Cerita kedai kopi tentang PMX

Ronasina

Senario politik pasca PRU15 berubah putarannya bila mana ikon reformasi Anwar Ibrahim akhirnya melepasi segala halangan sukar dan berjaya menjadi perdana menteri ke-10. Anwar “hampir” menjadi perdana menteri suatu ketika dahulu tetapi dipecat dari kerusi timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad. Anwar yang dipecat mencetuskan gerakan reformasi melawan Mahathir. Seterusnya adalah sejarah. Tak perlu buang masa bercerita di sini.

Ketika Parlimen tergantung selepas PRU15 suasana menjadi kacau. Peluang untuk Anwar menjadi orang nombor satu negara kembali terbuka. Sembang-sembang di kedai kopi memperkatakan hal ini namun masih ramai lagi berasa curiga dengan ketokohan Anwar untuk menerajui kerajaan sebagai perdana menteri.

“Anwar tak bolehlah jadi PM. Dia ada banyak hal,” sampuk seorang pelanggan sebuah kedai “hardware” ketika saya berbual dengan tauke kedai. Saya faham maksud “banyak hal” yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Anwar ada banyak beban di bahunya dengan berbagai label. Sejak 1998 kita tahu, tidak ada perkara yang baik untuk Anwar yang kita dapat lihat media arus perdana. Pendek kata, Anwar adalah manusia paling teruk di Malaysia. Tak hairan.

“Kalau dia jadi PM pun tak apa, sudah lama dia tunggu. Kasi dia peluanglah,” kata Boy, anak muda pertengahan dua puluhan yang menjaga kedai bapanya.

Si lelaki tadi hanya menggelengkan kepala sebagai isyarat tidak setuju. Saya boleh agak dari parti mana lelaki ini. Ya, antara beban Anwar ialah dia ditunggang oleh DAP. Ini cukup menggelisahkan orang Melayu penyokong parti yang memperjuangkan ketuanan Melayu. Manakala Boy, seorang budak Cina boleh digambarkan pandangannya mewakili suara penyokong gabungan parti digerakkan oleh Anwar.

Saya sendiri tiga-empat hari sebelum PRU15 sudah membaca dan menonton ramalan beberapa pemerhati politik tanah air yang awal-awal lagi meramal keputusan PRU15 akan tergantung kerana semua perikatan parti tidak mampu menang sendiri. Perikatan parti-parti ini perlu bergabung untuk membentuk kerajaan. Penganalisis politik ini kebanyakannya meramalkan yang Anwar akan berjaya menjadi perdana menteri. Sebab itu saya tidak terkejut apabila ramalan ini tepat dan menjadi kenyataan.

Anwar berjaya! Satu bab sudah selesai. Politik pun terus sudah jadi lain. Umno dan DAP boleh berpeluk bersama PKR membentuk sebuah kerajaan. Tidak ada lagi ejekan “penyamun” daripada penyokong Pakatan Harapan atau sindiran “ejen DAP” daripada penyokong Umno. Rupa-rupanya boleh saja berbaik. Boleh saja melupakan momokan dan ejekan selama ini demi hendak berkuasa. Slogan “kita boleh” memang benar-benar boleh! Boleh berkongsi, apa salahnya.

Sepanjang pemerhatian saya, suka dijelaskan di sini bahawa penyokong Anwar boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Penyokong parti PKR itu sendiri terdiri daripada pelbagai latar. Untuk tempoh awal, semua penyokong dari pelbagai lapisan latar ini bergembira dan mengambil sikap tidak mengapa untuk memberi peluang Anwar menerajui kerajaan dan memulihkan apa yang didakwa selama ini telah rosak. Anwar mengumumkan beberapa langkah yang dilihat baik dan pro rakyat. Mengerah tauke-tauke besar membayar cukai untuk membantu rakyat sangat disambut baik oleh semua lapisan rakyat.

Di kedai kopi, saya dapat melihat nada perbualan pun sudah bertukar. Mengejutkan juga apabila Anwar yang selama ini digambarkan dengan negatif telah beransur menjadi positif. Orang minoriti yang menyokong beliau selama ini mungkin terpaksa diam ketika berada di kelompok majoriti kini sudah tidak segan lagi menyatakan sokongan secara terang-terangan. Saya mendengarnya dan berasa mereka sudah berani keluar gua dan menyatakan pendirian. Saya mendengar perbualan dua “pak cik” tentang betapa Anwar telah diuji hebat dengan keaiban serta penjara yang sudah lama isu ini tidak saya dengar untuk dibualkan. Kalau ada pun, perbualan hangat seperti itu hanya berlaku pada era reformasi. Dua puluh tahun era reformasi yang hangat sudah sejuk dan dibunuh imejnya oleh Mahathir ketika Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri bersama kerajaan Pakatan Harapan 2018. Mahathir bunuh imej Pakatan Harapan menjadikan kebanyakan rakyat berasa serik 22 bulan PH memerintah. Sekali gus imej Anwar terpalit sekali. Hari ini saya dapat mendengar di kedai kopi sok-sek sok-sek tentang Anwar kembali hidup dengan gambaran sebagai wira yang komited memperjuangkan hak rakyat.

“Anwar duduk dalam penjara banyak yang dia belajar. Dia banyak mengaji, dia baca buku. Mestilah sekarang dia akan buat yang terbaik,” kata pak cik berkopiah kepada kawannya.

Persoalannya benarkah Anwar berjaya mengubah landskap politik kali ini? Atau pembencinya dalam Umno terpaksa menelan buat sementara semua ini demi kelangsungan Umno yang tinggal nyawa-nyawa ikan? Hendak tak hendak mereka kena terimalah. Manakala di mata rakyat yang tidak terikat dengan politik kepartian sudah menerima Anwar sebagai PM mereka. Mereka menaruh harapan baharu kepada Anwar. Anwar nampaknya mempunyai peluang yang amat baik untuk dimanfaatkan bagi membina semula reputasinya. Reformasi yang dicetuskan oleh Anwar mempunyai masa depan cerah untuk disokong oleh rakyat terbanyak.

Sebaliknya dari sudut mata “penyokong tulen” gerakan reformasi pula sudah mula menampakkan gelisah setelah pada awalnya mengambil sikap diam dahulu. Kontroversi Anwar melantik anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi tanpa gaji meresahkan. Tolak ke tepi penyokong setia Anwar yang sentiasa sahaja menyokong tetapi pendukung reformasi berasa tidak senang. Kronisme, nepotisme yang dilaungkan Anwar selama ini sedikit tercalar. Mereka tetap berpegang dengan prinsip yang pernah Anwar laungkan. Anwar adalah guru yang mengajar mereka untuk bersikap sedemikian. Tetapi keputusan Anwar kali ini mendukacitakan mereka dan mereka tidak mampu menyembunyikan keresahan ini lagi.

Memang ada penyokong Anwar menyatakan tidak timbul isu nepotisme kerana Izzah tidak mengambil gaji. Ini sangat baik dan wajar dicontohi. Yang mereka faham nepotisme itu mengayakan kaum keluarga tetapi pelantikan Izzah tidak memerlukan kerajaan keluar satu sen pun. Apa salahnya? Tetapi ada yang melihatnya sebagai satu penghinaan pula.

“Ya, bang! Kita bekerja suami isteri berhempas-pulas menanggung orang tua, belanja anak-anak, sehingga terpaksa membuat kerja lain untuk menambah pendapatan tiba-tiba anak dia kerja tak payah gaji. Kita tahu dia ada pendapatan bulanan tapi ketika orang bersusah-payah mengais sana-sini untuk cari duit dia boleh kata dia bagi jawatan kat anak dia tanpa gaji. Sakit betul kita menengoknya!” kondem seorang kawan saya.

Saya terkejut juga kerana ini sudut pandang yang tidak terbayang oleh saya. Logik juga. Ya, apa sahaja pandangan peribadi mahupun berkumpulan semuanya ada asas tersendiri. Anwar (juga Izzah) jika benar-benar mendukung agenda reformasi harus peka dengan segala sudut pandang dan tidak boleh mengesampingkan pandangan ini begitu sahaja. Dasar-dasar yang membela golongan berpendapatan rendah dan membantu golongan kaya itu baik tetapi jangan lupa pula golongan pertengahan juga tersepit dalam keadaan ekonomi masih sakit ini. Keluhan pengusaha perniagaan sederhana (golongan pertengahan) masih tersepit antara harga bahan mentah yang masih tidak turun dan bebanan membayar gaji pekerja dengan kadar gaji minimum RM1500 harus didengar. Mereka sebenarnya jauh lebih terkesan. Tersepit! Margin keuntungan mereka masih mengecut. Gaji pekerja tetap nak kena bayar, cukai pun tetap kena bayar. Mereka mengeluh kerana insentif daripada kerajaan tidak banyak memihak kepada mereka.

Apapun inilah yang harus kita tempuh sepenggal lagi. Anwar adalah perdana menteri kita yang ke-10. Menjadi tugas besar Anwar untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat dari semua golongan. Jika Anwar berjaya meyakinkan semuanya nescaya PRU akan datang tidak ada masalah untuk kekal memerintah.

“Sekurang-kurangnya apabila Anwar berjaya jadi PM ni lega sikit aku. Aman sikit,” kata kawan saya dengan wajah yang saya agak sedang membuat jenaka sinis.

“Kenapa?” tanya saya.

“Yelah! Kalau tidak hari-hari penyokong dia memekak kata dialah paling layak. Ni dah jadi PM senyap dah semua. Tak payah kita nak hadap bising-bising ini lagi. Tak kiralah berkahwin dengan penyamun ke, janji dia dah jadi PM,” jawabnya.

Kami berdua ketawa terbahak-bahak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan