Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ATHIRAH NAJWA yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, semalam. FOTO Ihsan Noor Fadhlina
Subang Jaya: Remaja perempuan dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama di sebuah sekolah menengah, di sini, awal pagi tadi.
Ibu remaja berkenaan berkata, Noor Fadhlina Nokman, 42, anaknya, Athirah Najwa Gazairi, 14, disedari hilang oleh rakannya apabila mendapati dia tiada di dorm asrama mahupun di kelas.
"Sebaik dimaklumkan oleh pihak sekolah kira-kita jam 8.30 pagi, saya dan suami terus bergegas ke sekolah. Menurut rakannya, Athirah kali terakhir dilihat awal pagi tadi.
"Saya ada cuba menghubungi rakannya, namun tiada siapa yang mengetahui lokasi Athirah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Noor Fadhlina berkata, anak kedua daripada empat beradik berkenaan dipercayai keluar dari asrama itu dengan hanya membawa dompet serta beg galas.
"Pada awal bulan ini (Januari), dia ada memberitahu mahu bertukar sekolah. Namun, apabila kami berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu, dia memaklumkan tiada sebarang masalah.
"Saya kini buntu mahu mencarinya di mana. Saya bimbang keadaannya di luar sana memandangkan dia tidak membawa duit yang banyak, hanya duit perbelanjaan di asrama sahaja.
"Menurut rakannya, dia dipercayai memakai tudung berwarna hitam, hoodie berwarna hitam serta seluar 'track'," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.06 pagi.
"Bapa remaja itu, Gazairi Ghazali berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) dimaklumkan pihak sekolah bahawa anaknya melarikan diri dari asrama sekolah jam 8.30 pagi.
"Kali terakhir lelaki berkenaan melihat anaknya itu kira-kira jam 6 petang, semalam, semasa menghantar remaja terbabit ke asrama sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung remaja berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Azliana Zulkifli di talian 017-5440213 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan