Pendedahan Zahid boleh 'makan diri'

FARAH SHAZWANI ALI

SHAH ALAM - Tindakan mendedahkan seramai 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri boleh ‘memakan diri’.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tindakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga disifatkan sebagai ‘ketakutan’ dalam menghadapi pemilihan jawatan Presiden.

Menurut Ahmad Atory, pendedahan itu juga akan memberikan tanggapan serong kepada Ahmad Zahid kerana sanggup ‘berkomplot’ dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekerjasama dengan DAP sedangkan akar umbi UMNO berpegang teguh terhadap prinsip No Anwar, No DAP.

“Kenapa bercerita tentang itu (10 nama) sedangkan beliau (Ahmad Zahid) sendiri melanggar ketetapan PAU dan MKT. Saya rasa pendedahan itu tidak memberi kesan kerana ahli UMNO dan rakyat tahu siapa 10 orang itu.

“Mereka bukan ahli biasa tapi merupakan ahli Parlimen. Ahli UMNO yang setia, tahu gelagat pemimpin mereka.

“Mungkin tindakan Zahid itu untuk mendapatkan sokongan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Tapi tindak-tanduknya diperhatikan akar umbi. Mereka tunggu masa dan melihat pilihan raya negeri (PRN) nanti, bagaimana penerimaan rakyat. Adakah ahli UMNO merestui atau tidak ‘hubungan’ UMNO dan DAP?” katanya

Pendedahan 10 ahli Parlimen itu dibuat oleh Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Ahmad Atory berkata, tindakan 140 Ketua UMNO Bahagian bersolidariti agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO dijangka Mei nanti, juga sebagai tidak demokratik.

“Ahli UMNO tidak boleh ‘dirantai’. Mana boleh sebuah parti menghalang jawatan utama tidak dipertandingkan, ia melanggar perlembagaan parti,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan