Ada Pati mahir guna senjata api

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
PEGAWAI SPRM cuba mengesan individu yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket apabila menyewakan MyKad kepada pendatang haram.
PEGAWAI SPRM cuba mengesan individu yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket apabila menyewakan MyKad kepada pendatang haram.
Kuala Lumpur: Tubuh kurus dan kecil namun tiada siapa menyangka Pendatang Tanpa Izin (Pati) warga Filipina yang ditahan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu, pernah menjalani latihan ketenteraan, selain mahir menggunakan senjata api.

Lelaki berusia 30-an itu dikesan cuba menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia menggunakan MyKad disewa dari sindiket tempatan berpangkalan di Tawau, Sabah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek pernah menjalani latihan ketenteraan selama 44 hari di kem Dankalan, Lamitan City, Filipina.

"Latihan dijalani di kem tentera itu bertujuan melayakkan suspek untuk menjadi anggota keselamatan.

"Bagaimanapun, suspek bertindak menyusup masuk secara haram ke Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Semenanjung Malaysia," katanya.

Menurutnya, kemasukan Pati sebegini dianggap berbahaya dan ancaman keselamatan kepada negara.

"Kemahiran taktikal dimiliki selain mampu menggunakan senjata api boleh menggugat keselamatan jika ia disalah guna untuk tujuan tertentu. Malah, negara sehingga kini masih berwaspada dengan ancaman pengganas Sulu yang pernah menceroboh negara pada tahun 2013 tidak berulang," katanya.

Sementara itu, usaha SPRM membongkar sindiket penyeludupan Pati diteruskan apabila pegawai SPRM berusaha mengesan individu yang dikesan menyewa Mykad mereka kepada sindiket.

Usaha itu dilakukan melalui pemeriksaan di Kampung Air, Semporna, Sabah sejak kelmarin.

Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Timbalan Pengarah Perisikan (Kawalan Zon) SPRM, Galan Ngadit yang dihubungi berkata, suspek keenam membabitkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT), Sabah sudah ditahan reman semalam.
SUSPEK pegawai imigresen yang ditahan reman seminggu mulai semalam.

SUSPEK pegawai imigresen yang ditahan reman seminggu mulai semalam.
Harian Metro Jumaat lalu mendedahkan secara eksklusif kejayaan SPRM menahan reman sembilan individu termasuk lima pegawai JIM dalam satu operasi dikenali Ops Lancar kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati di negara ini.

Berdasarkan risikan, lima suspek termasuk dua pegawai JIM wanita yang berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan Khamis lalu.

Turut ditahan tiga wanita tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 73 tahun dipercayai dalang sindiket.

Modus operandi sindiket terbabit ialah setiap Pati atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada ejen Pati berkenaan jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan Pati yang menggunakan khidmat mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan