Tokoh berprofil tinggi hadir di malam terakhir Anwar di Jakarta

story-image

Alyaa Alhadjri

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia dikelilingi rakan dan kenalan merentas generasi.

Selepas pertemuan rasmi dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Bogor pagi ini, Anwar menghadiri majlis anjuran "kawan lama" - Chairul Tanjung - pengerusi CT Corp, salah satu konglomerat utama Indonesia yang merangkumi beberapa media.

Anwar ditampilkan sebagai penceramah di Forum Kepimpinan CT Corp yang dihoskan oleh Chairul di Menara Bank Mega, Jakarta.

Chairul dalam ucapan perasmiannya berkata dia menyaksikan sendiri kerjaya politik Anwar selama lebih 30 tahun termasuk ketika di penjara, dan sepanjang perjalanan memperoleh pengalaman yang tidak ternilai untuk dikongsi dengan Indonesia hari ini.

"Anwar sepanjang perjalanannya kekal konsisten, percaya dengan cita-cita yang dipegangnya sehingga hari beliau menjadi perdana menteri," kata Chairul, yang menyatakan sambutan menggalakkan daripada mereka yang hadir.

Hadirin di kerusi hadapan termasuk barisan bekas menteri dan menteri semasa merentasi beberapa pentadbiran presiden Indonesia.

Daripada kabinet Jokowi, antara yang kelihatan ialah Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Sandiaga Uno.

Sejak ketibaannya semalam untuk lawatan rasmi dua hari, Anwar menyifatkan Indonesia sebagai "sahabat sejati" yang menerimanya di kala susah, sentimen yang dikumandangkan Jokowi, Chairul dan sekali lagi diulangi kepada ratusan hadirin hari ini.

Dalam ceramahnya, Anwar seterusnya menekankan komitmen Malaysia untuk menghapuskan rasuah dan melakarkan landskap politik baru yang diharap dapat mengeratkan hubungan dua hala dengan negara lain termasuk Indonesia.

Semasa sesi soal jawab yang dihoskan oleh Chairul, hadirin yang bangun menyoal Anwar termasuk bekas ketua Badan Perisikan Indonesia Abdullah Mahmud Hendropriyono.

Antara isu yang dibangkitkan dalam perbincangan semasa lawatan Anwar termasuk tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan proses yang terlibat dalam pengambilan pekerja Indonesia ke Malaysia - satu perkara yang pada masa lalu telah mencetuskan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara jiran.

'Kos terlalu tinggi untuk mengambil pekerja rumah'

Pada sidang media terakhirnya bersama Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Anwar berkata "kos yang terlalu tinggi" untuk mengupah pekerja rumah Indonesia - segmen yang telah mencatatkan beberapa siri kes penderaan berprofil tinggi - adalah sebahagiannya disebabkan oleh peranan agensi swasta dalam proses pengambilan dan penempatan.

"(Ini) kerana pergantungan kepada ejen. Kita perlu menghapuskan sebahagiannya.

"Itulah sebabnya kita bercakap tentang pendigitalan. Mengapa anda mesti melalui proses temuduga fizikal itu sedangkan kita boleh, bukan sepenuhnya tetapi sebahagian besarnya, menyingkirkan mereka (ejen)," katanya.

Dari kiri: Menteri Luar Zambry Abdul Kadir, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa sidang media.

"Kita semua mempunyai pembantu rumah, kita tahu prosesnya, menyebabkan kelewatan dan begitu banyak kesusahan bagi orang miskin. Itulah sebabnya netizen di sini gelisah atas sebab yang munasabah, kerana orang mereka diperlakukan sedemikian.

"Hakikatnya adalah sangat sukar (untuk mengupah) dan mereka mengenakan kadar yang terlalu tinggi. Kita perlu membersihkan sistem," tambah Anwar.

Anwar, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia berlepas ke Kuala Lumpur petang ini pada pukul 6 petang waktu tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan