih 'in denial'. Mereka lebih gemar menyalahkan rakyat dan pengundi dan semua orang lain,kecuali diri mereka sendiri,” katanya.

Manakala Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu pula dalam ciapannya di Twitter seolah-olah memberi mesej bahawa mereka yang dipecat tidak lagi terikat dengan parti dan mampu bergerak lebih jauh.

“Semoga Allah berkati perjuangan suci,” ciapnya.

Pada masa sama, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula berkata sekiranya mana-mana pemimpin Umno yang dipecat baru-baru ini memohon untuk menyertai PKR maka kepimpinan parti itu perlu membincangkan perkara itu secara dalaman dan sepakat membuat keputusan.

Rafizi berkata dia tidak boleh membuat keputusan bersendirian, tetapi hal tersebut perlu mendapat persetujuan secara kolektif.

"Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

"Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu," katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin pula dalam ciapannya malam semalam turut memberi semangat kepada Khairy sebagai respons kepada ciapan bekas menteri kesihatan itu berhubung pemecatannya.

“Saya turut melalui pengalaman yang sama, disingkir oleh parti (PKR) yang saya sayangi pada 2020, dan saya faham perasaan itu. Teruskan perjuangan,” ciapnya.

Turut digantung ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.

Kenyataan rasmi itu juga tidak menyenaraikan nama exco pemuda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang sebelum itu turut disebut digantung daripada parti itu.

Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli Umno turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan