Sidang Umno diselubung kekalahan, ketidakpastian

Robin Augustin

PETALING JAYA: Kekalahan pilihan raya dan ketidakpastian menyelubungi sidang agung Umno hari ini, yang menghimpunkan pucuk pimpinan parti dengan perwakilan akar umbi sebelum PRN yang akan berlaku dalam beberapa bulan lagi.

Turut menanti ahli Umno adalah pemilihan parti yang bakal diadakan tahun ini, di sebalik kebimbangan mengenai pertelingkahan dalaman.

Prestasi hambar pada PRU15 yang menyaksikan Umno mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah kemudian membawa kepada kerjasama dengan seteru parti itu untuk membentuk kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim.

Namun dalam beberapa bulan lagi, Umno akan berdepan pilihan raya di enam negeri yang dikuasai pesaingnya, Pakatan Harapan dan PAS.

“Akar umbi mahukan pencerahan mengenai arah tuju Umno, khususnya berkaitan kerajaan perpaduan,” kata seorang pemimpin kanan Umno yang enggan dinamakan.

“Tanggungjawab terletak pada bahu presiden (Zahid Hamidi) untuk memberikan kami jawapan mengenai hala tuju parti, selain jaminan bahawa Umno akan tetap berpegang kepada perjuangan kami walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Persoalan-persoalan ini akan menjadi penentu kepada dugaan yang lagi besar – pemilihan parti yang akan menentukan saf kepimpinannya, sekaligus masa depannya. Pemilihan ini dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini.

Di celah-celahnya muncul spekulasi bahawa Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, akan dicabar oleh pemimpin Umno yang bukan sebahagian daripada Jemaah Menteri.

Segelintir penyokong Zahid memberi amaran perebutan jawatan tertinggi berkemungkinan memecahbelahkan parti, namun sentimen dalam kalangan akar umno mahukan pertandingan, demi kewibawaan dan pemulihan.

“Akar umbi mahu tahu perancangan Zahid untuk mengukuhkan parti menjelang PRN, dan memastikan parti kekal relevan selepas itu,” kata sumber FMT.

Zahid mengepalai Barisan Nasional ke PRU November lepas dengan yakin, namun tersadung dengan kebangkitan Perikatan Nasional. Umno terpaksa berpuas hati dengan hanya 26 kerusi Parlimen berbanding 54 yang dimenanginya pada 2018.

Tidak ada satu pun kerusi Parlimen ditawan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, dan Terengganu – semuanya negeri yang ditadbir pesaingnya – begitu juga di Melaka meskipun ia diperintah Umno.

Gabungan itu juga berdepan kemungkinan pilihan raya di Sabah, susulan cubaan pengerusinya di negeri itu, Bung Moktar Radin, menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Prospek parti pada pilihan raya berkenaan akan berlegar dalam fikiran ahli Umno, yang sedang menilai prestasi pemimpin mereka.

Penganalisis politik, Jeniri Amir, percaya pertandingan dua jawatan tertinggi Umno pasti akan berlaku.

“Imej Umno sudah tercemar. Zahid berdepan tuduhan rasuah, malah dilihat sebagai watak yang memecahbelahkan termasuk dalam Umno sendiri, jadi pastinya beliau akan berdepan cabaran,” katanya.

Felo Majlis Profesor itu berpandangan pertandingan perlu untuk memberi nafas baru kepada Umno.

“Sukar untuk parti itu menarik sokongan khususnya dalam kalangan generasi muda sekiranya tiada perubahan tampuk kepimpinan,” katanya.

Jeniri percaya masa depan Umno kelihatan “amat suram” sekiranya dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan.

Perhimpunan agung Umno 2022 bermula 11 hingga 14 Januari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Ini diikuti dengan sidang 2023 pada pertengahan tahun, namun tiada tarikh diumumkan setakat ini.

Zahid pada Isnin berkata Umno bahagian akan bermesyuarat serentak pada tahun ini, dengan pemilihan di peringkat bahagian dan pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan