Sukar redakan 'tsunami PN' dalam tempoh singkat

N Faizal Ghazali

Penganalisis politik menyangkal keyakinan yang dilontarkan pimpinan PH Kedah bahawa 'tsunami Perikatan Nasional (PN)' bersifat sementara dan mampu diatasi pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata walaupun dia bersetuju bahawa gelombang pengaruh PN itu bersifat sementara namun kesan pengaruh tersebut akan mengambil tempoh yang lebih panjang.

"Tsunami PN pada PRU ke-15 di utara dan Pantai Timur itu memang bersifat sementara, tetapi tempoh atau kesan trend ini masih berterusan untuk satu tempoh yang saya jangkakan akan kekal sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun.

"Pada PRN nanti (keputusannya) mungkin masih dibentuk oleh acuan 'tsunami PN' itu, maksudnya kerangka keputusan masih lagi seperti PRU ke-15," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi dan Penerangan PH Kedah Dr Ismail Salleh yang menyifatkan tsunami PN akan memudar menjelang PRN dijangka tidak lama lagi.

Menurut Ismail keyakinan itu berlandaskan kepada tiga faktor utama iaitu 'tsunami PN' bersifat sementara, kecemerlangan pentadbiran kerajaan persekutuan dan kerjasama politik antara PH dan Umno.

Mazlan berkata, reformasi kerajaan persekutuan dengan acuan Anwar Ibrahim mungkin boleh mempengaruhi trend sokongan kepada PN namun ia memerlukan masa yang panjang.

"Ya saya rasa reformasi yang dibuat Anwar mungkin boleh mempengaruhi situasi yang itu, mungkin juga beberapa dasar dan reformasi boleh mempengaruhi tetapi memerlukan masa yang panjang dan dasar-dasar yang lebih meyakinkan perlu dilaksanakan.

"Ia akan makan masa, (tetapi kalau) dalam beberapa bulan ini mungkin sukar. Kerjasama antara BN dan PH itu mungkin juga boleh mempengaruhi situasi sokongan terhadap PN.

"Jadi kesimpulannya saya boleh kata trend pengaruh PN ini masih wujud dan kuat, tetapi pada masa sama ada sedikit kemungkinan ia semakin melemah dengan adanya pembaharuan di peringkat kerajaan persekutuan dan kerjasama BN dan PH akan beri kelebihan apabila undi mereka bergabung untuk menentang PN," jelasnya.

Sementara itu bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Izmer Yusof, berpandangan kelebihan PN di negeri-negeri dikuasa mereka termasuk Kedah adalah sokongan pengundi PAS dan undi Melayu selain faktor kempen yang berkesan.

Jelasnya sentimen kaum dan agama sentiasa menjadi faktor penentu dalam pilihan raya melibatkan parti-parti bersifat komunal dan normal.

"Susah untuk PH counter (sanggah) situasi berkenaan, kecuali jika kebanyakan kerusi (diserahkan) kepada Umno (di Kedah) kerana Umno sahaja ada sejarah mendominasi pengaruh di negeri itu.

"Dalam aspek prestasi kerajaan persekutua pula ia perlu dibuktikan dengan proses fizikal dan bukannya sekadar pengiktirafan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan