Lantikan Nurul Izzah dari lihat segi matlamat, bukan jadi polemik - Mufti Pulau Pinang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri harus dilihat menerusi matlamat yang ingin dicapai, bukan untuk dipolemikkan, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, keputusan Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah perlu dinilai berdasarkan matlamatnya, bukan kepada caranya.

“Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan.

“Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali.”

Beliau berkata, tidak salah bagi seseorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik ahli keluarga sendiri jika mereka berkelayakan dan berintegriti.

“Bagi saya, tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihatnya dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya.

“Asalkan individu yang dilantik itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki di samping ada integriti diri, malah ini boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan,” katanya.

Selain menyifatkan kesanggupan Nurul Izzah untuk berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran sebagai tindakan mulia dan terpuji, Wan Salim berkata, kepakaran dimilikinya dilihat dapat memudahkan urusan negara.

“Untuk mencapai matlamat ini, individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali urusan kerajaan, terutama dalam hal-hal yang membabitkan kewangan mestilah memiliki integriti diri.

“Ini supaya tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan dana awam yang merugikan negara,” katanya.

Pada Ahad, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri dan mula berkhidmat sejak 3 Jan.

Pelantikan itu menimbulkan pertikaian apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar tidak memegang janji dan mengkhianati semangat perjuangan reformasi dilaungkannya sejak 20 tahun lalu.

Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, seorang perdana menteri melantik anak sendiri sebagai penasihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan