MUJURLAH MASIH ADA RAFIZI….

Shahbudin Husin

Di ketika ramai memilih untuk menyetujui dan mengampu Anwar Ibrahim dalam isu perlantikan anaknya, Nurul Izzah atau setidak-tidaknya hanya berdiam diri bagi menyelamatkan masa depan sendiri, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebaliknya masih lagi boleh dipuji dalam hal ini.

Beliau tetap tidak menyembunyikan suara dan pendiriannya yang kurang setuju dengan perlantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri itu.

Selain Nurul Izzah, turut menjadi bualan ramai kerana dilihat suatu pengamalan nepotisme ialah tindakan Speaker Parlimen, Johari Abdul yang melantik anaknya sebagai pegawai khasnya.

Kedua-dua Anwar dan Johari bagaimanapun tetap mempertahankan perlantikan anak mereka itu dengan alasan ia adalah pro bono iaitu tidak dibayar gaji oleh kerajaan, selain mempunyai kelayakan yang bersesuaian.

Menyedari perlantikan itu sudah pun dibuat dan Anwar serta Johari sendiri ternampak tidak mahu berganjak, bahkan yang dilantik pula enggan melepaskan peluang, walau menerima kecaman ramai, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, budaya nepotisme dengan melantik ahli keluarga sendiri ke jawatan tertentu dalam kerajaan perlu dielak pada masa akan datang.

“Saya berpandangan perkara ini perlu dielakkan oleh mana-mana kerajaan pada masa akan datang.

“Bagaimanapun bagi kes Nurul Izzah dan Iqbal, pelantikan sudah pun dibuat,” katanya sebagaimana dipetik Harian Metro.

Kini katanya, pelantikan itu diharap dapat dibuktikan dengan kedua-duanya mampu membawa nilai tambah yang boleh dibanggakan.

“Ia tidak melibatkan dana awam. Apa yang kita harapkan sekarang ialah mereka perlu buktikan mereka akan membawa nilai tambah,” tegas beliau.

Begitu pun Rafizi berkata, pihak yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat dalam isu berkenaan.

“Di peringkat PKR, kita harap kita ‘move on’ dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat.

“Sudah pasti saya faham sentimen itu,” katanya dipetik sebagai berkata.

Secara sedar atau sengaja enggan mengakuinya, kita seharusnya berbangga dengan pendirian Rafizi dalam hal ini.

Pendiriannya yang tidak terbuai untuk bersetuju dan mengampu Perdana Menteri sepertimana kegemaran yang lain adalah ibarat permata yang mampu menyelamatkan PKR dan PH pada masa depan di ketika rakyat di luar secara majorinya menolak perlantikan nepotisme berkenaan.

Cuba kita bayangkan jika ketika ini Timbalan Presiden PKR pun turut sama menyokong dan mengampu Anwar selaku Perdana Menteri dalam perlantikan Nurul Izzah itu?

Atau jika ketika ini bukan Rafizi yang memegang jawatan Timbalan Presiden PKR, siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk bersuara mewakili pendirian majoriti rakyat?

Hakikatnya, mujurlah masih ada Rafizi yang tetap sama jiwa dan pendiriannya seperti sebelum ini.

Jika tidak, disebabkan ramai yang ternampak mula terseronok dengan kemilaunya kuasa sekarang ini, malah tidak lagi menyebut perkataan reformasi sebagaimana dulu-dulu, entahlah….masih ada atau tidak masa depan PKR dan PH pada PRU16 nanti jika berterusan begini?

Semoganya dengan suara Rafizi ini, dua nepotisme itu adalah yang terakhir berlaku dalam kerajaan perpaduan berjenama Madani ini.

Sekali lagi, mujurlah masih ada Rafizi…(ShahbudinHusin 05/02/2023)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan