PKR pecat Tian Chua

Malaysiakini

PKR secara rasmi memecat bekas naib presidennya Tian Chua berikutan keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-15.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Tan Yee Kew memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti malam semalam.

“Ya, semalam MPP ada mesyuarat dan kami memutuskan untuk memecatnya secara rasmi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, seramai lima anggota PKR telah dipecat termasuk Tian Chua.

“Semua dipecat kerana bertanding sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain. Mereka yang akan dipecat kerana tindakan tatatertib lain akan diumumkan kemudian,” katanya.

Menurut Tan, empat lagi anggota ialah Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali dari cabang Gopeng dan M Mohganan dari cabang Taiping.

Puah dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding di bawah tiket Warisan di Keranji dan Chenderiang manakala Mohganan bertanding di Taping sebagai calon bebas.

Sementara itu, Nur Khairunisa Abdullah dari cabang Sadong Jaya turut dipecat kerana bertanding di Sadong Jaya semasa pilihan raya Sarawak 2021.

Chua memegang kerusi Batu selama dua penggal antara 2008 dan 2018.

Selepas hilang kelayakan sebagai calon semasa pilihan raya 2018, Chua menyokong Prabakaran, ketika itu calon bebas, yang akhirnya menang dan kemudian menyertai PKR.

Semasa pemilihan pucuk pimpinan PKR awal tahun ini, Prabakaran menewaskan Chua dalam perebutan jawatan ketua PKR cabang Batu dan dicalonkan parti itu untuk mempertahankan Batu pada PRU15.

Lantaran itu, Chua mengumumkan pencalonannya di Batu sebagai calon bebas tetapi akhirnya kehilangan depositnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan